Thursday, January 30th, 2025

Filem Idiocracy (2006): Kebodohan Menjadi Sistem dan Ideologi Era Ruwaibidah

Baru seminggu Donald Trump kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat buat musim kedua, macam-macam perkara tidak masuk akal berlaku. Apa yang saya tidak pernah bayangkan, adalah krisis keselamatan negara antara Amerika Syarikat dengan Denmark berkaitan Greenland.

Walaupun spotlight menyuluh Presiden Amerika Syarikat ke-47 itu, beliau hanyalah tip of the iceberg. Di sebalik kemenangannya dalam pilihanraya 2024 berkenaan, adalah kemaskini ‘bodoh’ daripada perkataan pendek yang menyinggung perasaan sesetengah orang kita, kepada sebuah ideologi dan sistem. Istilah terbaik untuk mengungkap bodoh sebagai satu sistem, adalah IDIOCRACY.

Sebahagian kita mungkin biasa dengan novel Brave New World karya Aldous Huxley (1932) dan novel distopia Nineteen Eighty-Four oleh George Orwell (1949). Kedua-dua novel ini telah diadaptasi menjadi filem untuk menggambarkan senario masa hadapan yang menakutkan tentang masyarakat yang terperangkap dalam sistem yang menindas dan kehilangan kemanusiaan. Tetapi kita tidak ada novel khas mengenai Idiocracy. Apa yang wujud, adalah sebuah filem tahun 2006, yang 20th Century Fox cuba sembunyikan, apabila ditonton pada tahun 2025 ini, saya merasakannya seperti sebuah dokumentari, dan bukannya filem satira oleh Mike Judge dan  Etan Cohen.

Jika filem Idiocracy ditonton pada tahun 2018, ia mungkin dirasakan sebagai sebuah prophecy yang kelakar. Apabila Trump menang sekali lagi pada tahun 2024, dan terus membebaskan semua banduan yang dipenjara kerana kesalahan serangan Capitol 6 Januari 2021, menonton filem Idiocracy hari ini tidak lagi melucukan, bahkan menakutkan.

Sebagai orang Malaysia, jangan pula kita sibuk mentertawakan Amerika Syarikat dan kebodohan yang melanda negara berkenaan di era kedua Trump ini. Tontonlah filem Idiocracy, kita berpeluang untuk insaf bahawa lima atau enam tema utama filem berkenaan, juga sedang bercerita tentang kita.

PLOT

Idiocracy mengisahkan pada tahun 2005, Joe Bauers, seorang pegawai bawahan pustakawan tentera Amerika Syarikat ,  terpilih untuk eksperimen top secret hibernasi selama setahun bersama Rita, seorang pekerja seks di bawah bapa ayam bernama Upgrayedd. Joe mewakili kakitangan kerajaan, manakala Rita pula, calon swasta. Namun, eksperimen itu menemui kegagalan. Pegawai tentera yang bertanggungjawab ditangkap kerana korupsi membabitkan industri seks yang dikritik itu sendiri, seluruh infrastruktur projek berkenaan dimusnahkan, Joe dan Rita yang dibekukan di dalam sebuah kotak hibernasi, tertimbus di bawah longgokan sampah.

Sampah bukan sebarang sampah.

Hibernasi yang asalnya dirancang hanya untuk tempoh setahun, berakhir dengan tidurnya mereka berdua selama 500 tahun! Dunia dipenuhi sampah akibat consumerism melampau . Sampah tidak dapat diuruskan kerana manusia juga semakin sampah! Dalam tempoh 500 tahun berkenaan, IQ manusia merosot dan terus merosot, golongan cerdik pandai dimomok sebagai nerd, gay, dan macam-macam lagi. Mereka sibuk dengan kerjaya dan penyelidikan, hingga tidak lagi berminat untuk berumahtangga dan beranak pinak. Penduduk dunia makin bertambah, tetapi yang bertambah ramai adalah yang rendah IQ, yang bodoh.

Kebodohan mereka sampai ke tahap sudah tidak lagi mampu berfikir rasional, menjadi emosional, bahasa Inggeris standard bertukar menjadi bahasa bongok yang sukar difahami, masyarakat sibuk dengan hiburan picisan, di atas sofa, di dalam bilik, dengan skrin masing-masing. Saintis sudah hilang minat dengan kajian genetik untuk memperbaiki kualiti kehidupan manusia. Sebaliknya kajian mereka lebih tertumpu kepada rawatan rambut gugur dan ubat kuat lelaki.

