Sikap Kita Terhadap Pelarian dan Pencari Suaka (Asylum Seekers)

“Rizal, saya tidak dapat membayangkan bagaimana pelarian boleh hidup sedemikian rupa di Malaysia!” kata rakan saya.

Petang itu saya bersama beliau dan kira-kira lima orang lain sukarelawan, mengendalikan kelab mingguan kami bersama anak-anak asylum seekers di kem mereka.

“Oh, kenapa kamu kata begitu? Ada sesuatu yang berlaku ke?” saya bertanya.

“Saya baru lepas menonton dokumentari Australia ini. Dan melihat keadaan pelarian di Malaysia, saya tergamam. Tak tahu nak kata apa!” katanya dengan bersungguh.

Mungkin rasa terkejut beliau itu adalah kerana saya baru sahaja berkongsi video tentang Khalifah Model School dan lagu sekolah kami. Saya kongsikan ia kerana sedang berbincang tentang shaping excellent character yang ingin kami usahakan ke atas anak-anak pelarian di sini. Ada kemungkinan apa yang ditonton itu, terlalu berlainan dengan apa yang ditunjukkan pula oleh video dokumentari yang baru ditontonnya.

GO BACK WHERE YOU CAME FROM adalah sebuah program realiti televisyen Australia yang sangat unik. Enam orang lelaki dan perempuan yang mempunyai pandangan yang keras terhadap isu pelarian dan asylum seekers, secara sukarela bersetuju menyertai program ini. Mereka akan menyusuli perjalanan yang ditempoh oleh pelarian yang datang ke Australia dengan berpatah balik. Bermula dari Australia, mereka akan ke satu destinasi ke satu destinasi hingga ke daerah asal pelarian berkenaan.

Persinggahan kedua mereka adalah di Malaysia.

Malaysia adalah negara transit pelarian ini, sebelum mereka datang ke Australia.

Semasa di Malaysia, Gleny Rae, Adam Hartup, Raquel Moore, Darren Hassan, Raye Colbey, dan Roderick Schneider, bertemu dengan pelarian Myanmar etnik Chin. Mereka juga turut menyertai operasi Imigresen menyerbu sebuah lokasi pembinaan yang disyaki menempatkan pendatang asing tanpa izin, dan mungkin juga pelarian.

Sejujurnya, sebelum ini saya tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai etnik Chin di kalangan pelarian Myanmar. Saya hanya tahu mengenai pelarian Rohingya. Hanya tahu. Tidak lebih daripada sekadar tahu.

Kedua-dua etnik Chin dan Rohingya, bersama dengan beberapa minoriti lain, berdepan dengan ancaman maut di negeri Aung San Suu Kyi. Etnik Chin beragama Kristian, manakala etnik Rohingya pula beragama Islam. Berdasarkan pembacaan saya yang sangat terhad, saya dapati pelarian Chin memperolehi bantuan yang baik sedikit daripada UNHCR, di dalam proses menempatkan mereka di negara ketiga seperti Australia dan Amerika Syarikat, berbanding dengan etnik Rohingya dari negara yang sama. Jika enam warga Australia ini tinggal bersama pelarian Rohingya, saya membayangkan mungkin situasinya lebih bermasalah.

Apa yang penting di dalam tontotan tersebut, saya dapati selepas keenam-enam warga Australia itu berinteraksi dengan pelarian Chin, tinggal seketika bersama mereka, dan mengenali mereka sebagai individu, mereka menampakkan keyakinan bahawa para pelarian ini adalah orang yang baik, dan tidak wajar dilayan sebagaimana sedia ada.

Peserta Go Back Where You Came From Musim Pertama

RENUNGAN PERIBADI

Ada pun bagi diri saya, setakat ini saya telah membabitkan diri di dalam kerja sukarela bersama asylum seekers di Oulu, Finland semenjak tahun lalu. Saya akui, sebelum saya datang ke Finland, saya tidak pernah mempunyai sebarang pengalaman berinteraksi dengan pelarian di Malaysia, walaupun saya sentiasa mendengar mengenai mereka dan berharap agar mereka dibantu sebaik-baiknya.

Menonton dokumentari Australia ini di Finland, melihat bagaimana pelarian berkenaan hidup di Kuala Lumpur, ia melukakan hati. Selama ini saya memandu di Jalan TAR, tanpa benar-benar peka terhadap realiti alternatif dan pelbagai kisah yang wujud di sebalik bangunan-bangunan usang yang mata saya amat mengecamnya daripada dokumentari berkenaan. Saya sibuk dengan ‘kerja-kerja kebajikan’ dan amalan kebaikan lain, memiliki tahap kepekaan dan kesedaraan yang amat rendah tentang nasib pelarian yang hidup di sekitar kehidupan saya sekeluarga.

