Menghina si Anak Muda Kerana Mudanya Mereka

Semasa kita mahu guna anak muda, kita puji mereka sebagai ‘masa hadapan kita’. Kita buka ladang tebu untuk ditanam di bibir manis semua.

Apabila anak muda tidak buat seperti yang kita harap, kita hina mereka sebagai ‘tengin’, tidak reti, buang masa, dan tidak patut diberi peranan melebihi yang sepatutnya.

Ayat-ayat yang dilempar, tidak banyak berbeza dengan ungkapan kaum Ibrahim ‘alayhi al-salam apabila lelah dengan si anak muda yang menelanjangkan keboborokan idea dan kepercayaan lama:

قَالُوا۟ مَن فَعَلَ هَـٰذَا بِـَٔالِهَتِنَآ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥٩

“Mereka berkata: siapakah gerangan yang melakukan hal ini kepada tuhan-tuhan sembahan kita? Sesungguhnya si pelaku ini semestinya daripada golongan yang zalim (meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya)!”

قَالُوا۟ سَمِعْنَا فَتًۭى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُۥٓ إِبْرَٰهِيمُ ٦٠

“Lantas sebahagian mereka berkata: kami ada terdengar seorang budak muda yang celupar mengata mereka, katanya nama dia Ibrahim!”

[Surah al-Anbiyā ayat 59-60]

Mereka tidak membalas hujah dengan hujah. Sebaliknya mereka mempertikai tindakan Ibrahim dengan mempertikai keperibadiannya bahawa dia itu, “alaaa, budak muda je! (Bukannya reti apa-apa pun)”

Lantas mereka mula menggunakan kuasa dan kekerasan untuk mengheret budak muda itu ke muka pengadilan.

قَالُوا۟ فَأْتُوا۟ بِهِۦ عَلَىٰٓ أَعْيُنِ ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَشْهَدُونَ ٦١

“Mereka berkata: bawakan budak muda itu ke hadapan orang ramai agar mereka boleh menyaksikan pendakwaan ke atasnya!” [Surah al-Anbiyā ayat 61]

SEDANGKAN ANAK MUDA ADALAH ‘PRODUK’ ORANG TUA

Lupakah kita, bahawa anak muda itu produk kita?

Mereka adalah anak di rumah kita si ibu bapa.

Mereka adalah anak murid di sekolah kita si guru yang mengajarnya.

Mungkin mereka memang tengin pun. Tetapi tengin mereka adalah amanah Tuhan untuk kita membentuknya.

Jika anak muda tidak matang, gagal memenuhi kepemudaan mereka, di mana silapnya?

Walhal, sebaik sahaja yang perempuan datang haid, dan yang lelaki mula mandi wajib, agama Pencipta mereka kata mereka sudah dewasa, sudah mukallaf! Lama sebelum mereka layak mengundi, baik di usia 18 mahu pun 21.

SISTEM SEKOLAH YANG MEMBANTUTKAN KEMATANGAN GENERASI

Apa yang mak ayah buat di rumah, kita susah hendak ulas. Kita faham emak ayah kena berperang dengan media sosial di zaman ini. Sama ada si anak berbin dan berbintikan ayah, atau menjadi Bani Android dan Bani iOS.

Susah.

Apatah lagi kalau emak ayah sibuk bekerja, tiada masa hendak membentuk anak-anak, kecuali semasa emak ayah dan anak-anak sama-sama tinggal nyawa-nyawa ikan semasa balik ke rumah bersama matahari tenggelam dan itik pulang petang.

Tetapi kita tahu, semenjak anak berhingus lagi, kita sudah hantar mereka ke sekolah. 8 ke 10 jam

terbaik setiap hari, kita serahkan mereka kepada sistem pendidikan dan orang-orang asing bergelar guru itu untuk mencanai anak kita. Paling kurang 11 tahun. Mungkin lebih.

Apa yang sistem pendidikan buat pada mematangkan atau membantutkan kematangan murid-murid? Bab ini, kita boleh ulas.

