Palestin 2023: Antara Ilusi dan Realiti

Pada suatu ketika, seorang pemimpin yang dipuja puji oleh pengikutnya sampai ajal dan bertemu dengan kematian. Pemimpin agung itu dikebumikan dan atas rasa cinta kasih sayang pengikutnya, mereka membina sebuah patung yang rupanya tidak ubah seperti pemimpin itu semasa hayat beliau. Pada suatu hari, seekor burung kecil hinggap di atas hidung patung berkenaan. Burung kecil itu melepaskan hajatnya dengan penuh kehinaan ke atas hidung pemimpin yang agung itu. Kemudian burung itu pergi begitu sahaja, pemimpin yang agung itu tidak boleh melakukan apa-apa untuk menghalang dirinya daripada dihina oleh burung itu tadi. Mengapakah situasi itu berlaku? Jawapannya sangat mudah walaupun yang dinajiskan itu adalah seorang pemimpin yang agung tetapi dia hanyalah sebuah patung. Burung yang kecil itu, tidak bernama, satu daripada burung yang banyak, tetapi burung itu adalah burung hidup, burung sebenar, burung yang hakiki.

ILA AL-ISLAM MIN JADID

Abu al-Hasan Ali al-Nadwi Rahimahullah di dalam sebuah buku kecil yang terbit pada tahun 1950-an ataupun awal 1960-an menghimpunkan ucapan-ucapan beliau di dalam buku kecil berkenaan yang ditajukkan sebagai Ila al-Islam min Jadid, boleh diterjemahkan sebagai “Kembali Semula Kepada Islam“. Satu daripada bab buku itu bertajuk, بين الصورة و الحقيقة, iaitu “Di Antara iIusi dan Realiti“.

Hukum alam menetapkan bahawa realiti akan sentiasa mengalahkan ilusi.

Jika kita ada dua buah, satu buah mungkin tidak begitu sempurna tetapi dia adalah buah hakiki berbanding dengan satu lagi buah yang sempurna dan sedap mata memandang, malah mungkin banyak dari segi jumlahnya. Tetapi buah itu buah plastik, tiada khasiat, tidak boleh dimakan dan tiada sebarang manfaat kecuali sekadar perhiasan. Realiti sentiasa mengalahkan ilusi. Di dalam contoh berkenaan Abu al-Hasan Ali al-Nadwi mengajak untuk kita bermuhasabah, untuk berfikir kembali tentang realiti kehidupan bahawa Allah menetapkan dalam hidup kita ini realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

SAMAKAH KITA HARI INI?

Mungkin kita tertanya-tanya, kita adalah Muslim seperti muslimnya para sahabat generasi Islam yang terdahulu. Tetapi kenapa realiti kehidupan kita pada hari ini tidak sehebat Muslim di zaman itu? Bukankah kita bersyahadah seperti syahadahnya mereka? Bukankah kita sembahyang seperti sembahyangnya mereka? Mengapakah kita tidak mendapat khasiat daripada Islamnya kita berbanding dengan Islam yang telah menghebatkan dan mengagungkan generasi yang terdahulu? Abu al-Hasan Ali al-Nadwi mengingatkan kepada kita dengan banyak contoh daripada sirah Nabi ﷺ, daripada perjuangan generasi umat Islam yang terdahulu, agar kita tidak tertipu dengan sangkaan ketika kita mendakwa bahawa kita adalah Muslim seperti mereka, tetapi bagaimana jika muslimnya kita hakikatnya tidak seperti kualiti Muslim yang mulia, yang menang, yang hebat seperti yang kita baca dalam lipatan sejarah. Apabila Allah ﷻ mengungkapkan tentang sifat-sifat orang yang beriman, apa yang orang beriman tidak lakukan, apa yang orang beriman lakukan, adakah kita menepati ciri ciri tersebut?

Pada hari ini kita melihat umat Islam berada di dalam keadaan dihina. Tiada siapa yang hendak membantu. Bukan hanya merujuk kepada tragedi yang sedang berlaku di Gaza pada masa ini. Tetapi jika anda seusia dengan saya, kita sudah melihat jutaan kematian umat Islam dalam Perang Teluk, dalam peperangan di Bosnia Herzegovina, peperangan di Afghanistan, kebuluran di Somalia, pelbagai lagi kejadian yang berlaku di seluruh dunia memperlihatkan bahawa sama ada slogan yang dilaungkan adalah hak asasi manusia, menjaga kebajikan dan keperluan golongan minoriti, bila sampai gilirannya untuk yang dibela itu adalah umat Islam, selalunya kita akan bersendirian.