Tsunami sampah telah menghanyutkan keranda Joe dan Rita. Joe tercampak melalui tingkap, masuk ke kediaman Frito Pendejo, di sebuah apartmen di kota yang dahulunya dikenali sebagai Washington D.C. Ia sebuah kota penuh sampah didiami oleh masyarakat ‘maju’ yang mundur lagi dungu. Pemimpin-pemimpinnya pula, adalah golongan popular dan hiper, duta produk yang ramai pengikut.

Joe cuba mendapatkan bantuan daripada orang ramai tetapi cara percakapannya yang ‘skema’ bertentangan dengan budaya anti-intelektual masyarakat tersebut. Dia pergi ke hospital, mempercayai dirinya telah diberi dadah halusinogenik oleh tentera. Setelah membaca majalah dan bil hospital, dia tersedar yang dirinya berada di tahun 2505. 

Joe ditangkap di restoran Carl’s Jr. kerana tidak memiliki tatu kod bar mengandungi maklumat pengenalan diri dan gagal membayar bil. Di mahkamah, Frito mewakilinya tetapi bercampur aduk antara menjadi peguam bela dan pendakwa raya apabila mendakwa Joe telah memusnahkan apartmennya. Hakim menganggap suara Joe terlalu lembut dan perlakuannya seperti seorang gay, lalu menjatuhkan hukuman penjara. Ironinya, jika kita memerhati dengan teliti, kita akan nampak bagaimana para peguam, termasuk hakim, sambil buat kerja sambil mempromosi label produk sponsor masing-masing.

Di penjara, ujian IQ menunjukkan Joe adalah manusia terpintar di dunia. Dia melarikan diri dengan memperdaya pengawal menggunakan helah paling mudah. Beliau bertemu Frito. Joe berjaya memujuk Frito membantu membawanya ke mesin masa di dalam gedung Costco dengan umpan, Joe bersetuju membuka akaun simpanan atas nama Frito pada lima ratus tahun silam. Hasilnya Froto akan kaya raya dengan bunga akaun berkenaan pada tahun 2505. Frito suka duit.

Malangnya, setibanya mereka di Costco, Joe ditangkap semula selepas kod barnya dikesan oleh sistem pemantauan pihak berkuasa. Sebagai manusia terpintar di dunia, maklumat mengenai Joe sampai ke meja Presiden. Beliau dibawa ke Rumah Putih dan dilantik sebagai Setiausaha Dalam Negeri oleh Presiden Dwayne Elizondo Mountain Dew Herbert Camacho. Ini bukan Presiden sebarangan. Beliau popular sebagai bekas juara gusti, petah berbicara dengan bahasa gibberish lagi memikat, terutamanya di kalangan wanita. Camacho memberikan Joe tugas menyelesaikan masalah hasil tanaman yang gagal, ribut debu, dan ekonomi yang lumpuh dalam seminggu atau bakal dihukum mati.

Panjang lagi ceritanya. 

Anda tontonlah sendiri ya.

Setakat sinopsis yang saya bekalkan ini, bolehkah sahabat fikirkan tema-tema besar yang disampaikan oleh filem bajet rendah tetapi genius ini?

MAX NORDAU DAN IDIOCRACY

Jika kita kenal Theodr Herzl sebagai bapa Zionis, gurunya adalah seorang doktor perubatan, penulis dan pengkritik sosial bernama Max Simon Nordau (1849 – 1923). Nordau pernah menulis sebuah buku bertajuk Degeneration (German: Entartung, 1892–1893). Ia adalah kritikan pedas terhadap budaya Eropah akhir abad ke-19. Nordau menggunakan istilah perubatan untuk menggambarkan seni dan sastera zaman itu sebagai tanda “penyakit mental” yang disebutnya sebagai “kemerosotan” (degeneration).

Beliau mendakwa bahawa pemodenan dan urbanisasi yang pesat telah menyebabkan keruntuhan moral dan budaya. Nordau mengenal pasti dua ciri utama kemerosotan ini:

  1. Ego-mania: Obsesi melampau terhadap diri sendiri.
  2. Mistisisme (mysticism) atau kebatinan: Ketidakmampuan untuk berfikir secara jelas dan rasional.

Menurut Nordau, kedua-dua ciri ini tercermin dalam gerakan seni dan kesusasteraan seperti Symbolism, Aestheticism, dan Decadentism. Tokoh terkenal seperti Oscar Wilde, Henrik Ibsen, Richard Wagner, dan Friedrich Nietzsche, dikecam oleh Nordau  sebagai “perosak” (degenerates) yang karya-karya mereka, menurut beliau, telah menyumbang kepada kemerosotan nilai moral dan budaya.

