Freedom Writers (1999): Cikgu Percaya Murid Berjaya

Resepi utama Erin Gruwell atau Ms. G adalah dirinya sendiri.

Seorang guru yang berpegang dengan keyakinan bahawa beliau adalah pendidik, dan semua muridnya boleh belajar dan diajar, berani menongkah arus, berani melawan, sanggup berkorban, biar pun pengorbanannya ada yang menjadi seperti lilin, membakar dirinya, dan kehidupannya bersama suami tersayang, Scott Casey.

Freedom Writers adalah filem arahan Richard LaGravenese, lakonan Hilary Swank berdasarkan buku The Freedom Writers Diary oleh Cikgu Erin Gruwell yang mengajar 150 murid di Woodrow Wilson Classical High School, Long Beach, California. Murid itu bukan sebarang murid. Mereka adalah murid yang dilabel sendiri oleh Pengetua dan guru-guru sekolah berkenaan sebagai ‘unteachable‘, sudah tidak boleh diajar, tiada masa hadapan, dan kita di sekolah hanya perlu ‘membeli masa’ sementara mereka cukup umur untuk meninggalkan sekolah, dan kita teruskan kehidupan.

Filem ini memaparkan kisah murid-murid yang paling ‘tak guna’, dibenci oleh sekolah kerana dianggap mencemar rekod sekolah yang dahulunya sekolah cemerlang, tetapi musnah dek ‘golongan-golongan pintar’ di dalam pendidikan yang meletakkan sekolah berkenaan di bawah program integrasi.

Dialog di bilik guru memaparkan bagaimana guru sendiri ‘meratapi’ kenangan hebat mereka suatu ketika dahulu, semasa murid sekolah berkenaan adalah murid cemerlang, yang menghargai pendidikan, yang memang mahu belajar, dan kini para guru terpaksa ‘survive’ mengadap terlalu ramai kacang hantu yang tidak mungkin boleh diubah untuk menjadi manusia yang menghargai pendidikan.

Ia adalah kepercayaan pengetua dan para guru sendiri.

Malah murid-murid itu sendiri percaya bahawa mereka ‘tak berguna’ dan datang ke sekolah itu tidak berguna serta membuang masa.

Satu-satunya makhluk yang tidak percaya dengan semua kepercayaan itu adalah Cikgu Erin Gruwell.

Ms. G.

Cikgu baru, yang naif dan idealistik, yang diperlekeh oleh Pengetua dan guru yang lebih senior, sebagai guru yang tidak berpengalaman, tak reti apa, dan ‘good luck’lah dengan kelas paling corot di Bilik 203 tersebut.

Ms. G’s “Secret Sauce”
Gruwell, Erin. The Freedom Writers Diary Teacher’s Guide . Crown/Archetype. Kindle Edition.

Di era 1990an itu, pendekatan Cikgu Erin Gruwell itu masih asing. Penyelidikan ilmiah mengenai falsafah pengajaran dan pembelajaran berpaksikan murid (student-centered) masih belum masuk ke arus perdana. Tetapi Cikgu Erin mendahului semua itu dengan berfikir secara sejahtera bahawa tanggungjawab beliau adalah mendidik, dan semua anak muridnya boleh dididik.

Apabila kurikulum yang dimandatkan tidak dapat menarik perhatian murid, Cikgu Erin tahu di mana titik hubungnya. Beliau menjadikan pengalaman dan realiti kehidupan anak muridnya yang mengekori setiap mereka ke dalam bilik darjah, sebagai sesuatu yang relevan. Sama ada album terbaru Snoop Dogg, atau kematian kawan ditembak gengster, semua itu adalah perkara yang bermakna kepada budak-budak tersebut. Guru yang memahami ‘sains pembelajaran’ tahu bahawa ‘meaning making’ sebagai asas belajar hanya akan terjadi apabila ilmu di bilik darjah dapat dihubungkan dengan realiti kehidupan murid.

