Sindrom Sekolah Berasrama: Strategi Komunikasi

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang berkongsi komen serta pengalaman masing-masing bersekolah di sekolah asrama. Mungkin nikmat paling besar yang saya syukuri ialah pengunjung dan penulis komen di halaman FB Page saya My Learning Journey​ kekal menulis dengan sopan, berhemah dan hormat menghormati, sesuatu yang sangat merosot di atas talian dewasa ini.

Tulisan saya tidak sama sekali sifatnya adalah menyalahkan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah asrama. Sekurang-kurangnya saya sendiri sebagai penulis artikel, memulakan muhasabah saya sebagai seorang anak yang bersekolah di sekolah berasrama atas pilihan sendiri, tanpa tekanan sesiapa. Ia adalah pilihan saya sendiri, yang direstui oleh ibu dan ayah.

Apa yang saya tulis adalah renungan kembali diri saya kepada apa yang saya alami serba sedikitnya, tetapi lebih berasaskan pemerhatian dan kajian-kajian yang dibuat mengenainya.

Schaverien-2011-British_Journal_of_Psychotherapy

Schaverien, J. (2011). Boarding school syndrome: broken attachments a hidden trauma. British Journal of Psychotherapy27(2), 138-155.
Chicago

Limitasi besar kepada aspek ini ialah kebanyakan kajian yang dirujuk adalah kajian yang dibuat di United Kingdom, termasuk dokumentari yang saya kongsikan di dalam artikel ini, kerana mereka yang membuka isu ini untuk dibincangkan dan dikaji. Malah beriringan dengan usaha kumpulan sokongan seperti di http://www.boardingconcern.org.uk/

Masyarakat Britain berada di dalam situasi terbuka dan mampu menyuarakan hal ini, terutamanya selepas personaliti mega televisyen mereka Sir James Wilson Vincent Savile didedahkan sebagai pemangsa kanak-kanak. Ia mencetuskan gelombang agar penganiayaan seksual kanak-kanak tidak lagi disapu ke bawah tikar hingga sebahagian mangsa gagal mendapat pembelaan dan mati membunuh diri.

Sudah tentu hal ini menjadi lebih rumit di negara kita kerana budaya Melayu dan Islam menghalang ia daripada didedahkan dan diperkatakan dengan saksama, justeru kita sebenarnya perlu lebih berhati-hati dan mendengar apa yang tidak diperdengarkan dan melihat apa yang tidak diperlihatkan.

Boarding Schools: The Secret Shame – Exposure (ITV) 2018 followed journalist Alex Renton, who was himself abused as an eight-year-old by his teacher, as he investigated how much schools knew about what was going on behind their closed doors.

Dalam konteks di UK, ramai boarders yang memulakan persekolahan asrama mereka semenjak usia sekolah rendah. Dan banyak sekolah berasrama yang dimaksudkan itu adalah sekolah elit. Sudah tentu konteksnya berlainan, namun tidak semestinya langsung tiada persamaan dengan apa yang ada di negara kita.

Mungkin elitisme versi UK itu terbatas di negara kita, tetapi soal menjaga reputasi sekolah mengatasi kebajikan dan keselamatan murid bukanlah sesuatu yang asing. Sama ada kerana sekolah itu sekolah berasrama penuh kerajaan, sekolah menengah agama berasrama penuh, sekolah tahfiz, sekolah milik public figure… ada banyak faktor untuk keselamatan murid bukan menjadi keutamaan tertinggi di sebuah sekolah apabila kes-kes mengaibkan dan mendukacitakan terjadi.

CONTOH MASALAH SEKOLAH BERASRAMA PENUH BERPRESTIJ

Saya dengan berat hati ingin berkongsi pengalaman (yang mungkin telah selesai pada masa ini, mudah-mudahannya), bagaimana saya pernah mengendalikan sesi di sebuah sekolah berasrama penuh berprestij yang berdepan dengan masalah buli yang kronik. Punca langsungnya ketika itu ialah, selepas waktu pejabat, tiada guru atau warden yang berada di sekolah! Sesuatu yang pada ketika itu membuatkan saya ternganga semasa menerima makluman.

Senior menjaga junior, sesama pelajar, kes buli hingga murid tidur bawah tangga ketakutan. Murid-murid fed up dengan keadaan yang berlaku, manakala pihak sekolah sentiasa mengingatkan pelajar betapa beruntungnya mereka kerana terpilih untuk bersekolah di sebuah sekolah yang sangat berprestij dan perlulah menghargai peluang itu. Sentimen yang tidak dikongsi oleh murid-murid. Zaman telah berubah. Perbualan saya bersama murid-murid, dipenuhi dengan rasa kecewa mereka.

Bagaimana sekolah boleh membiarkan murid tanpa seliaan orang dewasa selepas waktu pejabat?

