Monday, January 20th, 2025

Permata ‘Akal Budi’ yang Hilang

“Macam mana kamu hulur pisau tu?”

Opah menegur saya.

Seorang anak kecil di usia sekolah rendah. Mungkin ketika itu saya berusia tujuh atau lapan tahun. Apabila sekolah bercuti, saya selalunya duduk di rumah opah. Selain kena guna sepit arang bagi mengutip katak di celah pokok rambutan dan membuangnya sebagai rutin, opah juga selalu beri nasihat.

Pisau yang diminta, opah pesan agar ia dihulur dengan hulunya dihala ke arah luar. Tidaklah nanti kelihatan seperti hendak menyerang dengan pisau berkenaan. Ia juga mengelak daripada secara tidak sengaja mencederakan sesiapa.

Nasihat opah itu lazimnya jatuh di bawah kategori ‘common sense‘.

Benda-benda yang lazim, agak universal, semua orang dengan akal fikiran yang sihat sepatutnya tahu, tanpa perlu diajar-ajar. Kalau diajar pun, tegur sekali sudah memadai.

Dalam bahasa Melayu, common sense lazimnya diterjemah sebagai ‘akal budi’.

MAKSUD ‘AKAL BUDI’

“Akal budi” boleh didefinisikan sebagai keupayaan untuk memahami sesuatu keadaan atau situasi dengan cara yang rasional dan pragmatik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), “akal budi” merujuk kepada keupayaan minda dan hati dalam memahami perkara secara mendalam serta membuat pertimbangan yang bijaksana. Ia merangkumi:

  • Pengetahuan Praktikal: Kemampuan untuk menyelesaikan masalah harian tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada panduan atau arahan formal.
  • Kebijaksanaan Sosial: Kepekaan terhadap norma sosial, emosi orang lain, dan dinamik perhubungan dalam masyarakat.
  • Pengalaman Hidup: Pelajaran yang diperoleh melalui pengalaman langsung, sama ada daripada kejayaan mahupun kegagalan.

Berbeza dengan pendidikan formal, “akal budi” adalah hasil interaksi dengan dunia nyata. Ia melibatkan pemahaman intuitif yang sering kali tidak diajar di bilik darjah tetapi diperoleh melalui pengalaman hidup. Selain itu, konsep ini juga sejajar dengan pandangan para sarjana seperti Sternberg (1985), yang menyatakan bahawa kebijaksanaan praktikal adalah elemen penting dalam pembangunan manusia.”

‘AKAL BUDI’ MERENTAS DEKAD

“Itu pun tak boleh fikir, ke?” marah, marah dan marah.

Ramai yang marah apabila benda-benda mudah pun generasi muda hari ini seperti tidak dapat memikirkannya. Walaupun akademik cemerlang, hal-hal common sense ini memeningkan ramai. Adakah kita melahirkan generasi yang kehilangan kemahiran berfikir?

Kemahiran berfikir yang kita hajatkan bukanlah kemahiran berfikir generik melalui aktiviti-aktiviti kaku di dalam bilik darjah, kursus motivasi, dan yang seumpama dengannya.

Kemahiran berfikir yang kita hajatkan adalah kemahiran yang dahulukala, kita tidak begitu mempunyai terma khusus untuk menggambarkannya kerana ia adalah sesuatu yang umumnya perkara biasa, kebanyakan manusia ada.

Kemahiran itu menjadi deria umum untuk tahu membezakan baik berbanding buruk, betul berbanding salah, manfaat berbanding mudarat, beroperasi sepanjang hari semasa bekerja, berumahtangga, berkeluarga, bermasyarakat, dan belajar.

Kemahiran itu terjadi secara semulajadi melalui aktiviti kehidupan seharian semenjak kecil. Semasa kita bermain dengan kawan-kawan, secara semulajadi kita akan suka jika dapat apa yang kita mahu, sedih jika sebaliknya, takut jika bertemu ancaman yang memudaratkan, berani jika tahu ancaman itu boleh diatasi.

