Teladan Pasca Lawatan ke Sekolah Finnish

Lawatan pendidik dan pentadbir pendidikan dari Taiping ke Oulu Finland baru-baru ini.

Kali pertama saya melawat sekolah Finnish adalah pada bulan Ogos tahun 2015, semasa menyertai Helsinki Summer School.

Lawatan ketika itu, saya hadkan implikasinya kepada menginspirasikan saya untuk melakukan dengan lebih baik apa yang telah saya lakukan, dan tidak cuba melakukan sesuatu yang baharu sekadar berdasarkan apa yang saya lihat di sekolah berkenaan.

Seperti manusia yang cantik dan kacak, di sebalik rupa luaran yang menimbulkan rasa teruja, di sebalik kulit ada tulang, organ, darah malah najis yang perlu diketahui dan difahami bagaimana semuanya berfungsi.

TERUSKAN

Perkara yang telah pun berlaku, dan hendak terus dilakukan dengan lebih baik di Khalifah Model School pada masa tersebut, antaranya ialah:

  1. Guru menyantuni murid dengan empati. Salah laku cuba difahami secara holistik dan tidak bertindak secara reaktif dan amarah, kerana tiada murid buat perangai tanpa sebab.
  2. Mengurangkan ‘vibe’ negatif di sekolah. Jika nampak masalah, selesaikan. Bukan sebarkan atau jangkitkan emosi negatif kepada orang lain yang tidak berkait. Tamatkan masalah di tangan penemu masalah dan penyelesainya. Tingkatkan kualiti komunikasi di WhatsApp Group dan Telegram para guru, juga yang membabitkan ibu bapa.
  3. Terus mempelbagaikan cara murid belajar secara terancang dan bukan hanya dengan intuitif melalui active learning, inquiry learning, dan contextual learning pada masa tersebut.
  4. Merancakkan integrasi subjek melalui projek dengan galakan dan insentif kepada guru. Integrasi organik melalui perbincangan para guru secara mendalam, daripada peringkat epistemologi hingga ke implementasi dan pentaksiran.
  5. Mengukuhkan experiential learning melalui semester LLM (Lifelong Learning Module) sedia ada.

BERHATI-HATI DAN TERUS MENCARI ILMU

Ada beberapa amalan di sekolah Finnish pada masa itu yang saya teruja, tetapi tidak tergesa-gesa merumuskan apa-apa mengenainya kerana saya andaikan ia sebagai sesuatu yang sangat kompleks, memerlukan kefahaman yang lebih luas dan mendalam mengapa ia begitu.

Misalnya:

  1. Amalan ketua kelas secara bergilir mengikut minggu antara murid di setiap kelas, dan tiadanya ‘latihan kepimpinan’ untuk pelajar melalui pengucapan awam kerana kata guru, “kami berpendapat semua murid mesti diasuh memiliki kebolehan memimpin diri sendiri. Bukan segelintir sahaja yang akan memimpin, tetapi semua.”
    • SEBABNYA, saya perlu faham dengan lebih lanjut budaya dan cara berfikir masyarakat egalitarian Finland berbanding masyarakat Malaysia dan Melayu yang lebih feudalistik. Kebolehan setiap murid memimpin juga bukanlah melalui ‘latihan kepimpinan’ yang bersifat ‘appended’ (dilanjutkan daripada kurikulum sedia ada melalui aktiviti tambahan dan ko kurikulum). Sebaliknya ia tertanam secara organik di dalam semua pembelajaran setiap individu melalui sains pembelajaran yang kita fahami di bawah kata kunci SELF REGULATED LEARNING (SRL) atau Pembelajaran Regulasi Kendiri.
  2. Sekolah tiada perhimpunan pagi menyanyikan lagu kebangsaan atau lagu negeri atau lagu sekolah serta pembacaan ikrar.
    • SEBABNYA, saya perlu faham banyak ritual sekolah itu tidak wujud kerana sekolah di sebuah negara adalah institusi functionalism yang menjadikan sekolah sebagai ‘pusat latihan’ memberi pendidikan kepada sekumpulan manusia agar mereka menjadi rakyat yang berguna kepada agama, nusa dan bangsa, manakala sekolah di sebuah negara lagi adalah institusi yang lebih bersifat interactionism di mana murid datang sebagai individu yang perlu menerima bimbingan agar setiap mereka dapat mengembangkan potensi diri, menjadi individu moden yang dapat berfungsi di dalam semua keadaan dan seterusnya membawa pelbagai kebaikan kepada persekitarannya. Ada negara yang pemimpinnya berfikir apa yang murid patut buat untuk negara, dan ada negara yang pemimpinnya berfikir apa yang negara patut buat untuk membantu kanak-kanak.
  3. Cikgu tidak menyediakan lesson plan, tiada pemantauan dan penaziran, pengetua tidak membabitkan diri dengan hal ehwal bilik darjah, guru bebas datang ke sekolah dan pulang tanpa punch card, sekolah tiada pagar, tiada pengawal keselamatan.
    • SEBABNYA saya perlu faham bagaimana budaya TRUST yang sangat berakar umbi di dalam masyarakat Finnish itu terhasil. Ia pastinya bukan melalui sebab tunggal secara simplistik seperti agama, ekonomi, dan sebagainya). Meneroka bagaimana budaya TRUST ini perlu pergi hingga kepada mendalami psikologi individu di sesebuah masyarakat bermula daripada kelahiran mereka, bagaimana mereka dijaga dan dibesarkan oleh ibu bapa, paradigma masyarakat tentang kanak-kanak dan keperluannya hingga akhirnya apabila satu individu Finnish berdiri di sebelah satu individu ‘Melayu’ macam saya, perbezaan utama bukan pada warna kulit, mata dan rambut walaupun itu yang ditangkap oleh mata. Tetapi perbezaannya ialah bagaimana mental dan cara berfikir, serta emosi dan cara mereka berperasaan terhadap persekitaran kesan proses kehidupan itu tadi.
  4. Pendidikan di Finland percuma, bermula daripada pendidikan komprehensif Tahun 1 hingga ke PhD.
    • SEBABNYA, pendidikan percuma itu datang daripada satu sistem yang kompleks, melihat pendidikan sama ada sebagai satu kemewahan dan kelebihan, atau sebagai hak asasi manusia yang perlu dipertahankan dan menjadi keutamaan dalam apa jua keadaan. Ia bukan sahaja bergantung kepada polisi kerajaan untuk menentukan berapa kadar cukai yang hendak dikenakan, dan bagaimanakah kesanggupan rakyat untuk membayar cukai yang tinggi, tetapi ia juga berbalik kepada cara hidup masyarakat yang minimalist, mengutamakan jaring keselamatan sosial berbanding kemahuan individu yang tidak terbatas.