Apa yang saya perasan, antara idea Nordau yang selalu diserang oleh pengkritik di sebelah Barat ini adalah apabila manusia meninggalkan rasionaliti dan moral, ia mewujudkan populasi yang semakin dikawal oleh emosi dan percaya kepada benda-benda mistik lagi karut marut. Pendapat Nordau dikecam sebagai pseudosains, tiada asas saintifik dan hanya mencerminkan sikapnya yang anti perubahan.

United Kingdom meninggalkan EU di era Brexit apabila masyarakat dibakar emosi dan mengundi mengikut rasa hati.

Amerika Syarikat memilih semula Donald Trump apabila sentimen yang sama ditiup dan diapi-apikan dalam tema yang sama.

Demikian juga dengan kebangkitan pengaruh politik Far Right di dunia Barat.

Demikan juga sentimen agama kita sendiri yang lebih pantas bertindak akibat dibakar emosi, berbanding langkah teliti berpandukan hukum hakam dan nasihat yang cermat.

Itu perihal emosi.

Saya pernah menulis bagaimana dunia moden yang mengalami kemerosotan upaya fikir, menyaksikan penyebaran bid’ah, khurafat dan segala hal karut marut seperti di dalam artikel KECELARUAN KOGNITIF AHLI BID’AH MENURUT IMAM BIRGIVI.

Di dalam Surah al-Kahf ayat 21, Allah SWT menceritakan tingkah laku ahli bid’ah tatkala melakukan perkara-perkara mungkar dalam nuansa agama. Nasihat “cukuplah sekadar binaan asas dan serahkan urusan kepada Allah swt yang Maha Mengetahui hakikat sebenar mengenai Ashab al-Kahf” dibalas dengan “kami tak kira, kami nak juga bina masjid di atas persemadian mereka!”

Bahasanya keras, degil, dan mereka adalah golongan yang lebih berpengaruh, menguasai keadaan!

Seiringan dengan bertambahnya kecenderungan masyarakat kepada perkara khurafat, mistik, ilmu hitam, malah paradigma new age dan spiritualiti tanpa tuhan hari ini.

Sebahagian fitnah era Dajjal, di akhir zaman.

Sesuatu yang boleh kita fikirkan bersama.

LIMA TEMA UTAMA IDIOCRACY

Saya ingin mengambil beberapa isi penting yang Nordau lontarkan, untuk mengulas lima tema utama filem Idiocracy yang Wikipedia nyatakan iaitu:

  1. Anti-intellectualism (Anti-intelektualisme)
  2. Commercialism (komersialisme)
  3. Consumerism (konsumerisme)
  4. Dysgenics (disgenik)
  5. Voluntary childlessness (tidak mahu mempunyai anak secara sukarela)

ANTI INTELLECTUALISM

Malu jadi pandai, kan.

Mengulangkaji pelajaran diejek kawan sebagai nerd. Bertutur dalam bahasa yang teratur diselar berbahasa skema alam dinosaur. Menerangkan sesuatu dengan rujukan, dalil,  mencerakin isi, mengatur rasional, menimbukan kejemuan dan tiada siapa berminat mendengarnya.

Kabinet Rumah Putih sebagai institusi pemerintahan tertinggi Amerika Syarikat ketika itu, diisi bukan lagi oleh bijak pandai dan jahat. Sebaliknya oleh tokoh-tokoh populis yang tidaklah ketara jahatnya, tetapi cukuplah kebodohan dan anti intelektual, menjadi jenayah tatkala individu sedemikian mengisi kerusi kuasa.

Teringat saya kepada Kabinet Pura Cendana dalam filem Musang Berjanggut kita suatu ketika dahulu.

Kebodohan yang membelenggu, menakutkan Joe.

Katanya kepada Rita, “kalau kamu berjaya menemui mesin kembara masa dan kembali ke zaman kita, sampaikan pesanku agar dunia tidak jadi seperti sekarang. Pesan kepada mereka, bacalah buku. Berfikirlah. Gunakan otak, ikutlah macam mana cara sekali pun!”

Apabila Joe akhirnya menjadi Presiden Amerika Syarikat menggantikan Presiden Camacho, beliau berucap mengatakan bahawa negara mereka pada suatu ketika dahulu, amat berbeza. Orang pandai itu cool, mereka menyumbang dengan mencipta macam-macam alat. Mari jadikan Amerika Syarikat kembali gemilang!”

Jika kita mahu ketawakan Amerika Syarikat yang dibelenggu kebodohan kerana Youtube menunjukkan betapa jahilnya ramai mengenai geografi dunia, betapa bebalnya MAGA kerana seronok tarif dinaikkan oleh Trump hingga membebankan diri mereka sendiri, pandanglah jari jemari di tangan kita. Berapa banyak jadi yang ditunjuk ke sana, dan berapa pula yang menghala kepada diri kita sendiri.

