Sekolah 3.0: Sekolah Rantaroustin di Tyrnävä

“Selamat berjumpa lagi. Apa khabar?” tanya Jani.

Beliau tersenyum menyambut ketibaan saya bersama rombongan empat orang pendidik dari India yang kami di FINPEDA aturkan lawatan ke sekolahnya.

“Baik. Maaf kami tiba lewat sedikit!” saya memohon maaf.

Saya berikan sedikit masa bersarapan yang lebih panjang kepada rombongan semasa di hotel tadi kerana mereka keletihan. Baru tiba dari India awal pagi tadi selepas bermalam di Lapangan Terbang Helsinki semalaman.

Salah sebuah sekolah yang kami akan bawa pelawat yang melawat Oulu untuk mengkaji sistem pendidikan di Finland adalah Sekolah Rantaroustin di perkampungan Tyrnävä kira-kira setengah jam perjalanan dari Oulu City Centre. Sekolah ini merupakan sekolah kerajaan yang membekalkan pendidikan asas kepada kanak-kanak di sekitar Tyrnävä, iaitu pekan kecil yang merupakan pengeluar utama ubi kentang di Finland.

Lihat bagaimana kentang ditanam ‘di atas angin’ dengan teknologi tinggi aeroponic dari Oulu

Semasa Tyrnävä memerlukan bangunan sekolah yang baharu dan lebih besar, keperluan ini dimanfaatkan terutamanya oleh Pengetua iaitu Jani Alakangas, untuk tidak sekadar membina sebuah bangunan baharu, sebaliknya memanfaatkan kajian-kajian terkini di dalam sains pembelajaran dan pendidikan, berfikir tentang bagaimanakah rupanya kehidupan 20 ke 50 tahun akan datang, dan bagaimana anak-anak yang bakal menjadi dewasa di zaman itu boleh dibantu melalui sebuah sekolah yang membekalkan pendidikan yang relevan. 

Beliau bersama pasukan arkitek dan kepakaran konsep sekolah masa hadapan yang FINPEDA miliki, berbincang dengan Municipality untuk mereka bentuk Sekolah Rantaroustin ini untuk menjadi ‘Sekolah Masa Hadapan’ atau kadang-kadang disebut sebagai School 3.0.

Sekolah ini menggunakan konsep open learning space dan guru-guru mengajar secara co-teaching.

“Memang nampak macam mahal. Tetapi kami sebenarnya menjimatkan wang secara jangka panjang. Kami tidak membina di sekolah ini koridor yang bakal terbiar dan sekadar menjadi laluan, kami tidak mengisi sekolah dengan perabot yang sekadar menjadi tempat duduk, tetapi perabot yang menjadi alat bantuan mengajar, menunaikan keperluan pedagogi, malah mendesak kemajuan dalam pengajaran dan pembelajaran.” kata Jani, pengetua sekolah ini.

Lampu unik di Sekolah Rantaroustin di Tyrnävä

“Lihat lampu itu! Ia sebenarnya adalah skrin. Apa yang kami paparkan di skrin itu ialah imej langit mengikut jam bagi hari tersebut. Cerah dan gelap serta warnanya, membantu mewujudkan suasana yang sesemulajadi mungkin kepada murid-murid terutamanya di musim sejuk yang gelap tanpa matahari. Jika pelajar rasa segar, ceria, kami menjimatkan wang daripada belanja perubatan, pembiayaan sokong psikologi dan lain-lain.” kata pegawai yang bertanggungjawab menjaga sistem lampu sekolah berkenaan.

Saya sudah beberapa kali membawa pelawat ke sekolah ini, dan setiap kali saya hadir, saya akan belajar sesuatu yang baharu.

“Ibu bapa yang mengambil anak-anak dari sekolah, tidak perlukah mereka menunjukkan kad pengenalan diri?” tanya salah seorang ahli rombongan dari India berkenaan.

Agak susah soalan tersebut hendak dijawab.

“Saya tahu, di negara Eropah seperti Belgium misalnya, memang hal tersebut diamalkan. Tetapi di Finland, tidak ramai ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah. Kebanyakan pelajar tinggal berdekatan, mereka datang ke sekolah dan pulang sendiri.” jawab Jani.

Saya sendiri akui, bahawa salah satu aspek paling utama di Finland yang saya hargai adalah keselamatan. Kadar jenayah yang amat rendah menghampiri sifar, membolehkan saya meredakan kebimbangan ‘Asia’ di dalam diri, dan boleh melepaskan anak-anak pergi ke sekolah berjalan kaki sendiri, bermain di luar, menaiki bas ke rumah kawan, seawal usia 7 ke 8 tahun.

“Bagaimana kalau suatu hari nanti Finland jadi India dan India jadi Finland?” usik salah seorang guru.

Jani ketawa.

“Ia tidak mustahil. Kehidupan ini dinamik. Lihat dalam sejarah manusia yang panjang. Apa yang saya pasti, di zaman Finland jadi India, saya sudah tidak memikul tanggungjawab ini. Saya hanya pengetua sekarang!” jawab Pengetua tersebut dengan pintar.

Sekolah Rantaroustin ini agak kerap menerima lawatan terutamanya apabila pelawat datang melalui khidmat FINPEDA. Setakat ini, saya dapati Jani dan guru-guru lain, sentiasa bersemangat memberi penerangan.

Mereka bangga dengan sekolah mereka, iaitu sebuah sekolah kerajaan yang percuma, di sebuah kampung ubi kentang bernama Tyrnävä, tetapi sekolah ini menggambarkan bagaimana pendidikan sedang berfungsi menyediakan individu kanak-kanak semasa, menjadi dewasa di masa hadapan yang penuh misteri itu nanti.

Hasrizal
Oulu Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.