Kita berasa sedih dan kita berasa marah dengan apa yang berlaku dan kita mesti melakukan sesuatu. Tetapi jangan kita lupa untuk bermuhasabah. Adakah kita yang ramai pada hari ini, Muslim yang ada pada hari ini adalah Muslim yang merupakan Muslim realiti ataupun sekadar sebuah ilusi?

MUSUH TULEN SEDANG MENGGANYANG

Mereka yang menentang umat Islam, yang menindas, yang menjatuhkan bom di Gaza, yang membenci penduduk Palestin di kalangan pengganas-pengganas Zionis, jika kita lihat apa yang Allah ungkapkan di dalam al Quran bahawa mereka itu adalah merupakan golongan yang paling kuat kebenciannya terhadap orang-orang yang beriman, kita akan dapat melihat bahawa mereka itu sifatnya seperti yang Allah ungkapkan di dalam al Quran. Jika Allah sebut dalam al Quran bahawa orang-orang Yahudi yang bermusuh dengan umat Islam ini adalah pendusta, mereka berdusta. Orang-orang Yahudi yang bermusuh dengan umat Islam ini adalah penyeleweng, mereka menyeleweng. Orang-orang Yahudi yang membenci umat Islam di bumi Palestin itu adalah yang khianat, mereka adalah khianat. Malah mereka itu diungkapkan dalam al Quran sebagai golongan yang pengecut, mereka juga sebenarnya pengecut. Bahkan ada di antara ciri mereka yang disebutkan di dalam al Quran adalah secara literal, sama seperti yang disebutkan oleh Allah seribu empat ratus tahun yang dahulu, begitulah mereka pada hari ini. Allah sebut di dalam surah Al-Hashr:

لا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلا فِي قُرًى مُحَصَّنَةٍ أَوْ مِنْ وَرَاءِ جُدُرٍ

“Mereka tidak akan memerangi kamu secara berkumpulan melainkan dalam keadaan mereka itu berkumpul di perkampungan yang terlindung dengannya binaan tembok-tembok.”

Itulah yang mereka lakukan semenjak lebih daripada sepuluh tahun yang lalu, tembok-tembok yang dibina bukan semata-mata untuk memecah belahkan penduduk Palestin daripada kampung halaman dan kejiranan mereka, tetapi kerana ketakutan yang ada pada diri mereka. Keberanian mereka ialah kerana mereka berlindung di sebalik tembok-tembok itu. Mereka melakukannya di zaman Nabi ﷺ dan mereka melakukannya juga pada hari ini. Bahkan Allah sebutkan dalam ayat yang sama:

بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى

“Kebencian, permusuhan yang mereka lakukan itu adalah amat keras. Kamu menyangkakan mereka itu bersatu tetapi hakikatnya hati mereka berpecah-belah.”

Mereka itu ada banyak segmen yang berbalah sesama mereka. Apabila pendekatan berbeza cuba dilakukan oleh Yitzhak Rabin selepas Perjanjian Oslo tahun 1993, Rabin telah dibunuh sendiri oleh golongan yang radikal di kalangan mereka. Mereka ada pelbagai konflik di dalam masyarakat mereka. Saya yang berada di Jordan semenjak tahun 1993 memerhatikan, melihat bagaimana konflik yang berlaku di antara kumpulan-kumpulan mereka. Mereka hakikatnya tidak bersatu. Hati mereka berpecah belah. Mereka hanya bersatu dalam memusnahkan musuh-musuh mereka.

Itu yang Allah sebut di dalam al Quran tentang mereka. Dan itulah mereka yang sedang mengganyang dan menghancurkan bumi Palestin cuba untuk menghapuskan umat Islam malah juga orang-orang Kristian sebagai kaum minoriti yang berada di bumi Palestin itu sendiri. Zionis itu adalah musuh yang hakiki.

Muslim dan saya bukan bercakap hanya tentang soal Muslim yang berada di bumi Palestin. Muslim yang berada di bumi Palestin itu ada jihad mereka, ada perjuangan mereka. Bagi kami yang berada di Jordan, harapnya kami tidak bias kerana kita mengikuti perbincangan di dalam majalah-majalah, di dalam akhbar, di televisyen, berinteraksi dengan rakan-rakan, dengan alim ulama, kita faham perjuangan yang juga berada di bumi Palestin itu untuk memperbaiki, melakukan islah terhadap mereka yang berada di sana.

