Aku, Baca, Buku, dan Kehidupanku

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”

(Surah Al-‘Alaq 96 : 1)

Wahyu yang pertama diturunkan ialah perintah membaca. Dia perintahkan kita membaca, dan bacalah dengan nama Dia.  Kita baca untuk mendapatkan ilmu. Kita membaca kerana mahu mencari kebenaran, dan untuk menjadikan kebenaran itu dicari, kita perlu menjadi manusia yang bertanya dan menghasilkan persoalan. Berfikir.

Baca itu ibadah dan simbolik kehambaan kepada Ilahi. Diperintahkan membaca kepada manusia yang berakal untuk mengangkat manusia ke martabat yang tinggi. Untuk mencapai martabat itu, jalannya ialah baca. Kita membaca didorong oleh keperluan, bukan sekadar kemahuan. Namun tatkala keperluan dan kemahuan bersatu, ia rahmat dan menjadi kemampuan yang boleh menjadikan kita pembaca sepanjang hayat. Selagi ada hayat, selagi untuk berfikir dan menyoal, dan selama itu jugalah membaca meneman usia ke sirna senja.

Perintah Allah “bacalah” itu kita pegang dan kita julang. Membaca itu seharusnya menjadi amalan setiap Muslim yang mahu mengisi maka keislaman dirinya. Membaca pula, bukan setakat hanya aktiviti individu namun perlu diterap dalam keluarga. Jadikan ia amalan setiap ahli keluarga kerana ia adalah ibadah. Jadilah keluarga yang membaca untuk mencari pengetahuan, moga-moga kita dan keluarga berada di atas jalan kebenaran. Jangan putus asa kalau mewariskan tabiat membaca itu sukar, terutamanya di era anak-anak terpaut kepada skrin ini. Ia memang bertentangan. Banyak baca, kurang skrin. Banyak skrin, kurang baca. Lazimnya begitu.

Beruntunglah mereka yang berjaya membentuk keluarga membaca. Saat-saat indah bersama keluarga dan bersama buku boleh membentuk keperibadian seseorang. Setiap pembaca pasti ada kenangan mereka sendiri terhadap keluarga dan buku. Buku apa yang pertama dibaca, faktor-faktor minat membaca menjadi subur dan watak-watak yang telah menyemai benih cinta pada buku menjadi cebis-cebis kenangan indah seorang pembaca. Semua itu menjadi memori manis yang membina karakter seorang pembaca yang kritis, dan barangkali puitis.

IBU, AYAH DAN PENGARUH MEMBACA

Bila dikenang kembali zaman kanak-kanak saya dahulu, ada tiga faktor yang menjadi penyumbang besar dan mempengaruhi minat saya membaca buku.

Pertama, ibu adalah seorang guru. Disebabkan itu saya sudah terbiasa dengan suasana buku di sekeliling saya. Kalau tidak buku tambahan pun, buku teks, buku latihan dan buku rancangan mengajar harian ibu. Selepas ibu bersara, ibu mengisi masanya dengan membaca. Saya sentiasa bekalkan ibu dengan majalah, yang mana majalah percuma yang penerbit berikan kepada kolumnis, selalunya saya mohon dihantar naskhah saya kepada ibu. Beliau membaca sebelum memasak, selepas memasak, selepas solat, nak mengelak nyanyuk katanya. Emak aktif membaca hinggalah ke beberapa tahun terakhir hayatnya, ibu sudah hilang motivasi membaca. Mungkin kerana yang selalu datang ke pangkuannya adalah buku dan majalah, bukan si anak yang asyik sibuk ini. Maafkan saya, ibu.

Faktor kedua pula ialah ayah. Saya melihat bahawa ayah adalah seorang pembaca semasa hayatnya. Ayah meninggal awal semasa saya baru berumur 17 tahun. Selepas pemergian ayah,  saya menemukan pelbagai buku koleksi beliau yang membuatkan saya sedar bahawa ayah adalah seorang pembaca. Sebahagian buku yang beliau simpan adalah buku ayahnya, datuk saya, yang juga nampaknya seorang penggemar buku, membaca buku-buku revolusioner era 50an.

