‘Confirmation Bias’: Helah Minda Dalam Mencari Hujah

Confirmation bias adalah ibu segala falasi, yang memberanakkan pelbagai bentuk falasi lain dalam kehidupan ini.

Ia adalah kecenderungan kita mencari bukti-bukti yang menyokong pegangan sedia ada, dan bukannya memanfaatkan bukti-bukti yang ada untuk membuat rumusan secara objektif.

Kalau sudah cenderung kepada suatu pegangan, berkemungkinan besar kita akan teruja dengan fakta-fakta yang menyokong pegangan tersebut. Satu fakta yang terpencil, lemah, dan tunggal sekali pun, mungkin lebih mempengaruhi pendirian kita berbanding dengan fakta kukuh tetapi menyanggah.

Asasnya mudah.

Fakta ‘tidak manusiawi’.

Fakta tidak mengambil kira hal-hal rumit yang mempengaruhi manusia membuat keputusan dan pendirian. Pengalaman peribadi, emosi, dan macam-macam lagi domain di dalam diri.

Apa yang sering berlaku ialah, apabila maklumat yang datang tidak sesuai dengan pegangan, sama ada kita akan menolaknya, atau cuba merasionalkannya dalam bentuk yang pelbagai. Saya pernah menyentuh hal ini di dalam artikel sebelum ini berkaitan dengan  ketidakserasian kognitif atau cognitive dissonance.

Betapa mudahnya kita terpengaruh dalam memproses maklumat, soalan “Are you happy with your social life?” menjurus kepada kepuasan yang lebih tinggi, berbanding dengan sedikit pengubahsuaian soalan dengan bertanya, “Are you unhappy with your social life? Sedikit sahaja perubahan dibuat kepada soalan yang ditanya, ia sudah mempengaruhi cara manusia meneroka maklumat yang ada di minda, lalu seterusnya mempengaruhi rumusan akhir yang dibuat . Lihat kajian oleh Kunda, Z., Fong, G. T., Sanitioso, R., & Reber, E. (1993). Directional questions direct self-conceptions. Journal of Experimental Social Psychology29(1), 63-86.

Confirmation bias ini bukan penyakit orang dungu. Ia bukan simptom kebodohan. Malah golongan bijak pandai juga terdedah kepadanya, dan mungkin lebih licik dalam memanipulasi maklumat.

Sebab itu, percubaan membina pengaruh dengan mengenengahkan kelayakan akademik semata-mata, bukanlah pendekatan yang terbaik. Ia boleh mengundang lebih banyak falasi dan bias.

MENAHAN DIRI

Menyedari akan hal ini, saya berusaha menahan diri daripada mencampuri urusan yang saya tahu mengenainya tidak secara menyeluruh. Terutamanya ketika urusan-urusan tersebut menjadi isu yang hangat lagi beremosi di tengah-tengah masyarakat. Menghadirkan fakta tidak mampu mengubah pegangan seseorang malah ia menjadikan masyarakat lebih terbelah, berpecah, polarised. Hitam makin hitam, putih makin putih, dan tiada titik pertemuan yang diharapkan.

Credit photo: Unbounce

Buat masa ini, isu-isu penting dan hangat di tanahair seperti isu imunisasi dan vaksin, hal-hal perkauman dan keagamaan, serta politik dan pilihanraya, sungguh meresahkan. Ramai yang gigih berpendapat, pasti sebahagiannya memang dengan niat yang baik. Tetapi begitulah… fakta dan ‘kebenaran’ tidak semestinya berkeupayaan untuk ‘ace up your sleeve’ menewaskan kebatilan.

Liku-liku mengubah pendirian, tidak dapat bergantung kepada proses rasional semata-mata. Dan kegagalan merasionalkan maklumat pula tidak semestinya kesan kedunguan. Jika pendirian yang bertentangan itu ada dua, maka kedua-duanya mempunyai mereka yang berkelayakan, berijazah tertinggi dan hebat belaka.

Lihat sahaja peranan pakar immunology seperti Dr. Tetyana Obukhanych yang aktif menjadi rujukan golongan prochoice atau anti vaksin, menolak dakwaan herd immunity sebagai sesuatu yang penting untuk dipertahankan di dalam masyarakat. Saintis juga tidak terlepas daripada perangkap confirmation bias ini, seperti yang dikupas di dalam artikel Bias in Peer Review ini.

