Baik Buruk Sebaran Foto Dan Video Ngeri Perang Palestin

Adakah wajar atau tidak wajar, atau adakah panduan tertentu untuk kita berinteraksi dengan foto-foto dan video mangsa peperangan, terutamanya dalam situasi seperti krisis yang sedang terjadi di Gaza, Palestin pada hari ini?

Di zaman Nabi sallallahu alayhi wa sallam, mereka yang tidak berada di medan peperangan tidak akan melihat perkara-perkara ngeri, menakutkan dan tragis, yang terjadi di medan peperangan. Tanpa teknologi maklumat seperti yang ada pada hari ini, kecederaan, kematian yang parah yang berlaku di medan peperangan, terhad pengetahuan mengenainya hanya melalui penceritaan bila mana ada keperluan oleh tentera-tentera Islam kepada mereka yang tidak berada di tengah-tengah medan.

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ عَرَضَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ أُحُدٍ فِي الْقِتَالِ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً فَلَمْ يُجِزْنِي وَعَرَضَنِي يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً فَأَجَازَنِي ‏.‏ قَالَ نَافِعٌ فَقَدِمْتُ عَلَى عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ وَهُوَ يَوْمَئِذٍ خَلِيفَةٌ فَحَدَّثْتُهُ هَذَا الْحَدِيثَ فَقَالَ إِنَّ هَذَا لَحَدٌّ بَيْنَ الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ ‏.‏ فَكَتَبَ إِلَى عُمَّالِهِ أَنْ يَفْرِضُوا لِمَنْ كَانَ ابْنَ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ فَاجْعَلُوهُ فِي الْعِيَالِ

Ibn ‘Umar r.a menceritakan bahawa:

Rasulullah (ﷺ) memeriksa diriku di medan perang pada Hari Uhud, dan aku berumur empat belas tahun. Baginda tidak membenarkan aku (untuk mengambil bahagian dalam peperangan). Baginda memeriksa diriku pada Hari Khandaq – dan aku berumur lima belas tahun, dan baginda membenarkanku (untuk berperang), Nafi’ berkata: Aku bertemu dengan ‘Umar b. ‘Abd al-‘Aziz yang ketika itu ialah Khalifah, dan menceritakan hadith ini kepadanya. Beliau berkata: Tentunya, ini adalah batasan antara yang belum baligh dengan yang sudah baligh. Maka, dia menulis kepada gabenornya supaya mereka memberikan elaun sara hidup kepada mereka yang berumur lima belas tahun, tetapi harus memperlakukan mereka yang berumur kurang dari itu sebagai kanak-kanak. (Sahih Muslim : 1868a)

Apa yang juga boleh kita faham daripada kisah ini, yang juga terjadi kepada beberapa sahabat yang lain seperti Zaid bin Thabit radiallahu anhu, kanak kanak tidak berada di medan peperangan. Mereka terlindung bukan sahaja daripada risiko peperangan tetapi juga terhindar daripada melihat kejadian-kejadian ngeri yang terjadi di medan peperangan.

Perkara yang sama juga dapat dilihat berkaitan dengan wanita. Di dalam Musnad Imam Ahmad, Urwah menceritakan bagaimana ayahnya, Al-Zubair memberitahu, semasa berlakunya peperangan Uhud, seorang wanita telah berlari menuju ke arah tempat di mana mangsa-mangsa peperangan berada.

حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الْهَاشِمِيُّ، أَنْبَأَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ يَعْنِي ابْنَ أَبِي الزِّنَادِ، عَنْ هِشَامٍ، عَنْ عُرْوَةَ، قَالَ أَخْبَرَنِي أَبِي الزُّبَيْرُ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ لَمَّا كَانَ يَوْمُ أُحُدٍ أَقْبَلَتْ امْرَأَةٌ تَسْعَى حَتَّى إِذَا كَادَتْ أَنْ تُشْرِفَ عَلَى الْقَتْلَى قَالَ فَكَرِهَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تَرَاهُمْ فَقَالَ الْمَرْأَةَ الْمَرْأَةَ قَالَ الزُّبَيْرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَتَوَسَّمْتُ أَنَّهَا أُمِّي صَفِيَّةُ قَالَ فَخَرَجْتُ أَسْعَى إِلَيْهَا فَأَدْرَكْتُهَا قَبْلَ أَنْ تَنْتَهِيَ إِلَى الْقَتْلَى قَالَ فَلَدَمَتْ فِي صَدْرِي وَكَانَتْ امْرَأَةً جَلْدَةً قَالَتْ إِلَيْكَ لَا أَرْضَ لَكَ قَالَ فَقُلْتُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَزَمَ عَلَيْكِ قَالَ فَوَقَفَتْ وَأَخْرَجَتْ ثَوْبَيْنِ مَعَهَا فَقَالَتْ هَذَانِ ثَوْبَانِ جِئْتُ بِهِمَا لِأَخِي حَمْزَةَ فَقَدْ بَلَغَنِي مَقْتَلُهُ فَكَفِّنُوهُ فِيهِمَا قَالَ فَجِئْنَا بِالثَّوْبَيْنِ لِنُكَفِّنَ فِيهِمَا حَمْزَةَ فَإِذَا إِلَى جَنْبِهِ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ قَتِيلٌ قَدْ فُعِلَ بِهِ كَمَا فُعِلَ بِحَمْزَةَ قَالَ فَوَجَدْنَا غَضَاضَةً وَحَيَاءً أَنْ نُكَفِّنَ حَمْزَةَ فِي ثَوْبَيْنِ وَالْأَنْصَارِيُّ لَا كَفَنَ لَهُ فَقُلْنَا لِحَمْزَةَ ثَوْبٌ وَلِلْأَنْصَارِيِّ ثَوْبٌ فَقَدَرْنَاهُمَا فَكَانَ أَحَدُهُمَا أَكْبَرَ مِنْ الْآخَرِ فَأَقْرَعْنَا بَيْنَهُمَا فَكَفَّنَّا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا فِي الثَّوْبِ الَّذِي صَارَ لَهُ‏.‏

Dikisahkan bahawa ‘Urwah berkata: Ayah saya az-Zubair (رضي الله عنه) menceritakan kepada saya bahwa pada hari Uhud, seorang wanita berlari datang, dan ketika dia hampir sampai di tempat orang-orang yang terbunuh, Nabi (ﷺ) tidak ingin dia melihat mereka, dan beliau berkata, “Wanita itu, wanita itu!” az-Zubair (رضي الله عنه) berkata: “Saya menyangka itu adalah ibu saya Ummu Safiyyah, maka saya berlari ke arahnya dan berhasil mengejarnya sebelum dia sampai ke tempat orang-orang yang terbunuh. Dia menolak saya di dada, dan dia adalah wanita yang kuat.” Dia berkata: “Jauhkan dirimu dariku, semoga kamu tiada mendapat tanah!” Saya berkata: “Rasulullah (ﷺ) menggesa anda (agar tidak pergi dan melihat mereka).” Dia berhenti dan mengeluarkan dua potong kain yang dibawanya dan berkata: “Ini adalah dua potong kain yang saya bawa untuk abang saya Hamzah. Saya mendengar dia telah terbunuh; kafankanlah dia dengan kain ini.” Kami membawa dua potong kain itu untuk mengkafani Hamzah, tetapi kami melihat di sampingnya ada seorang dari Ansar yang juga telah terbunuh, dan hal yang sama telah dilakukan kepadanya seperti kepada Hamzah. Kami tidak merasa tepat untuk mengkafani Hamzah dengan dua potong kain dan meninggalkan Ansari tanpa kafan, jadi kami berkata: “Satu potong untuk Hamzah dan satu potong untuk Ansari.” Kami mengukur (potong kain) dan mendapati salah satunya lebih besar, jadi kami mengundi antara mereka dan mengkafani masing-masing dengan potong kain yang terpilih untuknya.

