Kuasa Perkataan: Renungan Kisah Kecemburuan Aishah r.a. Kepada Khadijah r.a

Umm al-Mu’minin Aishah radiyallāhu ‘anhā bermurah hati berkongsi dengan ummah, kisah cemburu beliau terhadap Saidatina Khadijah radiyallāhu ‘anhā. Kisah ini menuntut kita untuk terlebih dahulu meluruskan akal dan hati untuk fokus kepada iktibar yang hendak dipelajari, dan bukan membanding-banding antara dua isteri Rasulullāh ﷺ ini dan membandingkan siapa lebih baik daripada siapa.

Ia juga menjadi pelajaran berharga buat kita untuk berdamai dengan kelebihan dan kekurangan setiap insan, terutamanya pasangan hidup kita sendiri.

Walaupun bahagia itu adalah keinginan semua, kita binalah kekuatan untuk bertolak ansur dengan apa yang lebih dan kurang dalam hidup ini, menangguhkan kebahagiaan yang ideal tanpa cacat cela berkenaan sebagai kurniaan Allah yang selayaknya hanya dinikmati di Syurga abadi.

Aishah r.a bercerita:

-عن عائشة أم المؤمنين: أنّ رسولَ اللهِ ﷺ كان يُكثِرُ ذِكْرَ خديجةَ فقلْتُ ما أكثرَ ما تُكثِرُ مِن ذِكرِ خديجةَ وقد أخلَف اللهُ تعالى لك مِن عجوزٍ حمراءِ الشِّدْقَين وقد هلَكَتْ في دَهْرٍ فغضِب رسولُ اللهِ ﷺ غَضَبًا ما رأيْتُه غضِب مِثلَه قطُّ وقال إنّ اللهَ رزَقها منِّي ما لم يَرْزُقْ أحَدًا منكُنَّ قلْتُ يا رسولَ اللهِ اعفُ عنِّي واللهِ لا تسمَعُني أذكُرُ خديجةَ بعدَ هذا اليومِ بشيءٍ تكرَهُه

Aishah Ummu al-Mu’minin r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah ﷺ sering menyebut-nyebut nama Khadijah. Lantas aku berkata, “mengapakah engkau banyak sungguh menyebut nama Khadijah, sedangkan Allah sudah pun menggantikan untukmu perempuan tua bergusi merah yang sudah pun mati?” Rasulullah ﷺ menjadi sangat marah dengan kemarahan yang aku tidak pernah lihat seumpamanya sebelum-sebelum ini. Baginda kemudiannya berkata, “sesungguhnya Allah telah merezekikan daku dengannya apa yang Allah tidak rezekikan kepada sesiapa jua dari kalangan kamu!” Kemudian aku berkata, “wahai Rasulullah, maafkan aku. Demi Allah aku tidak akan lagi mendengar aku setiap kali menyebut mengenai Khadijah selepas hari ini dengan apa-apa yang engkau tidak suka.

[ِAl-Haithami 92/227]

Islam sangat jelas menekankan bahawa berhati-hati dalam berkata-kata.

Words matter.

Letih, marah, kecewa, malah PMS, walaupun normal untuk menjadi latar belakang isteri lepas cakap, ia tidak diizinkan oleh Rasulullah ﷺ untuk diterima sebagai perkara biasa.

Lisan boleh membina, lisan berkuasa meruntuh.

Kata-kata mampu menjadikan hidup yang miskin namun bahagia, hidup cukup namun segalanya jadi huru hara.

Malah perkataan boleh memberatkan timbangan kebaikan menghantar manusia ke Syurga, perkataan juga menghantar manusia ke Neraka.