Dengar kadar gaji seorang kerani, buku yang beliau pilih sangat selektif sehingga. Ia menimbulkan tanda tanya kepada saya. Apa yang menarik dalam buku ini? Apa yang dibincangkan dalam buku ini? Saya fikir, ayah seorang kerani, tidak lebih dari itu. Namun beberapa naskhah karya Iqbal, Naquib al-Attas, Senu Abdul Rahman, juga Hassan Bandung dan Hujjah al-Islam al-Ghazali, saya tahu selepas ayah tiada, bahawa ayah berfikir dan membaca, di dalam diamnya.

Ayah sememangnya tidak berkira soal buku. Seandainya kami adik beradik mahu membeli buku, pasti mudah untuk diluluskannya berbanding permintaan lain. Majalah Kuntum, Bujal, Bambino juga Gila-Gila  merupakan antara majalah yang menemani saya semasa Darjah Empat & Lima. Sekali sekala layan juga Mestika.

Apabila saya masuk ke Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, ayah memberi wang saku yang sebenarnya banyak, RM 100! Itu adalah satu jumlah yang besar ketika itu, sedangkan pendapatan ayah tidaklah seberapa. Tetapi apabila dikenang kembali, ayah akan menegur saya jangan membazir wang kalau saya beli sesuatu yang lain, selain buku. Jika buku dan majalah yang dibeli, ayah memandang dengan senang hati. Mudah-mudahan ada redha Allah di situ, kerana saya tidak sempat berbual mengenainya dengan ayah. Beliau pergi terlalu segera.

ZAMAN PRA INTERNET

Faktor yang ketiga pula, zaman itu masih belum ada internet seperti sekarang! Zaman kurang ’hiburan’. Dua perkara yang menggembirakan saya ketika itu adalah buku dan muzik. Ayah tidak gemarkan muzik tetapi menyokong saya membaca buku. Kami lima beradik dan saya yang paling bongsu. Jarak antara kami agak jauh menyebabkan saya selalu bawa haluan sendiri dan menghiburkan diri dengan membaca. ’Kera sumbang’ yang diam bagai busut di sudut rumah membaca di dalam sepi. Saya tidak pernah melihat diri saya ketika itu sebagai pembaca, kerana membaca atau tidak membaca belum menjadi topik yang masyarakat resahkan. Siapa yang membaca, membaca. Siapa yang tidak, tidak.

Ketika saya berumur 15 tahun, barulah saya disedarkan yang saya dan buku berpisah tiada. Cikgu bahasa Melayu kami, Datin Sharifah Mahiran meminta junior tingkatan satu dan dua untuk mencontohi saya dengan membawa buku ke mana sahaja, walaupun tidak membacanya! Memang pun, saya pun tidak tahu kenapa, ke mana sahaja saya pergi, saya sentiasa ada senaskhah buku atau majalah di tangan. Buat lapik kepala, buat kipas kepanasan, buat menyimpan kertas nota catatan, dan barangkali sesekali membaca. Apa yang penting, di tangan mesti ada buku, supaya gerak hati untuk membaca, sentiasa bersambut jua.

BUKU-BUKU YANG MEMPENGARUHI PEMIKIRAN

Ketika zaman sekolah rendah, saya baca buku cerita. Koleksi Noddy oleh Enid Blyton, koleksi buku cerita DBP dan macam-macam lagi. Tetapi bila saya fikir semula, saya sebenarnya lebih sukakan buku non fiksyen. Saya kurang membaca kerana mahu berseronok dengan cerita. Tetapi bacaan saya lebih kerana keghairahan untuk tahu. Apa yang ada di sana, di sini, zaman itu, zaman ini, ensiklopedia adalah minat saya nombor satu.