Kata John Taylor Gatto:

“Adakah sistem persekolahan selaras (seperti yang kita kenal hari ini) ada kaitan dengan bertambahnya sifat kebudak-budakan?” beliau melontarkan pertanyaan di mikrofon. Bergema menyapa semua. Beliau lantas menjawab soalannya sendiri dengan berkata, “inilah tesis yang akan saya bentangkan malam ini – bahawa sejumlah besar kanak-kanak Amerika telah menjadi dungu dan moralnya pula serpih. . . . Sekolah telah memanjangkan sifat kebudak-budakan jauh melangkaui batas semulajadi.”

“Suatu ketika dahulu…” sambung Gatto, “kanak-kanak Amerika cepat matang.” Beliau memetik kata-kata de Tocqueville yang selepas melawat Amerika Syarikat pada tahun 1839, menyatakan bahawa “di Amerika, sebenarnya tiada ‘keremajaan’. Di hujung peringkat budak-budak seorang lelaki, muncullah seorang pria dewasa.”

Akan tetapi sekarang ini, Gatto menyambung lagi, “kebudak-budakan itu telah secara buatannya berlanjutan hingga ke usia 20an malah lebih daripada itu.”

“Tiada siapa lagi yang mendapati gambar berkenaan – beliau memberi isyarat kepada slaid yang memaparkan gambar seorang anak muda lelaki – sebagai tidak normal. Remaja Amerika diterima sebagai keloloh; mereka mengenakan benda yang merepek-repek di telinga, dan kita semua menganggapnya sebagai perkara biasa lagi tabii.”

Petikan buku The Underground History of American Education: An Intimate Investigation Into the Prison of Modern Schooling (Volume I) oleh John Taylor Gatto.

KITA MELANGGAN SISTEM BONSAI ITU

Walaupun kisah Gatto itu di Amerika Syarikat, kita tahu ia amat mudah untuk ditukar lokasinya menjadi lokasi di mana-mana sahaja di kebanyakan tempat, termasuk di benua yang lain bangsa dan lain agama.

Kita berangan-angan anak-anak kita hendak dijadikan al-Ghazali, Einstein, Confucius dan Shankaracharya.

Tetapi kita guna sistem pendidikan bonsai yang sujud kepada angka-angka peperiksaan dan memperhambakan diri kepada kurikulum tirani.

Proses mematangkan anak-anak bukan mudah. Apatah lagi di zaman ini. Membanyakkan kandungan, mempercepatkan pengenalan maklumat kompleks, adalah ilusi bertatahkan pelbagai jargon yang menyebabkan kita lupa kepada asas dan tujuan asal sebuah pendidikan.

PERJUANGAN MELAWAN SISTEM

Hendak mengubah hal ini, jalannya bukan mudah.

UNLEARN banyak benda.

RELEARN pelbagai perkara.

Dua agenda di atas sudah menyebabkan kita menjadi miskin dan susah walaupun tidak kelihatan miskin dan payah.

Miskin kerana kita perlu melakukannya sendiri.

Payah kerana kita mendayung perahu melawan arus deras yang menderu hulu ke hilir enggan berhenti.

Kita mungkin sangka yang payah dan perlu segera dibantu hanyalah yang terkapai-kapai lemas di arus deras itu. Tetapi kita mungkin terlepas pandang bahawa seorang demi seorang secara sukarela meninggalkan tebing untuk terus kelemasan, beramai-ramai.

Perahu kita kecil.

Yang lemas bertambah ramai.

Suara yang kedengaran hanya sorakan “si luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Sesungguhnya pendidikan, adalah jalan ISLAH.

Bertolong-tolonglah kita dalam usaha ini.

📌

Ya Allah, tolonglah kami di Yayasan Pendidikan Khalifah menguruskan Khalifah Model School dan Khalifah Model School – Secondary dalam serba kepayahan dan kekurangan kami, melunaskan amanah yang amat berat ini.

Amin.

Check Also

Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat

Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.