Loader Loading…
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Download [166.13 KB]

Lee, C.J., Sugimoto, C.R., Zhang, G.Y., & Cronin, B. (2013). Bias in peer review. JASIST, 64, 2-17.

RASA INGIN MEMBUKTIKAN SESUATU

Apabila melintasi isu ke isu, tentu sahaja ada perasaan ingin berpendapat. Pengalaman mendapat latihan di bidang sejarah semasa di UIAM dan UKM dahulu sedikit sebanyak memberi pendedahan.

Misalnya, beberapa tahun yang lalu, saya terbabit di dalam sebuah projek komik digital pendidikan dengan kerjasama MDEC , Historyfiq. Apa yang cuba kami sampaikan di dalam projek tersebut adalah memvisualkan secara mudah idea mengenai sejarah sains perubatan di era Dawlah Uthmaniyyah melibatkan amalan inoculation, interaksi Lady Mary Wortley Montagu (1689-1762) dan seterusnya peranan Edward Jenner dalam imunisasi.

Ia adalah lanjutan daripada kajian berpanjangan mengenai social history Dawlah Uthmaniyyah, Black Death, Little Ice Age, kemerosotan pertanian, kebanjiran bandit ke institusi pendidikan di Istanbul, hingga kepada kebakaran besar Istanbul pada tahun 1660 yang mempengaruhi keberagamaan serta reaksi pelbagai komuniti kepada bencana dan wabak. Komik digital itu juga meninjau cabaran yang dihadapi oleh Martin Luther di dalam komuniti Kristian, perbezaan sikap komuniti Catholic, serta Yahudi terhadap wabak, kuarantin dan pembendungan wabak. Kajian ini adalah sebahagian daripada tinjauan literatur semasa saya menulis mengenai tokoh Islah, Imam Birgivi (meninggal dunia 1573M).

Apabila timbul isu hangat mengenai vaksin dan imunisasi di Malaysia, saya ingin menulis sesuatu mengenainya.

Tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak melakukannya, kerana buat masa ini, jika motifnya adalah untuk mempengaruhi pendirian masyarakat agar berpihak kepada apa yang saya yakini sebagai benar dan baik, ia berkemungkinan besar tidak akan berlaku. Saya sendiri tidak yakin sepenuhnya pengetahuan saya cukup untuk merumuskan apa-apa seputar topik berkenaan. Masih belajar.

BAGAIMANA OTAK MEMPROSES MAKLUMAT

Adalah lebih penting buat masa ini, untuk saya memahami, soal MENGAPA. Mengapa fakta tidak mengubah pegangan? Apa sebenarnya yang terjadi di dalam otak manusia semasa memproses fakta. Sekurang-kurangnya bidang ini lebih hampir kepada apa yang sedang saya pelajari pada masa ini.

Semasa belajar tentang self-regulated learning dan measurement pada tahun 2016, kami pernah melihat data-data yang diekstrak daripada functional magnetic resonance imaging or fMRI yang memperlihatkan wujudnya perbezaan di dalam aktiviti self-regulation, co-regulation dan social-regulation. Semasa berbincang, imej imbasan yang diperolehi menunjukkan bagaimana perbincangan itu bukan hanya membabitkan proses logik, tetapi turut membabitkan emosi. Perbahasan mengenai hal ini turut menjadi perhatian seminar Earli Sig 27 – Online Measures of Learning Processes yang berlangsung di universiti kami dahulu.

Ini dibentangkan dengan menarik oleh Tali Sharot di dalam buku terbarunya “The Influential Mind: What the Brain Reveals About Our Power to Change Others”.

Di dalam buku ini, neuroscientist Dr.Tali Sharot membawa kita meneliti penerokaannya terhadap sains di sebalik ‘pengaruh’. Kita secara asasnya mempunyai peranan untuk mempengaruhi orang lain. Bermula dari bilik darjah, bilik mesyuarat, hinggalah ke media sosial. Malah sebagai bapa, saya perlu mempengaruhi anak-anak untuk berpegang dengan apa yang betul dan baik.