Bersama dengan sukarelawan Startup Refugees Oulu, kami telah ke Pudasjärvi untuk bertemu dengan pelarian-pelarian dan berusaha membuat cv untuk mereka. Data yang diperolehi digunakan oleh Startup Refugees untuk mencarikan mereka pekerjaan.

 

Melihat kepada keadaan asylum seekers atau pencari suaka di Finland, saya boleh simpulkan betapa baiknya kebajikan mereka dijaga. Malah kami, para sukarelawan terutamanya dengan kerjasama Startup Refugees, membantu pelarian ini mendapatkan pekerjaan. Pelbagai usaha diatur, bermula dengan proses membuat curriculum vitae untuk mereka, seorang demi seorang, hinggalah kepada membantu mereka menukar idea-idea bisnes kepada startup dan menemukan mereka dengan pelabur. Sedangkan di Malaysia, kehidupan mereka setiap hari adalah pertaruhan untuk ‘menyelamatkan diri daripada ditangkap, berisiko dirotan, dipenjara dan dihantar pulang.

Entahlah.

Susah untuk saya ungkapkan.

Dari satu sudut yang lain, saya fikir cuaca juga mungkin secara sedar atau tidak sedar memainkan peranan.

Di Finland, hampir tidak ada gelandangan di jalanan. Tiada siapa yang mampu tidur di jalanan dalam cuaca seperti di sini. Finland adalah Finland kerana cuaca dan keadaan sekeliling memerlukan negara ini untuk menjadi sebagaimananya ia. Oleh kerana tiada manusia yang boleh hidup di luar bangunan, para pelarian ini turut ditempatkan di Reception Centre yang bangunannya selamat, kondusif, dan jauh lebih baik daripada bangunan-bangunan usang yang pelarian Chin diami di Chow Kit itu.

Kita tahu bagaimana kondusifnya cuaca di Malaysia.

Manusia masih boleh hidup hari ke hari dengan tidur di tepi jalan, di bawah pokok serta jambatan. Dan mungkin kerana itu, ‘kesengsaraan’ pelarian Chin yang mengejutkan rakan saya semasa menonton dokumentari Go Back Where You Came From itu, hakikatnya tidaklah terlalu jauh bezanya dengan kehidupan rakyat negara kita sendiri, golongan miskin tegar di tengah kota raya Kuala Lumpur itu.

Saya percaya, satu-satunya cara untuk saya didik hati ini agar mempunyai empati yang lebih baik terhadap pelarian dan pencari suaka ini adalah dengan terus berinteraksi bersama mereka, dewasa dan kanak-kanak.

Mereka bukannya ‘puak itu’.

Mereka adalah manusia.

Mereka adalah individu.

Seperti saya dan anda.

Cuma, nasib mereka kurang baik kerana ditakdirkan lahir di negara yang situasinya menjadi sangat mendukacitakan itu.

Saya sedih.

Saya harap subjek elektif yang saya ambil ini, dapat membantu saya memperbaiki diri, untuk menjadi saya yang lebih baik, sebagai seorang manusia. Subjek 407069A, yang dikenali sebagai Volunteer Field Work With Asylum Seekers, 5 ECTS.

DI TANAH AIR

Lahir daripada renungan ini, saya juga berharap agar mahasiswa dan mahasiswi Malaysia, peringkat adik-adik malah mungkin anak-anak saya, agar fokus kepada melakukan lebih banyak kerja-kerja kemasyarakatan dan kemausiaan pada membantu pelarian, serta mereka yang memerlukan, termasuk rakyat kita sendiri, yang bertebaran di celah-celah bangunan pencakar langit Kuala Lumpur itu. Kurangkan, atau hentikanlah membuang masa, bakat, dan tenaga, berlazat-lazat dengan fikrah, ideologi dan falsafah, membina pelbagai utopia termasuk debat-debat ‘negara Islam’ yang akhirnya sekadar menjadi agenda politik, tidak lebih daripad aitu.

Adalah terlalu mudah untuk politik bertukar menjadi hodoh.

Semudah semangat anak muda menjadi idealistik tentang banyak perkara hingga hilang empati terhadap realiti.


“Sebaik-baiknya manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya.” [Hadith riwayat al-Thabarani, al-Mu’jam al-Awsath No. 5787. Al-Qudha’i, Musnad Syihab No. 129. Dihasankan Shaikh al-Albani. Lihat Sahih al-Jami’ No. 6662. Dari Jabir radhiyallau ‘anhuma)

Perjalanan Gleny, Adam, Raquel, Darren, Raye, dan Roderick diteruskan ke Kenya dan Jordan, serta Democratic Republic of Kongo dan Iraq; untuk ke peringkat-peringkat yang lebih menyayat hati.

Ampunkan kami atas kealpaan ini ya Allah.

HASRIZAL
Oulu, FI

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.