LISAN MENGHANTAR RAMAI ISTERI KE NERAKA

Suatu ketika baginda ﷺ berkata:

اطَّلعتُ في الجنَّةِ فرأيتُ أكثرَ أهلِها المساكينُ، واطَّلعتُ في النّارِ فرأيتُ أكثرَ أهلِها النِّساءُ، قالوا: لمَ يا رسولَ اللهِ؟ قال: بكُفرهنَّ، قيلَ: أيكفُرنَ باللهِ؟ قال: ويكفُرنَ العَشيرَ ويكفُرنَ الإحسانَ

“Aku meninjau ke dalam Syurga, dan aku melihat kebanyakan warganya adalah golongan miskin. Aku meninjau ke dalam Neraka, dan aku melihat kebanyakan warganya adalah wanita.” Mereka bertanya, “mengapakah begitu keadaannya ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “kerana wanita-wanita itu kufur.” Lantas baginda ditanya, “adakah mereka mengkufuri Allah?” Baginda menjawab, “wanita-wanita itu mengkufuri suami mereka dan mengkufuri ihsan.”

[HR Ibn ‘Abd al-Barr : 2/409]

Rasulullah ﷺ nampak ramai orang miskin di Syurga, namun ia bukan bermaksud di Neraka ramai orang kaya.

Baginda ﷺ nampak ramai wanita di Neraka, ia bukan bermaksud lelaki ramai masuk Syurga.

Orang miskin masuk Syurga bukan kerana kemiskinannya. Tetapi ada beberapa perkara yang lazim orang miskin lakukan, menjadikan mereka ahli Syurga.

Orang perempuan masuk Neraka bukan kerana mereka perempuan. Tetapi ada beberapa perkara yang lazim orang perempuan lakukan, menjadikan mereka ahli Neraka.

Di sinilah wanita perlu bersedia mendengar dan menginsafi nasihat Rasulullah ﷺ ini.

“Ala, orang lelaki pun….” jika ada pemikiran sebegini, tandanya belum bersedia mendengar. Masih sibuk mempertahankan hal-hal yang menghalang proses belajar dan keinsafan.

Ada banyak sebab lelaki dimurkai Allah. Namun dalam kisah ini, nasihatnya sedang dikhususkan untuk wanita. Menginsafi hal-hal yang wanita buat sebagai dirinya. Bukan sebab orang lain.

Wanita-wanita ini masuk Neraka kerana mereka kufur.

Tetapi, kufur itu bukan kerana mereka kufur kepada Allah.

Sebaliknya kufur mereka adalah kufr al-‘ashīr dan kufr al-Ihsān.

Mengkufuri suami dan berbelas ihsan kebaikan dalam rumahtangga.

Sesuatu yang orang baik-baik dan berpendidikan pun boleh terperangkap di dalamnya.

Oleh kerana ia konsep yang asing dan kurang jelas kepada para sahabat, Rasulullah ﷺ menerangkannya dengan berkongsi contoh dalam bentuk dialog.

Perkataan.

Agar ia lebih ‘relatable’:

لو أحْسَنْتَ إلى إحْداهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنكَ شيئًا، قالَتْ: ما رَأَيْتُ مِنكَ خَيْرًا قَطُّ

Jika engkau berbuat baik kepada sesiapa daripada kalangan mereka sepanjang masa, kemudian dia terlihat daripadamu sesuatu yang tidak disukainya, terus dia berkata: engkau ni, tidak ada satu kebaikan pun yang aku nampak!”

[HR al-Bukhari : 29 dan Muslim : 907]

CABARAN LISAN DALAM RUMAHTANGGA

Berbalik kepada kisah cemburu Aishah r.a. Semasa beliau menceritakan kisah terlepas cakapnya di hadapan Baginda ﷺ, pastinya soal bahaya lisan ada dalam pengetahuan beliau. Ia boleh dilihat seperti membuka pekung di dada sendiri. Tetapi Aishah r.a. tetap ceritakan ia kepada kita agar kita boleh belajar.

Suami boleh belajar tentang hal-hal perit yang isterinya mudah dan kerap lakukan.

Isteri boleh belajar bahawa sama ada suami bertolak ansur atau tidak dengan kerenahnya, itu hal suami. Tetapi dia perlu belajar bahawa bahasanya ada modal syurga, atau neraka, di dalam rumahtangga, juga di Sana.

Aishah r.a. tidak beralasan apabila suaminya menunjukkan kemarahan dan menzahirkannya. Beliau terus berjanji untuk tidak lagi mengulang kesilapan itu.

