Menjadi Pejuang Pendidikan: Bagaimana Hendak Memulakannya?

Kebelakangan ini saya kerap dihubungi oleh anak muda yang bertanya soalan yang sama. Mereka berminat hendak menceburkan diri ke bidang pendidikan, terutamanya selepas tamat pembelajaran sarjana muda semasa mereka, yang saya kira bukan di bidang berkenaan.

Ia adalah perkembangan yang menggembirakan.

Suara-suara masa kini yang menuntut sebuah pendidikan yang lebih baik, adalah sesuatu yang jarang kedengaran suatu ketika dahulu. Kini ia menjadi isu semasa, kontroversi, didebatkan di media arus perdana dan media sosial. Namun perkembangan yang paling saya hargai secara peribadi ialah apabila ada anak muda yang mahu menceburkan diri ke bidang pendidikan. Sama ada mahu menjadi guru atau tidak, apa yang pasti, mereka mahu mengusahakan sesuatu untuk pendidikan yang lebih baik.

Persoalannya, bagaimana hendak bermula?

Bagi saya, permulaan yang terbaik, ialah apabila penyataan masalah lahir daripada diri anda sendiri. Anda yang menemui masalah, menekuni masalah tersebut, dan akhirnya melihat pendidikan sebagai solusi. Itu yang terbaik. Bukan melalui pembacaan atau menonton dokumentari atau filem tertentu. Tetapi hasil masalah yang ditemui sendiri.

PENGALAMAN PERIBADI

Emak saya seorang guru, sepanjang hayatnya.

Beliau ingin ada anaknya menjadi guru.

Tiada sesiapa yang menjadi guru, termasuk saya, pada suatu ketika.

Saya pernah dipanggil temuduga JQAF. Saya tidak pergi. Zaman belajar di Jordan dahulu, subjek berkaitan sains pembelajaran dan pendidikan, saya tidaklah begitu hayati.

Kali pertama saya menjadi guru, kerana terpaksa, ialah apabila saya dilantik menjadi Pengetua di Belfast Islamic School, Ireland Utara, sebagai sebahagian daripada tugasan saya sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, hos sekolah berkenaan. Semasa itu, saya bertemu dengan beberapa isu yang kritikal. Antaranya:

  1. Kurikulum yang dipakai di sekolah berkenaan diimport ada yang dari India, Mesir, Arab Saudi, Pakistan, Morocco, dan cuba diimplementasikan ke atas kanak-kanak yang hidup di dalam komuniti Ireland Utara. Sangat tidak sesuai. Tidak berempati terhadap realiti kanak-kanak berkenaan. Ada yang bapa Muslim, ibu Kristian, bapa korupsi, ibu yang baik hati. Tetapi buku menghitam putihkan Islam agama yang benar, selain Islam adalah salah, tidak meraikan kebingungan yang kanak-kanak ini hadapi.
  2. Lanjutan isu pertama itu juga, silibus fiqh berpihak kepada mazhab yang mengelirukan pelajar-pelajar daripada lebih 20 negara. Ajar solat subuh berqunut, anak-anak Pakistan kehairanan. Ditinggalkan qunut, anak orang Nusantara kebimbangan. Menghuraikan khilaf mazhab kepada kanak-kanak, adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Sesuatu perlu dilakukan mengenainya.

Saya cuba mencari solusi.

Saya mendaftar diri di dalam program Sarjana Pendidikan di The Open University, UK. Tetapi penyataan masalah saya masih belum kuat. Tanpa background knowledge di dalam pendidikan, saya berhempas pulas dengan pengajian berkenaan. Saya tidak menghabiskannya, pulang ke tanahair mengejut pada tahun 2004.

Di Malaysia, saya tidak mempunyai sebab untuk menceburkan diri ke bidang pendidikan. Tetapi untuk sebab-sebab yang pelbagai, saya banyak melibatkan diri di dalam program bersama pelajar universiti, pelajar kolej dan murid sekolah. Sambil mengendalikan program, saya sentiasa berfikir, mengapa masalah-masalah ini terjadi. Masalah-masalah yang saya maksudkan itu adalah masalah cara berfikir.

