Layla: Travelog Pemberontakan Remaja Muslim Eropah

“Kita boleh andaikan Layla ini generasi ketiga,” saya berhipotesis.

What do you mean by that?” tanya si anak.

 Generasi pertama atuk dan nenek dia, kemudian ayah dan emaknya, kemudian dia dan adiknya Younes. Generasi pertama datang ke Eropah dengan tradisi Islam yang masih kuat, tetapi berfikiran terbuka untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di situ.

Kemudian, anak-anaknya pula adalah generasi yang mendapat pendidikan Eropah. Mereka pemastautin tetap di Eropah, tetapi masih memikirkan negara asal ibu bapa mereka sebagai ‘kampung’ atau ‘home’ berbekalkan pengalaman mereka semasa kecil dahulu. Generasi kedua ini melihat kepayahan ibu bapanya untuk bertahan dari segi ekonomi dan budaya. Maka mindset mereka ialah cari kerja, settle down, kumpul duit, beri pendidikan yang baik kepada anak-anak, dan Islam pula, menjadi tradisi individu dan tidak begitu mengendahkan hal-hal politik dan solidariti umat Islam sedunia.

Anak-anak mereka pula adalah generasi ketiga. Mereka sepenuhnya lahir di Eropah, dibesarkan di Eropah dan tidak kenal kampung, tanahair, ‘home’ selain daripada negara kelahiran mereka. Mereka mungkin sepenuhnya hidup cara Eropah. Tetapi sebab rupa mereka lain, walaupun sudah native dalam berbahasa, mereka tetap dikasari oleh golongan racist yang menggelar mereka, menisbahkan mereka dengan sesuatu yang tiada kena mengena dengan mereka.

Itu yang Layla alami.

Dia Dutch.

Lahir dan membesar di Amsterdam. Semua tentang dirinya adalah Belanda. Walaupun beliau Muslim, beliau adalah Belanda.

Sebaliknya, kejadian di padang bola itu menunjukkan bagaimana golongan racist terus menerus melayan beliau sebagai ‘the others’. Nak buat apa lagi untuk jadi cukup Belanda?

Kesannya, Layla jadi benci dengan negara kelahirannya. Layla pula tiada attachment dengan negara asal keturunannya. Apa yang tulen di dalam diri Layla adalah keislaman dirinya. Dan keislaman itu layak mempunyai sebuah negara, sebagaimana bangsanya juga boleh menjadi asas sebuah negara (Morocco). Sebagaimana sebuah negara bangsa dibangunkan atas sentimen kebersamaan, berkongsi derita dan kebanggaan, demikian jugalah sebuah negara agama diacu. Penderitaan di Palestin dan Syria, diskriminasi yang dialami di Eropah, mendorong remaja seperti Layla melihat kepada sebuah negara ideal, negara Islam. Khilafah Islam.

Dahulukala, Negara Islam itu menjadi satu bayangan yang mengkiblatkan sebuah perjuangan. Tetapi hari ini, Negara Islam itu berada di depan mata, di hujung jari.

Untuk ke Negara Islam itu, halangan Layla adalah keluarganya, pendidikannya, dan segala yang membelenggunya di negara kelahiran beliau, Belanda.

Semua itu perlu terungkai satu persatu.

Step by step.

Bermula dengan pemberontakan jiwa remajanya.

Beliau mula membina persepsi;

Bapa Layla tidak cukup tegas membela dirinya semasa dikasari oleh pengadil di padang bola.

Apologetik dengan orang Belanda native dalam urusan perniagaan seharian.

Tidak simpati kepada perjuangan membela Muslim Belanda yang didiskriminasi.

Tidak simpati kepada penderitaan umat Islam di Palestin.

Tidak cukup Islamik.

Aurat.

Al-Qur’an… bukan Koran.

Tidak gusar dengan politik Geert Wilders.

Semua itu merunsingkan. Semua yang bermakna itu. Yang tidak bermakna pula adalah pelajarannya. Kawannya semenjak kecil yang tidak bertudung, Meryem. Adiknya Younes yang tidak berjanggut dan berjambang, pelat membaca al-Quran.

Apakah yang bermakna bagi Layla?

Kawan baru di dalam halaqahnya.

Kumpulan yang benar-benar mengamalkan Islam. Kumpulan yang membela nasib Muslim di Palestin dan Syria. Kumpulan yang tegas menentang kerajaan Belanda. Kumpulan yang memilih jalan perjuangan yang tulen, jihad.

Di situ Layla bertemu makna.

Layla nekad meninggalkan keluarganya.

Di dalam halaqah itu Layla berwalikan hakim bernikah dengan suaminya Abdel, anak muda yang dikenali melalui aktiviti belajar agama di Skype. Dengan perkahwinan itu lengkaplah proses Layla memisahkan dirinya daripada keluarga dan membina kehidupan mereka sendiri. 