يا رسولَ اللهِ اعفُ عنِّي واللهِ لا تسمَعُني أذكُرُ خديجةَ بعدَ هذا اليومِ بشيءٍ تكرَهُه

Kemudian aku berkata, “wahai Rasulullah, maafkan aku. Demi Allah aku tidak akan lagi mendengar aku setiap kali menyebut mengenai Khadijah selepas hari ini dengan apa-apa yang engkau tidak suka.

Di dalam perjalanan yang panjang pula, mengapakah Rasulullah ﷺ begitu mengasihi Khadijah r.a.?

Kitab-kitab sirah lazimnya menekankan hal-hal perjuangan dan dakwah, bahawa Khadijah r.a. mengimani baginda semasa dakwahnya ditolak masyarakat. Demikian juga perihal zuriat yang Allah rezekikan untuk beliau bersama baginda ﷺ.

Kita tidak mempunyai banyak riwayat untuk meneroka dialog antara Khadijah r.a. dengan Rasulullah ﷺ. Tetapi dalam beberapa sumber yang ada, kita dapat meninjau kekuatan Khadijah r.a. pada mengendalikan dinamik rumahtangga antara seorang wanita berkerjaya tinggi malah lebih berharta, dengan suami yang lebih muda dan banyak ‘bekerja’ untuk orang lain.

Semasa baginda ﷺ diselubungi ketakutan tatkala didatangi Jibril alayhi al- salam dengan wahyu buat pertama kali, kita berpeluang melihat siapa Muhammad ﷺ di pandangan isterinya. Semasa Khadijah r.a. mententeramkan suaminya, beliau berkata:

كَلاَّ أَبْشِرْ، فَوَاللَّهِ لاَ يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، فَوَاللَّهِ إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ

“Demi Allah, Dia tidak akan mengkhianatimu selama-lamanya. Engkau penyambung silaturahim, engkau bercakap benar, engkau memikul beban orang lain, engkau memberi kecukupan kepada kekurangan orang lain, engkau meraikan tetamu dan engkau sentiasa membela kebenaran.”

[HR al-Bukhari : 4953]

Pujian Khadijah r.a. mengenai Muhammad ﷺ tiada yang mengenai hal-hal peribadi mengenai apa yang suaminya lakukan untuk kekasih hatinya, si isteri. Tetapi Khadijah r.a. tegaskan bahawa tidak mungkin Allah SWT akan biarkan baginda ﷺ dihina atau dianiaya kerana beliau adalah seorang yang satu, dua, tiga, empat… disenaraikan hal- hal yang suaminya lakukan untuk orang lain, di luar rumah.

Hal ini mungkin kita tidak selami ketika ia ada, kerana ia terlalu biasa. Namun, apabila ia tiada, mungkin keperitannya sukar diungkap dengan kata-kata.

Seorang suami itu mungkin seorang CEO, pemimpin masyarakat, tokoh, ilmuan, rujukan ramai, dipuji jutaan manusia, di luar rumahnya.

Tetapi apabila beliau pulang ke rumah, siapakah beliau di sisi isteri dan anak-anaknya?

HARGA DIRI SEORANG SUAMI

Jika suami itu menerima segala pengiktirafan dunia, tetapi kerjanya itu tidak mempunyai apa-apa makna di rumah terutamanya ketika isteri berkata “engkau ini, satu apa kebaikan pun aku tidak nampak” seperti dialog kufr al-‘asyir yang baginda contohkan tadi… runtuhlah self-worthiness si suami.

Runtuh kerana nilai penghargaan seorang isteri, jauh lebih besar daripada sejuta pingat dan pengiktirafan dunia.

Khadijah r.a. memberikannya kepada baginda.

Dengarlah sepenuhnya video ini untuk kita sama-sama meninjau, mengapakah kasih Rasulullah ﷺ begitu mendalam terhadap Khadijah r.a.

Dan, wajarkah bukan sekadar Aishah r.a. yang patut mencemburuinya?

Semoga Allah bantu kita memperbaiki diri dalam redha-Nya. Amin.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share