Tanpa campur tangan orang dewasa, kita belajar sendiri kemahiran-kemahiran asasi tersebut semasa bermain pondok-pondok, galah panjang, panjat pokok, terjun sungai, dan merayau di dalam semak hutan keliling rumah.

Apabila ke sekolah, kandungan pelajaran tidak mencuri keseluruhan masa seharian. Kita masih bermain semasa waktu rehat dan selepas masa persekolahan. Banyak keperluan seharian memerlukan kita kreatif berfikir bagaimana hendak mendapatkannya. Otak kita secara semulajadi perlu kreatif menghasil, dan bukan santai mengguna.

Semakin meningkat usia, semakin banyak keperluan, semakin kreatif berfikir bagaimana hendak mendapatkannya. Selalu juga salah dan silap, tetapi risiko salah dan silap itu tidak terlalu besar sampai tidak dapat dibetulkan. Kita hidup dalam suasana selamat untuk salah dan silap.

Kemahiran itu terpakai semasa kita bersekolah, sampai selesai.

Kemahiran itu terpakai semasa kita bekerja, daripada satu tahap ke satu tahap.

Kemahiran itu berguna semasa kita berumahtangga dan berkeluarga.

Kemahiran itu berada di belakang akal fikiran kita yang kerjanya biasa-biasa.

Kemahiran itu juga berada di belakang akal fikiran kita yang kerjanya sangat spesifik, berpengkhususan tinggi lagi profesional.

Malah:

Kemahiran itu jugalah yang menjadi alat kita beradat budaya, bersyariat dan beragama.

Apabila kemahiran itu hilang, kita ditimpa musibah.

Apa yang dikejar tidak dapat, apa yang dikendong berciciran.

Daripada perihal persekolahan dan pekerjaan, sampailah kepada keluarga dan beragama.

KENAPA GENERASI MUDA KEKURANGAN ‘AKAL BUDI’?

Persoalan ini besar.

Ada beberapa faktor utama yang saya fikirkan, sebagai penyumbang kepada generasi muda kurang menguasai “akal budi” atau pengetahuan tersirat ini. Antaranya ialah:

1. Ketergantungan pada Teknologi

Kemajuan teknologi, walaupun membawa banyak manfaat, telah mengurangkan kebergantungan kita pada penyelesaian masalah secara intuitif. Contohnya, aplikasi navigasi seperti Google Maps menghapuskan keperluan untuk membaca peta atau menghafal laluan. Ketergantungan ini menjadikan generasi muda kurang berlatih dalam menyelesaikan masalah harian tanpa bantuan alat teknologi.

Cermatnya mata memerhati sekeliling, telah menyumbang kepada lahirnya Kitab Haiwan oleh al-Jahiz, Mu’jam al-Buldan oleh Yaqut al-Hamawi dan berkembangnya ilmu geografi jika memandang sekeliling dan bawah, ilmu falak apabila memandang ke atas. Anak-anak hari ini sama ada melancong menaiki bas, keretapi, kapal terbang atau kereta, ramai yang lebih suka melihat telefon masing-masing hilang terlepas peluang mencerap persekitaran rumah di Bangi, mahu pun Bangor di pedalaman Wales.

Apa yang hendak dikisahkan. Ilmu sudah ada dalam buku. Lokasi cari sahaja di dalam Google Map. Mengenal mana utara, selatan, timur dan barat, di mana kita sebenarnya berada pada satu-satu masa, bukan sahaja tiada kepentingan, malah tiada keseronokan di dalamnya.

2. Pendidikan yang Terlalu Berstruktur

Sistem pendidikan hari ini menghadirkan kurikulum yang cenderung untuk terlalu menekankan pencapaian akademik dan ujian formal. Silibus subjek-subjek tidak ditekankan kepentingan kontekstualnya agar ilmu yang dipelajari bukan sekadar factual knowledge tetapi difahami oleh murid-murid bagaimana aplikasi dan manfaatnya dalam realiti kehidupan.