MUHASABAH DENGAN SALING IKHLAS DAN MERENDAH DIRI

Tetapi soalan ini adalah lebih penting untuk kita soalkan kepada diri kita sendiri. Ketika kita melaungkan sokongan kita kepada Palestin, begitu bersemangat untuk mengambil tindakan, tidak kiralah apa tindakan sekalipun, melakukan demonstrasi di jalanan, memboikot, bercakap, menyebarkan maklumat atau apa sahaja berkaitan dengan Palestin, atas nama untuk membela, jangan kita lupa untuk menyoal persoalan yang penting ini: adakah kita merupakan Muslim, Mukmin yang hakiki?

Nabi ﷺ telah pun mengingatkan kepada kita bahawa akan sampai satu zamannya, kita ini begitu ramai. Tetapi ramainya kita ketika itu, kita juga pada masa yang sama diratah, dimakan oleh mereka yang membenci orang-orang yang beriman. Gambaran itu menimbulkan kehairanan di kalangan para sahabat, dan mereka bertanya mengapa perkara tersebut berlaku. Dan baginda ﷺ menyatakan bahawa walaupun kita ramai pada ketika itu, tetapi ramainya kita itu adalah seperti buih-buih pada air, sama ada di lautan ataupun banjir buih-buih yang kelihatan banyak tetapi kemudian hilang begitu sahaja. Berpunca daripada dua penyakit yang menghilangkan ketulenan jati diri kita sebagai seorang Muslim, seorang mukmin, iaitulah Hubb al-Dunya wa Karahiyah al-Maut (حب الدنيا و كراهية الموت), cintakan dunia dan benci dengan kematian. Kita tidak akan dapat mengalahkan musuh, jika kita cintakan dunia dan kita takut dengan kematian. Takut dengan kematian, dalam erti kata kita tidak membuat persediaan, kita teragak-agak untuk menyatakan kebenaran demi survival kehidupan.

SUHAIB R.A MELEPASKAN DUNIA

Kita tidak seperti Suhaib r.a apabila peristiwa hijrah beliau dihalang daripada meninggalkan Mekah oleh musuh dengan alasan “kamu masuk ke Mekah sebagai seorang miskin, bagaimana boleh kamu tinggalkan Mekah ini dengan harta yang kamu buat semasa kamu berada di sini?” Suhaib bertanya “kalau sekiranya aku tinggalkan harta itu adakah kamu akan ke tepi dan memberi laluan kepada aku untuk meninggalkan Mekah menuju ke Madinah?” Mereka berkata “ya!” “Maka semua harta yang aku ada, aku serahkan kepada kamu.” Kerana ketika itu iman kepada Allah adalah lebih tinggi nilainya daripada segala harta dan kehidupan dunia yang sementara ini. Di manakah kita jika kita diletakkan di sebelah seorang sahabat seperti Suhaib? Adakah kita ada kualiti dan nilai yang sama?

Hari ini kita sangat berdukacita. Kita bersedih dan sesak nafas memikirkan tentang apa kesudahannya peristiwa yang berlaku di bumi Palestin ini. Tetapi sahabat-sahabat kena ingat, tragedi itu bukan bermula 7 Oktober. Dan dia tidak akan selesai dalam seminggu dua ini. Ia akan berlarutan untuk satu tempoh masa yang masih panjang dan telah pun berlaku dalam tempoh masa yang sangat panjang. Adakah kita bernafas panjang untuk terus bersama dalam perjuangan ketika mungkin ada isu lain pula menggantikan apa yang berlaku? Seperti mana perang Ukraine yang sudah tidak begitu diperkatakan walaupun pelbagai tragedi sedang terjadi di sana.

BENAR-BENAR BERIMAN

Dalam mendepani situasi ini, untuk memujuk rasa sesak nafas, sedih, marah dengan apa yang sedang berlaku ini, kita ingat balik kepada Allah ﷻ yang menyebut di dalam surah Ali Imran ayat yang ke-139:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Janganlah kamu berasa lemah dan janganlah kamu berasa sedih. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berada di kedudukan yang tertinggi jika kamu orang yang benar-benar beriman kepada Allah ﷻ”

Palestin sedang diganyang oleh musuh-musuh Allah yang tulen. Palestin sedang menanti Muslim kembali kepada Islam agar kita menjadi Muslim hakiki dan bukan sekadar ilusi.

Hasrizal
palestin.saifulislam.com

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share