Murid-muridnya adalah murid yang bergraduasi setiap hari apabila berjaya hidup. Berjaya tidak mati ditembak. Erin Gruwell masuk ke kelas dengan senyuman, dan berusaha mewujudkan suasana selamat di dalam kelasnya, hingga kelas itu menjadi ‘rumah’ buat murid-murid tersebut, dan kelas itu adalah keluarga mereka.

Kata Erin Gruwell di dalam bukunya:

At the university, I discovered that some of the pedagogical strategies I had arrived at instinctively while teaching at Wilson High were supported by research in the field of education. I learned that educational psychologists strongly support a student-centered learning model based on “internal motivation.” Students who are internally motivated feel a sense of choice in the classroom and are more likely to achieve academic success. Teachers who support “internal motivation” listen to their students, engage interest, encourage questions, and allow their students flexibility in problem solving.

Gruwell, Erin. The Freedom Writers Diary Teacher’s Guide . Crown/Archetype. Kindle Edition.

Percaya, berjaya!

Itu kuncinya.

Percaya itu besar.

Erin Gruwell terpaksa dibenci rakan kerjanya sendiri, termasuk oleh Puan Pengetua yang lebih berpengalaman, yang mengutamakan maruah serta ranking sekolah, lebih rela buku disimpan di stor daripada dibaca oleh murid yang berisiko mengoyakkannya. Erin juga diaibkan di dalam mesyuarat apabila krisis rumahtangganya dimanipulasi oleh rakan kerja untuk pembunuhan karakter, demi membuktikan beliau tidak layak terus mengajar murid berkenaan di tahun seterusnya.

Beliau dikelilingi oleh guru yang tidak percaya bahawa hubungan sihat antara murid dan guru itu relevan untuk membolehkan terjadinya pembelajaran. Erin Gruwell adalah guru muda yang tidak berpengalaman, manakala yang mengelilinginya adalah guru senior yang kaya dengan pengalaman, tetapi tidak perasan bagaimana pengalaman itulah yang menghalang mereka daripada melihat kebenaran dan kebaikan di zaman dan konteks yang berbeza.

Di dalam kelompok guru dan ekosistem pendidikan itu sendiri, wujudnya madu dan racun. Ada guru yang menghidupkan jiwa anak murid. Ada guru yang meracun dan membunuh jiwa anak murid, apabila diuji dengan murid yang bukan murid mithali.

“Membantu murid tak berguna seperti ini adalah satu penganiayaan kepada murid yang sememangnya mahu belajar” adalah kenyataan yang di muka hadapannya munasabah, tetapi di dalamnya ada jenayah terhadap profesionalisme pendidikan.

Filem ini bukan sebarang filem.

Ia kisah guru yang berjiwa pendidik, mengubah nasib 150 orang anak murid menggunakan pendekatan di luar kotak. Ia bukan sahaja non fiksyen, malah sejurus selepas penggambaran filem ini, Armand Jones yang melakonkan watak Grant Rice, salah seorang murid Erin Gruwell, telah ditembak mati oleh gengster di dalam sebuah rompakan.

Buku The Freedom Writers Diary kini adalah sebuah Yayasan.

Meneruskan usaha menyokong guru dan murid yang mahu mengubah nasib, menggunakan pedagogi yang Erin Gruwell gunakan di dalam pengalamannya, dan menyokong guru yang tidak mendapat sokongan.

Kisah ini membuktikan bahawa, apa sahaja yang Kementerian Pendidikan rancangkan, apa sahaja yang JPN dan PPD aturkan, apa jua yang Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara usulkan, kunci reformasi pendidikan adalah guru itu sendiri.

Kisah ini juga membuktikan bahawa, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya. Tak hendak seribu alasan.

Sebuah filem wajib tonton oleh semua warga pendidik, dan mereka yang percaya bahawa Adam dan keturunannya terpilih menjadi khalifah kerana mereka adalah makhluk yang belajar. Mampu belajar.

Asalkan kejahatan ditumpaskan dengan kebaikan. Dengan kasih sayang.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.