Ada Sinar di Hujung Terowong

Dalam beberapa hari ini, trafik blog saya menjadi tinggi dan sesekali tersangkut.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang berkongsi pandangan, menyokong dan tidak menyokong. Ia bukanlah tujuan saya menulis kerana saya tidak berhajatkan kepada sokongan. Saya tidak bertanding, dan tiada apa-apa kepentingan. Saya hanya menulis kerana saya mahu menjelaskan fikiran saya mengenai situasi semasa.

Jika ia bermanfaat buat sesetengah pengunjung, Alhamdulillah.

Jika ia menyebabkan segelintir menjadi marah pun tidak mengapa.

Marahlah.

KELAS PETANG INI

Saya baru habis satu kelas petang ini, berbincang mengenai cabaran undocumented people yang hidup dalam limbo di Finland. Tetamu di dalam kelas kami adalah seorang paderi yang Marxist! Dikenali di Oulu dengan kerja-kerja beliau membantu golongan yang sangat terdesak ini. Mereka mangsa perang, negara mereka huru hara, ada di antara mereka adalah mangsa human trafficking, keluar masuk penjara, tidak mempunyai dokumen dan hidup dalam keadaan ‘tiada cahaya di hujung terowong’.

Antara senario yang beliau kongsi dalam kelas tadi ialah, seorang lelaki, dari Iraq, berumur 35 tahun, baru dibebaskan dari penjara di selatan Finland selepas menjalani hukuman akibat satu jenayah berat, dihantar ke Oulu kerana alamat terakhirnya di Oulu. Tiada passport, tiada sebarang dokumen, terbengkalai di stesyen keretapi Oulu, termenung selama 6 jam dalam cuaca -20ºC…

Apa yang boleh dan patut dibuat?

“Kongsilah dengan kami, apa solusi masalah ini, dari perspektif Marxism awak” pensyarah kami memancing pendapat paderi rock itu.

“Itu terlalu simplistik!” katanya.

Satu kelas tersenyum.

Beliau orang hands-on, bukan golongan ‘intelek’. Berlatar belakangkan punk, dan masih komited menganjurkan program-program agnostik. Sering digelar rebel oleh akhbar Finland.

Panjang perbincangan kami tadi.

Untuk memendekkan cerita, saya tanya paderi berkenaan, “bagaimana jika klien beliau itu tukar agama kepada agama Kristian, supaya beliau boleh beri justifikasi baharu bahawa jika dihantar pulang, beliau akan dibunuh kerana menjadi ‘kafir’?”

Paderi berkenaan memberitahu saya bahawa, salah satu cara untuk mereka ini beroleh sedikit cahaya di hujung terowong ialah sama ada berkahwin dengan seorang warga tempatan, murtad bertukar agama, atau menjadi gay. Lagi bagus jika dapat digabung ketiga-tiganya!

Berkerut-kerut dahi saya, dan ramai di kalangan kami, semasa di dalam kelas tadi.

Saya tahu di Finland, ada beratus pelarian yang murtad kerana isu ini.

Loader Loading...
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Capaian berita: YLE

Paderi berkenaan mempunyai beberapa kes yang beliau kendalikan. Beliau menjelaskan perbezaan di antara gereja dari segi tempoh masa yang diambil sebelum seseorang boleh disahkan menjadi penganut agama gereja berkenaan, dan seterusnya memberi dokumen untuk menyokong permohonan suaka pelarian berkenaan.

Adakah gereja bermaksud memurtadkan mereka?

Tidak.

Sekurang-kurangnya paderi ini, seorang Marxist, dan tidaklah begitu ‘skema’ malah anarkis, beliau membantu kes sebegini kerana mereka manusia yang perlu dibantu.

MENJENGUK BLOG

Semasa break, saya menjenguk blog dan melihat komen-komen.

Apa yang terlintas di fikiran saya ialah, golongan Islamists ini sangat membosankan.

Kelompok haraki ini tidak habis-habis serang menyerang.

Suka orang ini tidak suka orang ini, saya dulu suka ustaz, sekarang tak suka ustaz, bagaimana dengan fitnah orang ini kepada orang itu, orang ini mencarut sama macam orang itu, ustaz naif kerana percaya dengan ini tidak percaya dengan itu, keputusan saya ke laut, perasan bagus, dia sahaja yang betul, saya sudah tidak respect dengan ustaz dan macam-macam lagi.

Kemudian keluarlah gelaran-gelaran sampah, ada dari longkang, ada dari celah kelangkang.

Bosan.

DAULAH UTHMANIYYAH

Ia mengingatkan saya kepada tanda tanya semasa membuat sedikit penyelidikan tentang sejarah sosial Daulah Uthmaniyyah abad ke-17. Zaman itu adalah zaman banyak perbalahan agama, pertembungan antara Kadızadeli dengan Sufi, zaman keberagamaan menjadi radikal, tetapi di zaman ini jugalah Istanbul mengalami kebakaran besar pada tahun 1660. Menurut  Abdi Paşa, kebakaran itu memusnahkan lebih 200 ribu rumah. Ia juga zaman wabak merebak kerana banyak mayat bergelimpangan tidak dikebumikan.

