Sejarah Perjalanan Umat, Kembara Perjalanan Diri

Malam-malam sebelum ini perbualan kami anak beranak masih berterusan.

Saya sahaja yang tidak bermomentum untuk menulis.

Tempoh hari, anak bertanya selepas tarawih, bagaimana bermulanya Syiah. Soalan itu besar, ditanya oleh anak-anak yang tidak mempunyai banyak past knowledge untuk saya bina pengetahuan baharu. Pengetahuan di dalam sains pembelajaran mengingatkan pentingnya mengaktifkan strategi metakognitif apabila guru mahu memperkenalkan topik baharu. Sesuatu yang jelas mengundang berlapis-lapis stress pada anak-anak di musim home based learning sekarang ini.

“Ia bermula dengan perbezaan pendapat berkaitan urusan pentadbiran. Hal politik. Siapa yang lebih layak menjadi ketua. Tetapi berlaku kecenderungan mahu mewujudkan sokongan ‘agama’ ke atas dakwaan politik, maka riwayat-riwayat muncul untuk menokok tambah dakwaan sama ada menyokong atau menentang. Daripada perbezaan pendapat politik bertukar jadi akidah dan mewujudkan realiti alternatif” saya bercerita.

Proses bercerita daripada kewafatan Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam membawa kepada terlantiknya Muawiyah bin Abi Sufyan r.a. menguji saya untuk merumus buku Al-Khulafa’ al-Rashidun Bayna al-Istikhlaf wa al-Istisyhad oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi semudah mungkin tetapi membekas pada diri anak-anak kerana topik ini mungkin memakan masa yang lama lagi untuk ia diulang di masa hadapan.

Apa yang terjadi semasa kewafatan Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam, bagaimana Ali membai’ah Abu Bakr sebanyak dua kali, bagaimana Abu Bakr melantik Umar, peluasan kerajaan di zaman Umar, kejatuhan empayar Parsi, kenapa Umar garang dan kesannya kepada pesalah jenayah di Iraq, dendam masyarakat Parsi terhadap Umar, pembunuhan beliau semasa solat, susu keluar daripada luka tikaman di perutnya, wasiat keras Umar terhadap senarai pendek sahabat yang wajib menggantikannya, mengapa semasa cedera, isu siapa pengganti ketua yang ditimbulkan (anak hairan dan sangka umat Islam berlebihan dalam berpolitik), bagaimana Uthman terpilih, beza era Umar dan Uthman, kemunculan pemberontak yang turut membabitkan Muhammad, adik kepada Aisyah dan anak kesayangan Abu Bakr, Uthman berpuasa di hari pembunuhannya, serangan dari bumbung rumah, jari isteri terputus, darah Uthman menitik lembaran mushaf bertulis “dan cukuplah Allah bagi kamu untuk berhadapan dengan mereka” (al-Baqarah 2: 137), khilaf sahabat ekoran kematian Uthman, tuntutan Muawiyah dari Syria pada memburu pembunuh Uthman, kesukaran komunikasi antara Ali dan Muawiyah, perang Jamal, perang Siffin, pembunuhan Ali, kematian Husain, Hasan mengundurkan diri, Muawiyah menyatukan kembali umat Islam, beralihnya era al-Khulafa’ al-Rashidun ke pemerintahan Bani Umayyah, kenapa kerajaan berpindah ibu negara setiap kali bertukar pemerintahan… semuanya dalam masa setengah jam!

Aduh.

Berasap kepala saya.

Tetapi anak-anak gembira sahaja mendengar.

Why did you keep emphasise on communication problem between Ali and who’s the other guy?” tanya anak.

Muawiyah! Radhiyallahu ‘anhum ajma’in. Well, I need to demonstrate the situation back then, so you understand the lack of medium to communicate between Madinah and Damascus, was a major factor that was not made explicit by our past historians, because they never had the opportunity how information moves so fast nowadays” saya merumus.

Well, yeah. That makes sense” kata anak.

Abi, who was the last khalifah?” si kenit yang antara tidur dan jaga di sofa menyampuk.

“Eh, jaga lagi. Ingatkan dah tidur!” saya terkejut.

No, I’m listening” katanya.

Well, it’s hard to go into the details. But as you all know the last Muslim Empire was the Ottoman. And when Ottoman collapsed, it was not the Ottoman on its own collapsed. WW1 saw the collapse of most empires and the world shifted to nation states as we know today. The last Ottoman leader who was considered as the last khalifah, Sultan Abdul Hamid II” saya menyambung cerita.

Saya bercerita kepada anak-anak bagaimana di tahun 1990an, kefahaman masyarakat tentang Daulah Uthmaniyyah masih rendah. Apa yang mendorong saya mengkaji tentang Sultan Abdul Hamid II adalah ekoran kejadian di Istanbul apabila poster sebuah konferans mengenai Sultan Abdul Hamid II dibaling batu oleh beberapa orang yang lalu. Saya tergamam melihatnya dan terus teringat perbualan saya dengan almarhum Cikgu Zakaria semasa saya Darjah 6 di tahun 1987. Buku teks sejarah mengatakan Atatürk tokoh yang bagus, manakala Sultan Abdul Hamid II adalah raja diktator. Sedangkan di pandangan seorang kanak-kanak, gambar di buku berkenaan menceritakan sebaliknya.