Kuantiti silibus pula sangat banyak. Ia menelan hampir seluruh jam harian anak-anak semasa di sekolah, dan selepas habis waktu rasmi persekolahan. Tidak cukup dengan guru terkejar-kejar menghabiskan silibus, kefahaman yang gagal dibangunkan di dalam kelas menuntut kelas tambahan di luar, walaupun di kalangan murid yang bukan sedang menduduki peperiksaan besar. Bayangkan setiap hari murid menghabiskan masa belajar pelajaran yang terpisah daripada kehidupan. Dalam bahasa sosiologi, anak-anak ini apabila ke sekolah, mereka menjadi the unnatural kids.

Hal ini mendorong pelajar kurang terdedah kepada pengalaman dunia nyata yang memupuk pengetahuan tersirat (tacit knowledge).

Peluang untuk belajar melalui kesilapan atau penyelesaian masalah praktikal juga sering kali terhad. Sekolah kerapkali menjadi tempat pelajar takut buat salah kerana matlamat belajar disempitkan hanya pada mencapai apa yang betul, kurang menghargai pelajaran yang terkandung di dalam kesalahan dan kesilapan. Apatah lagi jika kesalahan itu membabitkan salah laku. Orientasi kita menanganinya adalah dengan mendenda dan menghukum. Kita kurang membuat pelaburan masa dan tenaga untuk salah laku itu dipelajari iktibarnya.

Generasi muda sering diajar bahawa kegagalan adalah sesuatu yang perlu dielakkan, sedangkan pengalaman kegagalan adalah salah satu cara utama untuk memperoleh pengetahuan tersirat. Tanpa peluang untuk belajar daripada kesilapan, mereka kehilangan peluang untuk membina daya tahan dan kebijaksanaan praktikal.

Usahkan kesilapan-kesilapan ‘keduniaan’, perkara yang mendatangkan dosa pun, Islam mendidik kita agar tidak terperangkap di dalam kondisi buat salah itu. Sebaliknya, belajar daripadanya, dan menjadikan yang baik sebagai teladan, serta yang buruk sebagai sempadan.

وَعَنْ أَنَسٍ ‏- رضى الله عنه ‏- قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ ‏- صلى الله عليه وسلم : كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ, وَخَيْرُ اَلْخَطَّائِينَ اَلتَّوَّابُونَ  

حسن.‏ رواه الترمذي (2499)‏، وابن ماجه (2451)‏

“Daripada Anas r.a, Rasulullah ﷺ bersabda: setiap anak Adam itu banyak melakukan kesalahan. Dan sebaik-baik orang yang bersalah, adalah yang bertaubat.”

3. Kurangnya Pengalaman Nyata

Dengan gaya hidup moden yang lebih selesa, kanak-kanak dan remaja jarang diberi peluang untuk menghadapi cabaran dunia nyata. Aktiviti luar seperti berkebun, membaiki barang, atau berinteraksi dengan alam semula jadi semakin berkurangan. Kekurangan ini menghalang mereka daripada mengembangkan kebolehan praktikal dan ketahanan diri.

Jika di kampung-kampung, populasi yang lebih kecil menyokong ikatan komuniti yang erat. Kanak-kanak lebih mudah membina persahabatan yang akrab dan menerima sokongan pelbagai generasi. “Anak engkau, anak aku juga!” adalah semangat tradisional dalam kehidupan desa kita untuk sesiapa sahaja bebas menegur anak sesiapa, jika ada salah silap yang memerlukannya.

