Ketakserasian Kognitif Dalam Kehidupan Semasa

Kredit foto: medium.com

Hari itu, semua yang hadir bersedih.

Ahli keluarga mereka telah meninggal dunia dan menunggu untuk dikebumikan.

Tiba-tiba, penutup keranda ditolak dan ‘si mati’ bangun keluar daripadanya.

“Apa yang kamu cuba lakukan ini? Aku belum mati!” kata ‘si mati’ berkenaan.

Semua yang berada di dalam majlis itu tergamam.

Sepi.

Terkejut.

Tidak lama, salah seorang yang hadir itu berkata, “sahabat, sesungguhnya Imam dan Doktor sudah pun mengesahkan bahawa engkau mati. Maka engkau adalah si mati yang telah mati!”

Lalu ‘si mati’ itu dikebumikan.

Hidup-hidup!

KETAKSERASIAN KOGNITIF (COGNITIVE DISSONANCE)

Kita pegang satu pendirian bahawa ia adalah muktamad. Absolute. Bahawa Imam itu sentiasa betul. Doktor juga tidak mungkin salah. Oleh kerana itu yang kita pegang, kita mengalami tekanan apabila bukti di depan mata menunjukkan sesuatu yang amat jelas bahawa kali ini Imam dan doktor tersilap.

Pada masa itu, kita ada tiga pilihan.

1️⃣ Mengubah kepercayaan.

2️⃣ Mengubah tindakan.

3️⃣ Mengubah persepsi terhadap tindakan.

? PILIHAN PERTAMA

Pilihan pertama ini sepatutnya paling mudah tetapi boleh jadi susah. Mengubah kepercayaan memerlukan kita mengubah banyak benda, terutamanya apabila kita sudah sekian lama dikenali dengan kepercayaan itu. Kitalah yang dikenali sebagai pendakwa utama bahawa imam sentiasa betul dan doktor sentiasa tepat. Kita sudah membina identiti berasaskan kepercayaan tersebut. Tetapi dengan ilmu, dengan fikiran yang rasional, dengan integriti diri, sebuah kepercayaan boleh diubah. Pilihan pertama ini sering menjadi pilihan yang paling tidak popular, sedangkan ia adalah yang paling mudah.

? PILIHAN KEDUA

Pilihan kedua adalah mengubah tindakan. Jangan buat lagi. Sekali sudah tersalah, sudahlah. Sudah ada pengalaman betapa bersalahnya rasa diri ini mengenepikan perasaan-perasaan itu demi untuk tetap melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang sepatutnya. Akan tetapi, situasi boleh menjadi rumit. Ia jadi lebih rumit, misalnya kalau kita menjana kewangan dalam memberi konsultasi bahawa konsep imam sentiasa betul dan doktor sentiasa tepat. Konsultasi yang sudah menjadi periuk nasi kita. Kepercayaan itu mungkin asalnya sekadar satu pendirian, tetapi kita buat duit dengan pendirian tersebut. Lalu rasa bersalah itu boleh dilatih untuk hilang. Tekan, tekan dan tekan. Biasakan. Akhirnya ia jadi biasa. Untuk membolehkan kepercayaan dan tindakan dikekalkan, ada beberapa ‘trick’ yang kita boleh cuba untuk tidak membuat perubahan. Yakni ‘method of resolution’. Membawa kepada pilihan berikutnya:

? PILIHAN KETIGA

Pilihan ketiga adalah mengubah persepsi terhadap apa yang kita percaya. Pada masa ini, kita akan cuba rasionalkan apa yang kita percaya dan buat. Kita bermain-main dengan konteks. Kita cuba bermain jargon antara riba dan bunga, antara rasuah dan hadiah, serta macam-macam lagi. Atau pun, kita kata, “alah semua orang buat, benda ni dah biasa, tiada yang peliknya, mengapa kecoh-kecoh?”. Perubahan persepsi ini menjadi lebih kukuh dengan sokongan data, dalil-dalil agama jika ia membabitkan agama, untuk mengiyakan perubahan cara kita melihat konteks kepercayaan dan tindakan. Jika mungkin melakukannya tanpa sedar, apabila kita kurang mendengar suara hati sendiri.

Oleh sebab semua ini sangat rumit dan penuh kekelabuan, kita perlu kepada integriti yang tinggi untuk menjaga diri. Menjerit-jerit memaki hamun perbezaan pendapat di sekeliling kita, akan hanya menyebabkan kita hanyut. Sebab itu Ulul Albab, Allah kata sifatnya mendengar terlebih dahulu. Bukan sibuk menjawab. Setelah panjang mendengar, pilih pilihan yang lebih baik [Q39:18].

Biar pun cognitive dissonance theory ini dikemukakan oleh Leon Festinger (1957), ia sangat berguna untuk membantu kita memahami bagaimanakah sebuah ketaksuban terbina hingga bukti paling teguh pun, tertolak di depan mata.

Saya berkenalan dengan teori ini semasa belajar di bidang sejarah intelektual. Ia menjadi salah satu alat untuk saya menganalisis bagaimana pemikiran berubah dari era Birgivi (meninggal dunia 1573) kepada era Kadızadeli yang seterusnya membawa kepada banyaknya ketegangan agama dan keganasan sekitar tahun 1630 membawa ke 1680. Ia adalah proses ‘profiling’ untuk memahami mengapa apabila satu benda cara fikir mendominasi satu-satu kumpulan, kita boleh mengandaikan ke mana ia sedang tuju. Adakah ia kepada sesuatu yang baik, atau bagaimana.

MUHASABAH

Bagi Muslim, di sinilah pentingnya kita mengawal sifat marah, berterusan belajar dan menambah ilmu, tidak takut kepada celaan golongan yang mencela, merendah diri, berusaha untuk banyak mendengar, dan terus-menerus menyambung tugas pada Nabi iaitu “sampaikanlah, sesungguhnya engkau adalah penyampai. Tiadalah upaya untuk engkau memaksa mereka menerimanya” [Al-Ghashiyah 88: 21-22].

Mudah-mudahan catatan ini berguna buat kita sama-sama memahami mengapa ada di dalam gerakan Islam (Islamism) yang berpindah dan mengubah wadah. Ada yang memilih untuk mengubah kepercayaan, ada yang mengubah tindakan, dan ada yang mengubah persepsi terhadap kepercayaan dan tindakan.

Sebahagiannya nampak sebab-sebab yang sangat jelas, lalu kehairanan mengapa sebahagian yang lain seperti sungguh tidak nampak.

Jangan kita disibukkan dengan kerja menyenaraikan siapa yang betul siapa yang salah. Di dunia ini medan kita sama, iaitu berusaha melakukan yang terbaik, dan memberi manfaat kepada kehidupan, seterusnya berharap mati dengan husn al-khatimah. Risaukanlah diri masing-masing, kerana setiap kita hatinya sangat mudah dibolak balikkan di perjalanan hidup ini.

Setialah dengan kebenaran.

Bukan kebenaran saya, atau kebenaran anda, atau kebenaran sesiapa.

Tetapi Tuhan.

Ingat Tuhan.

Ingat Dia.

Semoga Allah rahmati kita semua.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Ustaz, apa yang saya percaya sebagai kebenaran Tuhan, terikat pula pada ahli agama yang menghurainya. Rujuk pada 2 ahli, hasilnya ada 2 maklumat sekiranya mereka berbeza. Mungkin lebih baik saya jadi bola saja. Salah sendiri sebab tiada prinsip. Tapi ustaz, prinsip dibina daripada proses mengesahkan maklumat yang dilalui dalam diri. Ustaz, how do you believe what you believe?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.