13 Reasons Why: Memahami Tragedi Perubahan Diri Remaja

Ia bukan siri yang mudah untuk ditonton. Beberapa adegan censored memerlukan kita berbuat sesuatu untuk menyaringnya.

Tetapi 13 Reasons Why ini adalah drama tv yang penting pada menjelaskan kepada kita rangkaian masalah yang membelenggu kehidupan anak remaja. Sudah tentu kemuncaknya ialah apabila Hannah Baker nekad membunuh diri. Drama ini menceritakan nota bunuh diri Hannah yang dibuat dalam bentuk audio yang dirakam di dalam kaset.

Beliau menjelaskan 13 sebab mengapa beliau nekad membunuh diri. Tetapi isu di dalam drama ini bukan hanya bab bunuh diri. Sebaliknya ia menceritakan tentang bagaimana remaja berfikir, bagaimana orang dewasa memberi reaksi kepada tingkah laku remaja, bagaimana kita boleh berbuat sesuatu untuk membantu, dan bagaimana kita boleh berbuat sesuatu yang menyebabkan kehidupan mereka musnah.

Anak saya tegur. Katanya semasa menonton drama ini, saya jadi stress dan pemarah. Saya menyedarinya. Dan kerana itu saya nekad segera menghabiskannya. Punca saya jadi stress itu ialah kerana hidup saya dikelilingi remaja. Sama ada pelajar sekolah, mahu pun anak-anak saya sendiri.

Remaja sangat complicated.

Pada usia belasan, mereka akan berkelakuan seperti orang dewasa yang tidak memerlukan lagi orang dewasa di keliling mereka. Mereka terselindung daripada melihat kekurangan yang masih menjadikan mereka bukan dewasa malah tertakluk di bawah akta kanak-kanak dari segi undang-undang. Mungkin salah satu puncanya ialah frontal lobe otak mereka sendiri belum siap. Kekurangan ini menyebabkan remaja bermasalah dari segi fungsi motor, problem solving, tindakan spontan dan kawalan impulsif, memori, bahasa, upaya inisiatif, pertimbangan, tingkah laku sosial juga seksual.

Apabila mereka berkelakuan seperti orang dewasa, mereka juga mula berdepan dengan masalah-masalah orang dewasa yang mereka tidak boleh kendalikan. Percubaan kita untuk membantu, dengan mudah ditafsirkan sebagai ‘campur tangan orang tua’ penyibuk yang mengganggu. Pada masa itu, masalah mereka semakin banyak, dan semakin kurang pula mereka mendapatkan bantuan.

Di zaman teknologi maklumat ini, pembulian siber boleh dipandang enteng oleh ibu ayah. Semasa mereka remaja, mereka tidak mengalaminya. Mereka tidak mempunyai pengalaman untuk dengan mudah memahami saiz bencana apabila buli siber terjadi.

Kehancuran hidup Hannah mula terjadi apabila kesalahan ‘kecil’nya keluar ke taman permainan bersama Justin Foyle, mencetuskan keaiban yang dirakam dalam bentuk foto oleh Justin. Foto itu ditunjuk kepada rakan-rakannya, dan salah seorangnya iaitu Bryce Walker merampas telefon itu dan dengan maksud bergurau, menghantar gambar itu ke media sosial lalu tersebar ke seluruh sekolah. Pencabulan maruah (slut shaming) yang terjadi ke atas Hannah itu tidak dapat dirawat dan ia mula menjadi rangkaian peristiwa yang akhirnya membawa kepada terhapusnya kekuatan dan harapan dalam diri Hannah, membawa kepada tindakannya mengelar pergelangan tangan dan menamatkan hidup dalam tragedi.

Hannah sendiri adalah watak yang unik mewakili satu karakter yang biasa kita temui di kalangan remaja, termasuk di kalangan mereka yang mengambil tindakan membunuh diri. Seorang yang pintar, tetapi sering tersilap langkah di dalam pergaulan, drama queen, dan tanpa sedar mahukan perhatian, tindakan beliau membunuh diri adalah selepas percubaan terakhir beliau mewujudkan halangan ke atas niatnya membunuh diri, gagal. Nota audio dalam kaset sebanyak 13 sides, bukanlah sesuatu yang normal lagi spontan.

Menonton drama ini memberikan rasa syukur kepada saya kerana anak-anak kini bersekolah di Finland, dan bukan di Amerika Syarikat. Walaupun budaya remaja di sini juga tidaklah selamat sepenuhnya, ia tidaklah seperti Amerika Syarikat yang menjadikan middle school dan high school tempat perkembangan remaja menjadi penuh tekanan dan neraka bagi mereka yang gagal menempuhnya. Bryce Walker sebagai atlet kesayangan sekolah dan Marcus Cole sebagai ketua pelajar, adalah antara dua watak popular di kalangan guru, disayangi ramai dan dihormati di dalam komuniti sekolah, tetapi menyembunyikan pelbagai salah laku yang keji di sebalik pesona diri mereka sebagai tokoh pelajar.

Biar pun kisah 13 Reasons Why ini terjadi di Amerika Syarikat, budaya Amerika Syarikat adalah budaya ‘barat’ yang paling mendominasi anak-anak kita disebabkan oleh perkongsian popular culture dan pengaruh media sosial.

The Netflix tv series is adapted from Jay Asher’s best selling novel with the same title.

Apa yang ingin saya ingatkan kepada diri saya sendiri, dan para ibu bapa muda, bahawa apabila anak-anak kita meningkat usia remaja, mereka berkemungkinan besar bertukar menjadi anak yang sering melukakan hati kita dengan tingkah laku dan bahasa mereka. Anak-anak itu sendiri mengalami perubahan, dan kita sendiri masuk ke era krisis usia pertengahan (mid life crisis). Janganlah istilah-istilah itu menyebabkan kita mengambil sikap “ala, biasa la tu” kerana biar pun interaksi anak remaja dan ibu bapa usia pertengahan itu bersifat sementara, implikasinya kepada kehidupan sebenar adalah real dan boleh memusnahkan.

Teringat kepada seorang bapa yang anaknya adalah salah seorang murid saya. Katanya, “entah kenapa, anak saya sekarang ini amat menjengkelkan dan melukakan hati kami”.

Ketika itu saya fikir, mungkin inilah eranya, dan tidak lama lagi, saya juga akan tiba ke daerah itu.

Semasa anak-anak kita menjadi jerk dan sering menyakitkan hati, pada itulah kita perlu lebih kuat mengingatkan diri supaya bersabar, bertenang, dan terus menerus memberikan cinta tanpa syarat, versi 2.0. Kasih sayang ibu bapa yang tidak berbelah bagi, untuk memaafkan dan menguzurkan tingkah laku anak remaja, tanpa mengurangkan sokongan dan bantuan, walaupun semasa semuanya ditolak mereka.

Kasihi anak-anak semasa mereka kanak-kanak, dan semasa mereka bukan lagi kanak-kanak, kerana mereka adalah anak, amanah Allah yang besar itu.

Berhati-hati membaca simptom perubahan anak-anak kita.

HASRIZAL AJ
Oulu, Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Teringat kepada seorang bapa yang anaknya adalah salah seorang murid saya. Katanya, “entah kenapa, anak saya sekarang ini amat menjengkelkan dan melukakan hati kami”.

    Sudah mula dirasai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.