Tiga Keputusan Antara Yang Senang Dengan Yang Susah

Di blog ini, apabila saya bahasakan diri saya sebagai saya, saya hanyalah diri ini yang terbatas pada setakat apa yang dia tahu, apa yang dia alami dan apa yang dia fikirkan mengenainya. Catatan peribadi di sini, biar pun terbuka untuk bacaan umum, ia adalah jurnal peribadi. Ia tidak bermaksud sama sekali untuk memaksa penerimaan, kerana tujuannya hanya menyediakan suara untuk mencetus fikir.

Siapa saya, sebanyak manakah pembabitan saya dahulu dan juga sekarang, tidaklah begitu relevan untuk diketengahkan. Pemimpin-pemimpin yang berpuluh tahun di dalam PAS, pengalamannya dari sekecil-kecil pengalaman hingga ke sebesar-sebesar peringkat, nasional dan antarabangsa, jika ditolak, tertolaklah ia. Pemimpin PAS yang meninggalkan PAS, kemudian menyertai AMANAH bukanlah ahli di pinggiran seperti saya, tetapi beradanya mereka di dalam PAS pun dikecam, keluar pun dikecam, menubuhkan parti baru dikecam. Justeru, bagi saya, apa yang tertulis, tertulislah ia sebagai bahan berfikir.

Tiada banyak kena mengenanya dengan apa yang saya tahu, dan apa yang anda tidak tahu.

Saya ini bukan sesiapa pun. Dari dahulu sehingga sekarang.

Jika inginkan analisis tentang siapa saya, gunalah Google dan carian di dalam Facebook untuk coretan-coretan tahun 2014-2015. Ustaz cinta, hati tisu, mengaji tidak habis, isteri gagal peperiksaan, takjub dengan diri sendiri…. senarainya panjang, kemudian tenggelam, dan kini mungkin akan diperbaharui, apabila saya menulis kembali. Mencoret dari Kutub Utara, dikongsi serba sedikit di sana sini.

Kali ini, saya ingin menulis tentang proses saya membuat keputusan.

Ia mungkin sama dengan pengalaman sebahagian anda, mungkin tidak sama.

Sekitar tahun 2014 ke 2015, kemudian 2017 dan kini 2018, saya menempuh tiga peringkat membuat keputusan. Yang pertama paling mudah. Yang kedua susah sedikit. Yang ketiga paling susah. Tetapi ketiga-tiganya sudah dibuat.

KEPUTUSAN PERTAMA

Keputusan yang pertama adalah keputusan meninggalkan PAS. Ini adalah keputusan yang paling mudah kerana sebab-sebabnya sudah lebih daripada cukup untuk diri saya.

Kiraan paling mudah ialah, setiap kali duduk dalam program dalaman, majlis-majlis sering bertukar jadi gelisah dan melanggar segala peringatan Allah dalam surah al-Hujurat. Mencaci, melabel, sukhriyyah (perli memerli), buruk sangka, menuduh tidak berhenti-henti. Kita duduk dalam jemaah sebab nak jadi baik. Tapi jadi tak baik pula. Bukan hanya diri sendiri, malah lebih melukakan apabila melihat anak-anak muda yang bersopan dan baik bertukar jadi angkuh dan biadab apabila masuk proses tarbiah.

“Habis, baik sangatkah kamu? Bukankah kamu juga guna istilah jumud, bengap, dan macam-macam lagi?” soalan ini dilempar ke muka saya.

Bukan muka yang bersih. Memang muka kotor pun. Lebih berdosa daripada yang disangka. Cuma hati masih mahu jadi baik. Saya ada anak-anak. Saya lelah mengadab sopankan anak-anak agar hormat orang tua, tidak gelar menggelar, sebab bukan sahaja agama kita melarang, bahkan yang bukan Muslim pun tidak menyukainya. Ia kemungkaran.

Kemungkaran akhlak.

Berkali-kali kebimbangan ini disuarakan di sana sini.

Pimpinan, tegurlah ahli-ahli, kenapa makin lancang ni?

Tetapi akhirnya pimpinan juga sama-sama terjebak dalam kecelaan lisan pada pengucapan awam. Menghaiwankan orang tanpa segan silu. Kemudian jadi ikutan ramai.

Semasa mendengar teguran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) terhadap kepimpinan PAS pada Muktamar tahun 2015, ia segera mengingatkan saya kepada kata-kata Genghis Khan semasa masuk ke kota Bukhara. Beliau telah memerintahkan agar 280 orang hartawan kota itu dibawa kepadanya. Apabila mereka berkumpul di dalam masjid, Genghis Khan telah naik ke mimbar dan berbicara dengan bantuan penterjemahnya. Beliau bercakap tentang dosa-dosa Sultan ‘Alā ad-Dīn Muhammad II.

