Naratif BULI Yang Kita Normalisasikan Ia

“Kita mengajar, dia tidur!” ustaz datang ke meja saya dan cuba menconteng muka saya dengan kapur tulis.

Seluruh kelas ketawa.

Ketawa mereka jadi lebih besar apabila ustaz gagal menconteng apa-apa ke muka saya dek peluh.

Ia kenangan paling awal yang saya boleh ingat bagaimana tertidur di dalam kelas mula menjadi masalah kepada diri saya sepanjang alam persekolahan. Saya sangat hormat kepada guru. Saya tidak akan memilih untuk tidur hanya kerana saya bosan atau sengaja tidak cukup tidur dengan tidur lewat di sebelah malam. Tetapi dukacitanya, saya tidak sedar pada masa bila saya tertidur.

Kejadian ustaz menconteng muka saya dengan kapur itu adalah semasa saya menginjak usia 14 tahun di Tingkatan 2. Di Tingkatan 2, saya sedar yang saya mula mengalami perubahan diri. Saya banyak menggoyangkan kaki semasa duduk, makan selalu tumpah ke baju, sukar mengawal kemarahan dan tidak sabar-sabar untuk balik ke rumah apabila sekolah benarkan di sesetengah hujung minggu. Apabila berfikir tentang sekolah, perut saya akan memulas dan panik.

Tetapi, semasa itu saya anggap ia perkara biasa untuk budak-budak yang bersekolah asrama.

Saya bukan pengecut. Saya kaki melawan. Tetapi saya gelisah tidak tentu arah. Setiap masa berada di sekolah saya sentiasa diselubungi rasa marah.

Perubahan itu terjadi selepas pengalaman Tingkatan 1 yang mengubah kehidupan saya.

MINGGU ORIENTASI

“Saya tak pandai main bola, bang. Janganlah buat saya macam ini!” saya merayu.

Saya dikehendaki menjadi penjaga gol kumpulan kami semasa minggu orientasi.

Saya kaki bangku. Tidak pandai bermain bola. Perbezaan utama antara saya dengan semua abang di rumah. Saya anak bongsu yang tidak pandai bermain bola, nerd, banyak bermain seorang diri dek jarak umur yang besar dan bolasepak tidak menjadi sebahagian diri ini.

“Tak kira. Kau badan besar. Guna sahajalah badan besar tu untuk tutup pintu gol!” abang senior di sekolah terus memaksa saya.

Dengan berat hati, kecut perut, budak gemuk ini berdiri di depan pintu gol. Seluruh sekolah menonton perlawanan kami.

Satu demi satu bola yang disepak pasukan lawan menembus pintu gol kami. Bola entah ke mana, saya pula terbang entah ke mana. Setiap kali bola menerobos, satu sekolah mentertawakan saya.

Malu sungguh.

Pada masa itu saya berasa kesal masuk ke sekolah asrama ini. Saya dapat tawaran ke sekolah-sekolah yang lebih terkenal, ditawarkan biasiswa bersekolah di Sarawak, tetapi saya pilih sekolah ini kerana cita-cita saya mahu ke Kolej Islam Kelang. Jalannya ialah, bersekolah di sekolah kerajaan negeri. Jika saya menerima tawaran ke SMAP Labu atau SBP di Sarawak, tiadalah Kolej Islam.

Saya tidak mahu mengalah dan berhenti sekolah kerana abah sudah bersedih apabila abang saya berhenti separuh jalan beberapa tahun yang lalu. Saya mesti kuatkan hati.

“Gooooollll!” satu lagi.

Entah yang kesepuluh atau berapa belas saya pun sudah lumpuh perasaan dan kiraan.

Penonton keliling padang ketawa besar. Kawan-kawan sepasukan marah-marah.

Permulaan yang hitam untuk persekolahan menengah saya. Hingga dengan kawan-kawan setingkatan pun saya mula rasa ingin menjauhkan diri kerana malu dan mengecewakan mereka.

