Mencegah Anak Hidup Bermuka-muka | Sembang Abah

“Jangan conteng arang ke muka ayah!”

“Jaga maruah keluarga kita!”

“Tiada dalam keturunan kita yang buat macam ini!”

Mungkin dialog-dialog di atas adalah antara kenyataan yang sering kita temui di dalam drama Melayu. Ibu bapa kecewa apabila anak-anak tidak menjadi. Tidak jadi seperti yang mereka mahu.

Semasa anak tidak menjadi, apa pilihan yang ada?

Jika kita tidak suka makanan sebuah restoran, kita boleh pindah restoran lain. Jika kita tidak berkenan dengan seorang artis, kita boleh pilih artis lain. Jika kita tanam pokok, ia tumbuh tetapi tidak berbuah, kita masih boleh cantas dan tanam pokok lain.

Tetapi jika yang tidak menjadi itu anak sendiri, hendak berpatah balik mustahil. Mahu buang anak?

Menyebut tentang cabaran tidak semudah mendepaninya.

Didik anak mengikut zamannya, ahh… ringan benar kata-kata itu di lisan.

Rezeki saya banyak berprogram dengan remaja semenjak anak-anak saya sendiri masih bayi. Bertemu dengan 1001 kisah remaja masyarakat kita, sentiasa menjadikan kenangan itu berada di belakang kepala saya, semasa menguruskan anak-anak sendiri yang kini sudah remaja.

“Mak ayah saya hanya tahu membawa kami ke dunia ini sahaja. Selepas itu, mereka sibuk dengan hal mereka, tidak pedulikan kami” itu adalah kata-kata seorang remaja pintar yang saya temui. Ayat sebenar beliau semasa mengadu kepada saya ialah “mak ayah saya tahu buat anak je!”

Itu kekecewaan.

Tetapi anak masih dapat bertahan. Memilih jalan yang selamat dan baik dalam kehidupan.

Apa yang menghantui saya suatu ketika dahulu, adalah anak-anak aktivis dakwah hidup ‘double-life’. Emak ayah ber’ana anta’, akhi dan ukhti, bulatan ukhuwwah, lingkaran tarbiah, tetapi anak-anak hidup ‘double life’.

Ada yang depan mak ayah mereka anak soleh, di belakang mak ayah mereka jadi pelesit.

Ada yang berjaya dari segi akademik, tetapi ranap rumahtangga yang baru dibina.

Ada yang berjaya jadi hafiz dan hafizah, kemudian terjebak dengan zina.

Memendam derita menjadi gay dan lesbian hingga putus asa dengan agama.

Itu yang berhubung dengan saya. Manakala yang tidak berhubung, saya tidak tahu. Saya sendiri adakalanya bingung mengapa saya yang mereka hubungi. Saya ada sahaja nasihat untuk dikongsi, tetapi saya sebenarnya trauma.

Melihat anak-anak sendiri, saya tidak mahu mereka hidup bermuka-muka.

Lebih penting, saya tidak mahu mereka mencari ‘Ustaz Hasrizal’ lain. Saya mahu mereka berbincang dengan saya, walau apa sekali pun masalah yang mereka hadapi. Saya percaya, semua remaja yang berkrisis itu akan mendapat jawapan serta impak yang lebih baik, jika mereka dapat membincangkan masalah yang mereka hadapi itu dengan ibu bapa mereka sendiri, dan bukannya dengan saya, seorang outsider.

https://youtu.be/e9_STMOlkKA

Buat masa ini, saya masih berpegang dengan teladan al-Quran yang sentiasa saya ulang-ulang iaitu langkah Nabi Ibrahim alayhi al-salam mendapatkan maklum balas anaknya Ismail alayhi al-salam semasa hendak melaksanakan perintah menyembelih si anak seperti yang Allah perintahkan.

Buka ruang untuk anak memberi maklum balas.

Ketelusan itu tidak boleh terjadi secara spontan. Ia perlu dipupuk. Dibentuk di dalam persekitaran dan amalan keluarga yang anak-anak percaya bahawa mereka boleh bersuara malah boleh buat salah.