Kata dulang paku serpih.
Mengata orang dia yang lebih.

COMMERCIALISM DAN CONSUMERISM

“Welcome to Costco. I love you!”

Pekerja Costco menyambut pelanggan di pintu masuk gudang meganya.

Tanpa emosi, tanpa kemanusiaan, kasih sayang komersil ini menjadi kasih sayang yang era Idocracy nikmati.

Tema commercialism dan consumerism mendominasi filem ini dari awal hingga ke hujung filem.

Gudang itu bukan setakat menawarkan segala barang keperluan pelanggan, malah Frito mendapatkan kelayakan akademik undang-undangnya pun daripada Costco.

Commercialism bukan hanya tertumpu kepada barang keperluan harian dan meliputi institusi akademik, perkhidmatan kesihatan pun turut berada di bawah cengkamannya.

Joe cuba mendapatkan bantuan di hospital, tetapi  jururawat di kaunter kaku tanpa komunikasi, hanya memadankan simptom beliau dengan butang-butang simbol kasar pada mesin yang entah apa-apa, namun tetap dipercayai sepenuhnya. Kemudian, Joe dianalisis pula oleh mesin Healthmaster Inferno, ciptaan Jormy Technologies, dikendalikan oleh juruteknik yang apa pun tak tahu. Sensor mana yang patut ke mulut, ke telinga dan mana satu ke bontot, bertukar-tukar dalam kejelekan. Pengetahuan dalam masyarakat ini telah diserahkan sepenuhnya kepada alat teknokorporat tanpa sebarang akal.

Bukan hanya sistem perubatan di hospital, sistem perundangan juga tidak kurang mabuknya. Ia bukan lagi berasaskan bukti, tetapi berdasarkan keangkuhan dan bahasa carut lagi kasar. Sesiapa yang paling selari dengan budaya hiburan murahan seperti rancangan Owh My Balls dianggap paling autentik dan dipercayai. Kod bar di pergelangan tangan menjadi lambang mutlak penyerahan kepada korporat.

Paling tidak senonoh, ahli politik di rumah Putih sentiasa melunaskan ucapan dengan slogan-slogan jenama masing-masing.

Sebab masing-masing menang kempen hasil tajaan komersil.

Bayi menyusu air Brawndo. Haiwan ternakan makan Brawndo. Semuanya Brawndo. Sebab Brawndo ada ramuan ajaib untuk 1001 keperluan, iaitu electrolytes.

“Electrolytes tu apa?’

“Entah. Electrolytes la. Bahan yang ada dalam Brawndo tu!”

“Ye, lah. Tetapi apa yang electrolytes itu buat?”

“Ia hebat. Ia ajaib!”

Tanaman negara pun disiram dengan Brawndo. Energy drink yang syarikat induknya merupakan pemilik Food and Drug Administration (FDA)the Department of Health and Human Services (HSS), serta Federal Communications Commission (FCC).  Hakikatnya, electrolytes dalam Brawndo telah memusnahkan tanaman dengan tanah-tanahnya sekali, menyebabkan ribut debu. Walaupun mendapat tentangan daripada Kabinet melalui alasan pusingan (circular reasoning) yang saya sangat menyampah dengar apabila isu kurikulum dibangkitkan dalam sistem pendidikan negara kita, Joe pada tahun 2505 di Amerika Syarikat berjaya meyakinkan Camacho untuk menggunakan air sebagai pengairan menggantikan Brawndo. Akibatnya, Brawndo yang menggaji separuh populasi Amerika Syarikat menjadi muflis. Usaha menyelesaikan masalah telah mencetuskan rusuhan kerana kerugian serta merta jelas di depan mata, sedangkan pemulihan tanaman tidak menunjukkan sebarang peningkatan segera.

Sakit, kan?

Kita boleh ketawa.

Tetapi kita lebih patut menangis. 

Hubungan kita dengan konsumerisme tidak jauh berbeza.

Ilmu atau kebenaran, hari ini ditentukan oleh produk dan jenama, serta duta-dutanya. Individu berpengaruh lahir bagai cendawan tumbuh, menjanjikan kejayaan dalam pelbagai bidang – kecantikan, kesihatan, malah kebenaran – bersaing menjadi “benda-benda yang kita semua kena tahu.” Dalam debat netizen, lawan sering menggantikan hujah yang sepatutnya lahir daripada apa yang masing-masing faham, dengan pautan kepada video individu berpengaruh, menyerahkan tugas berfikir kepada mereka. Mereka menjadi simbol autoriti mudah yang diletakkan kepercayaan.