Selama sekitar 10 tahun, berprogram bersama pelajar nakal, pelajar lemah, pelajar pintar, pelajar genius, semua jenis pelajar, saya dapati, satu isu semakin membimbangkan. Kecemerlangan akademik pun seakan-akan tidak mempunyai sebarang makna kerana masalah tersebut meruncing. Ketika itu saya tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkannya. Istilah yang sering saya guna ialah, pelajar sekarang tiada common sense.

Kenapa?

Saya tiada jawapan, saya tiada ilmu mengenainya.

Tetapi ada sesuatu yang tidak kena dengan sekolah dan sistem pendidikan semasa.

Minat saya ketika itu adalah masih di bidang sejarah. Bermula dengan sejarah politik dan ketenteraan yang lazim, beralih ke sejarah pemikiran dan intelektual. Daripada Immanuel Kant, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau, membawa ke Muhammad Abduh, Buya Hamka, Syed Sheikh bin Ahmad Al-Hadi dan akhirnya Imam Birgivi, saya semakin lama semakin pergi ke daerah yang lebih khusus, bahawa jika ingin melakukan islah yang sebenar-benarnya di dalam masyarakat, ia memerlukan usaha islah pendidikan. Akhirnya, keturunan Adam a.s berfungsi sebagai khalifah apabila mereka mampu berfikir dan terus belajar, bertukar menjadi makhluk perosak apabila mereka ada masalah berfikir dan cacat pendidikannya.

Apabila anak-anak saya sendiri mula bersekolah, kebingungan saya mengenai isu pendidikan menjadi semakin peribadi. Ia bukan lagi urusan kerja atau wahana intelektual, tetapi masalah di depan mata. Saya melihat sendiri bagaimana persekolahan sangat cepat merosakkan apa yang saya pupuk kepada anak-anak. Kenapa jadi macam ini?

Saya dan isteri menyekolahkan anak di sekolah swasta, walaupun silibusnya masih mengikut kurikulum kebangsaan. Saya berperang dengan kandungan pembelajaran bukan sahaja kerana anak saya berdepan dengan kesulitan mempelajarinya, saya sendiri tidak bersetuju dengan apa yang dipelajari. Baik matematik yang terlalu ambitious, begitu juga pendidikan Islam yang seperti tidak sabar-sabar mahu mengGhazalikan anak kecil ini.

Tindakan menyanggah kandungan persekolahan menyebabkan saya mengeluarkan anak daripada sekolah pertama, dan memindahkannya ke Khalifah Model School (KMS). Sekolah kali ini berbeza, kerana ia mensyaratkan ibu bapa menyertai program keibubapaan yang sekolah anjurkan. Apa yang sekolah buat, ibu bapa perlu sama-sama buat di rumah. Semasa itulah saya berkenalan dengan Khalifah Method, istilah law of learning, character shaping dan sebagainya. Saya gembira ditunjukkan apa yang saya tidak tahu, dan bagaimana saya boleh belajar untuk tahu.

Akhirnya, saya sendiri menjadi kakitangan sepenuh masa di Yayasan Pendidikan Khalifah pada tahun 2014.

Apabila saya diamanahkan oleh Board of Directors untuk meneliti Khalifah Model School (Secondary) yang baru dibuka, saya sedar yang saya hanya ada kesedaran, tetapi tiada ilmu untuk menjayakan reformasi pendidikan. Di sinilah bermulanya, saya menceburkan diri ke bidang pendidikan.

BAHAN-BAHAN BACAAN AWAL

Antara bahan bacaan awal yang kuat mempengaruhi idea saya tentang pendidikan ketika itu ialah:

Weapons of Mass Instruction oleh John Taylor Gatto. Ia menjelaskan tentang sejarah sebenar di sebalik konsep persekolahan yang kita kenal pada hari ini, apakah tujuannya dan mengapa ia begitu. Membaca buku ini menyebabkan saya terasa seperti mahu homeschool anak kami. Namun, saya masih mahu melakukan sesuatu ke atas persekolahan.

The End of Education: Redefining the Value of School oleh Neil Postman. Buku ini membantu saya berfikir tentang kehilangan hala tuju wacana pendidikan yang sibuk berbincang mengenai aspek-aspek teknikal berkaitan dengan pendidikan tetapi mengabaikan topik paling induk iaitu apakah tujuan sebuah pendidikan.

The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education oleh Muhammad Naquib Syed Al-Attas. Buku ini saya baca sebagai muqaddimah kepada wacana ilmuan Muslim mengenai idea pendidikan.