Salah tetap salah.

Tetapi apabila salah, rumah selamat untuk pembetulan berlaku.

Bukan menyembunyikan kesalahan di sebuah daerah asing, dan pulang ke rumah membawa kesempurnaan.

Saya tiada air muka, maruah, soal keturunan yang hendak saya pertahankan. Anak-anak adalah tanggungjawab kita. Sebagaimana kita perlu bersedia menerima kecacatan fizikal dan mental semasa anak lahir ke dunia, demikian juga kita perlu bersedia menerima kecacatan perbuatan dan pendirian anak-anak di dalam proses mereka dewasa.

Menerima bukan bermaksud menukar salah jadi betul. Tetapi menerima dalam erti kata, jika buat salah, lebih baik kamu datang kepada kami dengan kesalahan itu untuk kita bincangkan. Bukannya datang dengan kesempurnaan, demi memuaskan hati kami kerana kepuasan hati ibu bapa boleh menjadi kepalsuan yang disangka sebagai redha ibu bapa syarat masuk Syurga.

Dunia hari ini kejam.

Manusia semakin ganas.

Sungguh sedih apabila Nabi Nuh alayhi al-salam membina bahtera yang anak isterinya tidak sudi.

Namun kita tetap perlu membina bahtera.

Rumah dan keluarga sebagai bahtera penyelamat, tempat anak mencari pelampung, semasa karam di lautan kesilapan.

Hasrizal
Oulu Finland.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

5 comments

  1. Nany Adifah BT Abdullah Kamal

    Terima kasih atas perkongsian. Sudah saya tonton cerita En Hasrizal bersama anakanda Naurah. Ingatan dan perkongsian dari Encik Hasrizal sedikit sebanyak membantu saya untuk mengingati diri sendiri supaya sentiasa cakna dengan keperluan emosi anak-anak. Tidak terlalu menekan dan tidak juga terlalu memberi kebebasan. Keep sharing ya! Saya sudah anggap keluarga Encik Hasrizal seperti keluarga saya juga. Rasa terlalu dekat walaupun hanya melihat di Youtube dan membaca di IG mahupun di blog. Sekurang-kurangnya ada juga ibu-bapa yang berkongsi pengalaman ‘sebenar’ membesarkan anak-anak. Bukan yang elok sahaja dikongsikan. Tidaklah terasa, anak saya dan saya seorang yang memerlukan ‘bantuan’. Oh! ketika YOP ( SAIF ) memberitahu “Parents must smarter than your children”…it hits me home. Di usia begini, semakin mencabar untuk menjadi ‘smarter’ than my children. Apapun, InshaALLAH..kami akan cuba yang terbaik. 🙂

    • Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini dan memanfaatkan perkongsian saya. Proses mendidik anak-anak sungguh mencabar, terutamanya apabila kita ingin melakukannya berasaskan ilmu, bukan sekadar meneruskan kebiasaan. Insya-Allah kesukaran itu dapat diringankan sedikit apabila kita sokong menyokong. Salam ukhuwwah.

  2. Thanks for sharing Ustaz. As newly married couple i keep learning ilm that can equip me to be a good parent as i do not have a good picture of good parenting since my parents were divorced.

  3. “Didik anak mengikut zamannya, ahh… ringan benar kata-kata itu di lisan.”

    Terkesan dengan ayat ini.

    Mulai merasa cabaran mendidik anak lelaki yang kini berumur 3 tahun. Apatah lagi tinggal serumah dengan ipar yang mempunyai anak lelaki 7 tahun dan anak perempuan 5 tahun. Ada kebaikan dan kekurangannya. Mereka inilah yang menjadi kawan sepermainan dan mereka jugalah yang kadang-kadang menjadi ikutan dari aspek bicara dan sikap.

    Dari sudut kami ibubapa, memang banyak lagi yang mesti dipelajari dan dirancang untuk kebaikan anak-anak. Saya doakan Ustaz diberikan kesihatan dan kekuatan untuk teruskan berkongsi ilmu dan pengalaman untuk kami ibubapa ini menjadi ibubapa yang bagus. Amiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.