Katanya, “sesungguhnya orang-orang besar kamu yang telah melakukan kesalahan ini, dan orang awam tidak wajar dipersalahkan atas nasib kota ini. Kalau tidak kerana kamu telah melakukan dosa-dosa yang besar ini, tidaklah Tuhan menghantar hukuman seperti aku ke atas kamu!” [Jack Weatherford, Genghis Khan and the Making of the Modern World, (New York: Crown Publishers, 2004), p. 39-40]

Seterusnya, terjadilah apa yang terjadi.

Muktamar 2015 sukar untuk dikenang sebagai muktamar sebuah parti Islam, apatah lagi jemaah Islam. Kenangannya masih baru.

Selain daripada itu, perkara serius yang memudahkan keputusan meninggalkan PAS adalah polemik ‘ulama vs profesional’. Penceramah PAS, khususnya ulama muda, menyemai paradigma reverse secularism iaitu ‘ambil agama tolak sains’. Dalam polemik berkenaan, kekhuatiran bukanlah pada siapa yang patut jadi Presiden, Majlis Tertinggi dan sebagainya. Sebaliknya apa yang dibimbangkan adalah cara isu ini dikupas dan diberi justifikasi. Itu yang berbahaya, mewujudkan krisis ‘Syariatullah vs Sunnatullah’. Jika profesional memimpin, kepimpinannya hanya guna akal sedangkan jika ulama memimpin, Allah reda dan bantuan Allah datang! Allah tetap bersama, sebab kita perjuangkan Islam, walaupun salah cara. Tolak data.

Ketika itu saya teringat kembali kepada temuduga kerja semasa memohon jawatan Pegawai Penyelidik di bahagian penyelidikan Dewan Pemuda PAS Pusat, pada tahun 2004. Saya diberi satu senario, bagaimana jika ahli-ahli akademik membuat kaji selidik dan mendapati sejumlah non Muslim di Lembah Kelang tidak lagi menganggap isu yang PAS bawa sebagai relevan. Apabila hasil kajian ini dikemukakan kepada pemimpin, kata mereka hasil kajian jadi sebegitu sebab ahli akademik berkenaan temuramah orang yang tidak sokong PAS. Jika temuramah orang yang sokong PAS, lainlah keputusannya!

Soalan yang diaju kepada saya, sebagai Pegawai Penyelidik, apakah reaksi saya terhadap senario ini?

Saya ketawa.

“Ini sekadar contoh, atau kisah benar?” saya bertanya.

Penemuduga ketawa juga. Apa yang saya ingat ialah, sebelum apa-apa, kita kena selidik kenapa pemimpin-pemimpin berkenaan menolak kajian ilmiah. Kenal pasti apa masalah mereka.

Seterusnya, semuanya jadi sejarah. Makin lama, paradigma cause and effect, sebab musabbab, sunnatullah syariatullah…. usaha dan tawakkal, kerja dan doa, semuanya jadi caca merba. Tetapi tidak mengapa, sebab kita bawa Islam, kita tetap menang dan Allah redha dengan kita.

Ketika beberapa pimpinan PAS yang ‘dijebonkan’ duduk bersembang, saya ditanya mengapa saya tinggalkan PAS?  Saya tegaskan ketika itu politik PAS bukan lagi politik Islam kerana paradigmanya adalah sekular. Reverse secularism. The other side of the same coin.

Setelah banyak tahun berbalah tentang hal ini dan keadaan semakin parah, keputusan pertama ini mudah, dan solid. Saya tinggalkan PAS.

KEPUTUSAN KEDUA

Keputusan kedua adalah keputusan untuk menyertai AMANAH.

Di sini timbul kesukaran walaupun saya sendiri antara yang awal mengusulkan penubuhan parti baru. Pelbagai brainstorming awal berlangsung untuk meneliti kewajaran menubuh parti baru, adakah parti itu sekadar parti politik atau juga sebuah jemaah? Jemaah itu apa, kumpulan dakwah atau NGO? Parti baru itu nanti sifatnya bagaimana, perkaderannya bagaimana?

Melalui siri perbincangan yang panjang, pembabitan saya juga berkurang sedikit demi sedikit, kerana saya fokus kepada sekolah dan pendidikan, tidak minat dengan politik lagi.

Semua yang sempat disumbangsaran itu, tidak semestinya terjelma dalam bentuk yang kita lihat AMANAH hari ini. Jarak antara masa saya keluar meninggalkan PAS, kemudian munculnya GHB dan kemudian akhirnya menjadi AMANAH, pembabitan saya semakin kecil dan hampir tiada semasa sampai kepada lahirnya AMANAH.