Kanak-kanak kecil di kampung mungkin mempunyai aktiviti kokurikulum formal yang terhad, yang menjejaskan interaksi rakan sebaya di luar keluarga melalui aktiviti berkenaan. Tetapi mereka selalunya mempunyai ruang lapang untuk bermain — seperti ladang, padang rumput, hutan yang menggalakkan penerokaan dan aktiviti fizikal. Evans (2006) ada menegaskan bahawa aspek persekitaran fizikal — kebisingan, kesesakan, akses kepada alam semula jadi — mempengaruhi perkembangan kognitif dan emosi kanak-kanak. Hal ini menonjolkan potensi manfaat kawasan luar bandar yang luas di samping memberi peringatan terhadap kesan negatif kesesakan di bandar 1.

Pada masa yang sama, kehidupan bandar pula berpotensi memberi pendedahan kanak-kanak kepada pelbagai budaya, makanan, bahasa dan tradisi, sekali gus boleh meluaskan lingkungan sosial mereka. Jika ‘belajar melalui pengalaman’ boleh diaktifkan, kanak-kanak di bandar juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Sebaliknya, jika ibu bapa khuatir dengan faktor keselamatan, lebih selesa menempatkan anak-anak sama ada di sekolah, atau di dalam rumah, peluang itu hilang. Apatah lagi jika Ibu bapa perlu mengimbangi jadual kerja yang sibuk atau perjalanan berulang alik kerja harian yang panjang, mengurangkan masa di rumah.

Mereka mungkin mendaftarkan kanak-kanak dalam aktiviti berkumpulan yang berstruktur di hujung minggu. Ia ada manfaat tersendiri, tetapi anak-anak mengikuti program lebih sebagai ‘pengguna’, berbanding ‘peneroka’ dan ‘pencipta’. Hilang peluang membangunkan kreativiti.

Bradley dan Corwyn (2002) ada membincangkan bagaimana status sosioekonomi berinteraksi dengan keadaan hidup untuk membentuk hasil perkembangan kanak-kanak. Di sesetengah kawasan bandar, kemiskinan, kesesakan dan isu keselamatan boleh menjejaskan manfaat yang ditawarkan perkhidmatan di bandar 2.

4. ‘Overprotection’ oleh Ibu Bapa

Ibu bapa moden sering kali terlalu melindungi anak-anak mereka, dengan niat untuk memastikan keselamatan dan kejayaan mereka. Walaupun niat ini baik, ia boleh menghalang anak-anak daripada menghadapi cabaran kecil yang penting untuk membina “akal budi” mereka.

Saya menyentuh dengan panjang lebar mengenai hal ini di dalam makalah Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

BAGAIMANA MEMBINA ‘AKAL BUDI’ GENERASI MUDA?

Berfikir mengenai krisis common sense di kalangan generasi muda, adalah salah satu perkara yang mendorong saya menjadi guru. Ia tidak dapat dirawat dengan program motivasi, kem cuti sekolah, kerana masalahnya sistemik. Tiada ubat segera. Keberkesanan program berkenaan hanya ‘painkillers’. Menghilangkan simptom seketika, kemudian sakitnya datang semula.

Apabila saya diamanahkan oleh BOD Yayasan Pendidikan Khalifah untuk merekabentuk semula Khalifah Model School (Secondary) pada tahun 2014, perkara paling besar yang cuba saya masukkan adalah elemen social reconstructionism. Tidaklah sampai menjadikannya sebagai pedagogi induk sekolah kerana saya perlu realistik pada menjinakkan kebiasaan masyarakat dengan idea-idea ‘alien‘ seperti itu. Tetapi, hasil perbincangan dengan rakan-rakan pendidik, kami perkenalkan satu semester khas yang dikenali sebagai LIfelong Learning Module (LLM).

Bilik darjah ditutup sebulan. Pelajar pergi belajar berladang, mengembara, memasak, menjahit, belajar seni khat, meneroka lokasi arkeologi, macam-macam. LLM itu kemudiannya kami kukuhkan dengan kerangka teori experiential education agar lebih kemas pada menawarkan pengalaman belajar yang berbeza.