Bersama Abdel, Layla berpindah randah daripada satu lokasi ke satu lokasi antara Belanda dan Belgium. Tindakan ibu bapanya melaporkan kehilangannya kepada pasukan keselamatan, menjadikan Eropah bukan lagi daerah selamat buat mereka berdua.

Layla dan Abdel terbang ke Timur Tengah.

Ke Jordan.

Why is she behaving like that?” anak-anak saya kegeraman.

“Kan? Tapi kita pun susah nak berpihak. Nak marahkan Layla, somehow dia juga adalah mangsa keadaan. Sifat memberontak diri tidak dilenturkan oleh diskusi hati ke hati dengan ayah dia. Sebaliknya marah, marah dan marah!” saya memberi ulasan.

Di Jordan, Layla mula tercelik mata.

Masalah yang beliau hadapi seharian bukan lagi masalah diskriminasi antara Islam dan Kafir, atau Islam dan Barat atau dengan demokrasi yang diludah. Sebaliknya, Layla tertekan dengan budaya patriarki yang meminggirkan perempuan. 

“Apa perancangan kita, Abdullah? Engkau pun tahu aku datang ke sini bukan untuk memasak ikan!” tegas Layla kepada suaminya.

Beliau mahu lebih lagi.

Bukan berkurung di rumah, mengemas katil, menghidang makan minum kepada lelaki-lelaki pejuang yang saban hari datang ke rumahnya. Hendak ke kelas al-Quran pun perlu suami temankan.

“Ini bukan Amsterdam!” kata Abdel.

“Engkau memalukan aku di hadapan Sheikh!” tegasnya lagi.

Wanita perlu submisif kepada suami. Itu kehendak Abdel. Dan Layla membantahnya. Dia tidak mahu menjadi seperti Ummu Osama, wanita Jerman yang naif itu.

Beliau bertemu dengan kerja-kerja kesukarelawan di kem pelarian Syria di sempadan melalui Senna, rakan kelas al-Quran beliau di masjid. Tetapi kerja kemanusiaan, kontras dengan kerja jihad suaminya.

Konflik antara Layla dan Abdel memuncak.

Usaha Layla untuk meninggalkan kehidupan itu dan kembali ke rumahnya di Amsterdam tidak semudah satu panggilan telefon dan satu penerbangan pulang ke Schipol.

Eropah masih berdebat hangat tentang polisi menerima pulang Layla, seorang remaja memberontak yang salah membuat pilihan, atau seorang wanita pengganas yang menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Menonton filem 2016 arahan Mijke de Jong ini di Netflix bersama anak-anak menimbulkan pelbagai topik perbualan antara kami. Soal third culture children, radikalisme, persekolahan, Islam di dalam kehidupan awam, komunikasi ibu bapa dan anak, punca radikalisme, bertudung atau berpurdah, mengapa konotasi purdah di Belanda berlainan daripada purdah di kalangan Melayu Muslim di Malaysia, dan bagaimana kita di dalam keluarga ini 10 tahun akan datang.

Ia menjadi pelajaran kepada kita bahawa usaha mengislah pemikiran, budaya, cara berfikir, yang lazimnya di bawah agenda pendidikan, adalah panjang, rumit dan melelahkan, berbanding reaksi perjuangan berani mati.

Mungkin semangat yang diperlukan untuk Islah bukanlah semangat berani mati, sebaliknya kecekalan untuk berani hidup dan terus menerus mengislahkannya.

Kesudahan filem ini tidak menggembirakan.

Namun meluangkan masa menontonnya adalah berbaloi, dengan bimbingan ibu bapa.

Hasrizal
Oulu FI

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Assalamualaikum,

    Jika dalam kerangka masyarakat Melayu Islam di Malaysia pula, bagaimana pula ya?

    Seperti anak remaja saya, yang berusaha mempertahankan pendirian daripada pengaruh budaya popular seperti K-Pop dan sebagainya, dia dilihat seperti “freak”.
    Pengaruh budaya kehidupan popular yang mudah diterokai di hujung jari yang menjadi ikutan para remaja kini jauh lebih mengganas daripada waktu zaman saya membesar sekitar 80an/ 90an dahulu.

    Akibatnya, anak kadangkala tertekan kerana di boikot. Namun Alhamdulillah, tiap kali terjadi, beliau gigih mendaki mencari kekuatan daripada Allah SWT.

    Jika Layla seolah2, diboikot oleh negara tanah kelahirannya lantaran rupa dan agamanya yang jelas berbeza.
    Bagaimana solusinya jika berlaku di tanah air nenek moyang sendiri?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.