Mengapa ibu bapa masih berani membenarkan anak bersekolah tanpa kawalan keselamatan yang sangat asas itu?

Saya ketika itu mempersoalkan nilai dan keutamaan keselamatan murid sekolah berkenaan, di kaca mata Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak sekolah dan ibu bapa sendiri.

Kisah itu sudah lama berlalu, dan saya berdoa ia telah selesai. Namun ia menjadi salah satu titik tolak besar saya menyokong usaha menubuhkan Khalifah Model School (Secondary), selepas KMS (Primary) sudah lama beroperasi, kerana hilang kepercayaan terhadap sistem pendidikan kita pada masa tersebut.

KEUTAMAAN

Keutamaan dalam menangani isu ini adalah pada mencari jalan untuk menambah baik keadaan semasa, dan bukannya betul atau salahnya isu yang diketengahkan. Sudah tentu ia bukan 100 peratus sama. Sekolah banyak, ada yang bagus, ada yang bermasalah, masalah ada, membabitkan sebahagian, tidak membabitkan sebahagian.

Bagi ibu bapa yang memilih atau terpilih untuk menyekolahkan anak di asrama, isu yang ketengahkan ini boleh diambil sebagai penguat azam untuk memastikan hubungan dengan anak-anak diberi perhatian dan dijaga, serta sering berdoa dari jauh untuk anak-anak di sana. Perkongsian pembaca di dalam artikel saya yang lalu, memperlihatkan bagaimana hubungan kekeluargaan yang dipelihara terutamanya dengan memanfaatkan teknologi komunikasi dan kemudahan pengangkutan, banyak membantu mencegah atau meminimumkan masalah Boarding School Syndrome ini.

ROMANTISME PROGRAM TAHFIZ KANAK-KANAK BERASRAMA

Apa yang memerlukan perhatian segera kita semua adalah amalan menghantar anak-anak kecil di usia sekolah rendah untuk menetap di asrama sekolah tahfiz. Ia bukan soal tahfiz atau al-Quran dan agama Islam itu sendiri, tetapi soal memisahkan anak-anak daripada keluarga pada usia berkenaan dan meletakkan mereka di bawah jagaan institusi. Tindakan bukan sahaja berisiko terhadap keselamatan anak-anak, terutamanya berkaitan dengan pencabulan seksual, tetapi juga terhadap perkembangan emosi anak-anak itu sendiri. Ia semakin bertambah, melebar, menjadi popular dan disandarkan kepada nostalgia-nostalgia silam mengenai perjalanan tokoh seperti al-Imam al-Syafi’e merantau menuntut ilmu dan sebagainya. Jika riwayat hidup al-Imam al-Syafi’e sekali pun mahu dijadikan sandaran, perbezaan pendapat antara sejarawan tentang musafir beliau meninggalkan ibunya hanyalah antara 13 tahun atau 20 tahun. Di bawah usia berkenaan beliau dijaga rapi oleh seorang ibu yang berdedikasi hingga berazam untuk tidak berkahwin lagi selepas kematian suaminya, demi menjaga keperluan dan memenuhi potensi anakandanya yang dikasihi.

Malah saya tidak dapat lari daripada pesimis terhadap romantisme ini….hantar anak ke sekolah tahfiz pada usia kecil untuk jadikan ia macam al-Imam al-Syafi’e?

Sungguhkah?

Ada juga pertanyaan tentang amalan kaum Arab menghantar bayi dan kanak-kanak kecil kepada kaum Badwi di desa, sebagai kiasan kepada amalan menghantar anak ke asrama pada usia kecil.

Kebiasaan kaum Arab Mekah ketika itu, kalau berdasarkan pengetahuan yang jelas kepada kita, ia adalah untuk mendapatkan kefasihan bahasa sebagai aset diri yang sangat besar di dalam kaum Arab pada masa itu. Demikian juga ada disebut di sana sini tujuannya adalah untuk kesihatan tubuh badan. Saya belum berjumpa kajian khusus mengenai aspek perbandaran Mekah tetapi di zaman berkenaan, bandar-bandar lain di Eropah mempunyai tahap mortality yang tinggi berbanding di kawasan desa. Ia disebabkan oleh penyakit berjangkit yang sering melanda kawasan berpenduduk padat. Di dalam literasi Arab, kehidupan di kota pada zaman berkenaan ada dikaitkan dengan gaya hidup yang lemah, tidak sesuai untuk tumbesaran anak-anak yang dimaksudkan mahu menjadi seorang yang lasak dan berperadaban tinggi.