TERMENUNG DI TEPI PADANG

“Ahh… tak sabarnya nak Darjah 6” saya mengeluh di tepi lombong berhampiran Kampung Sri Kinta.

Mata saya masih terpaku melihat kepada beg sekolah yang rabak di tepi. Semuanya gara-gara Ah Kau, yang saya tidak faham mengapa beliau sangat suka mencari masalah dengan saya.

“Sebab badan kamu besar, dan Mr. Lim sukakan kamu” kata Rohaizad, teman berkayuh basikal saya ke sekolah.

Rohaizad faham benar akan masalah yang saya hadapi.

Mr. Lim, guru trompet saya sangat gembira dengan perkembangan pembelajaran saya. Membaca note untuk permainan trompet, berbeza dengan nota piano. Taugeh yang bersusun cantik di atas buku nota muzik itu cepat saya kuasai. Disebabkan oleh badan yang besar dan nafas yang lebih banyak sesuai dengan saiz paru-paru ala lembu, kata Rohaizad, maka saya menjadi pemain trompet yang baik dalam tempoh yang segera.

Rupanya ada yang membenci saya.

Ah Kau yang selama ini dianggap pemain trompet terbaik, memusuhi saya, biar pun dirinya sendiri sebenarnya sudah lama berhenti bermain trompet. Semenjak Peperiksaan Penilaian Darjah Lima, setahun sebelumnya. Saya yang baru di Darjah Tiga mengambil alih kekosongan jawatan tersebut, tetapi Ah Kau tidak berpuas hati.

Petang tadi, ketika saya menarik basikal keluar, Ah Kau menarik beg saya sehingga koyak.

Budak Darjah Enam ini tunjuk samseng dengan budak Darjah Tiga. Tetapi saya tidak berani melawan. Sedar yang diri hanya seorang budak kecil yang belum sampai masa.

Ya, belum sampai masa!

LAMUNAN TERHENTI

Tiba-tiba lamunan saya terhenti. Kenangan semasa di sekolah rendah terbantut.

Pembesar suara di tepi padang mula mengalunkan bacaan al-Quran Sheikh Abdul Basit. Saya tahu, itu adalah kaset pilihan abang Shahruzzaman Bistamam, seorang senior Tingkatan STA2 yang amat saya hormati.

Tanpa sedar, hampir sejam saya termenung sendirian di atas bangku sakti itu. Saya menganggapnya sebagai bangku sakti kerana mengelamun di atasnya, sering meredakan tekanan perasaan yang saya alami. Kerusi batu di tepi padang itu menjadi teman saya mengelamun.

Saya terkenang, betapa tertekannya hidup semasa di sekolah rendah apabila dibuli murid-murid yang lebih tua. Hidup saya hanya aman pada setahun dua pertama di sekolah rendah kerana saya dilindungi oleh Abang Munir, abang saya yang ketika itu di Darjah 6. Baru sahaja mahu menumpang syafaat abang di sekolah, beliau sudah pun berpindah ke sekolah menengah. Mulanya di sekolah sebelah, tetapi kemudian berpindah ke Anglo Chinese School (ACS).

Saya sendirian.

Sering rasa tertekan.

Tidak sabar mahu menjadi senior.

Kini rasa tertekan itu kembali menyelubungi diri. Setelah setahun menjadi Ketua Murid dan pelajar senior di sekolah rendah, saya menjadi pelajar paling muda sebaik melangkah ke sekolah menengah. Rasa tertekan itu menjadi-jadi apabila saya digemparkan dengan kisah yang menimpa Awang, pelajar Tingkatan 2 yang merupakan kawan sepermainan saya semasa di sekolah rendah.

KECOH

“Eh, miker tahu tak?” tanya Fazrin kepada saya.

“Tahu apa?” saya berpaling ke arahnya.

“Awang kena tangkap. Katanya, dia ber’anu’!” beritahu Fazrin.

“Haaa!!!” saya hampir putus urat jantung dibuatnya.

“Biar betul. Ye ke ni?” saya masih belum dapat mempercayai berita yang disampaikan.

