Bantulah Kami Membalas Kejahatan Dengan Sesuatu Yang Lebih Baik

Membalas kejahatan dengan kebaikan, dengan sesuatu yang lebih baik, bukanlah sesuatu yang mudah. Rasional fikiran kita memberitahu kejahatan itu mesti dikalahkan, dan tidak boleh diberi muka. Semangat untuk membanteras kejahatan itu, sering menyebabkan kita memilih jalan yang sama jahat, malah terkadang dengan cara yang lebih jahat.

Kita memberanakkan kejahatan daripada kejahatan.

Ia menjadi kitaran yang akhirnya memangsakan semua orang. Apabila orang ramai memilih cara jahat untuk bersuara terhadap kejahatan, dosa-dosa dan kemurkaan Tuhan terhujan dari langit menimpa semua. Terbabit atau tidak terbabit, sama-sama terkena.

Maka jadilah masyarakat kita penuh kemarahan, hilang ketenteraman, majlis ilmu memberanakkan kejahilan, wacana intelektual melahirkan kebongkakan  dan kebiadaban.

Sebabnya, kita menggunakan cara yang salah.

Cara yang tidak direstui Tuhan.

Cara yang jauh daripada cara yang Tuhan sarankan, sebagai ‘formula ajaib’, pada menukar kejahatan menjadi kebaikan.

KISAH JOEL DI LIBERIA

Pada awal tahun 2017, Ben Taylor telah dihubungi melalui Facebook oleh seorang lelaki bernama Joel, dari Monrovia, Liberia. Beliau menawarkan peluang pelaburan di Liberia kepada Ben dengan keuntungan dibahagi 50/50 antara beliau dan Joel.

Saya, sama seperti anda, dan Ben, sudah banyak kali menerima mesej sebegini, sama ada dalam bentuk emel, mahu pun mesej rawak di Facebook. Emel seperti ini, kini tidak lagi kelihatan di inbox saya, kerana semuanya telah dikenal pasti sebagai spam.

Kali ini, Ben membuat pendekatan yang berlainan. Beliau tidak memadam mesej itu, tetapi menghubungi kembali Joel, memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak mempunyai barangan elektronik untuk dibawa ke pasaran Liberia seperti saranan Joel. Sebaliknya Ben yang berada di dalam industri fotografi, memberitahu Joel bahawa jika beliau boleh menghantar gambar-gambar yang menarik, Ben sanggup membeli foto itu daripada Joel.

Tawaran Ben disambut oleh Joel.

Bermula dengan foto-foto hodoh tanpa sebarang nilai seni, dirakam mungkin dengan kamera telefon yang paling murah, Ben bersabar menasihat Joel agar memperbaiki teknik beliau mengambil foto. Malah akhirnya Ben telah menghantar melalui pos sebuah kamera murah dengan kualiti yang munasabah untuk digunakan oleh Joel. Kamera itu mengembara dari Amerika Syarikat ke Liberia, sampai ke tangan Joel, dan perlahan-lahan, foto yang dirakam oleh Joel menjadi semakin baik.

Kisah ini berterusan sehinggalah akhirnya foto-foto Joel yang terpilih, dikumpul dalam sebuah buku kompilasi, dijual oleh Ben, di bawah tajuk By d Grace of God: A Photographic Journey Through Liberia.

Ben, atau namanya di sosial media sebagai Pleasant Green, terus komited dengan komitmen asal iaitu 50/50 keuntungan dibahagi sama rata. Apabila wang keuntungan jualan buku tersebut disampaikan kepada Joel, Ben ingin melihat sama ada wang tersebut digunakan oleh Joel untuk kepentingan dirinya, atau untuk tujuan kebajikan.

Ternyata, Joel Sang Scammer itu, telah menggunakan wang tersebut untuk membeli peralatan sekolah, sebagaimana yang dibincangkan dengan Ben sebelum ini, untuk membantu kanak-kanak miskin di Liberia bersekolah!

Kisah selanjutnya boleh para pembaca ikuti di YouTube series yang dikenali sebagai “Lie-beria” .

JANJI ALLAH

Inilah yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran:

 

41_34

Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41:34]

Janji-Nya ialah:

Jika antara kamu dan dia ada permusuhan, membalas kejahatan dengan kebaikan akan mengubah lawan menjadi kawan.

Bukan sekadar kawan, tetapi kawan yang akrab.

Itulah kawan sejati.

Manusia yang mampu membalas kejahatan dengan kebaikan.

Ini janji Allah.

Dan Allah benar-benar tidak memungkiri janji.

Pasti.

MEMBERSIHKAN KEJAHATAN

Dalam khilaf politik hari ini, kata mengata bukan lagi mainan orang biasa. Ia menjadi bahasa harian dari bawah sampai ke atas. Banyak hati yang mahu dilukakan. Banyak semangat mahu membuat kebaikan cuba dimatikan. Apa sahaja perbuatan, diulas dengan tanggapan yang keji, rendah, mencurigakan, dan hati manusia dirobek-robek bahawa tidak ikhlas, pengecut, berniat jahat, dan macam-macam lagi perkataan yang kita tidak sangka keluar di antara kelompok manusia yang sama-sama mahu membuat kebaikan.

Kita terlupa kepada akhlak yang diberitahu oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam:

إِنِّي لَمْ أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ عَنْ قُلُوبِ النَّاسِ، وَلَا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk menyakiti hati manusia dan tidak pula untuk merobek perut mereka”. [Hadith riwayat Muslim nombor 1064]

Kita percaya golongan yang kita tidak suka, boleh dikalahkan dengan perkataan-perkataan yang jahat.