Persoalannya, sejauh manakah bagusnya kita dalam mempengaruhi? Buku ini mengenengahkan secara sistematik dapatan beliau bagaimana usaha menggunakan maklumat dan fakta untuk membentuk pendapat, menegaskan kesilapan pihak tertentu dan usaha untuk mengawal proses berpendapat, sebagai sesuatu yang tidak efektif kerana usaha sebegini tidak bersesuaian dengan cara minda manusia beroperasi.

PERANAN EMOSI DI DALAM PENGARUH

Dr. Tali Sharot menunjukkan bagaimana kritikalnya peranan emosi di dalam pengaruh, lemahnya upaya data di dalam pengaruh, serta gagahnya peranan rasa ingin tahu (curiosity). Apabila dua individu yang saling bersetuju berbincang, imej otak menunjukkan aktifnya otak melakukan proses coding ke atas maklumat yang dikongsi. Tetapi apabila dua individu yang tidak sependapat berdialog, imej otak memberikan indikasi seorang-olah kedua belah pihak shut down, tidak memproses maklumat yang diketengahkan.

Ia dijelaskan oleh penulis di dalam video berikut:

Hal ini mengingatkan saya kepada besarnya hikmah Allah jadikan usaha mendengar dan mengikut apa yang terbaik, sebagai tuntutan agama, dan jalan induk menjadi Ulul Albāb, yakni golongan yang benar-benar memahami sesuatu, yang mendapat isi berbanding kulit, yang get the point.

Albāb adalah kata jamak kepada lubb, yang bermaksud isi atau inti. Ulul Albāb boleh diterjemahkan sebagai golongan yang mendapat isi, yakni yang mendapat saripati kefahaman terhadap sesuatu. Faham itu adalah rezeki, dan rezeki sebagaimana rezeki duit, bukan terhasil dengan semata-mata berusaha, tetapi hendaklah berusaha dengan usaha yang betul caranya.

Ia juga beriringan dengan petunjuk. Hidayah daripada Allah.

Firman Allah:

39_18

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah para Ulul Albab.” [al-Zumar 39: 18]

Syarat beroleh petunjuk, dan faham, adalah mendengar pendapat-pendapat dengan baik, seterusnya memilih apa yang terbaik daripada pendapat yang banyak itu.

Hal ini pernah saya kupas di dalam artikel lama pada tahun 2014 yang lalu:

Bukan mudah hendak mendengar secara objektif.

Apatah lagi membaca artikel yang sudah sedia kita ketahui tidak bersetuju dengan kita. Sekurang-kurangnya saya akui bahawa membaca sesuatu yang menyanggahi kepercayaan saya akan melelahkan diri.

Kalau boleh, tidak mahu meneruskannya.

Namun, demi sebuah kefahaman, demi mencari kebenaran, ia adalah proses tidak selesa yang mesti ditempuh.

MEKANISME MINDA

Saya mengelak daripada berlebih-lebihan menggunakan istilah berkaitan neuroscience dan otak kerana ia di luar ilmu pengetahuan saya. Setakat apa yang saya tulis ini juga, saya mengalu-alukan pembetulan pembaca andai ada kesilapan di dalam menukil dan menerang.

Bahagian-bahagian otak yang terbabit di dalam soal pengaruh dan pemerosesan maklumat sebagaimana yang dikupas dengan panjang lebar di dalam buku ini adalah seperti berikut. Saya tidak menterjemahnya ke bahasa Melayu, mengekalkan ia sebagaimana diterangkan oleh Dr. Tali Sharot di dalam buku berkenaan:

  • Ventral tegmental area/substantia nigra (VTA/SN): These structures in the midbrain house dopaminergic neurons, which signal expectations of rewards. The neurons activate more when we receive an unexpected reward and fire less when a reward is unexpectedly denied. Neurons here project to parts of the striatum (among other regions), a structure deep in the brain.
  • Nucleus accumbens: The nucleus accumbens is part of the striatum and receives signals from dopaminergic neurons in the VTA/SN (among other regions). The region is sometimes referred to as the reward center of the brain, as it is critical for signaling the anticipation of rewards.
  • Amygdala: The amygdala is important for processing and signaling emotion and arousal. It has connections with a vast number of other regions, and that allows emotion to modulate many functions, such as memory, perception, and attention.
  • Hippocampus: The hippocampus, in the medial temporal lobe, is important for memory. It sits right next to the amygdala, which allows emotion to significantly alter our recollections.
  • Frontal cortex: Regions in the frontal cortex are important for higher cognitive functions such as planning and thinking. Parts of the frontal cortex also play an important role in regulating our emotions by altering the activity in the amygdala.
  • Motor cortex: The motor cortex is important for inducing action. It also receives signals that originate in the VTA/SN and signals from the striatum.