“Itu le, minggu lepas masa habis gotong royong, Abang Azmi dengan Abang Jamil dah cakap tentang kejahatan dan bahaya ‘anu’ ini. Tak sangka pula Awang terbabit” keluh Fazrin.

Kami memang mengenali Awang semenjak dari sekolah rendah. Cuma selepas Awang ke sekolah menengah, kami terputus berita. Apabila kami masuk ke Sekolah Izzuddin Shah, hanya saya dan Fazrin yang masih mengenali Awang, tetapi beliau tidak mesra lagi dengan kami.

“Awang tu fa’il ke maf’ulun bihi?” saya bertanya.

“Tak tahu. Teman tak tahu. Dengar-dengar begitu sahaja” kata Fazrin.

Kebimbangan saya bertambah kerana mengenangkan hari ini hari Jumaat. Sepatutnya hujung minggu adalah waktu rehat yang menyeronokkan. Tetapi di sekolah asrama seperti ini, hujung minggu adalah waktu yang membosankan bagi abang-abang, dan kebosanan mereka itu mungkin menjadi padah buat kami yang junior ini.

“Kalau dia fa’il, mudah-mudahan dia bertaubat. Kalau dia maf’ulun bihi, semoga dia diselamatkan” saya meninggalkan asrama untuk ke musolla bagi mendirikan solat Jumaat.

Perbualan dengan Fazrin tengah hari tadi, menghantui diri saya hingga ke petang.

Itulah yang membawa saya mengelamun ke tepi padang hingga tidak sedar jam sudah 6:30 petang.

MALAM PENUH KECELAKAAN

Selepas kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mustafa Mansur, jemputan dari luar, kami bersolat Isyak secara berjemaah.

Majlis kecoh seketika tadi apabila siling dewan besar yang dijadikan musolla itu tercabut sekeping dan jatuh menimpa seorang pelajar. Mujurlah kepingan itu kecil. Tiada siapa yang cedera. Saya juga yang ralit mematah-matahkan tikar surau, terhenti dan beristighfar kerana penyakit fidgeting di tangan saya telah merosakkan bucu-bucu tikar musolla yang usang.

Usai solat Isyak, kami pulang ke asrama.

“Eh Has, mari sini” kata Haris sepupu saya.

“Ada apa?” saya membetulkan songkok semasa Haris menarik tangan saya.

“Awang kena belasah!” Haris memberitahu.

Darah saya tersirap.

Kami pelajar Tingkatan Satu, tinggal di Blok C. Manakala Awang dan pelajar tingkatan 2 yang lain, tinggal di Blok B. Kami semua mengendap di celah tingkap melihat insiden yang berlaku di bilik A blok B di seberang gelanggang takraw tersebut.

Dada saya sakit menahan perasaan. Saya nampak sekumpulan senior sedang menumbuk-numbuk Awang. Songkoknya terbang entah ke mana. Awang tiba-tiba ditolak ke dinding. Kepalanya dihentak-hentak dan kemudian dilepaskan. Awang rebah ke lantai.

“Astaghfirullah, astaghfirullah!!!” saya mengurut-urut dada.

Kami pelajar Tingkatan 1 disergah dari seberang blok. Saya cepat-cepat melarikan diri dan terus masuk ke dalam kelambu. Bantal malam itu basah dengan tangisan. Saya tidak tahu apakah saya menangis kerana takut, atau kecewa, atau marah. Tetapi pemandangan sebentar tadi amat menakutkan saya. Sumpah saya tidak mahu sesiapa dari kalangan ahli keluarga saya, melihat apa yang saya lihat tadi.

Saya tahu rumah Awang, saya tahu siapa bapa Awang dan siapa emak Awang. Semasa Awang dibelasah, muka emak dan bapa Awang menerjah fikiran saya. Sedihnya memikirkan perasaan mereka kalaulah kejadian tadi disaksikan oleh emak yang memberanakkan Awang dengan pertaruhan nyawa dan bapa Awang yang bergadai hidup membesarkannya. Membesar untuk dibelasah sesuka hati oleh manusia yang mengambil undang-undang ke tangan sendiri.

