Aidiladha: Kisah Cinta Terhangat Lagi Tertinggi

Ibrahim ‘alayhi al-Salaam menginginkan seorang anak.

Keinginan yang pasti luar biasa, kerana menginginkannya pada usia diri dan isteri yang sudah lanjut umur, dan memintanya ketika mana baginda adalah KHALIL Allah.

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan (KHALIL)Nya. [Al-Nisaa’ 4:125]

Khalil bukan kekasih biasa. Khalil adalah kekasih yang berkasih dengan kasih yang sangat istimewa. Ia bukan HUBB atau MAHABBAH, ia adalah KHULLAH. Cinta eksklusif yang tidak dikongsi.

Seperti junjungan mulia kita Nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam. Baginda juga adalah KHALIL Allah.

 ولو كنت متخذا من أهل الأرض خليلا لاتخذت أبا بكر خليلا ، ولكن صاحبكم خليل الرحمن

“Seandainya aku ingin mengambil penduduk bumi ini sebagai kekasihku, nescaya aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku (khalil), akan tetamu sahabatmu ini (yakni diriku) adalah kekasih Allah yang Rahman (Khalil al-Rahman)” [Hadith riwayat Muslim]

 Seorang Khalil tidak berkongsi KHULLAH (cinta tertinggi) dengan sesiapa. Justeru kehadiran Ismail alayhi al-Salaam sebagai anak yang diminta dan dihajat, kasih Ibrahim kepada anak ini mengundang ujian. Apakah kasih Ibrahim kepada Ismail, telah menjejaskan kasihnya kepada Allah?

Justeru datang perintah menyembelih.

Perintah yang menguji sistem nilai, keutamaan dan pengorbanan.

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [Al-Saffat 37: 102]

IBRAH

Kisah Ibrahim sinonim dengan pengorbanan.

Namun sebelum pengorbanan, ujiannya adalah pada keutamaan.

Melafazkan kesaksian Laa Ilaaha Illallaah bererti meletakkan Allah sebagai keutamaan tertinggi kehidupan. Di dalam bahasa cinta, ia disebut sebagai KHALIL dan KHULLAH. Kedudukan istimewa berkaitan hubungan Ibrahim dengan Allah, demikian juga Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Ibrahim sangat mencintai Ismail. Cinta yang tinggi, cinta yang mendalam.

Tetapi tekad Ibrahim melaksanakan perintah Allah untuk cintanya dikorban, membuktikan Ibrahim telah dan terus mencintai Allah, mengatasi segala-galanya, hatta Ismail, si anak, buah hati pengarang jiwa. Dan kejernihan serta ketulenan cinta Ibrahim kepada ALLAH itulah, yang menjadikan kasih Ibrahim kepada Ismail agung sebagai kasih seorang bapa kepada anak yang diabadikan dalam ibadah korban.

KISAH CINTA TERTINGGI

Simbol cinta tinggi bukan antara kekasih dengan kekasih, jauh sekali antara Laila dan Majnun atau Uda dan Diri. Cinta tertinggi adalah cinta seorang bapa kepada anak, kerana cintanya berhubung dengan tanggungjawab, amanah, keutamaan, pengorbanan, jauh daripada sekadar naluri emosi dan keinginan.

Dan segalanya, selepas cinta kepada Allah kekal tertinggi, tiada kompromi.

Kisah Ibrahim dan Ibadah Korban menginsafkan kita tentang keutamaan hidup ini. Mengungkapkan kesaksian bahawa “AKU BERIMAN DENGAN ALLAH” malah “AKU MENCINTAI ALLAH” bukan kesaksian sebarangan.

Andai Allah keutamaan tertinggi hidup ini, apakah ada yang lebih penting daripada apa yang Allah pentingkan? Apakah ada kerunsingan pada memikirkan perkara yang tiada dalam kepentingan-Nya?

Iman membuahkan cinta.

Cinta membentuk nilai dan keutamaan.

Keutamaan menentukan pengorbanan.

Dalam sebuah hidup bernama PERJUANGAN.

Salam Aidiladha!

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

7 comments

  1. Assalamualaikum ustaz. Begitu tertarik dengan kisah ini, ibrah dan hikmah disebalik sejarah Ibrahim dan Ismail, saya tertarik untuk menimbulkan suatu persepsi. Samada ia boleh diterima ataupun tidak, saya berharap ustaz ada jawapan yang ringkas dan signifikan tersendiri.

    Di dalam satu babak filem My Name Is Khan, ketika Khan berhenti di sebuah masjid, sekumpulan jemaah di masjid yang sedang bercakap-cakap tentang jihad didengari oleh Khan. Salah satu ucapan salah seolah dari jemaah itu ialah berkenaan dengan perngorbanan dan beliau mengambil dalil pengorbanan Ibrahim untuk mengorbankan Ismail, atas arahan Allah. Maka, katanya, kita perlu berkorban walaupun terpaksa melepaskan yang tersayang.

    Khan yang duduk di suatu sudut, bangun dan menerpa mereka, dia tidak setuju dengan ucapan itu lalu berkata, “Tidak, Ibrahim langsung tiada rasa ragu dan terpaksa untuk mengorbankan Ismail, tetapi Ibrahim yakin ia hanya ujian untuk dilihat umatnya. Ibrahim begitu yakin yang Allah tidak akan berbuat begitu dan akan menggantikan dengan sesuatu ketentuan yang lain, iaitu dengan hadirnya pengganti Ismail. Tragedi itu ialah ujian untuk umat yang melihat, kita yang membaca, Ibrahim yang berdakwah, dan Ismail yang patuh. Maka, ia ialah soal KEYAKINAN. Keyakinan Ibrahim Alaihissalam yang sangat tinggi kepada Allah.”

    Lebih kurang begitu skripnya, saya edit untuk memudahkan faham ustaz membaca. Apa komen ustaz? Bolehkah ia dikisarkan di bawah tajuk KEYAKINAN? Kerana ustaz berbicara tentang keutamaan. Maka, ini satu lagi persepsi dalam kisah Ibrahim Alahissalam dan anaknya Ismail Alaihissalam.

  2. Manifestasi cinta yang utuh dari seorang hamba kepada Pencipta.

    Ringkas tapi padat. Jzk Khair Ustaz.

    Selamat Hari raya

  3. kepadamu kekasih

    Tahukah diri ini atau sedar ketika bertindak sedang diuji atau bertindak kerana perintah Allah ? Apakah respon kita adalah ‘ini ujian’ umpama kita poting bawang sperti seorg menangis, atau ujian ini kita layan seperti ubat pahit yg macam nak tak nak telan sebab terpaksa terima. Selama hidup ini kita terima ke ujian Allah kerna perintahNya atau terpaksa terima. Kadang2 manusia konon2 dalam ujian tp masih berpura2 dan berlakon di depan Allah, ini kan kehidupan kenapa mesti hipokrit?. Adakah kita layan Allah seperti ‘pengawas exam’ ? Istighfar…Allah allah…Allah…

  4. Cantik olahannya.

    Iman membuahkan cinta.
    Cinta membentuk nilai dan keutamaan.
    Keutamaan menentukan pengorbanan.
    Dalam sebuah hidup bernama PERJUANGAN.

  5. *Uda dan Dara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.