Tragedi Kerusi Terbang: Kejutan Budaya di Tanah Air Sendiri

Semasa saya dan kawan-kawan bersiap sedia untuk berlepas meninggalkan Malaysia buat pertama kali di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Subang, pada 15 September 1993, pegawai penaja berpesan, “di negeri orang nanti, berhati-hati. Jangan pula terkena kejutan budaya!”

Kejutan budaya?

Saya tidak faham sebenarnya bagaimana rupa kejutan budaya itu.

Tetapi 11 tahun saya hidup di perantauan, rasanya saya tidak ada mengalami apa yang dikatakan kejutan budaya. Semuanya bagai dijangka dan Alhamdulillah saya dapat menempuhnya dengan selamat.

Saya pulang ke tanah air pada bulan Julai 2004.

Tidak lama selepas pulang, saya menonton berita di televisyen. Pada masa itu dilaporkan sebuah kejadian, bagaimana penduduk rumah pangsa membuang sampah yang dibungkus di dalam plastik hitam, dari atas langsung ke bawah! Saya menggelengkan kepala. Ia tidaklah terlalu mengejutkan. Semasa di Jordan, ada sahaja anak dara mencampak plastik sampah dari tingkat atas, dan terhempas ke pakaian yang sedang dijemur di ampaian. Ingin dimaki, penduduk tempatan sangat ‘melindungi’ wanita mereka.

Pasrah sahajalah.

Perempuan gila barangkali. Malanglah sesiapa yang bersuamikannya.

Namun berita ‘biasa’ di televisyen Malaysia itu bukan biasa-biasa. Berita tersebut sampai ke kemuncaknya apabila di dalam plastik hitam tersebut, ada mayat bayi!

Ya Allah!

Selepas itu satu demi satu berita tidak masuk akal berlaku di tanah air tercinta.

Orang curi landasan keretapi di Tapah.

Orang curi kabel elektrik sehingga mati terkena renjatan elektrik.

Kanak-kanak dirogol dan dibunuh seorang demi seorang

Pakcik makcik balik kuliah subuh di surau, diragut dari motorsikal, jatuh dan meninggal dunia.

Ya! Inilah kejutan budaya!

Saya mengalami kejutan budaya!

Tidak dapat menerima Malaysia jadi begitu. Saya mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri sekembalinya diri ke tanah air sendiri. Perasaan meronta-ronta menyesal pulang ke tanah air. Mahu lari. Mahu kembali ke Ireland. Perasaan memberontak itu menyebabkan siang malam pagi petang saya tidak berpuas hati dengan seribu satu perkara. Sentiasa self-talk untuk memberitahu diri, ini bukan Ireland.

Pada tahun 2006 saya ke Republic of Ireland. Dua tahun selepas pulang ke tanah air.

Saya datang ke Ireland sebagai orang luar.

Pada masa itulah baru saya dapat menerima, bahawa saya sudah tidak tinggal di Ireland. Semasa berada di Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle untuk transit, saya menghantar mesej kepada isteri, “I think I can finally call Malaysia ‘home sweet home’. Farewell Ireland!

Saya lebih tenang.

Keadaan terus menerus menjadi semakin rencam, tetapi saya secara peribadi mengambilnya sebagai cabaran yang membina diri untuk lebih lasak, lebih menambah ilmu, lebih berazam, dan lebih berusaha untuk memperbaiki diri dan masyarakat. Kerencaman Malaysia banyak membantu saya menjadi lebih matang. Saya menghargai kepulangan saya ke Malaysia, walaupun asalnya dengan hati yang sangat ralat dan sebenarnya marah.

JANUARI 2018

Loader Loading...
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Download

[Link asal]

Tetapi berita yang satu ini sangat menghancurkan hati.

Sangat.

Binatang apakah jenisnya bangsaku dan anak watanku, yang rupa-rupanya membuang barang dari tingkat atas rumah pangsa adalah satu kebiasaan yang amat biasa, hingga akhirnya sebuah kerusi dicampak dari atas setinggi tingkat 21 khabarnya, dan meragut nyawa anakanda Satiswaran sekelip mata!

Saya hilang kata-kata.

Ya Allah… bantulah kami.

Seperti rahmat yang Engkau panjangkan, dalam tiduran pemuda Ashab al-Kahf… suatu ketika dahulu.

Aku ingin lena, dan bangkit dengan segala yang baru, selepas 309 tahun berlalu.

Takziah Puan Kasthurabai.

Takziah Malaysia.

HASRIZAL
Oulu, FI

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Di Finland pula bagaimana?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.