Aduh…

Perbualan kami melarat bercerita tentang mengapa Sultan-sultan Daulah Uthmaniyyah tidak dapat mengerjakan haji, mengapa Sultan Abdul Hamid II dimusuhi, kisah persidangan Zionis di Basel Switzerland pada tahun 1897, usaha Theodor Herzl mendapatkan kebenaran baginda untuk kaum Yahudi berhijrah ke Palestin, perang Daulah Uthmaniyyah dengan Rusia hinggalah kepada malam penggulingan Sultan Abdul Hamid II dan pembuangan baginda sekeluarga dari bumi Turki.

Pembacaan saya mengenai Sultan Abdul Hamid II berlangsung selama mungkin 20 tahun, untuk menjawab persoalan demi persoalan di dalam diri.

Saya menyedari betapa asingnya sejarah ini daripada anak-anak kerana mereka bersekolah di Finland. Sejarah yang banyak mereka pelajari di sekolah adalah sejarah Eropah, sejarah Amerika Syarikat dan sudah tentu sejarah Finland sendiri. Anak-anak berhadapan dengan kesulitan untuk berasa seronok belajar sejarah di sekolah kerana kurang merasakan keterkaitan pembelajaran dengan diri mereka.

Apabila saya sebut perang Daulah Uthmaniyyah dengan Rusia, reaksi anak adalah kepada Rusia kerana mereka datang dari maklumat itu.

Penceritaan saya tentang sejarah umat Islam bertukar daripada perbualan santai selepas bertarawih, kepada usaha mencantum kepingan puzzle sejarah, terutamanya di sebelah petang, kami berbual tentang peralihan sejarah Eropah daripada zaman gelap korupsi agama kepada rasionalism, romanticism dan kemudiannya realism serta post structure hari ini.

Segala jargon ilmiah perlu dibuang ke tepi dan perbahasan hal ini disampaikan di dalam mode bapa bercerita kepada anak. Teringat saya kepada buku Talking to My Daughter About the Economy oleh pakar ekonomi dari Greece, Yanis Varoufakis‎.

Usia 20an adalah usia kita terjun ke bidang akademik dan menelaah sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Apabila masuk ke usia 40an ke atas, ketika anak-anak sudah cukup dewasa untuk mula memahami apa yang berlaku di dunia sekeliling, kita perlu menterjemahkan semua yang pernah dipelajari dahulu di dalam penerangan yang simple tapi bukan simplistik.

Tiadalah yang lebih bermakna daripada peluang menterjemahkan ilmu kepada keluarga dan anak-anak sendiri.

Abi, thanks for the lecture!” kata si anak yang tinggi lampai.

“Ini, for real or you’re being sarcastic?” saya ketawa.

No, for real. We learn a lot from tonight conversation than our entire history lessons at school” ujarnya.

Dahulukala, saya akan bersila malam-malam buta dengan kawan-kawan bercerita hal sejarah ini dari selepas Isyak hingga ke Subuh. Soal, jawab, soal, jawab… dan kini giliran melakukannya bersama anak-anak. Sayang yang sungguh sayang, Ramadan yang rancak dengan pelbagai cerita kali ini, tidak dapat kami sertakan ummi di Ireland. Saya berazam, Ramadan kali ini mesti Ramadan terakhir kami hidup berjauhan. Bukan sahaja kerana tidak mahu isteri ketinggalan dalam perkembangan anak-anak, tetapi saya juga sebenarnya sudah tidak mampu. Terlalu letih. Mungkin bukan keletihan fizikal, tetapi keletihan mental dan emosi.

Pelbagai cabaran yang Allah jua yang tahu, dalam kehidupan kami anak beranak di Finland.

Setiap yang saya nukilkan di khalayak, ada segunung kisah lain yang terpendam. Kehidupan, kematian, kelukaan, kekeliruan, pemberontakan, segalanya… namakan apa sahaja, empat tahun yang sungguh menguji.

Namun, bak kata pepatah, what doesn’t kill you, will make you stronger.

Macam yang selalu saya katakan kepada anak-anak, jika satu hari nanti saya kaya, saya tidak mahu rumah besar atau kereta besar. Saya cuma mahu sebuah beg berisi pakaian dan beberapa keperluan asas, saya ingin mengembara:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ ۗ أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۗ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ اتَّقَوْا ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ – 12:109

Dan tiadalah Kami mengutus Rasul – sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya? (Yusuf 12: 109)

Saya mahu berjalan, berjalan dan berjalan, tanpa peduli saya gugur di tanah yang mana, kerana selepas itu destinasinya sama, saya ingin bertemu Ilahi yang saya rindui,

Hasrizal
Oulu Finland


Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.