Apabila masuk alam persekolahan menengah, semangat Islam jadi membara. Maklumlah sekolah agama. Hampir sepenuh masa saya memberi tumpuan membaca buku-buku agama yang disebut sebagai buku-buku haraki. Buku itu membuka dunia baru buat saya, melihat alam daripada identiti baru, jika sebelum ini saya Hasrizal, kini saya Muslim, umat Muhammad, khalifah, yang ada visi dan misi baru, cetusan buku-buku itu.

Fiqh as-Sirah karangan Syeikh Said Ramadan al-Buti, Petunjuk Sepanjang Jalan tulisan Sayyid Qutb, tetapi yang lebih banyak dibaca adalah karya-karya Fathi Yakan, al-Maududi, Mustafa Masyhur dan kemudian berkenalan dengan tokoh-tokoh tempatan. Penerbit yang terkehadapan dalam menerbit buku haraki ketika itu ialah Dewan Pustaka Fajar dan Pustaka Salam. Sebulan atau dua bulan sekali, saya dan emak akan pergi ke Kuala Lumpur menaiki bas. Puduraya adalah lokasi paling ’hot’ untuk saya, kerana terdapat banyak kedai buku di situ. Ketika itulah, saya membeli buku-buku haraki tersebut. Apabila pakcik hadiahkan wang saku, pasti sebahagiannya terlabur di kedai-kedai itu.

Buku-buku haraki dan pemikiran Islam itu sangat kuat mempengaruhi pemikiran dan identiti saya, memanjang hingga ke usia dewasa.

Seterusnya apabila saya melanjutkan pengajian di Jordan, minat membaca menjadi lebih tersusun. Ketika berada di Tahun 1, kami dibawa ke rumah senior dan perkara utama yang akan dibincangkan adalah berkenaan buku. Mungkin senior paling berjasa yang mengajar saya disiplin membaca adalah Ustaz Mohd Asri (Dr MAZA). Beliau memperkenalkan buku terawal sebagai pembentuk rangka fikir saya dan rakan iaitu buku Tsaqafah al-Da’iyah oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi. Ia menampakkan kepada saya kategori-kategori ilmu dan seterusnya kategori buku yang seharusnya dibaca.

Bersama rakan, kami mempunyai minat yang sama berkaitan buku. Rasanya, majoriti pelajar zaman itu begitu. Saya yang duduk jauh di Mu’tah sana, setiap kali turun ke Amman, sembang kami mesti tentang buku. Tetapi ia tidaklah menjadikan kami geng buku, sebab membaca buku memang kerja semua orang. Sepatutnya.

Wang sara diri yang kami terima daripada penaja jumlahnya agak selesa. Selain makan minum, sewa rumah dan beberapa keperluan asas, apa lagi kegunaan wang itu selain daripada membeli buku, kini namanya ’kitab’. Beberapa bulan terawal, saya tunaikan keinginan membeli kitab yang sebelum ini terlalu mahal apabila ditinjau di pasaran Malaysia. Di Jordan, harga kitab berpuluh kali ganda murahnya! Antara kitab idaman ketika itu ialah Al Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu yang ditulis oleh Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaili.

Biasiswa sara diri bulanan itu tidak masuk setiap bulan. Selalunya dalam tiga bulan sekali. Apabila komuniti pelajar ’gempar’ dengan berita ’wang masuk’ kami akan berbondong-bodong ke Wast al-Balad, atau downtown Amman untuk membeli buku. Pagi ke tengahari mencari dan membelek buku kemudian membeli. Tengah hari, pergi makan maqlubah lauk kaki kambing atau kepalanya, kemudian sambung lagi mencari buku, dan buku. Pernah beberapa kali kami terpaksa menyewa lori pick-up untuk membawa buku-buku yang telah dibeli tersebut kerana jumlahnya yang besar.

