Merombak Paradigma Mendidik Kanak-kanak Dengan Kekerasan

Kebelakangan ini saya termenung membawa fikiran merenung hantaran di Instagram dan Facebook Page tempoh hari. Bagaimana perkara paling asas iaitu memberhentikan kekerasan terhadap kanak-kanak pun, boleh mengundang debat dan khilaf yang mendalam.

Hadith-hadith Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam pun dipulas-pulas untuk memenangkan dimensi ‘dengan kekerasan pun masih jadi orang’. Berpandukan pengalaman.

Ia mengingatkan saya kepada kata-kata Franz Rosenthal bahawa jika kita ingin memahami wajah sebenar sebuah masyarakat, lihatlah bagaimana sikap mereka terhadap kanak-kanak.


“In order to gain an understanding of the concept of the world and of man that prevails in a given civilization it is quite useful to observe the attitude of the representatives of that civilization toward the child, as that attitude reflects the general outlook on many fundamental problems of human relationships… (F. Rosenthal, ‘Child psychology in Islam’, Islamic Culture 26 (1952), p. 2)

… it is not ‘economic class nor social class but ‘psychoclass — shared childrearing modes – that is the real basis for understanding motivation in history. . . . Rather than (history) being mainly about adult men’s activities you will see how history is first determined in families by women and children as well as by men, and only later on reflected in adult public activities.” (L. De Mause, ‘What is psychohistory?’, The Journal of Psychohistory 9(1981), pp. 181, 183.)

Ia sudah disebut awal oleh Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam bahawa mereka yang tidak mengasihi kanak-kanak kita, bukan dari kalangan kita. Tetapi wajah Islam kita yang secara terang diteladankan oleh baginda, kalah oleh kalam-kalam jahiliah malah menyantuni kanak-kanak dianggap sebagai pengaruh Barat.


Ibn Khaldun pada abad ke-15 melalui pemerhatiannya telah menjelaskan bahawa kebiasaan sesebuah masyarakat mendidik kanak-kanak dengan kekerasan menghasilkan orang dewasa yang merosot kemanusiaannya. Pemalas, tidak jujur, bergantung kepada orang lain, takut bercakap benar dan membela kebenaran, dan pelbagai karakter yang menyumbang kepada penyakit sosial.

Menyedari betapa serabutnya kita hari ini, kita bukanlah ‘orang’ yang sepatutnya dijadikan penanda aras anak kita nanti patut jadi macam mana. Mereka berhak menjadi lebih baik daripada kita.

APLIKASI DI SEKOLAH

𝗕𝗘𝗥𝗟𝗘𝗠𝗔𝗛 𝗟𝗘𝗠𝗕𝗨𝗧 𝗡𝗔𝗠𝗨𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗧𝗘𝗚𝗔𝗦

Saya coretkan di sini beberapa cadangan yang pernah diterima atau sekurang-kurangnya dibincangkan untuk pendisiplinan di Khalifah Model School – Secondary kami di Malaysia.

Apabila kami memulakan operasi sekolah menengah, cabaran besar yang kami hadapi adalah masalah disiplin murid. Mereka bukan lagi kanak-kanak. Mereka sudah remaja. Kita faham remaja macam mana. Mereka juga sudah hidup 12 ke 13 tahun. Jika keluarga mereka baik, mereka sudah hidup 12 atau 13 tahun dalam kebaikan. Jika keluarga bermasalah, maka mereka dibelenggu masalah yang kronik. Demikian juga jika semasa sekolah rendah mereka sejahtera, mereka datang ke sekolah kami dengan diri yang sejahtera. Jika pengalaman sekolah rendah mereka tidak baik, kami menerima pelajar yang bermasalah.

Penegasan kita suatu ketika dahulu ialah, walau apa pun yang berlaku, tindakan yang sekolah ambil ke atas pelajar mesti mempunyai nilai pendidikan. Mesti mendidik walaupun semasa menghukum. Dan nilai pendidikan mesti bukan direka-reka tetapi dijustifikasi dengan benar.

Modal paling besar untuk buat benda ini ada dua:

  1. ILMU. Kena cari ilmu dan tingkatkan kefahaman tentang tingkah laku pelajar.
  2. GURU. Ia memerlukan guru yang komited dengan nilai ini.