Al-Rasūl al-Mu’allim wa Asālibuhu fī al-Ta’līm oleh Sheikh ‘Abd al-Fattāh Abū Ghuddah atau terjemahan bahasa Inggerisnya, Prophet Muhammad The Teacher, adalah sebuah buku bersifat groundbreaking yang cuba menganalisis metode Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam di dalam pendidikan. Sheikh ‘Abd al-Fattāh Abū Ghuddah telah meninggalkan legasi yang amat berguna pada mendedahkan kita semua kepada ‘silent pedagogy‘ yang terkandung di dalam sunnah baginda.

Selepas membaca empat buku ini, saya menjadi overwhelmed dan bingung bagaimana hendak bertindak. Saya berada di daerah pendidikan sebab saya mahu melakukan sesuatu. Pendidikan bukan ‘permainan’ untuk kepuasan intelektual, sebaliknya ia adalah berorientasikan action. Apa yang tidak boleh dibuat, tiada nilai dalam sebuah pendidikan.

Buku yang saya baca untuk menjadi lebih praktikal adalah Permission To Forget: And Nine Other Root Causes Of America’s Frustration With Education oleh Lee Jenkins . Buku ini memperkenalkan saya kepada idea reformasi pendidikan, mengapa ia berhasil dan tidak berhasil. Antara isi utama buku ini yang berbekas di ingatan saya ialah bagaimana pengalaman menjadi musuh utama guru membuat perubahan, tertipu dengan pengalaman yang banyak sebagai sebab mengapa cara yang dilakukannya sebagai betul.

Sebuah lagi buku yang saya kira amat membantu saya membina set minda yang berfungsi mengenai pendidikan adalah sebuah buku yang dihadiahkan oleh seorang rakan. Saya tekankan bahawa ia adalah hadiah kerana buku ini harganya amat mahal untuk saya beli. Harganya untuk versi Kindle ketika itu mencecah USD160. Buku yang saya maksudkan ini ialah Teachers Schools and Society 10th Edition, oleh David M. Sadker. Buku ini mencakup keseluruhan aspek pendidikan seumpama sebuah buku teks lengkap untuk seseorang menjadi guru yang berpemikiran. Akan tetapi, aspek paling berjasa yang saya petik daripada buku ini adalah analisis Sadker mengenai falsafah pendidikan yang lima iaitu:

  1. Teacher-centered essentialism
  2. Teacher-centered perennialism
  3. Student-centered progressivism
  4. Student-centered social reconstructionism, dan
  5. Student-centered existentialism

Buku ini diperkenalkan kepada saya oleh Dylan Chown yang menjadi guru semasa mengikuti kursus ITEP yang saya akan jelaskan selepas ini. Sehingga ke hari ini, selepas berkenalan dengan pelbagai literatur pendidikan dan jurnal penyelidikan, buku ini masih saya selak dan semak dari semasa ke semasa. Sangat berbaloi.

Kesemua pembacaan, penyelidikan dan pemerhatian yang dibuat, menjadikan saya dahagakan latihan khusus. Saya tidak mahu ijazah atau apa-apa kelulusan akademik. Saya cuma perlukan latihan dan maklum balas untuk menjayakan tanggungjawab saya mereformasi Khalifah Model School (Secondary) ketika itu.

Syukur dengan izin Allah, saya ditemukan dengan sebuah program atas talian yang dikenali ketika itu sebagai Islamic Teacher Education Program (ITEP) yang dikendalikan oleh Razi Education yang berpusat di Toronto Kanada. Ia dikendalikan pensyarah-pensyarah yang berada di Australia, USA dan Kanada, dengan pelajar daripada kalangan guru-guru di sekolah Islam di seluruh dunia. ITEP menghubungkan saya dengan komuniti yang amat sangat saya perlukan, dan lebih utama ia dijalankan sepenuhnya di atas talian, meliputi tiga modul iaitu:

  1. Islamic Education: Purpose and Pedagogy
  2. Integrating, Infusing, Initiating: Designing Curriculum for Islamic Schools
  3. Implementing Islamic Pedagogy in Schools
https://youtu.be/RusVvXtyDfg

Bolehlah saya katakan, program ITEP ini adalah usaha yang paling mencorakkan pemikiran saya hari ini mengenai pendidikan, khususnya pendidikan Islam. Sayangnya program ini sudah tidak diteruskan lagi dan saya sebagai kohot ke-11 adalah kumpulan terakhir yang mengikuti program ini sebelum ia ditamatkan.

