Cabaran Rejection Sensitive Dysphoria (RSD) Dalam ADHD Dewasa

Menjadi seorang yang rasional, menerima jika munasabah dan menolak andai sebaliknya, adalah asas saya mengendalikan perjalanan hidup. Tetapi apabila dilabel sebagai seorang yang emosional, berhati tisu, sukar bertolak ansur dengan perbezaan pendapat, ia mendatangkan rasa tidak selesa kerana saya akan bertanya kepada diri sendiri, apakah benda yang saya marah itu wajar saya marah, atau ia hanya kelemahan saya mengurus perasaan, sesuatu yang hanya bermain di fikiran?

Rejection sensitive dysphoria atau RSD adalah keadaan tidak selesa yang bersangatan seseorang alami semasa berhadapan dengan penolakan, atau kritikan.

Perasaan negatif semasa ditolak atau dikritik adalah perkara biasa dalam hidup. Tetapi jika ia lebih besar daripada yang sepatutnya, berlarutan dan berpanjangan, menjejaskan kualiti hidup, ia tidak kena.
RSD adalah antara ujian besar yang saya alami sepanjang hayat. Bezanya ialah, saya bukan melenting atau membalas secara terbuka. Sebaliknya ia mengheret saya ke dalam proses regulasi emosi yang berat, sama ada menyebabkan kesedihan, atau menjadikan diri ‘numb‘. Sekali sekala ia meletup keluar dalam bentuk kemarahan atau melawan.

Tanpa meneliti secara ‘big picture‘, jika benda yang saya lawan itu adalah kemungkaran, ia mungkin ditafsir sesetengah orang sebagai wajar malah heroic. Bangun membantah sindiran penceramah yang merepek, atau menjawab semula lontaran kritikan yang tidak berakhlak di media sosial, tidak mengapa. Sekali sekala, dan dilakukan oleh orang yang boleh saya abaikan.

Tetapi bagaimana dengan benda yang saya tidak boleh lawan tiap-tiap hari? Kedegilan anak-anak sendiri melawan cakap, atau pendapat yang sentiasa (perkataan ‘sentiasa’ itu juga mungkin satu simptom) diremeh atau ditolak? Ia amat melelahkan.

Di tahap sekarang, saya beransur menjadi pendiam.

Enggan mempunyai pandangan atau pendapat.

Ikut sahajalah.

Sebab saya lebih mampu untuk tidak berpendapat berbanding berusaha bersungguh-sungguh memberi pendapat, kemudian pendapat itu diremehkan atau ditolak.

Perkara ini disentuh oleh psikiatris semasa melakukan assesment ADHD ke atas saya tempoh hari. Beliau melihat saya telah melakukan pelbagai strategi untuk mendepani penolakan atau kritikan, namun ia mungkin memudaratkan diri kerana mendorong kepada low mood, dan menarik diri daripada komunikasi aktif. Malah penghijrahan meninggalkan tanahair juga mungkin ekoran daripada rasa overwhelmed dengan ‘kemerepekan’ yang sudah melampaui keupayaan diri bertolak ansur.

RSD bukanlah satu keadaan yang muktamad di kalangan psikiatris. Ia masih dikaji dan diteliti.

Namun setakat ini, memang banyak penyelidikan telah dibuat mengenai RSD di kalangan mereka yang telah didiagnosis dengan ADHD.

Misalnya, satu kajian yang agak terkini pada tahun 2019 menunjukkan bagaimana remaja ADHD berusia antara 10-15 tahun menunjukkan sensitiviti yang tinggi apabila menerima maklumbalas yang negatif di dalam virtual game, yang mungkin boleh menjelaskan kegagalan fungsi sosial di kalangan pengidap ADHD. Lihat kajian berkenaan di bawah tajuk “Sensitivity to Peer Feedback in Young Adolescents with Symptoms of ADHD: Examination of Neurophysiological and Self-Report Measures” di https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6395560/

Dari satu sudut yang lain, saya berharap agar sensitiviti saya kepada perkataan, dapat terus mempengaruhi secara baik penulisan dan percakapan saya agar saya kekal berhalus (تَلَطُّف). Cuma saya perlu buat sesuatu apabila kecewa dengan semberononya dunia yang saya hidup ini dalam memilih percakapan. Sesuka hati memilih perkataan yang menyakitkan, kemudian buat macam tidak ada apa-apa yang berlaku, atau memohon maaf kemudian mengulanginya.

IBRAH SURAH YUSUF

Saya masih mengenang kesedihan Nabi Yaaqub ‘alayhi al-salam mendepani perangai anak-anaknya hingga putih mata akibat menangis. Mereka menempelak Yaaqub dan dirakam Allah SWT di dalam firman-Nya:


قَالُوا۟ تَٱللَّهِ إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلْقَدِيمِ

Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama”. (Yusuf 12:95)

Kelancangan anak-anak berkata, sedari awal telah ditentukan Yaaqub cara baginda mendepaninya dengan berkata:


قَالَ إِنَّمَآ أَشْكُوا۟ بَثِّى وَحُزْنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

(Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Yusuf 12:86)

Sebab itu, tatkala anak-anak Yaaqub kemudiannya meminta agar bapanya memaafkan mereka dan memohon keampunan Allah untuk mereka, Yaaqub tidak terus memaafkan mereka sebagai adik mereka Yusuf memaafkan. Saya melihat perbezaan Yaaqub dan Yusuf bukan semata-mata kepada keperibadian, apatah lagi kerana mereka adalah Rasul. Sebaliknya ia merujuk kepada apa yang mereka alami sebagai anak kepada adik beradik, dengan bapa terhadap anak-anak sendiri.

Ujian kita tidak sebesar ujian ke atas Nabi Yaaqub ‘alayhi al-salam. Cukuplah sekadar kita faham bahawa it’s okay to be sad… dan jika kesedihan itu memakan diri, dapatkanlah bantuan yang sewajarnya.

Saya baru di hari ketiga mengambil stimulant sebagai rawatan ke atas ADHD. Dos minimum kerana di peringkat ini, doktor mahu melihat terlebih dahulu keserasian ubat berkenaan dengan tubuh saya. Kesan sampingan pun masih sukar untuk ditentukan. Setakat dua hari lepas, saya mengambil ubat jam 8 pagi dan berulangkali sakit kepala pada jam 8 malam, lebih dahaga daripada biasa dan selera makan menurun (bagus juga, kan!).

Semoga mereka yang menerima diagnosis ADHD dan mengalami RSD terus kuat tabah.

Adakah dunia akan lebih cermat dalam memilih perkataan semasa berkomunikasi dengan kita, ia sesuatu yang kita tidak dapat kawal atau ubah. Kawallah diri, dengan mendapatkan assessment klinikal oleh pakar, serta disusuli dengan intervensi yang bersesuaian.

Hasrizal
Naas Ireland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.