Tetapi keputusan untuk bersama AMANAH atau tidak ini, dibantu oleh fikiran ‘bukan mencari kesempurnaan’. Budaya AMANAH (belum layak disebut budaya sebab masih baru), boleh dikatakan tidak banyak berbeza dengan PAS sebab masih peralihan, dan idealisme AMANAH tidaklah sepenuhnya menjadi seperti yang disumbangsaran di peringkat awal usaha menubuhkan GHB.

Kesekataan jadi lebih berwarna warni terutamanya apabila penyertaan ke dalam AMANAH mula dalam bentuk massa, beramai-ramai.

Tetapi keputusan kedua ini, dibantu oleh sikap realistik, bukan mencari kesempurnaan.

Meninggalkan sebuah jemaah dan parti yang ‘sempurna’ kepada sebuah parti baru yang tidak sempurna dan sentiasa ada benda yang boleh dikritik, bukanlah kekurangan. Ia lebih baik. Ia lebih realistik. Sebab parti adalah parti. Bukan agama. Ini bukan lagi zaman menyenaraikan empat ciri wajib pada sebuah jemaah, dan jemaah kita sahaja yang mendapat markah penuh.

Ia permulaan yang membibitkan ketaksuban, menolak nasihat, sentiasa betul, dan menatijahkan apa yang telah dinatijahkan oleh kelompok-kelompok yang sedemikan rupa.

Kali ini pilihan saya adalah yang pangkahnya boleh dikata-kata oleh mereka yang tidak berkenan, tetapi menjadi daerah belajar dan berkembang untuk kita. Mudah-mudahan.

Oleh kerana saya sendiri meninggalkan daerah politik, fokus kepada pendidikan, maka keputusan kedua ini, tidak banyak implikasi secara amali ke atas diri saya. Jika pembabitan saya dengan AMANAH digelar sekadar di pinggiran, ia memang benar. Bahkan mungkin lebih jauh dari sekadar di pinggiran.

“Habis, kalau keluar dari PAS, siapa kawan anta?”

Soalan ini agak lucu.

Dunia ini luas.

Berkawan tidak perlu ramai. Apa yang penting adalah ikhlas, hormat menghormati, tidak semestinya sepemikiran, tetapi komited menghormati satu sama lain. Jangan pula tiba-tiba butir persahabatan, bertukar jadi bahan serangan peribadi.

Kata Michael Corleone, “keep your friends close, and your enemies closer.”

KEPUTUSAN KETIGA

Keputusan ketiga adalah keputusan untuk menyokong Pakatan Harapan.

Walaupun inilah kebimbangan utama semasa PAS membuat keputusan meninggalkan Pakatan Rakyat dahulu, keputusan saya untuk menyokong Pakatan Harapan masa kini tentu sekali mengambil kira keadaan semasa parti-parti komponen AMANAH, PKR, DAP dan kemudian PPBM, termasuklah apabila ada di dalamnya Tun Mahathir.

Saya ini orang Ipoh. Dewan Undangan Negeri DAP vs MCA, Parlimen pun sama. Maka fikiran, pengalaman saya dan anda mungkin berbeza. Udara Ipoh yang saya hirup itu lain dengan udara di negeri-negeri dan daerah yang Melayu belaka, Islam belaka.

“Naifnya ustaz menyokong Tun Mahathir!” ujar netizen.

Tidak mengapa.

Kenaifan saya mungkin disandarkan kepada ‘malasnya’ hendak menaip untuk penjelasan. Kali ini pun masih malas. Sebab ia tidak mengubah apa-apa.

Saya pun murid sejarah.

Saya pandu kereta tengok depan. Saya tengok cermin belakang untuk membetulkan perjalanan ke hadapan. Maka saya tidaklah mahu meleret-leret mengungkit Mahathir ini dan Mahathir itu. Semua itu kita maklum. Dan saya juga maklum, Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan situasi negara sekarang adalah SEKARANG. Pada masa sekarang ini juga Tun Mahathir itu usianya 92 tahun.

Saya amati kehidupan Bernard Lewis.

Saya teliti kehidupan Halil Inalcık.

Malah, saya baru sahaja melepaskan pergi ayah mertua yang dikasihi.

Mereka adalah insan-insan berusia 90 tahun ke atas.

Apa maknanya umur 90 tahun itu dengan hawa nafsu dan nikmat dunia ini, pandai-pandailah masing-masing membuat pertimbangan.

Keputusan ketiga ini adalah keputusan politik. Di sini, nuansa Islamism sudah tiada. Tiada haraki-haraki. Hanya jati diri saya sebagai seorang Muslim dan sebagai rakyat Malaysia, melihat apa yang terbaik untuk negara, khususnya apabila prioriti utama adalah pada menurunkan DS Najib Razak secara aman, demokratik dan seterusnya mendapatkan keadilan dalam baik pulih institusi legislatif, eksekutif, kehakiman malah keselamatan negara, daripada korupsi mega masa kini.