Kepala saya sarat dengan semua yang saya tahu tentang Awang. Semasa kecil, kami pernah bermain bersama, mengutip siput di Sungai Penjih dan menangkap ikan harimau di lombong berhampiran rumah Cham Weng Tang, kawan sekelas saya di sekolah rendah dulu. Tetapi malam ini saya rasa begitu lemah kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu.

Kejadian buli di sekolah asrama menjadi asam garam kehidupan. Saya tidak tahu apa puncanya. Tetapi kesimpulan yang dibuat ialah, kami hampir menyangka yang diri ini anak yatim kerana tidak begitu dijaga oleh mereka yang berpangkat ibu atau bapa. Hanya ada dua tiga orang guru sahaja yang menjenguk kami di asrama, sesekali.

Justeru, kami sebenarnya dibesarkan oleh abang-abang. Merekalah yang menentukan apa yang kami boleh buat dan apa yang kami tidak boleh buat. Tradisi itu berlangsung secara turun temurun. Saya sedang menghitung jari, berapa lama lagikah sebelum diri ini boleh bergelar senior untuk keluar daripada ketakutan ini?

NASIB AWANG

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Awang.

Khabarnya dia dibawa ke hospital.

Isnin, saya berselisih dengan ayah Awang di koridor. Tangannya menggendong beg besar.

“Pakcik, pakcik kenal saya?” saya berhenti dan menghulurkan tangan bersalam.

“Pakcik macam kenal kamu” katanya kepada saya.

“Saya Hasrizal. Duduk Jalan Pengkalan 1. Dulu pernah pergi rumah pakcik ambil upah basuh kereta untuk aktiviti Pengakap. Saya kawan Awang dulu” saya memberitahunya.

Wajah pakcik itu berubah.

“Apa yang terjadi kepada Awang?” saya memberanikan diri bertanya.

“Telinganya berdarah. Dia ada masalah pendengaran” kata ayah Awang kepada saya.

Saya tunduk. Malu dan kecewa kerana tidak dapat berbuat apa-apa.

“Pakcik kirim salam kepada Awang ya” saya mencium tangan beliau.

“Jaga diri baik-baik” pesannya kepada saya.

Awang diberhentikan daripada sekolah akibat kejadian tersebut. Saya mendapat tahu yang Awang adalah mangsa kepada budaya songsang yang sering berlaku di sekolah-sekolah asrama ini. Tetapi, jika Awang mangsanya, mengapa beliau yang dibelasah?

Saya kebingungan.

“Hmm… kalaulah aku dah kahwin nanti dan ada anak, patutkah aku hantar anak ke sekolah asrama pada usia macam ini?” saya bercakap sendirian sambil mengelap muka dan tangan yang basah dengan air wudhu’

Kaki melangkah ke musolla.

Satu-satunya tempat yang memberikan rasa selamat kepada diri ini. Musolla itu pada imaginasi saya, adalah bahtera Nabi Nuh.

Bahtera penyelamat.

‘SYAFAAT ABANG’

“Enta adik Ijun, kan?” Abang Razak bertanya kepada saya.

Saya mengangguk.

Beliau ketua pelajar, dan jika abang saya meneruskan persekolahan di sekolah tersebut, mereka rakan setingkatan.

Maklumat yang saya adalah adik Ijun, membantu serba sedikit untuk saya selamat. Beberapa orang pelajar senior, terutamanya di Tingkatan 2 sering mengejek saya, si gemuk yang kaki bangku ini, tetapi ejekan mereka hanya dengan cakap. Mereka tidak sentuh saya, khabarnya sebab saya adik Ijun.

Saya cuba untuk teruskan fokus utama saya di sekolah iaitu belajar. Buli-buli ini saya buat bodoh sahaja. Tidak mahu melayannya sangat. Tetapi rasa gelisah semakin bertambah. Fikir sahaja tentang sekolah, terus seram sejuk, berpeluh, dan hilang selera makan.