Dan kemudian kita yang dikata itu percaya, kumpulan berperkataan jahat itu boleh dikalahkan dengan melemparkan kata-kata yang sama jahat, sama keji.

Akhirnya kejahatan disebarkan oleh ‘orang baik’, hingga yang jahat buat jahat, yang baik pun memberanakkan kejahatan! Di manakah kebaikan, bagaimanakah vicious cycle ini boleh dihentikan?

Itu kisah politik.

Demikian juga dalam aspek-aspek kehidupan yang lain.

Kita marah dengan golongan yang menolak sendi-sendi ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan, menyebarkan petua-petua tidak benar, yang mengheret sampai mencetuskan kematian demi kematian. Amalan janggal pada imuniti individu dan awam, amalan pelik pada menyambut kelahiran, semuanya adalah kemungkaran yang mahu dibanteras, demi 1001 sebab yang maha penting membabitkan nyawa serta kepentingan awam.

Namun kita lelah untuk bertahan.

Kita balas kejahatan dengan kejahatan.

Hingga yang jahat menjadi semakin jahat.

Hingga yang baik turut sama melakukan kejahatan.

Marilah kita kembali kepada formula ajaib yang Allah janjikan.

Bahawa membalas kejahatan dengan sesuatu yang lebih baik, bukan setakat mengubah kejahatan menjadi kebaikan, malah berupaya menukar musuh menjadi kawan. Teman yang akrab.

MUDAHKAH?

Kita berceramah di hadapan orang yang kita suka, dan orang yang kita tidak suka. Kita berceramah di hadapan orang yang suka kita, dan orang yang tidak suka kita. Kawallah rasa suka dan tidak suka sesama kita, agar akhirnya Allah redha dengan kita semua.

Semasa saya berceramah, di hadapan saya adalah individu-individu yang hati saya sangat marah. Saya sangat marah dengan aktiviti-aktiviti mereka. Mereka menyebarkan benda yang saya tidak boleh terima. Hati saya panas sebaik sahaja melihat kelibat mereka hadir di dalam program yang saya kendalikan. Gelora hati saya memberitahu saya bahawa halau sahaja mereka daripada program tersebut. Atau sekurang-kurangnya sindir mereka di dalam ceramah saya. Kalau mereka tersentap dan bersikap kurang ajar, malukan mereka kerana majoriti pasti menyebelahi saya.

Oh, pelbagai imaginasi liar menghasut.

Tetapi saya sudah pernah menulis tentang hal ini di dalam artikel Fussilat: Seni Bertarung Untuk Menang Dan Bahagia. Saya mesti mengaplikasikannya.

Saya ‘gigit lidah’ daripada menyindir.

Saya cuba selitkan beberapa isi penting yang saya mahu tujukan secara langsung kepada golongan tersebut, berkaitan ayat-ayat al-Quran yang saya sedang kupas, dengan berdoa kepada Allah agar terbukalah akal fikiran dan hati mereka untuk memikirkannya.

Saya ingin buat lebih lagi.

Tetapi saya tidak mampu.

Saya tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Tetapi saya lemah pada membalas kejahatan dengan sesuatu yang lebih baik. Di hujung program saya pulang dengan hati yang sedih. Sebab saya tidak dapat menegakkan kebenaran. Saya hanya mampu berdoa:

“Ya Allah, sesungguhnya aku menahan diri daripada al-sukhriyyah dan sarcasm, menyindir dan menghina, dalam keadaan hatiku sangat marah dan benci dengan perbuatan mereka yang hadir di dalam ceramahku tadi, kerana aku takutkan Engkau ya Allah. Aku sandarkan doaku ini kepada usaha itu yang kulakukan kerana-Mu, agar Engkau bukakan hati mereka untuk bertaubat, meninggalkan amalan-amalan berkenaan yang mempertaruhkan nyawa anak-anak, ara ibu dan anggota masyarakat. Ampunkan kelemahanku ya Allah.”

Sesungguhnya ia tidak mudah.

SESUATU YANG SUKAR

Allah tidak kata kaedah ini mudah.

Sekali dengar terus boleh buat.

Baca perlahan-lahan ayat ini, dan tadabbur akan maknanya:

41_35

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat 41:35]

Memang hati memberontak.

“Masakan orang buat jahat dengan kita, mahu dibalas dengan kebaikan?” kata A.

“Rugilah saya!” kata B.

Allah Maha Tahu berat hati A dan B.

Sebab itu Allah kata, perkara ini sukar untuk diterima, sukar untuk diamalkan, kecuali orang yang SABAR.

Sudah terima, ia sukar hendak dilakukan secara konsisten, rumit untuk diamalkan, kecuali yang menghitung untung dan rugi dengan hitungan AKHIRAT.

Soal iman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Marilah kita sama-sama bersabar dalam mengimani Allah dan Hari Akhirat.

Jangan balas kejahatan dengan kejahatan.

Balaslah kejahatan dengan kebaikan.

Dengan sesuatu yang lebih baik.

Mudah-mudahan semua musuh kita berubah.

Bukan sekadar tidak lagi bermusuh.

Malah kembali bersaudara, dengan lebih akrab, dan penuh kasih sayang.

Terimalah munajat kami ini ya Allah.

HASRIZAL
Oulu, FI

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.