Vani Mehmet Efendi mendakwa bencana itu adalah kemurkaan Tuhan. Sufi dan Kadızadeli bertengkar tentang hukum hakam, bid’ah dan tidak bid’ah, satu kem di Masjid Aya Sofya, satu kem lagi di Masjid Sultanahmet. Selepas solat Jumaat, jemaah yang jiwa terbakar dengan khutbah yang panas, mencetus berkali-kali pertumpahan darah di medan antara dua masjid itu, semasa Istanbul masih menderita dengan 2/3 kota itu musnah dalam kebakaran berkenaan [Parker, G. (2013). Global crisis: war, climate change and catastrophe in the seventeenth century. Yale University Press.]

Hairan.

Sempat pula bergaduh tentang pendapat agama!

Hari ini, ketika negara bersusah payah dengan pelbagai masalah ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan segala macam cabaran, golongan Islamists sibuk berbalah siapa lebih suci.

Sepertinya golongan Islamists ini tidak peduli pun kepada kehuru haraan masyarakat. Masih sibuk dengan hal ehwal rumah tangga sendiri, fikrah siapa jelas, siapa istiqamah, siapa khianat, siapa bijak, siapa bodoh.

Tiada apa-apa di dalam komen itu yang menyelesaikan masalah masyarakat.

Jauh sekali untuk dibandingkan dengan masalah pelarian perang yang kami hadapi ini.

Demi sesuap nasi, pelarian perang ini memilih untuk murtad, menjadi gay, semua itu lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka agar mendapat perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pekerjaan, tempat berlindung.

Mereka tidak perlukan ideologi.

Mereka cuma mahukan benda asas.

Benda yang Allah dakwah manusia kepada Islam di dalam surah Quraish:

“… Maka sembahlah Tuhan kepada rumah ini (Kaabah). Iaitu Tuhan yang memberi makanan melepaskan mereka daripada kelaparan, serta mengamankan mereka daripada ketakutan”

Pelarian-pelarian ini bosan dengan ideologi.

Negara mereka hancur kerana ideologi dan pergaduhan serta perang saudara.

Benci membenci yang melemahkan.

Usahkan mahu bercakap tentang negara Islam, parti ini parti itu, ustaz ini ustaz itu, mahu bercakap tentang ISLAM pun saya fikir banyak kali.

Apa yang Islam sudah beri kepada mereka?

Apa yang Muslim sudah rampas daripada kehidupan mereka?

Ini isu besar.

Saya sentiasa berdebar setiap kali ke kem bertemu mereka. Berhati-hati agar lisan ini tidak terlalu mudah memberi harapan-harapan bernuansa agama, tetapi kedengaran palsu di telinga mereka!

Keadaan mereka sangat tersepit.

BOSAN

Dan melayan perdebatan ‘orang baik-baik’ di Malaysia yang saya suka ustaz ini saya tak suka ustaz itu, tulisan ini bagus, tulisan itu sampah, Melayulah, Islamlah, ini simplistik, itu mendalam, fikrah ini asli, fikrah itu cemar… memualkan.

Aarghhh…

Sungguh membosankan. Dan saya fikir, saya telah agak banyak menghabiskan umur hidup melayan krisis-krisis yang membosankan. Bukan setakat semenjak 2015. Jika tambah lagi 50 tahun pun, barangkali belum berkesudahan.

Bosan.

Entah berapa kali bosan.

Doodle di dalam kelas tadi

 

SINAR DI HUJUNG TEROWONG

Tetapi saya pujuk balik hati.

Jika mereka dahulunya suka dengan saya zaman saya ustaz cinta dan bersama dengan PAS, tetapi kini sangat menyampah dengan saya kerana saya bertukar pendirian, wah… sebenarnya ini adalah sinar di hujung terowong.

Mereka pernah suka.

Sekarang mereka tidak suka.

Mereka mampu untuk tidak suka dengan orang yang mereka pernah suka.

Semoga tokoh-tokoh kesayangan mereka hari ini, mereka dapat menolak apabila sampai masanya. Mungkin bukan kerana rasuah atau khianat kepada rakyat yang serius itu, tetapi sebab sudah tidak berkenan di hati.

Tak kisahlah sebab apa, asalkan boleh.

Jika menolak saya itu boleh, mudah-mudahan satu hari nanti mereka juga boleh menolak politik agamawan dan ahli politik agamawan yang membosankan itu. Dan meninggalkan usrah-usrah yang membosankan itu, juga.

Ada sinar di hujung terowong!

Optimis!

HASRIZAL
Oulu Finland.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

2 comments

  1. Arkhh..

    entah kenapa teringat perbalahan ummahcentric vs jemaah centric yg hangat ketika saya di matrikulasi dahulu.
    tanpa disangka penulisnya juga sudah…

  2. Kelakar.
    Yelah, macam itulah manusia.

    Macam-macam ragam.
    Yang pelbagai pendirian, memeningkan kepala.

    Ada pula, yang malas nak peningkan kepala, isu besarnya .. apa nak makan petang nanti, sedang nasi dalam pinggan makan tengahari belum habis dijamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.