OGOS 1988

Rasa marah kepada senior terasa semakin bertambah.

Senior yang menjadi hakim mengatur undang-undang di sekolah itu pula bukanlah senior contoh. Mereka bersembahyang di asrama, tidak di musolla. Jika ke musolla pula, duduk di belakang dan membuat bising.

Kanak-kanak Tingkatan 1 ini semakin hilang sabar.

Sekeping nota sudah siap ditulis, tersemat rapi di dalam poket baju Melayunya.

Habis sahaja kelas malam dan solat Isyak berjemaah di musolla, seorang abang Tingkatan 4 menyampaikan tazkirah.

“Kita tangguh majlis kita dengan… eh kejap!” beliau melihat ke lantai.

Saya memberi isyarat yang saya hendak bercakap.

“Sekejap ya, ada budak Form 1 ni nak cakap” katanya.

Saya bangun. Melihat ratusan pelajar, mata bertentang mata. Saya elakkan perhatian daripada senior di belakang supaya gugup saya tidak bertambah.

Nekad.

“Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh. Sebelum masuk sekolah ini, cita-cita saya masuk ke sekolah ini adalah untuk belajar jadi baik sebab sekolah ini sekolah agama. Sepatutnya sekolah ini lebih baik daripada sekolah saya dahulu. Lebih lama di sekolah ini, maka sepatutnya lebih baiklah pelajarnya. Oleh itu, kalau di musolla ini, yang patut berada di baris hadapan ialah senior. Dan kami yang junior berada di belakang. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Semasa sekolah rendah, ramai kawan saya bukan Islam. Tetapi kelakuan mereka jauh lebih baik daripada kita yang Islam ini. Kita di sekolah ini seperti orang buta yang diberikan tongkat. Sepatutnya dengan tongkat itu kita boleh berjalan dengan selama. Tetapi kita buang tongkat berkenaan. Kenapa? Sekolah ini berubah menjadi seperti durian. Luarnya elok, dalamnya berulat. Semoga kita insaf dan berubah menjadi lebih baik…” saya membaca nota yang saya tulis lebih awal itu.

Telinga menangkap sorak sorai terutamanya dari belakang.

Saya angkat dagu dan nampak di belakang sana sebahagian senior mengepal-ngepal penumbuk dan menunjukkan wajah geram kepada saya.

Tamat tazkirah itu, ramai kawan setingkatan datang mengucapkan tahniah kepada saya.

“Syabas, Hasrizal. Padan muka senior. Memang patut kena tegur pun” kata mereka.

Saya tidak tahu hendak gembira atau sebaliknya sebab sejujurnya semasa itu saya jadi takut.

Tiba di asrama, sebelum kami menutup lampu, bilik kami ada rutin tazkirah pendek. Malam itu sahabat kami mengambil giliran memberi tazkirah.

Majlis terhenti kerana dari luar bangunan asrama Blok C, kami mendengar bunyi bising suara pelajar menjerit-jerit. Kami beranikan diri menjenguk ikut celah jaring.

“Mana budak Form 1 celupar tu???”

“Kurang ajar. Keluar!”

“Mampus kau!”

Jantung saya bagai hendak tercabut daripada tubuh. Nampak beratus-ratus pelajar memenuhi koridor blok D dan padang depan blok kami. Ada yang bawa kayu kaki meja dan besi katil.

Saya terus ke katil dan masuk ke dalam kelambu. Menangis ketakutan.

Tiba-tiba pintu bilik kami dilanggar.

“Hoi mana budak Form 1 kurang ajar tu? Keluar sekarang!” seorang senior menerjah masuk ke bilik kami.

Beliau memang dikenali dengan panggilan gengster.

Saya menggigil di dalam kelambu.