Ilmu boleh diusahakan.

Guru, besar cabarannya.

Guru yang panggil murid bodoh atau berbahasa kesat, kami beri peringatan dan jika tidak berubah, kami tamatkan perkhidmatan. Guru yang mendedahkan murid kepada risiko, kami berpihak kepada kepentingan, kebajikan dan keselamatan murid. Ia sudah difahami oleh semua guru, daripada awal bertugas di sekolah. Jika ingin melempias mazmumah ke atas murid, maka anda tidak selamat bekerja membabitkan kanak-kanak.

Cari kerja lain.

Contoh kejadian (maaf pelajar, saya berikan contoh di sini untuk dipelajari bersama):

1. Kejadian curi

Kami batalkan kelas seluruh hari tersebut. Semua pelajar dibabitkan di dalam proses penyelesaian. Setiap murid diberi peluang sama ada mengaku salah jika salah, atau memaklumkan kesaksian jika saksi, tanpa diaibkan atau dimalukan, atau ditakutkan. Prosesnya panjang, dari pagi sampai Maghrib. Sampai selesai.

Hal ini hanya boleh terjadi jika guru dan sekolah menerima asasnya bahawa pendidikan bukan hanya akademik. Sebaliknya proses menyelesaikan masalah disiplin juga adalah pembelajaran dan mempunyai nilai yang cukup untuk memberhentikan kelas akademik. Sesuatu yang murid tidak akan dapat belajar daripada buku dan di dalam kelas.

2. Babitkan ibu bapa

Apabila beberapa kali dinasihati tetapi gagal berubah, kami panggil ibu bapa dan duduk bersama. Jelaskan salah laku itu apa dan mengapa ia perlu diperbaiki. Ibu bapa perlu nasihatkan anak-anak bersama kami. Semasa ibu bapa baran dan hendak berlebih-lebihan memarahi anak sendiri, kami ingatkan supaya bertenang, dan fokus kepada memahamkan anak ‘magnitude’ kesalahan tanpa perlu mengancam, menakutkan, atau memalukan. Kami tidak pandang rendah kepada ibu bapa yang anak nakal. Semua remaja berpotensi nakal. Apabila mereka nakal, mereka perlu diubah untuk kebaikan mereka. Tiada isu air muka mak ayah atau maruah sekolah sebab kami tidak endahkan hal tersebut.

3. Hukuman Sepakat Antara Ibu Bapa, Sekolah dan Murid

Selepas proses memahamkan kesalahan pelajar, implikasi kesalahan mesti ada. Kami tidak sewenang-wenang menggantung persekolahan pelajar kerana ia boleh jadi macam-macam. Ia boleh menjadi ‘ganjaran’ dan bukan hukuman. Ia boleh merisikokan keadaan lebih buruk jika salah saluran. Maka hukuman mesti ‘personalised’ dengan kerjasama ibu bapa. Ada ibu bapa yang berbincang dengan pihak masjid, murid tidur di masjid dan berulang ke sekolah dari masjid tersebut semasa tempoh penggantungan. Dan sebagainya.

4. Sentuhan Warga Emas dan Keluarga Angkat

Pelajar yang sukar untuk dinasihati, jalan dipanjangkan leteran. Ia tidak membantu dan hanya membanyakkan masalah. Pihak sekolah berpakat dengan rumah perlindungan warga emas. Pelajar yang bermasalah, kami hantar buat attachment di rumah berkenaan. Mereka melayan warga emas dan atuk dan opah ‘angkat’ di rumah berkenaan juga melayan pelajar kami sebagai cucu kesayangan mereka. Sampai pelajar itu berubah. Diubah dengan kasih sayang yang diberi dan diterima.

Usaha yang belum pernah dibuat ialah menumpangkan pelajar bermasalah ke rumah keluarga angkat yang sudi membela murid kami dengan peraturan keluarga berkenaan. Jika keluarga itu tinggal di desa, bertani, anak-anak turut sama ke bendang, maka pelajar kami kena buat benda yang sama seperti anak keluarga tersebut. Boleh jadi di Malaysia. Boleh sahaja jika di Indonesia, atau Thailand. Niat ada. Buat belum lagi.