Semakin kita bergantung kepada mereka untuk identiti dan penyelesaian, semakin besar keuntungan mereka, dan semakin bodohlah kita semua.

Janji laku.

DYSGENICS DAN VOLUNTARY CHILDLESSNESS

Dysgenics ialah idea bahawa sifat-sifat genetik yang dianggap “baik,” seperti cerdas atau sihat, mungkin berkurangan dalam populasi dari masa ke masa. Ini berlaku apabila individu dengan sifat-sifat ini, kurang anak. Manakala individu tanpa sifat-sifat tersebut mempunyai anak yang lebih ramai. Akibatnya, sifat-sifat positif ini menjadi semakin kurang dalam generasi akan datang. Dysgenics bertentangan dengan eugenics, iaitu usaha untuk meningkatkan sifat genetik melalui pembiakan terpilih; memilih siapa yang sesuai untuk membiak bagi menghasilkan sifat-sifat “lebih baik”.

Dahulukala, ada pendapat mengatakan bahawa peperangan memberi kesan dysgenics kerana individu yang sihat dan kuat sering terkorban, meninggalkan individu yang kurang sihat untuk terus membiak.

Saya tiada ilmu mengenai hal ini. Ia idea yang sangat kontroversial kerana kaitannya dengan ideologi eugenics yang berbahaya. 

Tetapi Idiocracy memaparkannya dalam bentuk yang melucukan.

Baru sahaja saya hendak ketawa, teringat pula baru-baru ini, Malaysia juga dilanda kontroversi dengan pempengaruh-pempengaruh yang memilih untuk tidak ada anak secara sukarela. Saya gigit lidah daripada mengulas lanjut sama ada situasi ini berisiko mengurangkan golongan cerdik pandai atau sebaliknya.

Wallahu a’lam.

MELUCAHKAN SEGALANYA

Perkara lazat yang mudah popular apabila akal merosot, budi terpinggir dan akhlak membarah, adalah kelucahan.

Semua benda hendak dilucahkan.

Cakap apa pun, double meaning.

Idiocracy memaparkan bagaimana masyarakat di tahun 2505 itu sentiasa tertarik dengan dua perkara iaitu duit dan seks. Dua perkara ini sentiasa menjadi umpan yang laku untuk menyuruh sesiapa jua melakukan sesuatu kerja. Dua perkara itu juga berhubung rapat antara satu sama lain.

Seks untuk duit.

Duit untuk seks.

Tetapi kedua-duanya merebak dalam kepalsuan.

Duit hilang nilai.

Seks juga hilang makna.

Seks yang popular di dalam masyarakat Idiocracy adalah self pleasure. Tanpa cinta, tanpa kasih sayang, tanpa romantisme, tanpa hubungan bermakna antara sesama manusia.

Jangan bimbang, filem ini tidak ada memaparkan adegan seks. Ia hanya memaparkan dialog double meaning, lawak bodoh, kata-kata double meaning, yang kita sudah pun biasa jumpa dalam perbualan seharian, termasuk dalam majlis ilmu malah agama.

DURJANA KEBODOHAN

Betapa beratnya beban tsunami kebodohan.

Membedah kebodohan, demi menyelamatkan saki baki kebaikan di akhir zaman ini adalah mujahadah.

Kita jangan lelah.

Demi pendidikan, sebagai jalan islah.

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : أن أمام الدجال سنين خداعة يكذب فيها الصادق ويصدق فيها الكاذب ويخون فيها الأمين ويؤتمن فيها الخائن ويتكلم فيها الرويبضة قيل وما الرويبضة قال الفويسق يتكلم في أمر العامة 

“Daripada Anas bin Malik, beliau telah berkata, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Kemunculan Dajjal didahului oleh hadirnya tahun-tahun yang menipu. Ketika itu seorang yang benar dianggap dusta manakala yang berdusta dianggap benar. Orang yang amanah dianggap khianat manakala pengkhianat dipercayai. Ketika itu juga, golongan al-Ruwaibidhah berbicara. Baginda ditanya, apakah yang dimaksudkan dengan al-Ruwaibidhah itu? Jawab baginda, iaitulah golongan bodoh bercakap tentang urusan orang ramai” (Musnad Imam Ahmad 3/220)

Hasrizal
Naas, Ireland

Baca juga:

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Majlis Graduasi Kelas 2024 Pelajar Khalifah Model School (Secondary) – KMSS

Hasrizal Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah. Salatan wa salamun ‘ala Rasulullah wa ‘ala alihi wa …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content