“Kau jangan nak tunjuk gengster dengan budak Form 1!” tiba-tiba saya terdengar suara Abang Jamal. Pelajar Tingkatan 5, sama dengan pelajar gengster berkenaan. Turut datang bersamanya Abang Helmi. Mereka berdua dan Abang Azman adalah pengawas yang ditugaskan menjaga blok kami.

“Kau jangan masuk campur! Ini hal aku dengan dia!” jawab samseng berkenaan.

Saya sudah bercucuran air mata di dalam kelambu menahan rasa takut.

“Budak-budak ini di bawah jagaan aku. Kau sentuh dia maknanya kau sentuh aku!” saya sudah tidak nampak siapa yang bercakap begitu. Sama ada Abang Jamal atau Abang Helmi. Ada sedikit kelegaan di hati apabila pengawas selaku ketua blok bertegas mempertahankan kami.

Samseng berkenaan mendengus geram.

“Siap kau!” ujarnya sambil menunding jari kepada saya. Beliau beredar.

Malam itu, saya dipanggil oleh Abang Jamal dan Abang Helmi ke bilik mereka. Saya dinasihatkan supaya tidur di bilik mereka kerana mereka khuatir saya ‘diculik’ di tengah malam untuk dibelasah.

Bantuan yang diberikan oleh pengawas tidak terhenti setakat malam itu. Hasil perbincangan mereka, lama juga saya tidur di bilik mereka setiap malam, dan apabila ke musolla dan dewan makan pun, saya dipesan agar tidak berjalan sendirian. Saya ikut nasihat tersebut.

Dalam pada mengikut nasihat berkenaan, saya tetap setiap masa menerima gangguan.

Beberapa orang pelajar Tingkatan 2 yang terkenal rapat dengan kumpulan samseng sekolah sentiasa mengekori saya, menggertak dan mengugut, mencari pasal.

Suatu petang, semasa kami bergerak ke dewan makan untuk makan malam, pelajar Tingkatan 2 berkenaan menyepak-nyepak kaki saya dari belakang. Saya hilang sabar dan menjerkahnya, “kau jangan kacau aku boleh tak?”

Semasa itu tangan saya memegang bekas air panas yang hendak diisi di dewan makan. Tanpa sengaja, bekas air panas di tangan saya tersebut terhantuk ke kepala pelajar Tingkatan 2 tersebut, dek ketinggian saya dan rendangnya dia.

“Adoi!” beliau menjerit kesakitan.

Saya terkejut, antara hendak ketawa, dan panik.

“Kurang ajar! Siap kau malam ni!” samseng kecil itu memintas saya dan hilang dalam barisan ratusan pelajar yang beratur hendak masuk ke dewan.

Kecut perut datang semula. Saya rasa beliau pergi mengadu kepada samseng-samseng berkenaan. Arghh, malam ini ancaman diperbaharui.

BERTERUSAN

Ketakutan tidak pernah berhenti setakat itu.

Saya bersyukur kerana tubuh badan saya yang besar dan tinggi mungkin agak membantu. Sepanjang tahun 1 di asrama saya berjaya untuk tidak dibuli secara fizikal. Cuma ugutan demi ugutan saban hari, ejekan, buku sekolah disepah berterabur di lantai, ia menyebabkan saya tidak dapat berasa gembira sepanjang berada di sekolah. Apabila cuti sahaja, saya lega balik ke rumah. Bilamana sekolah hendak dibuka semula, belum pun kereta abah masuk ke Jalan Sultan Azlan Shah menghampiri sekolah, perut saya sudah mual, rasa hendak muntah, mulut pahit dan kalau boleh hendak berpatah balik ke rumah.

Pada masa itu, saya tidak fikir saya ada pilihan lain. Sama seperti ramai, saya menelannya sebagai asam garam kehidupan di asrama.