5. Interaksi Dengan Kanak-kanak Kecil

Ini projek yang belum berjaya dijalankan. Saya usulkan pada tahun 2015 agar dibuat kelab membacakan buku cerita kepada kanak-kanak. Seumpama pasukan marhaban, pasukan ini adalah pasukan yang boleh dijemput ke kejiranan, dan acara-acara lain yang bersesuaian, untuk membacakan buku cerita kepada kanak-kanak. Interaksi dengan kanak-kanak kecil diharapkan dapat menimbulkan empati dan rasa kasih sayang di dalam diri pelajar kami yang remaja.

Demikian juga interaksi dengan haiwan. Berpotensi memupuk empati.

6. Psikologis Sekolah

Perkhidmatan ini diusahakan. Tidak mudah kerana kekurangan tenaga profesional, dan sumber kewangan untuk menjayakannya. Tetapi di dalam kes-kes yang memerlukannya, kami mempunyai profesional yang boleh dihubungi untuk membantu walaupun di luar rutin.

7. Kerjasama Dengan Polis

Di dalam kes-kes yang melangkaui bidang kuasa dan keupayaan sekolah, kami bekerjasama dengan pihak polis untuk mereka juga menjalankan tugas mereka ke atas warga sekolah kami. Pelajar dan guru juga maklum, jika kesalahan yang dibuat jatuh di dalam kategori jenayah dan membabitkan perlanggaran undang-undang, maka pihak sekolah dengan tegas (tanpa kekerasan) akan melibatkan pihak polis bagi bekerjasama, atau mengambil alih kes berkenaan.

RUMUSAN

Mengaibkan pelajar, menjerkah, mengherdik, mencedera, mengugut dan menakut-nakutkan mereka, tidak diterima sama sekali. Jika ada guru buat, kami tidak normalisasikan ia dan berusaha mengatasinya untuk kebaikan guru dan murid bersama.

Lembut tapi tegas bukan manja. Lembut tapi tegas bermaksud, kami tidak menggunakan cacian, renungan mata yang menyakitkan hati, atau tangan yang menampar serta intonasi suara yang datang daripada nafsu amarah. Namun tegas pula, ialah apabila salah ia salah. Apabila pilihan itu bertentengan dengan apa yang sepatutnya, ia mesti menerima akibat (consequences) walau siapa pun pelakunya.

Sempurnakah?

Tidak.

Masih banyak yang perlu diperbaiki dan dibetulkan. Ramai juga ibu bapa yang memberhentikan anak, atau kecewa, apabila sekolah tidak dapat bertindak dengan tindakan yang sepatutnya. Kami faham dan kami raikan keputusan ibu bapa.

Kelemahan sekolah, kami tidak sorok. Kami mohon maaf jika usaha tidak mencapai ‘expectation‘. Kami juga berterima kasih kepada ibu bapa yang bekerjasama membantu sekolah sama-sama mendidik anak dan anak murid yang sama-sama dikasihi. Bermuka-muka, bukan ajaran Islam.

Hanya kebaikan yang dapat menumpaskan kejahatan.

Murid sekolah kami tidak ramai?

Ada 1001 lagi alasan untuk keterangan kami dianggap tidak relevan. Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih. Mana yang boleh diteladani, Alhamdulillah. Kami sekadar jelaskan apa yang kami buat. Apa yang anda buat, adalah pilihan anda sendiri.

Saya juga telah hampir 4 tahun meninggalkan tanahair, tidak terbabit di dalam pengurusan sekolah secara mikro. Justeru banyak juga perubahan yang mungkin berlaku, namun Insya-Allah masih kekal dalam lingkungan prinsip yang sama.

Berhentilah daripada menjadikan kekasaran sebagai pendekatan asas dalam mendidik.

Agama tak sokong, sains tak sokong, sejarah tak sokong. Yang menyokong hanyalah imaginasi kita bahawa kita berjaya jadi ‘orang’…. orang yang mengharuskan sesuatu yang ditolak semua rujukan kebenaran.

Semoga kita tidak lelah di jalan islah.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.