SISTEM PENDIDIKAN FINLAND

Pada sekitar tahun 2013 saya mula meneliti sistem pendidikan Finland apabila berkenalan dengan Ville, rakan saya semasa berkursus sebulan di Istanbul. Apa yang menarik perhatian saya ketika itu ialah Finland menggunakan banyak pendekatan yang terbalik daripada apa yang dilakukan di Amerika Syarikat, dan ironinya, banyak yang selari dengan idea-idea pendidikan Islam. Buku pertama yang saya baca mengenai sistem pendidikan Finland ialah Finnish Lessons 2.0: What Can the World Learn from Educational Change in Finland? oleh Pasi Sahlberg.

Bacaan saya terhadap buku ini menguatkan azam saya untuk belajar secara hands on tentang sistem pendidikan Finland. Pada Julai 2015, saya telah ke Helsinki, Finland untuk mengikuti Helsinki Summer School di University of Helsinki di dalam modul ‘Understanding Finnish Education: Between Myth and Reality’. Kursus intensif selama sebulan ini membersihkan ‘imaginasi melampau’ yang terbentuk serba sedikit daripada pembacaan saya (dan kebanyakan kami di dalam kursus berkenaan) daripada buku Pasi Sahlberg yang disebutkan tadi.

Ini adalah bahan-bahan bacaan, dan latihan awal saya yang telah saya manfaatkan untuk membentuk minda saya sebagai seorang Muslim yang cuba berfikir mengenai pendidikan bukan dengan sentimen emosi atau isu semata-mata, tetapi berasaskan kepada ilmu dan penyelidikan. Perjalanan saya masih jauh dan saya masih bertarung dengan pembelajaran di Finland.

Saya percaya, kekuatan untuk melakukan islah di dalam pendidikan ialah pada ilmu, dan buat. Ada pun mandat politik dan kesediaan kerajaan dan pelbagai institusi untuk melakukan perubahan, jika ia ada Alhamdulillah, dan jika ia tiada, kita teruskan usaha seperti biasa.

Bagi anak muda yang berminat dengan pendidikan, inilah serba sedikit bahan yang boleh saya sarankan sebagai pemula kepada perjalanan panjang untuk berjuang di bidang ini. Jika anda tanya saya apakah ada biasiswa untuk menyambung pelajaran di bidang pendidikan, saya tiada maklumat mengenai hal ini. Ia bukan bidang yang menjana keuntungan, kecuali dipandang secara jangka panjang. Maka untuk mendapat biasiswa yang formal, anda mungkin perlu mencarinya melalui jalan akademik dengan menjadi tutor di universiti, yang mahu membiayai pembelajaran anda ke peringkat tertinggi untuk anda bekerja dengan universiti.

Namun begitulah.

Jika sudah bekerja di universiti, jalan islahnya jadi berliku.

Jika anda benar-benar berazam mahu membuat pengkhususan di dalam bidang pendidikan Islam, saya ada satu cadangan.

Selepas ITEP ditamatkan pada tahun 2016/2017, kebanyakan tenaga pensyarah terbabit telah memindahkan kepakaran mereka ke The Centre for Islamic Thought and Education di The University of South Australia. Program pertama berakreditasi ini ditawarkan di tiga peringkat iaitu Graduate Certificate in Islamic Education, the Graduate Diploma in Islamic Education dan the Master of Teaching (Secondary) with a minor in Islamic Pedogogy.

Inilah program terbaik yang boleh saya cadangkan pada masa ini.

Untuk alternatif percuma dan memerlukan banyak inisiatif sendiri, teruskan mengikuti perkongsian saya di halaman Facebook My Learning Journey, dan di blog ini, biiznillah.

Hasrizal
Oulu Finland

[WD_FB id=”1″]
Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Banyak sungguh buku yang ustaz baca. Terima kasih atas perkogsian. Sedarlah saya bahawa, bahan bacaan apa yang kita baca itu juga sangat penting untuk mengejar cita-cita dan impian kita. Malas-malas pun tak boleh..banyak cakap pun tak boleh. Kena banyak diam. Baca. Fikir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.