Bermula daripada umur 60 bulan, anak-anak sudah mula meluangkan masa terbaik mereka setiap hari di sekolah. Apa yang berlaku semasa mereka di sekolah? Atau soalan yang lebih spesifik, apakah yang terjadi di dalam diri kanak-kanak semasa mereka belajar?
Manusia adalah hidupan yang berfikir. Fikir itu menjadikan manusia, manusia.
Akan tetapi, walaupun manusia boleh berfikir dan perlu berfikir, kecenderungan otak mereka adalah melarikan diri daripada berfikir. Apa sahaja yang memerlukan fikir, jika dibuat berulangkali, akan mahu menjadi otomatik, seperti kelaziman memandu yang asalnya melelahkan kerana banyak yang perlu difikir, berubah menjadi rutin otomatik kerana kebiasaan.
Fikir mesti menjadi paksi pembelajaran. Jika sistem pendidikan direkabentuk pada mengutamakan ‘tahu’ semata-mata, ia akan menyokong kemalasan otak untuk berlatih berfikir.
Bilakah kanak-kanak belajar membina dan mematangkan keupayaan berfikir mereka?Ia tidak terjadi secara otomatik. Ia tidak terhasil semata-mata ke sekolah. Tetapi ia bergantung kepada bagaimana mereka belajar.
Jika mereka belajar untuk faham dan ingat sahaja, ia lemah. Jika pentaksiran hanya meninjau apa yang murid ingat dan faham, A+ yang digred tidak mewakili kecemerlangan dan potensi yang sepatutnya.
Murid perlu berbincang. Berkolaborasi. Berpendapat, menolak pendapat, mempertahankan pendapat, menghasilkan sesuatu, idea atau produk, daripada apa yang difikirkan mereka.
Jika ini bukan corak pembelajaran di sekolah, maka 5 ke 8 jam sehari murid di sekolah, potensi mereka tersia-sia.
Ini titik muhasabah mengapa ramai anggota masyarakat mendapat pendidikan, tetapi krisis fikir menjadi krisis yang menakutkan di dalam kesihatan, kekeluargaan, kepenggunaan, pekerjaan, kemasyarakatan, malah keagamaan dan kehidupan seluruhnya. Seperti berpelajaran tetapi tidak berpendidikan, kerana fikir gugur daripada keutamaan.
Kata Profesor Daniel T. Willingham:
“Bercanggah dengan kepercayaan popular, otak kita tidak dicipta ‘untuk berfikir’. Ia dicipta untuk menyelamatkan anda daripada keperluan berfikir, sebab otak sebenarnya tidak begitu bagus pada berfikir. Berfikir itu perlahan dan kurang boleh diharap. Akan tetapi, manusia umumnya masih suka dengan kerja-kerja mental jika ia berhasil. Manusia suka menyelesaikan masalah, tetapi mereka tidak suka mengerjakan masalah yang tidak boleh atau terlalu sukar untuk diselesaikan. Seandainya sekolah sentiasa ‘agak susah’ lagi berat untuk murid, adalah tidak mengejutkan mereka tidak begitu sukakan sekolah. Prinsip kognitif yang membimbing kenyataan ini ialah:
“Manusia secara semulajadinya berkeinginan untuk tahu, tetapi kita tidak secara semulajadi pemikir yang bagus; kecualilah kondisi kognitif berkeadaan betul, kita akan mengelak daripada berfikir”
– Why Don’t Students Like School: A Cognitive Scientist Answers Questions About How the Mind Works and What It Means for the Classroom by Daniel T Willingham
Perkara paling susah yang dihadapi sepanjang hayat adalah mendepani hujah-hujah dan pendapat yang dilahirkan oleh kecelaruan fikir, penuh falasi.
Pendapat-pendapat yang berlegar semenjak media sosial digunapakai oleh masyarakat kita, semakin lama semakin menakutkan. Bukan sahaja membingungkan secara teori tetapi mula meragut nyawa, mengundang bahaya dan mengancam keselamatan awam.
Rumit sekali.
Saya terpaksa meletakkan kesalahan utama hingga kita berhadapan dengan musibah ini, adalah ke atas sistem pendidikan kita, yang turut mempengaruhi cara hidup kita semua. Belajarlah apa pun, tetapi kalau tidak melatih manusia berfikir, bersama integriti yang perlu disemai, manusia berisiko menjadi perosak sebelum membuat kerosakan. Iaitu dengan mempercayai perkara-perkara yang merosakkan.
Media sosial pula memberi suara kepadanya, dan melahirkan pengikut untuk membesarkan saiz masalah.
“Jika ambil vaksin dan percaya vaksin menyelamatkan, maknanya beriman kepada vaksin dan bukan kepada Allah!”
Aduh.
Sukar sekali untuk memecahkan kenyataan ini kepada komponen-komponennya bagi menjelaskan masalahnya di mana. Akidah pun jadi caca merba dengannya.
Moga bencana pandemik ini menginsafkan kita untuk lebih mengambil berat dengan kemampuan berfikir generasi anak-anak sebab fikir itulah asas kemanusiaan dan kekhalifahan kita.
Reformasi pendidikan sudah lama diseru.
Setiap hari adalah terlewat.
Pendidikan tidak ada peluang mewah menangguh dan menunggu.
Hasrizal
Naas, Ireland.
One comment
Pingback: Cognitive Bias : Tabiaat Otak Mencari Jalan Pintas | BUKUDUATIGA.COM