“Jadi ustaz memuja Tun Mahathirlah?”

Alangkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi pun saya tidak puja, apatah lagi Tun Mahathir, atau Presiden AMANAH, Muhammad Sabu.

Dalam keputusan ketiga ini, kepentingan jemaah, kepentingan parti, dan isu-isu remeh temeh tidak relevan dalam pertimbangan saya. Apa yang relevan hanya pada apa yang constitutional dan tidak constitutional, demi negara Malaysia tercinta. Kalau pun ia bukan pilihan paling ideal, ia sudah cukup baik malah teguh, apabila memikirkan gusarnya kita kehilangan pilihan pada tahun 2015 yang lalu.

Tetapi keputusan ketiga ini juga tiada implikasi besar secara amali ke atas diri saya kerana saya berada di Finland. Di Finland, saya tiada usrah, tiada tamrin, tiada ceramah, malah restoran halal pun tiada. Cara saya menjadikan diri saya berguna adalah melalui program-program kemanusiaan bersama pelarian, anak-anak pencari suaka, dan cuba berakhlak baik di tengah-tengah daerah ‘tidak bertuhan’ ini.

Tingginya standard keislaman orang Malaysia hingga tidak lelah mengkritik orang itu tidak bertudung, yang ini salam dengan perempuan, yang itu ikhtilat, duduk dalam majlis ada arak, saya akur, saya semakin jauh daripada standard religiosity umat Islam di Malaysia.

Holier-than-thou yang bagai sudah tidak terbendung lagi.

Sebab itu janganlah khuatir tulisan ini boleh menjadi ancaman kepada perjuangan Islam.

Penulisnya bukan ‘pejuang Islam (haraki)’.

Ia ditulis oleh seorang yang sangat jauh.

Bukan jauh daripada Islam.

Tetapi jauh meninggalkan Islamism.

Dan berusaha untuk sentiasa dekat dengan Tuhan.

Mudah-mudahan.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

9 comments

  1. Mengekori rapat…walau dijarakkan laut gunung, & darat. Terima kasih saudara!

  2. MasyaAllah..pergolakan dan proses tuan memilih untuk ketiga-tiga keputusan membantu kami yang masih terkapai-kapai dan tidak pasti ini.

    Jzkk tuan!

  3. Terima kasih ustaz.

    Situasi yang hampir sama dengan saya.

    You just speak my feelings and my situation.

  4. farisfaisal89

    Salam Ustaz Hasrizal,

    Memetik tulisan ustaz, “Pemimpin PAS yang meninggalkan PAS, kemudian menyertai AMANAH bukanlah ahli di pinggiran seperti saya, tetapi beradanya mereka di dalam PAS pun dikecam, keluar pun dikecam, menubuhkan parti baru dikecam.”

    Saya memilih untuk tidak bersetuju dengan statement ini kerana yang mengecam dulu adalah ahli-ahli “pinggiran”. Tetapi tidak mengapa. Saya menghormati pendapat dan pandangan ustaz sebagai seorang pendidik.

    al-faqir,
    Abu Furqan

  5. Assalamualaikum…
    Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang…
    Syukran ustaz ats pandangan yg jujur…
    Namun ianya suatu bentuk luahan yg menunjukkan kekecewaan yg sebenarnya adalah ujian untuk menjadikan Perjuangan Islam itu lebih Matang dan Syumul…
    Ana doakan Ustaz diberikan kemudahan dlm menjalani kehidupan seorang pendidik…
    Sesungguhnya di akhir zaman ini, Pendokong Perjuangan Islam itu ibarat MENGGENGGAM BARA API DI TANGAN…
    Wallahua’lam…
    Siru a’labarokatillah…

  6. Jazakallah atas pencerahan yg benar2 bermakna dan membuka mata….moga Allah terus pandu kita kepada kebenaran…memberi hakikat pada yang faham

  7. Tulisan ustaz sangat matang. InsyaAllah saya semaikan disepanjang jalan saya bersama PAS. Mungkin PAS tak sempurna, tapi yang saya lihat sekarang PAS juga banyak berubah. Saya merasakan ada dikalangan tulisan ustaz, diberi perhatian oleh pimpinan PAS.

    Semoga Allah merahmati kita semua. PAS banyak berubah dengan penulisan ustaz tanpa kita nafikan, ada yang baru menyertai PAS ni tanpa keahlian semangatnya lebih hingga terabai apa itu tarbiyah sebagai Muslim…

    Teruskan menulis ustaz..

    Undilah PAS PRU14….

  8. Muhammad An Nazili

    Alhamdulillah, masih bersama PAS. Dan membaca tulisan UHAJ.

  9. Zharif Mat Aziz

    Terima kasih atas tulisan ini ustaz. Semoga ustaz sentiasa dirahmati Allah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.