Tragedi Akidah di Sisi Tragedi Wabak Berjangkit di Dalam Lipatan Sejarah

Sebagaimana persoalan anti vaksin yang pernah dikupas sebelum ini, apabila timbul isu langkah pencegahan, kawalan, dan rawatan ke ekoran wabak COVID19 semasa, apa yang membingungkan kita adalah pendapat yang diluahkan oleh netizen di dalam nuansa agama.

Soalan-soalan seperti “takut wabak lebih daripada takut Allah?” atau “kalau kita percaya virus yang menjadi punca wabak ini, maka kita beriman dengan asbab bukan dengan Allah” dan yang seumpama dengannya, adalah soalan-soalan yang mempamerkan betapa lelahnya keadaan pemikiran umat Manusia beragama Islam di dalam masyarakat kita hari ini. Bukan baharu. Bahkan sudah sekian lama ia membimbangkan, dan makin meruncing.

Malah bukan juga situasi yang baharu untuk era ini.

Di dalam sejarah, saya teringat kepada kelelahan yang dihadapi oleh Martin Luther di dalam agenda reformasi beliau di kalangan penganut agama Kristian. Martin Luther berdepan dengan masyarakat yang bercelaru cara berfikir mereka tentang agama, antara usaha dan tawakkal. Di era begitu, usaha merawat dianggap melawan takdir, dan masyarakat berfikir tentang perubatan dalam minda ‘khurafat’ yang mengundang bala ke atas kesejahteraan hidup.

Ayalon, Y. (2015). Natural Disasters in the Ottoman Empire. Cambridge University Press.

Ia bukan ajaran agama.

Ia adalah ‘kecacatan’ berfikir.

Ia boleh berlaku di dalam mana-mana sahaja agama, termasuk agama Islam.

Apabila masyarakat ditimpa musibah seumpama ini, rawatannya bukan dengan memberi banyak-banyak ‘ilmu agama’, tetapi meluruskan kembali akal fikiran, agar agama menguatkan kehidupan, dan bukan pengukuh kepada falasi dan kesesatan.

Tugas yang digalas berat oleh sebuah transformasi pendidikan.

PEPERANGAN DAN PENULARAN WABAK

Semasa membuat tinjauan literatur ketika mengkaji pemikiran Imam Birgivi suatu ketika dahulu, terdapat juga banyak kisah yang menyedihkan, mengejutkan, dan membingungkan tatkala umat Islam berdepan dengan bencana wabak. Ia adalah topik yang kurang mendapat perhatian awam tatkala berbincang mengenai sejarah.

Kita mungkin membayangkan tahun 1453 itu adalah sebuah permulaan kepada kegemilangan apabila Sultan Muhammad al-Fatih menawan Constantinople. Tetapi tidak lama selepas kejayaan tersebut, Constantinople dilanda wabak. Misi al-Fatih untuk menawan kota Kroues tidak berhasil. Kritovoulus sebagai sejarawan era al-Fatih, pernah merekodkan bagaimana selepas kegagalan misi tersebut al-Fatih telah meninggalkan tenteranya dan mahu pulang ke Constantinople. Tetapi beliau mendapat perkhabaran bahawa seluruh wilayah Thrace dan Macedonia telah dilanda plague yang dahsyat, malah Constantinople juga berada di dalam keadaan yang sangat teruk.

Al-Fatih beralih ke Haemon dan Upper Moesia kerana beliau mendapat tahu bahawa kawasan tersebut bebas daripada wabak berkenaan. Apabila beliau dapati wilayah sekitar Nikopolis (Bulgaria hari ini) dan Vidin bebas daripada wabak dan mempunyai kondisi cuaca yang baik, beliau meluangkan masa seluruh musim luruh di sana. Al-Fatih akhirnya pulang ke Constantinople pada awal musim sejuk tahun 1467.

Black Death tidak terhenti di situ. Ia melanda berulang kali dan setiap kali ia terjadi, kematian yang dicatatkan amat menakutkan.

Apa yang menarik perhatian saya adalah korelasi antara penularan wabak dengan peperangan. Peperangan, sama ada kematian berskala besar atau pergerakan tentera dari satu kawasan ke satu kawasan, beriringan dengan tersebarnya wabak.

Terdahulu, semasa peperangan dengan Timurid dan Sultan Beyazid I mengalami kekalahan di dalam Peperangan Ankara (1402), baginda dan keluarganya telah ditawan. Uniknya ialah, selain anak-anak lelaki Beyazid bernama Suleyman, Musa, Isa dan Mehmed yang kita biasa dengar di dalam sejarah Daulah Uthmaniyyah, salah seorang lagi anak lelaki Beyazid yang tercicir namanya adalah Yusuf.

