5 Kebaikan Sistem Pendidikan Finland dan 5 Limitasinya

Selepas empat tahun berada di Finland dan memberi peluang kepada anak-anak bersekolah di dalam sistem pendidikan Finland, di sini saya kongsikan 5 perkara yang saya kira telah disumbangkan oleh sistem pendidikan Finland sebagai sebuah sistem yang dianggap antara yang terbaik di dunia. Pada masa yang sama, saya kongsikan juga 5 perkara yang saya kira tidak dapat dilakukan oleh sistem pendidikan Finland walaupun ia merupakan sistem yang dianggap sebagai antara sistem pendidikan terbaik di dunia.

5 manfaat daripada sistem pendidikan Finland yang kami sambut dengan kesyukuran ialah:

  1. Ia menyediakan standard yang tinggi untuk kualiti guru. Para guru di Finland mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi lagi berkesan, terutamanya berkaitan dengan sains pembelajaran untuk membolehkan guru memahami kognitif murid serta bagaimana mereka boleh merekabentuk pembelajaran berasaskan pengetahuan itu.
  2. Sistem pendidikan Finland juga membolehkan guru melaksanakan perkara-perkara yang terbaik untuk keperluan murid berasaskan ilmu guru berkenaan. Ia ekoran daripada kepercayaan tinggi yang wujud di antara pihak berwajib nasional, lokaliti dan kepimpinan sekolah terhadap profesionalisme guru. Sayang sekali jika guru mengetahui apa yang terbaik untuk muridnya, tetapi tidak dapat melakukan sesuatu berasaskan kepada pengetahuan itu disebabkan oleh birokrasi dan paradigma yang mengikat guru kepada kurikulum yang dimandatkan.
  3. Sistem pendidikan Finland juga menjadikan subjek-subjek berintegrasi secara harmoni, bukan sahaja di peringkat rekabentuk subjek, malah amalan co-teaching yang banyak dilakukan di sekolah Finnish juga menjadikan sains, matematik, seni, muzik, sejarah dan cabang-cabang ilmu lain dipelajari TIDAK secara in silo, sebaliknya berinterasi secara organik dan membantu murid untuk membina kefahaman secara yang lebih menyeluruh lagi holistik.
  4. Sistem ini juga meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kesihatan mental dan emosional murid (serta guru). Setiap sekolah mendapat khidmat school psychologist yang diiktiraf untuk memastikan murid berada di dalam keadaan mental dan emosi yang sihat. Keceriaan murid bukan satu ‘priviledge’ tetapi ia adalah pra syarat kepada pembelajaran yang baik.
  5. Sistem pendidikan Finland juga menjadikan persekolahan anak-anak hampir-hampir sifar kos. Perbelanjaan asas persekolahan memanglah percuma sebagaimana yang kita maklum. Tetapi pada masa yang sama, perbelanjaan untuk alat tulis, peralatan sukan, makan minum murid dan sebagainya, boleh menjadi hidden cost yang membebankan. Hal ini ditampung dengan baik oleh sekolah hingga ibu bapa boleh menyekolahkan anak-anak di tahap yang hampir-hampir mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang wang untuknya.

NAMUN

Sistem pendidikan Finland itu tetap tidak boleh melaksanakan untuk anak-anak kita lima perkara berikut. Sebaliknya, ibu bapa perlu berperanan. Lima perkara tersebut ialah:

  1. Menggantikan peranan ibu bapa. Walaupun anak bersekolah di dalam sistem yang dikatakan antara yang terbaik di dunia, ia tidak dapat menggantikan peranan ibubapa. Apa yang ibubapa perlu lakukan di rumah untuk kemenjadian anak, perlu dilakukan seperti yang sepatutnya, dan tidak mengharap kepada sekolah. Antara perkara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa hal yang berikut, iaitu:
  2. Memupuk nilai domestik keluarga. Sistem pendidikan Finland tidak boleh memupuk nilai-nilai dan tatasusila keluarga kami sebagai orang Malaysia, Melayu, dan Muslim. Sebaliknya ibu bapa perlu melakukannya di rumah. Mungkin pembelajaran di sekolah yang aktif, sedikit sebanyak membantu menjadikan anak-anak kritikal lagi responsif. Namun ibu bapa perlu secara spesifik melakukannya di rumah masing-masing.
  3. Sistem pendidikan Finland walaupun menyediakan pendidikan agama, ia bersifat knowledge-based dan bukannya confessional. Ertinya sama ada murid mengamalkan apa yang dipelajari atau tidak, ia sudah berada di luar skop subjek agama di sekolah. Maka ibu bapa perlu melakukan sesuatu mengenainya, sama ada melakukannya sendiri, atau mendapatkan pendidikan ‘non formal’ yang berada di luar sekolah.
  4. Sistem ini tidak dapat menghalang murid-murid daripada terjebak ke dalam perangkap skrin. Sistem pendidikan Finland memanfaatkan teknologi dan peranti untuk menyokong pembelajaran. Ia membantu menganjak paradigma murid daripada melihat telefon bimbit dan laptop mereka sebagai alat hiburan, kepada menjadikannya sebagai alat bantuan belajar. Namun ia tidak cukup. Potensi besar anak-anak boleh dimusnahkan oleh perbuatan mereka menjamah sampah sarap di media sosial. Ibu bapa perlu memainkan peranan mendisiplinkan anak masing-masing, agar anak-anak tidak jatuh ke lubuk media sosial yang merosakkan potensi mereka. Ia bukan hanya soal kesihatan, sakit mata dan tengkuk, banyak membaca atau tidak kerana banyak melayan telefon, tetapi ia turut mewujudkan persaingan pengaruh. Apa yang membentuk bahasa, kelakuan, pemikiran, selera, trend dan kecenderungan anak-anak, adakah pendidikan ibu bapa, atau popular culture media sosial yang jengkel namun enak pada selera anak remaja.
  5. Sistem ini juga tidak dapat memberikan murid sebuah TUJUAN HIDUP. Ia berbeza antara seorang dengan seorang yang lain bergantung kepada world view masing-masing (weltanschauung). Pembelajaran yang cemerlang, tanpa tujuan hidup, menjadikan ramai murid berjiwa kosong, terutamanya di usia persimpangan 15-16 tahun. Ia banyak menghanyutkan anak-anak. Bagi kita orang Islam, hal ini amat kritikal. Ibu bapa perlu peka akan hal ini.

KESIMPULANNYA:

Walaupun anak bersekolah di sekolah terbaik yang macam mana sekali pun, ibu bapa tetap perlu aktif terbabit dalam keibubapaan. Sekolah bukan pengganti.

Support my work

Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.me/iamrizal

An educator and learning designer, blogger and author, advocate child-centered education, parenting, and domestic policy.

Follow me on

Instagram: https://www.instagram.com/iamhasrizal/
Facebook: https://www.facebook.com/hasrizalabduljamil/
Twitter: https://twitter.com/hasrizal2020
Linkedin: https://www.linkedin.com/in/hasrizalabduljamil
Youtube: https://www.youtube.com/iamhasrizal
Spotify: https://open.spotify.com/show/05Z6c5loqrrDc1Dy0F7TvD
Blog: http://www.saifulislam.com
Edublog: http://hasrizal.com

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. “Walaupun anak bersekolah di sekolah terbaik yang macam mana sekali pun, ibu bapa tetap perlu aktif terbabit dalam keibubapaan. Sekolah bukan pengganti.”

    Saya sangat setuju dengan pernyataan ini.

    Malah, sekolah serta guru-guru yang kita punya banyak kritikan bagaimanapun di tanah air, jika ibu bapa bersabar memainkan peranan serta melakukan pengorbanan yang besar untuk terbabit dalam pembesaran dan pendidikan anak-anak, disertai doa dan kebergantungan yang kuat kepada Allah SWT, insyaAllah ada hasilnya.
    But, there is no denying it is an uphill task.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.