Apa pun, ia adalah amalan kaum Arab dan saya belum bertemu adanya dalil khusus untuk mensabitkan nilai syara’ kepada adat berkenaan. Tiada ayat al-Quran atau hadith yang meletakkan nilai ‘ubudiyyah pada amalan tersebut. Justeru domain agama dalam diri saya tidak activated untuk adat berkenaan. Saya mempertimbangkannya dari sudut lain sebagaimana juga adat kaum bukan Arab yang juga ada macam-macam kaedah dalam interaksi mereka bersama kanak-kanak di zaman ‘klasik’ dan ‘pertengahan’.

PENDIDIKAN ADALAH DINAMIK

Pendidikan adalah dinamik. Tiada satu solusi yang selesai untuk keperluan semua. Tetapi apa yang berisiko perlu ditangani. Orientasi kita dalam pendidikan ialah apa sahaja pilihan kita mengenai persekolahan anak-anak, setiap pilihan kita mesti melihat kanak-kanak sebagai individu, unik, ada keperluan khusus, yang boleh jadi berbeza walaupun adik beradik, dan setiap seorangnya adalah amanah daripada Allah yang mesti dijaga.

Di usia 40an, perspektif kita tentang kehidupan meningkat ke satu daerah lain. Daerah yang akan menyebabkan kita sebagai ibu bapa, berdoa dengan doa yang unik untuk ibu bapa kita sendiri, kerana di usia 40an ini, banyak ‘blindspot‘ kehidupan dibuka oleh kombinasi ilmu dan pengalaman yang lebih berhikmah:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ –

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur ُ’EMPAT PULUH TAHUN, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
46:15

PENGGUNAAN APLIKASI PARENTAL CONTROL

Saya berulang kali memberikan saranan kepada pihak sekolah kami sendiri di KMSS, agar sekolah menyediakan telefon awam di dalam premis sekolah dan Alhamdulillah kini ia sudah ada. Keduanya, ibu bapa yang memberi kepada anak telefon pintar hendaklah menyediakan di dalam peranti berkenaan aplikasi kawalan ibu bapa seperti Qustodio, Kidslox, Screentime, Norton Family Premier dan yang seumpama dengannya.

Tujuan aplikasi Parental Control ini adalah mengekalkan pembabitan ibu bapa di dalam proses pembentukan peribadi anak-anak semasa mereka di usia remaja, secara remote.. Memberikan anak-anak telefon pintar untuk memudahkan komunikasi, terutamanya dari asrama, tetapi tanpa aplikasi dan komitmen sebegini, akan menggandakan masalah, lebih buruk dari zaman budak asrama beratur di telefon awam sekolah suatu ketika dahulu. Meletakkan aplikasi ini pula mestilah dibuat menerusi perbincangan bersama anak-anak dan dengan pengetahuan mereka. Anak-anak wajib bersetuju dengan tindakan ini dan persetujuan mereka adalah sebahagian daripada kelayakan untuk mereka mendapat restu meninggalkan rumah untuk tinggal di asrama.

Ia juga boleh membantu mengurangkan bebanan pihak sekolah dalam memantau hal komunikasi ini.

Saya telah menulis beberapa artikel sebagai panduan ibu bapa dalam hal penggunaan aplikasi Parental Control ini:

  1. Kidslox to Assist Screen Time Management
  2. Smartphones: Children’s Executive Function, Nomophobia and Phubbing
  3. Screen Time App to Assist 21st Century Parenting
  4. Discussing ‘Freedom’ When Implementing Screen Time

Seks bebas remaja masa kini yang dikongsi dan disebar di WhatsApp, WeChat, Telegram, Tumblr (dibanteras oleh Tumblr bermula 17 Disember 2018), Twitter, dan pelbagai lagi platform media sosial adalah neraka jahannam dunia yang ibu bapa jangan terlalu naif untuk berbaik sangka dan mengambil mudah akan hal ini.

KEMENJADIAN YANG SEIMBANG, BUKAN HANYA AKADEMIK

Semua ini hanya relevan jika ibu bapa bersungguh dalam mengambil tanggungjawab ke atas kemenjadian anak-anak. Bukan setakat kecemerlangan akademik, tetapi untuk membantu mereka menjadi individu dewasa yang berfungsi, sihat akal fikiran dan emosi, mampu bahagia dan membahagiakan, walaupun hidup secara yang sederhana.

Piers Cross berkongsi beberapa tips berkaitan proses berumahtangga dengan pasangan yang merupakan survivor kepada sekolah berasrama. Ia di dalam konteks UK, tetapi banyak memperkatakan simptom-simptom sejuk yang ditunjukkan oleh pasangan di dalam intimasi perkahwinan oleh suami atau isteri yang menempuh zaman kanak-kanak serta remaja di institusi sekolah berasrama.

Semoga apa yang dikongsi ini dapat membantu ibu bapa membuat perancangan dengan lebih kemas dalam usaha menyokong perkembangan anak-anak, khususnya di usia remaja yang penuh cabaran masa kini.

Ameen.

HASRIZAL
Oulu, Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.