JURANG BUDAYA

Hal-hal ini menyebabkan saya sedar bahawa sebulan berada di Helsinki dan satu dua lawatan ke sekolah tidak cukup untuk saya melaku reformasi besar-besaran.

Hal-hal ini menyebabkan saya sedar bahawa sebulan berada di Helsinki dan satu dua lawatan ke sekolah tidak cukup untuk saya melaku reformasi besar-besaran. Jurang budaya itu rumit. Tetapi jika ia cukup untuk mengubah pandangan saya sendiri terhadap profesyen saya sebagai seorang pendidik, dan bagaimana kita melihat anak murid yang diamanahkan kepada diri ini untuk mendidik.

Impak itu bagi saya, ia sudah begitu besar.

Apabila timbul rasa marah kepada murid yang degil, saya sejukkan hati yang panas dengan membayangkan salji Finnish. Saya kenang wajah kanak-kanak Finnish yang berlari di dalam salji, mengotorkan pakaian, dan dengan penuh keyakinan berbual dengan kita bagai ayam menyapa itik, tanpa takut.

Tujuannya, agar saya sentiasa sedar bahawa anak murid saya di sekolah, malah di negara kita keseluruhannya, anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban, anak Serani, anak Kadazan, adalah anak-anak, buatan Tuhan, di atas muka bumi yang sama, yang semuanya lahir dengan fitrah murni.

Ada yang berkembang baik kerana direzekikan hidup dalam kehidupan yang baik, ada pula yang berkembang cacat kerana ditakdirkan lahir dalam unit keluarga dan masyarakat yang sakit.

Saya bukan ibu bapa mereka dan tidak berkuasa mengubah apa yang hanya boleh diubah oleh ibu bapa mereka sendiri.

Namun saya sebagai pendidik, ilmu dan latihan saya sebagai pendidik memberikan saya ‘kayu sakti’ untuk mengubah keadaan itu, iaitu akal yang terpimpin, dan sekeping hati yang pengasih, membalas segala kejahatan bukan dengan kejahatan, tetapi dengan sesuatu yang lebih baik, dengan ’sayang yang saintifik dan berstrategi’ kerana itu janji Tuhan untuk menukar musuh menjadi teman.

Menawan kehuru haraan dengan ilmu dan kemahiran, menerusi pembelajaran saya sendiri, sepanjang hayat.

Terima kasih kepada pendidik Malaysia yang sudi singgah ke bumi Finland.

Catatan saya di atas hanya sisi pandang saya dan tidak semestinya demikian cara kalian bersintesis. Cuma asasnya adalah sama pada cadangan saya iaitu, ada yang teruskan, dan ada yang memerlukan pengamatan yang lebih mendalam.

Selamat pulang ke tanahair untuk meneruskan perubahan yang sudah pun sebenarnya bermula.

Think big, act ‘small’.

Act smart.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat

Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.