Saya memang jadi keras dan berdikari, tetapi saya terperangkap di dalam sindrom sekolah asrama (boarding school syndrome) yang pernah saya nukilkan di artikel khusus mengenainya:

Persoalan ini timbul apabila perbincangan saya dengan doktor peribadi di Ireland ini mendorong saya meneroka semenjak bilakah saya berdepan dengan simptom-simptom ADHD yang ketara. Di dalam banyak-banyak simptom yang dibincangkan, saya diajak meneliti masalah hilang fokus apabila sesuatu dalam hidup saya jadi tidak menarik, walaupun penting. Ia berkaitan dengan masalah tidur dalam kelas, dan mengantuk semasa memandu di lebuhraya.

Memikirkan semula simptom berkenaan, ia menjadi sangat ketara semasa saya di Tingkatan 2, selepas kembali ke sekolah pasca cuti hujung tahun usai menamatkan Tingkatan 1 yang penuh trauma di asrama.

Umumnya, memori kita menjadi pudar selepas berlalunya masa sama ada di kalangan kanak-kanak mahu pun dewasa (Hirst et al., 2015La Rooy, Pipe, & Murray, 2007), dan ini boleh menyebabkan kita sebagai orang dewasa kurang pasti tentang memori di usia kanak-kanak dahulu hingga mudah terkesan dengan usul-usul di minda yang cuba mempengaruhi memori tersebut. (Loftus & Pickrell, 1995). Tetapi memori yang berkait dengan emosi yang ekstrim berbanding dengan emosi neutral dalam keadaan biasa adalah sesuatu yang tidak mudah untuk seseorang itu lupa kepadanya (LaBar & Cabeza, 2006Yonelinas & Ritchey, 2016).

Individu yang mengalami peristiwa trauma, seperti bencana alam, kapal terbang terhempas, kecederaan yang menghantar diri ke wad kecemasan, memori mengenainya jelas sehingga menjangkau bertahun-tahun malah berdekad-dekad lamanya (Bauer et al., 2016Fivush, McDermott Sales, Goldberg, Bahrick, & Parker, 2004McKinnon et al., 2015Peterson, 2015Van Abbema & Bauer, 2005).

Lima tahun di sekolah asrama memusnahkan dalaman ssaya. Self-identity saya diselubungi rasa sedih, melankolik, malu, ingin berundur dan marah, sukar beroleh rasa aman.

MEMBAWA DIRI

Setelah berkahwin dan berumahtangga, saya masih membawa pelbagai bentuk trauma daripada alam persekolahan lama dahulu. Saya nekad untuk tidak lagi cuba menyambung pelajaran dan terjun ke dunia akademik. Saya hanya ingin mencari kehidupan bermakna untuk survival penggal akhir kehidupan dan ia menjadi salah satu latar belakang keputusan saya berjuang untuk membawa diri dan keluarga off grid keluar daripada radar masyarakat di tanahair, berhijrah ke negeri jauh, jauh daripada masyarakat yang masih menormalisasikan buli dalam pelbagai bentuk dan keadaan.

Saya tidak percaya sama sekali kita di Malaysia sudah berjaya sepakat bahawa BULI adalah KEJI.

Sebabnya, keseriusan kita di peringkat penggubalan dasar dan pengoperasian sekolah, tidak melihat buli sebagai akibat kepada kepincangan yang sistemik. Kita hanya nampak kelakuan pembuli di kalangan murid tetapi belum memberi perhatian kepada faktor-faktor budaya, sistem, polisi dan SOP yang menjadi enabler kepada buli.

Pengalaman paling kuat meninggalkan parut di kepala saya berkaitan buli, selain apa yang saya alami dan saksi di alam persekolahan sendiri, adalah kejadian di sebuah Sekolah Berasrama Penuh terkemuka tanahair hampir 10 tahun yang lalu.

Syukur kerana apabila pihak sekolah berusaha menjemput saya, maknanya sekolah sudah mula cuba berusaha sesuatu. Tetapi saya tidak dapat menyembunyikan kekhuatiran melihat apa yang difikir dan tidak difikir oleh pihak sekolah ketika itu berkaitan masalah buli di sekolah berkenaan.