Malah subjek-subjek lain juga, kami sarankan agar perlu ada sekurang-kurangnya tiga jenis pembelajaran iaitu:

  1. Active learning (pembelajaran aktif)
  2. Inquiry learning (pembelajaran tanya dan selidik)
  3. Contextual learning (pembelajaran kontekstual).

Semuanya, demi membantu membangunkan ‘akal budi’ agar tidak tercicir daripada kemajuan akademik dan sahsiah murid.

Secara ringkasnya:

1. Meningkatkan Pengalaman Dunia Nyata

Anak-anak perlu didedahkan kepada aktiviti praktikal seperti berkebun, memasak, atau menyelesaikan masalah dalam situasi nyata. Aktiviti ini membantu mereka memahami hubungan sebab-akibat dan membina keyakinan diri.

2. Menggalakkan Belajar melalui Kesilapan

Berikan ruang kanak-kanak dan remaja membuat kesilapan kecil dan belajar daripadanya. Ini bukan sahaja membina daya tahan, tetapi juga membantu mereka memahami akibat tindakan mereka.

3. Mengurangkan Ketergantungan pada Teknologi

Walaupun teknologi adalah alat yang berguna, adalah penting untuk menggalakkan anak-anak menggunakan kemahiran manual dan menyelesaikan masalah tanpa bergantung sepenuhnya pada alat elektronik.

4. Menggalakkan Perbualan dan Refleksi

Melalui perbualan yang bermakna, anak-anak dapat belajar daripada pengalaman orang lain. Refleksi terhadap pengalaman sendiri juga membantu mereka memahami apa yang telah mereka pelajari.

5. Mencipta Peluang untuk Kepimpinan dan Tanggungjawab

Berikan tanggungjawab kecil kepada anak-anak, seperti mengurus tugas rumah tangga atau merancang aktiviti keluarga. Ini membantu mereka belajar membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara bebas.

”AKAL BUDI’ ORANG MELAYU

Perbahasan mengenai akal budi boleh jadi begitu berfalsafah. Ia menggambarkan kualiti yang ditemui apabila seseorang itu baik fungsi akal fikirannya, selari dengan norma-norma baik masyarakat, tahu membezakan baik dan buruk dalam kehidupan.

Unik sekali, ‘akal budi’ ini juga menjadi ciri khusus untuk mengungkap kualiti yang ditemui pada watak seorang Melayu. Ia pergi lebih jauh pada menghubungkan akal, hati, daya, bicara dan bahasa dengan budi. Walaupun saya sudah jauh meninggalkan tanahair, lama tinggal di negeri asing, saya masih mengenang indah dan tingginya akal budi orang Melayu seperti yang saya kenal lama dahulu. Kenangan itu juga menjadikan diri anak dagang di rantau orang ini dukacita berfikir tentang kemerosotan akal budi kita.

Agama yang disemangatkan, dibela dan dijulang garang itu pun, seperti kurang berfungsi memupuk akal budi Melayu seperti yang ada dalam sejarah, budaya dan memori bersama kita.

Mari bersama-sama kita saksikan Wacana Ilmu 2020 Siri 2 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertajuk “Akal Budi Melayu”. Ia disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin dari Pusat pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Renunglah anak-anak kita.

Fikirkan perihal akal budi mereka.

Bagaimana caranya untuk melahirkan insan yang berakal budi.

Insan budiman.

Hasrizal
Naas, Ireland

RUJUKAN:

  1. Evans, G. W. (2006). Child development and the physical environment. Annual Review of Psychology57, 423–451. ↩︎
  2. Bradley, R. H. & Corwyn, R. F. (2002). Socioeconomic status and child development. Annual Review of Psychology53, 371–399. ↩︎

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Lockerbie: Perjalanan Panjang Mencari Sebuah Jawapan

Saya menonton hampir keseluruhan episod Air Crash Investigation atau Mayday, jika di Amerika Syarikat, semenjak …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content