Setelah saya masuk Tahun 2, minat saya dan rakan-rakan mula berfokus. Saya berminat dengan sejarah, khususnya yang berkaitan dengan sejarah Uthmaniyyah. Kami saling mengetahui minat masing-masing. Kawan-kawan saya tahu saya mengumpul buku mengenai sejarah Uthmaniyyah. Maka pada minggu-minggu yang saya tidak bersama mereka ke kedai buku, mereka akan cari, simpankan, malah pernah juga belikan dahulu. Zaman tiada telefon bimbit untuk bertanya, kepercayaan dan faham memahami itu menjadi asas kami bertolong-tolongan dalam kembara mencari buku.

Bukan perpustakaan yang mithali susunannya

PERPUSTAKAAN IMAGINASI SAYA

Buku mesti banyak kategori. Perpustakaan universiti perlu banyak buku induk dan rujukan primer. Tetapi perpustakaan peribadi mesti banyak buku sekunder. Kita buka kitab Majmu’ Imam Nawawi mungkin setahun hanya dua kali. Tetapi buku yang membincangkan metode Imam Nawawi, pemikirannya, isu-isu yang beliau bahaskan dan perbandingannya dengan ulama mazhab Syafie yang lain, buku itu yang membentuk kesarjanaan kita.

Di zaman pelajar Malaysia banyak duit (sebelum kejatuhan wang Ringgit era akhir 1990an), ramai juga pelajar yang membeli buku secara terikut-ikut. Suka melihat buku kulit hitam bertulis emas cantik tersusun di rak dan dinding bilik atau rumah. Sayangnya, apabila koleksi buku seperti itu, selalunya ia jarang dibuka. Lebih menyedihkan, apabila buku di dalam kehidupan pelajar sekadar hiasan dinding bilik dan rumah, apabila kesempitan wang, pelajar menjual buku tersebut, melepaskannya. Ia hak peribadi dan perlu dihormati. Cuma untuk saya, timbul rasa sayang dan terkilan. Buku itu bagai kekasih. Semasa susah dan semasa senang. Buku itu berjaya merentas zaman ratusan tahun, kenapa singgah ke hidup kita hanya setahun dua?

Buku juga apabila membanyak, mesti dikategorikan dengan baik. Semasa saya di London pada tahun 1998, saya berkunjung ke perpustakaan London Central Mosque di Regent’s Park. Sayangnya, perpustakaan itu berterabur, tidak mempunyai sistem susunan yang berkesan. Apabila buku al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu itu jilid 1 di rak ini, manakala jilid 2 di rak 10 meter dari rak ini, akhirnya semua buku yang ada macam tiada. Demikian jugalah perpustakaan peribadi, bagus jika turut boleh diindeks, dan dibuat kategori. Tertib mengkategorikan buku, dan menyusunnya, ada diusulkan oleh Sa’id Hawwa di dalam Risalah Bait al-Muslim yang terhimpun di dalam buku beliau, Kay Lā Namdhi Ba’idan ‘an Ihtiyājāt al-‘Asr.

KEBERANIAN TERBIT DARI MEMBACA

Kita tidak direzekikan hidup bersama ilmuan dan pejuang. Mereka hidup di daerah yang berlainan di zaman yang berbeza. Tetapi kematian tidak mematikan mereka. Mereka pergi, dan meninggalkan buku untuk terus membimbing dan menginspirasi kita. Apabila kita berdamping dengan karya-karya mereka, jangan sekadar ambil ilmu dan perbahasan intelektualnya. Ambil semangat sang penulis, ambil semangat perjuangannya.

Baca buku pejuang, sampai jadi pejuang. Bukan setakat semangat, tetapi dengan ilmu dan kupasan yang kental.