Musnad Ahmad 1418
https://sunnah.com/ahmad:1418

Nabi sallallahu alayhi wa sallam secara nyata tidak mahu wanita itu melihat mangsa peperangan tersebut. Wanita itu juga akur dengan larangan Nabi ﷺ .

Daripada dua dimensi ini, apa yang ingin saya tekankan ialah situasi peperangan di zaman Nabi wasallam tidak menjadikan imej ataupun video daripada apa yang berlaku di medan peperangan itu tersebar untuk dilihat. Walaupun gambar dan video itu ada keperluan sebahagiannya dengan garis panduan tertentu untuk ia disebarkan bagi kita mengetahui apa yang sedang berlaku, namun kita juga perlu peka, berhati-hati.

Selain daripada imej, video berkenaan berisiko untuk mengaibkan jenazah mereka yang terbunuh di dalam peperangan jika mereka orang Islam, malah juga kematian yang berlaku di kalangan bukan Islam, kita juga perlu berhati hati dengan implikasi melihat foto dan video ini kepada masyarakat.

Banyak kajian yang telah dilakukan berkaitan dengan hal ini, yang menjadikan mereka yang tidak berada di medan peperangan boleh mendapat implikasi yang sama seperti mereka yang berada di medan peperangan. Jika dirujuk kepada soal keganasan selepas kejadian 9/11 pada satu ketika dahulu, penyelidik telah mengemukakan satu istilah yang disebut sebagai secondary terrorism merujuk kepada mereka yang mendapat impak secara sekunder di kalangan mereka yang tidak menyaksikan kejadian tersebut kerana berada di tempat lain ataupun kerana berada di masa-masa yang terkehadapan.

Apabila imej ataupun video yang menggambarkan kengerian, kematian, kecederaan parah, di tengah-tengah medan peperangan itu ditonton ataupun disaksikan terutamanya jika berulang kali, ia boleh mencetuskan reaksi yang intensif di amygdala tempat di mana emosi kita sebagai manusia tercetus. Cetusan yang keterlaluan daripada amygdala itu merumitkan kita untuk meregulasi emosi yang menyebabkan kita menjadi gelisah, ketakutan ataupun menjadi desensitised, tidak lagi sensitif terhadap perkara-perkara ngeri yang terjadi ini tadi, dan yang paling penting penguasaan emosi ke atas sendiri menyebabkan kita tidak dapat berfikir dengan baik.

Mungkin ini boleh menjelaskan mengapa ketika konflik seperti ini sedang berlaku, ramai di kalangan anggota masyarakat kita yang mudah melenting, mengamuk, memaki sesama kita, bergaduh, sukar untuk merasionalisasikan apa-apa penerangan kepada sesama kita agar kita bertindak tanduk dengan betul berasaskan kepada ilmu. Kita tak boleh nak buat itu kerana emosi kita berkecamuk. Salah satu daripada sumbernya adalah penyebaran gambar video yang bersangatan dan melebihi maslahah asal untuk menyampaikan maklumat tentang apa yang berlaku.

Citation

Comer, J. S., & Kendall, P. C. (2007). Terrorism: The psychological impact on youth. Clinical Psychology: Science and Practice, 14(3), 179–212. https://doi.org/10.1111/j.1468-2850.2007.00078.x

Jika ini terjadi kepada orang dewasa, apatah lagi jika hal yang sama dialami oleh kanak-kanak. Maka hendaklah kita berhati hati, bertenang, memberikan fokus kepada apa yang sebenarnya boleh dan perlu dibuat untuk kepentingan mereka yang tidak berada di medan peperangan namun perlu melakukan sesuatu, serta usaha yang benar-benar boleh memberikan impak kepada mereka yang sedang berjuang dan menjadi mangsa kepada penganiayaan Zionis yang berada di tengah tengah medan peperangan.

#BebasPalestin

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.