Di sekolah tersebut, saya dapati, selepas waktu pejabat, SEMUA kakitangan baik akademik mahu pun pentadbiran, kembali ke kediaman masing-masing dan di sekolah berkenaan langsung TIDAK ADA orang dewasa yang bertugas menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar di sebelah petang dan malam. Sekolah berkenaan ketika itu baru sahaja berpindah ke kampus baharu dan kakitangan masih belum menyesuaikan logistik masing-masing dengan tugas mereka di sekolah. Tetapi ketidakmampuan mewujudkan jaminan keselamatan untuk murid walaupun satu petang atau satu malam, sudah cukup meletakkan ratusan murid dalam bahaya. Ia menjadi latar belakang mengapa pelajar senior bermaharajalela membuli junior hingga bak kata pelajar yang saya temui, “hidup bagai dalam neraka!”

Saya juga dapati nasihat yang disampaikan oleh pihak sekolah kepada pelajar adalah mengingatkan mereka bahawa mereka bertuah terpilih bersekolah di sebuah institusi berprestij dan jangan disia-siakan peluang berkenaan, dan jangan malukan reputasi sekolah.

Sesuatu yang murid tidak peduli. Ada murid bercakap dengan saya, “tak rasa bertuah pun sekolah sini. Rasa malang lagi ada la!”

Saya tidak melihat wujudnya kesedaran di pihak sekolah bahawa walaupun pelaku buli tetap pembuli dan bersalah, faktor institusi dan kesanggupan mereka meninggalkan pelajar di asrama tanpa pengawasan orang dewasa, adalah ENABLER kepada buli dan ia adalah tindakan yang tidak boleh diterima.

Hakikatnya, buli masih perkara biasa dan diterima sebagai asam garam kehidupan khususnya di sekolah berasrama.

Ibu bapa yang serius berfikir tentang hal ini harus sedar bahawa meninggalkan anak di sekolah berasrama adalah mendedahkan anak kepada risiko. Kecuali anda dapati sekolah berkenaan mempunyai komitmen spesifik membanteras buli. Jika anak anda dibuli baik oleh sesama pelajar mahu pun oleh guru atau warden, belum tentu anak anda akan dilihat sebagai mangsa!

Fikiran masyarakat kita masih semak samun walaupun isu ini sudah jelas hitam putihnya.

Pengalaman pendek saya berada di dalam Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) pada tahun 2018 mendedahkan saya kepada aduan demi aduan pelbagai pihak khususnya ibu bapa mengenai nasib anak-anak mereka yang dibuli oleh guru sekolah sendiri. Betapa sukarnya untuk hal ini dibetulkan hingga saya sarankan sahaja agar ibu bapa berkenaan mengeluarkan anak daripada sekolah yang keselamatan murid bukan keutamaan mereka.

Jalan ke Syurga bukan hanya dengan menjadi hafiz.

Tetapi bersekolah asrama, sering mengawalkan Neraka untuk anak-anak yang sebahagian nafkah kita adalah menyediakan kehidupan yang selamat untuk mereka.

By default, usahalah ‘simpan’ anak remaja masing-masing di rumah sendiri. Busuk macam mana pun kerenah mereka, selesaikan sendiri kerana kita ibu bapa mereka. Memang perit menguruskan anak remaja.

Kecuali satu, dua, tiga dan beberapa sebab lain yang mendesak dan kita maklum mengenainya. Siasat anutan sekolah berkenaan tentang persoalan buli dan apakah sekolah itu mempunyai SOP yang jelas tentang buli.

Tanpanya, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Hasrizal
Naas, Republic of Ireland
www.saifulislam.com

Check Also

Generasi Hilang di Depan Mata

Istilah ‘Generasi Yang Hilang’ asalnya timbul ekoran daripada laporan UNICEF pada November 2020 yang lalu. …

One comment

  1. Terima kasih kongsikan pengalaman Ustaz, sebagai rakyat Malaysia yang dah pernah duduk kat beberapa negara luar kengkadang rasa macam Malaysia mempunyai terlalu ramai penduduk & telah tegakkan budaya “quantity over quality”..

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share