MEMANFAATKAN COMMON MOTIVES

Jika fakta tak jalan untuk mempengaruhi proses menukar pendapat, apa solusinya?

Dr. Tali Sharot mengusulkan di dalam buku beliau, bahawa pengaruh boleh ditingkatkan dengan mencari common motives. Di dalam dimensi pertentangan antara kita, apakah titik persamaan yang disepakati bersama? Fokus kepada yang itu.

Dr. Tali Sharot memberikan contoh, di dalam kes keengganan ibu bapa memvaksin anak kerana khuatir dengan risiko autisme, beliau mengatakan kajiselidik yang dibuat memperlihatkan bukti-bukti mengenai risiko autisme itu sebagai tidak benar, tidak mengubah pendirian ibu bapa berkenaan. Sebaliknya, pendekatan yang lebih berkesan (berpengaruh) adalah dengan memberi fokus kepada apa yang disepakati bersama.

Sama ada ibu bapa yang mahu memvaksin anak atau tidak mahu, kesepakatannya adalah pada memberi keutamaan terhadap keselamatan anak, kesihatannya dan menjauhkan anak daripada penyakit. Justeru, ibu bapa yang menolak vaksin itu diajak berbincang tentang wabak penyakit yang cuba dicegah melalui pemberian vaksin tersebut. Bagaimana sebenarnya hakikat measles, diphtheria, dan implikasinya ke atas kesihatan serta nyawa anak. Ancaman yang lebih berat, yang tiada peluang sembuh, atau meninggalkan kesan kekal sepanjang hayat yang terlalu besar untuk diabaikan. Sesuatu yang mungkin tidak diberi perhatian secara bersungguh-sungguh semasa semasa sibuk bertelagah tentang aspek-aspek lain berkaitan dengan vaksin.

Pendekatan yang memberi fokus kepada common motives adalah lebih berpengaruh.

JEMPUTAN

Oleh itu, saya dengan rendah hati mengajak sahabat-sahabat semua untuk bertenang di dalam menelusi khilaf yang komplek dan menakutkan ini.

Jika kita banyak bergantung kepada media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya) dalam mendapatkan maklumat, sentiasalah ingatkan diri bahawa algorithm media sosial itu akan mengusulkan kepada kita maklumat yang kita sedia cenderung kepadanya. Jika suka A, maka akan berbondong-bondonglah maklumat berkaitan A yang akan Facebook perlihatkan kepada kita.

Justeru pengalaman orang yang suka A dengan yang suka B di media sosial adalah tidak sama.

Media sosial berisiko menjadikan kita semakin taksub dengan satu-satu pegangan sebab maklumat yang dibekalkan oleh media sosial bukan untuk memenuhi keperluan, tetapi memuaskan kemahuan dan kecenderungan.

Kecuali dengan tingginya upaya taqwa.

Taqwa dalam erti kata mempertahankan rasa sedar, dan kawalan diri.

Remain conscious and have a good self control.

Banyakkan mendengar.

Kurangkan bercakap.

Jangan melatah.

Ada pun para ilmuan, golongan yang berpengaruh dalam membentuk pandangan masyarakat, gandakan ketaqwaan kepada Allah untuk tidak menulis benda-benda yang menjerumuskan diri kepada pengkhianatan ilmu. Jika emosi tidak tenteram dalam berpendapat, kekang diri daripada berucap, bercakap dan menulis. Ambil masa untuk meneliti dengan lebih mendalam, timbangkan buruk dan baiknya, dan luruskan hati di landasan Lillāhi Ta’ālā. Kesalahan tidak berpendapat, tidak sebesar dosa menyebar kebatilan. Jangan dengan emosi, ilmuan jadi sesat lagi menyesatkan.

Biar lambat, asal selamat.

HASRIZAL
OULU Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share