Kekentalan berpegang dengan kebenaran bukan lahir daripada deraan fizikal, ala-ala tarbiah dalam gelap berkubang lumpur dan tidur berdiri atas nama pejuangan. Rasulullah sallallahu ’alayhi wa sallam tidak buat begitu kepada para sahabat. Kekentalan berpegang dengan kebenaran juga tidak terpupuk dengan semangat dan emosi semata-mata. Kekentalan itu adalah dengan ilmu yang yakin, hati yang dibersihkan daripada menangguk di air keruh, tulus beragama kerana Allah, dan beragama dengan faham, bukan ikut-ikutan bukan tiru-tiruan. Kita tiada Rasul dan sahabat untuk mentarbiah. Kita tiada tokoh perjuangan yang hebat-hebat untuk jadi murabbi. Membaca karya mereka, mengambil inspirasi mereka, dan menghargai keikhlasan mereka dalam memberi, menjadikan kita yang membaca, setia dengan kebenaran yang dibawa.

ANAK MUDA, MERANTAULAH…

Membaca dan berdamping dengan buku juga sinonim dengan kembara. Pesan saya kepada anak muda agar usah sengaja melewatkan perkahwinan. Namun selagi ada peluang, merantaulah.

Merantau mengajar kita menterjemahkan teks kepada konteks. Melihat catatan tinta, di alam nyata. Buku membahaskan keberanian, merantau memberi peluang mengasahnya. Usia muda, jangan disia-siakan dengan main game, tidur, lepak dan melayan internet.

Namun, merantau selepas berkeluarga, lain ceritanya. Ia merantau yang belum tentu jalan pulangnya. Belum jelas jalan dan likunya. Semasa membuat keputusan untuk berhijrah ke Finland, krisis peribadi yang perlu saya tangani adalah koleksi buku yang tidak mungkin dapat saya bawa bersama. Ketika itu saya sedar, membaca ialah membaca, dan buku tidak semestinya baca. Banyak buku saya, yang sudah lama saya tidak buka. Berubah bidang dan fokus menyebabkan sesetengah buku tidak saya buka, untuk jangka masa yang lama.

Bagi saya, buku apabila tidak dibaca, ia hanyalah lembaran-lembaran kertas tanpa makna. Justeru, ia sia-sia. Buku memerlukan pembaca, untuk ia menjadi buku. Biar pun setiap satu buku di perpustakaan peribadi saya ada kisah di sebaliknya, saya sayang sepenuh hati, sudah bersama di musim susah dan senang selama ini, saya mesti melepaskan buku itu kerana saya perlu pergi, dan buku itu pembacanya perlu diganti.

Dengan hati yang terluka dan berat, mungkin itulah kemuncak besar kata-kata yang sering saya ulang selama ini bahawa ‘erti hidup pada memberi’, seluruh koleksi buku saya semenjak bujang hingga beranak empat, yang memenuhi perpustakaan peribadi saya selama ini, saya lepaskan ia  lillāhi ta’ālā. Saya wakafkan semua buku ke Sekolah Khalifah, untuk memulakan perpustakaan sekolah kami yang baru ini. Pihak sekolah juga berhasrat menamakan perpustakaan sekolah kami sebagai Perpustakaan Profesor Muhammad al’Mahdi Jenkins. Kini seluruh buku saya beroleh tuan yang baru iaitu Perpustakaan Profesor Muhammad al’Mahdi Jenkins. Semoga buku itu juga bertemu pembaca yang baru, dari kalangan guru dan murid sekolah kami, serta tetamu yang sudi memanfaatkannya. Di hujung benua, saya rindukan buku-buku itu, tetapi saya telah melepaskannya, demi nilai buku dan baca.

Kini hidup saya bertemankan artikel jurnal, dan koleksi ebook di Kindle. Era digital, di bidang pembelajaran, pendidikan dan teknologi. Namun saya masih saya, seorang pembaca tua, yang masih membaca dengan semangat Iqra’, pesanan dari gua Hira’, hingga ke hujung masa.

HASRIZAL
Oulu, Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.