Don’t Look Up: Bencana Tatkala Kebodohan Menjajah Bumi

Sepanjang menonton filem DON’T LOOK UP ini, saya asyik teringat kepada dua pesanan.

Pesanan pertama adalah pesanan Neil Postman. Beliau kata hentikan pendidikan daripada bercita-cita secara melampau ingin memandaikan manusia, sedangkan yang lebih utama adalah menyelamatkan mereka daripada kebodohan.

“Kenapa doktor dan peguam lebih berjaya dalam misinya berbanding pendidik?” tanya Postman.

Jawapannya, doktor fokus kepada sakit, bukan sihat. Peguam fokus kepada kezaliman dan salah laku, bukannya keadilan dan kepatuhan. Sedangkan pendidik fokus kepada pandai, bukannya bodoh. Khuatir murid tidak pandai, tetapi tidak khuatir yang bodoh semakin ramai.

Walaupun pandangan Neil Postman dihentam rapat di zaman ia terbit (melalui buku Amusing Ourselves to Death – 1985), kini telahannya semakin nyata. Antara Orwell dan Huxley, kebimbangan Huxley semakin jelas seperti yang Neil Postman tekankan. Orwell bimbang buku dibakar, tetapi Huxley khuatir buku tidak lagi ada yang mahu membacanya. Orwell bimbang kita akan dirosakkan melalui kesusahan dan seksaan. Huxley berpandangan kita akan dimusnahkan oleh benda-benda yang kita suka.

Itulah yang kita saksikan di dalam filem sinis Don’t Look Up ini.

Seorang pelajar PhD bernama Kate Dibiasky (lakonan Jennifer Lawrence) dan penyelianya, saintis bernama Dr. Randall Mindy (lakonan Leornado DiCaprio) telah memperolehi maklumat melalui data bahawa sebuah komet bersaiz gergasi akan menghempas bumi dalam tempoh 6 bulan. Kemusnahan bumi berkemungkinan besar tidak dapat dielakkan lagi. Tetapi apabila berita yang sangat penting ini diajukan kepada Presiden Amerika Syarikat (lakonan Meryl Streep), ia memulakan siri dada kita rasa hendak meletup kerana seluruh realiti tidak ‘get the point’ betapa besarnya berita ini.

Ahli politik sibuk memikirkan undi dan survival politiknya, Pembiaya dana daripada gergasi korporat IT sibuk dengan agenda dan algorythm sembahannya, dan menggambarkan kemuliaan diri kerana kerja-kerja philantrophy yang dilakukannya, media cuba mengkelakarkan apa sahaja demi rating, paling kisah dengan viral atau tidak viral, saintis pula percaya kepada data dan kekuatan peer review tetapi akhirnya gagal menatijahkan sebarang impak untuk menyedarkan masyarakat, sehinggalah segala-galanya berakhir dengan kita gagal diselamatkan oleh sesiapa.

Pesanan kedua yang saya ingat adalah pesanan Nabi sallallāh ’alayhi wa sallam bahawa:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ عَلَى شِرَارِ النَّاسِ” ‏”

“Tidak akan berlaku kiamat kecuali ia terjadi ke atas sejahat-jahat manusia” (HR Muslim: 2949)

Kita bayangkan kejahatan itu adalah kejahatan berbentuk kezaliman, kekejaman yang mengerikan.

Saya terfikir bahawa tiadalah kejahatan yang lebih menakutkan di bahagian akhir hidup saya ini mengatasi ketakutan saya terhadap jahatnya sebuah kebodohan. Sukar sekali menyabarkan diri apabila kebodohan bermaharajalela.

Filem ini amat menyedihkan hati saya menontonnya.

MENGENANG ANAK-ANAK SENDIRI

Tambahan semasa mengenang anak-anak sendiri.

Sejak sekian lama, saya percaya kepada kata-kata Neil Postman itu tadi sebab saya sudah membaca buku berkenaan lama dahulu. Ia juga menjadi dorongan besar mengapa saya mengambil keputusan menjadi pendidik, dan enggan menjadi pendidik yang tipikal, sebaliknya berjuang menyelamatkan masyarakat daripada kebodohan. Kepercayaan ini mempengaruhi pendekatan saya dalam mendidik anak-anak. Saya didik mereka agar menjauhkan diri daripada benda-benda yang menjadikan mereka bodoh.

Saya sangat tidak berkenan anak saya melayan meme, sebab ia menampakkan hilangkan kecerdikan seseorang pada membezakan mana yang serius, mana yang lawak. Ini diketengahkan di dalam filem ini apabila kekacakan Dr. Mindy menjadi meme yang viral hingga mesej utama beliau tidak dipedulikan sesiapa.

Saya sangat tidak berkenan anak saya melayan Youtuber dan Tiktoker mengarut. Bermula daripada 9gag dan loyar buruk era ‘Luqman Podosky’ serta ‘Logan Paul’ hinggalah ke era saya sudah hilang upaya menghitung.

Saya cuba ingatkan anak-anak, bahawa apabila remaja nanti nanti jangan mabuk cinta hingga berkelakuan seperti kera mendapat bunga. Tiadalah pemandangan yang lebih menjengkelkan saya melebihi pemandangan remaja mabuk cinta. Ia sudah zaman berzaman sehingga pepatah Melayu pun mengingatkan bagaimana

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Saya cuba usaha mengawal penggunaan telefon anak-anak. Usahakan mereka tidur awal. Bimbing mereka apabila berkawan. Berhijrah demi meninggalkan kehidupan yang terlalu sibuk dan dapat meluangkan masa yang lebih berkualiti untuk membimbing mereka.

Saya cuba.

Tetapi gelombang kebodohan sangat dahsyat.

Apabila telefon dan internet ada di tangan anak-anak, saya kalah.

Dahsyat hingga bodoh bukan lagi senget songkok tudung terjongket. Bodoh yang menjajah ini adalah bodoh yang berbunyi bijak seperti semasa mengungkapkan isu-isu alam bak Ariana Grande dan Kid Cudi semasa menyanyikan lagu kemanusiaan ‘Just Look Up’. Mesej induk di belakang filem  Adam McKay ini ialah segala-galanya adalah kebodohan.

Sebab itu review awal filem ini banyak yang negatif. Ia terlalu pahit untuk ditelan oleh penonton semasa. Seumpama pahitnya realiti yang Neil Postman ungkapkan pada tahun 1985 dahulu.

Tetapi sesungguhnya era ini adalah era kita dijajah oleh kebodohan.

Kebodohan yang hanya dapat ditamatkan oleh kehancuran planet bumi dan patukan Bronteroc di lokasi mana sekali pun kita.

Entahlah.

Saya agak lega saya sudah berusia 46 tahun, kerana mungkin masa untuk saya terus menderita melihat penjajahan kebodohan ini sudah tidak banyak. 

Untuk anak-anak, mungkin lagu Suhaimi Mior Hasan sesuai abi pesankan:

Suatu hari nanti
Kau kan tahu sucinya cinta ku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu

Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya

Hasrizal
Naas, Ireland
www.saifulislam.com

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.