Yusuf dan adik perempuannya Fatimah telah diserahkan oleh Suleyman kepada Emperor Manuel II untuk dijaga di Bursa.

Semasa outbreak kedua pada tahun 1416-1417, bubonic plague yang melanda telah membunuh begitu ramai mangsa, termasuk tiga individu yang unik iaitu Byzantine Empress Anna of Russia, Lord Michael, anak kepada Emperor Manuel II dan anak bongsu Sultan Beyazid I iaitu Yusuf.

KISAH SELINGAN DI SISI BENCANA WABAK

Mengapa nama Yusuf jarang disebut di dalam pensejarahan Sultan Beyazid dan Daulah Uthmaniyyah? Saya tidak pasti. Saya hanya berhipotesis, ia mungkin ada kaitan dengan siapa Yusuf di akhir hayatnya.

Yusuf semasa di dalam jagaan Emperor Manuel II, beliau rapat dengan anaknya John. Mereka sama-sama bersekolah dan mendapat pendedahan kepada wacana inteletual. Minat yang mendalam oleh Yusuf kepada ilmu-ilmu yang dipelajarinya telah menyebabkan beliau memohon kepada Emperor Manuel agar beliau dibaptis mengikut agama Kristian, kerana beliau beranggapan dirinya adalah seorang Kristian dan bukan lagi umat Muhammad.

Permintaan beliau ditolak oleh Emperor kerana tidak mahu menimbulkan ketegangan.

Tetapi Yusuf semasa nazak akibat jangkitan wabak, telah menghantar mesej:

“Wahai Raja Empayar Rome, engkau adalah pemimpin dan ayahandaku, dan pengakhiranku semakin hampir. Biar pun ia bukan kehendakku, aku perlu berangkat meninggalkan segalanya untuk ke Heavenly Tribunal. Aku mengaku bahawa diriku adalah seorang Kristian dan aku mengecammu kerana enggan membenarkan diriku memperolehi perakuan keimanan dan seal of the Spirit. Ketahuilah, seandainya aku mati dalam keadaan tidak dibaptis, aku akan hadapkan dakwaanku di hadapan Tuhan terhadapmu!”

Mesej itu telah menyebabkan Emperor menghantar utusan untuk menjalankan upacara baptis.

Yusuf telah meninggal dunia sebagai seorang Kristian dengan nama Demetrios. Upacara pengebumiannya telah dijalankan oleh Emperor dengan penuh istiadat dan dikebumikan di Studite Monastery of the Prodromos. (Fall of Byzantium to the Ottoman Turks, terjemahan oleh D Doukas – Magoulias (Detroit, 1975), 1975)

Setakat pembacaan saya, Yusuf anak Beyazid I adalah satu-satunya ahli keluarga kesultanan Uthmaniyyah yang murtad meninggalkan Islam.

PENGAJARAN TERBUKA

Saya tidak mempunyai sebarang pengajaran untuk ditentukan kepada pembaca mengenai hal ini. Ia adalah secebis kisah daripada lipatan sejarah bagaimana semasa wabak-wabak ini melanda umat manusia dan umat Islam sendiri, pelbagai kejadian berlaku.

Secara peribadi, apa yang sentiasa menghantui diri saya adalah kepelikan pemikiran masyarakat hari ini, yang mengulang-ulang sejarah tentang kecelaruan mereka dalam menentukan sebab musabab, dan akhirnya agama sering terpalit dengan pelbagai catatan hitam kerana menjadi sandaran kitaran kejahilan, zaman berzaman.

Proses berfikir ini sukar hendak dijelaskan bahawa ia adalah prasyarat beragama, urusan agama. Jika disebut mantiq sekali pun, ia boleh juga dihidu berbau Yunani oleh mereka yang melihatnya begitu.

Tanpa keluhuran cara berfikir, makin kuat beragama (religiosity) makin teruklah penafsiran agama menjadi porak peranda. Ia menyediakan premis yang bertindak sebagai enabler kepada pelbagai bencana di dalam masyarakat.

Merujuk kembali kisah Adam a.s. dilantik menjadi khalifah, menebarkan kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah, sinonim dengan kita, kecuali kita menjadi makhluk yang berfikir lagi belajar.

Kemampuan berfikir, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) bukan urusan KPM dan SPM.

Ia kualiti asas kita sebagai manusia, khalifah Allah di muka bumi.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.