Dalam buku Pedagogi Ramadan yang diterbitkan pada tahun 2023, saya telah memperuntukkan satu bab khusus sebagai panduan bagi ibu bapa dan pendidik dalam memperkenalkan ibadah puasa kepada anak-anak. Tetapi saya ingin menyentuh tentang kisah di awal bab berkenaan, berkaitan soal BACA.
Dalam bab ini, saya memulakan perbincangan dengan sebuah kisah tentang seorang ibu yang menghubungi saya dengan kebimbangan mengenai anaknya yang belum menunjukkan minat untuk membaca. Apabila saya bertanya umur anaknya, beliau menjawab, “Tiga tahun.”
Saya menasihati ibu tersebut agar bertenang kerana pada usia tiga tahun, belum tiba masanya untuk anak itu belajar membaca secara spesifik. Ini bukan kerana kita ingin memanjakan anak atau mengabaikan pendidikan mereka, tetapi kerana otak serta perkembangan fizikal mereka belum bersedia untuk proses tersebut. Sebaliknya, terdapat banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk menanamkan minat membaca, antaranya dengan menjadikan budaya membaca sebahagian daripada kehidupan keluarga. Anak yang sering melihat ibu bapanya membaca, mendengar buku dibacakan kepadanya, dan dikelilingi bahan bacaan akan lebih cenderung untuk mengembangkan minat terhadap membaca secara semula jadi, tanpa perlu dipaksa.
Setiap perkara ada masa dan tempatnya. Kebimbangan ibu bapa mengenai bila waktu yang sesuai untuk memperkenalkan sesuatu kepada anak-anak, termasuk ibadah dalam Islam seperti puasa, perlu ditangani dengan penuh hikmah. Dalam hal ini, saya teringat akan nasihat Sultan Murad kepada anaknya, Sultan Muhammad Al-Fatih:
“Wahai anak! Ingatlah perkara ini dan beriltizamlah dengannya sebaik mungkin: di sana ada perbezaan yang besar di antara sesuatu yang kita perolehi dengan cara paksa yang keras, dengan pedang, dengan kepahlawanan dan memusnahkan kekuatan, berbanding sesuatu yang kita perolehi hasil kebijaksanaan, hati-hati, sabar, berfikir secara progresif, mencuba dan jerih payah pengalaman. Jalan yang pertama, yang juga bukan sentiasa ada, padanya juga ada banyak kekurangan…
Jika kita memaksa anak untuk melakukan sesuatu sebelum mereka bersedia, ia boleh mendatangkan kesan sampingan yang berpanjangan, termasuk hilangnya minat dan motivasi terhadap perkara tersebut. Begitu juga dalam membaca, matlamat kita bukan sekadar memastikan anak boleh membaca dalam tempoh tertentu, tetapi lebih penting adalah melahirkan generasi yang suka membaca dan membaca dengan kefahaman.
Sultan Murad turut memberikan perumpamaan yang menarik:
“Jika seseorang itu mahu menjamah buah tin, dia pergi ke kebun dan memetik buah yang masih muda lalu memasukkannya ke dalam mulut, buah yang amat beliau hajatkan itu bukan buah, malah mungkin racun. Tetapi jika lelaki itu menunggu terlebih dahulu sehingga buah itu ranum, lalu memetik dan membelahnya untuk dimakan, maka barulah apa yang dimasukkan ke mulutnya itu adalah buah tin!”
(Sultan Murad Han, Fatih Sultan Mehmed’e Nasihatlar, prep: Abdullah Uçman, 1001 Temel Eset, Tercüman Yayınları, p. 110-111)”
Jalaluddin Rumi pernah mengungkapkan nasihat yang sama berkaitan menghormati perkembangan umur anak-anak:
“Jika engkau berikan seorang bayi roti dan bukannya susu, terimalah akibatnya; bayi itu akan mati disebabkan oleh roti tersebut. Sedangkan jika di masa hadapan, selepas giginya tumbuh, bayi itu dengan sendirinya akan meminta roti.”
(Rumi, Mathnawi II, 34 (Daftar I, VV. 581-582)
Perumpamaan ini mengingatkan kita agar menghormati perkembangan semula jadi anak-anak. Sama seperti kita tidak mungkin memaksa seorang anak kecil menyertai pertandingan merentas desa kerana fizikalnya belum bersedia, kita juga harus berhati-hati dalam memperkenalkan pembelajaran membaca dan ibadah kepada anak-anak pada waktu yang sesuai.
Penundaan pengajaran membaca secara formal sehingga usia tujuh tahun bolrh memberikan beberapa kelebihan bagi memupuk pembelajaran sepanjang hayat dalam kemahiran membaca. Pengajaran formal awal, terutamanya dalam program berorientasikan akademik secara ketat, berisiko memberi kesan negatif terhadap motivasi dan konsep kendiri murid (academic self-concept). Sebaliknya, dorongan menyuburkan persekitaran pembelajaran di rumah serta aktiviti berpusatkan kanak-kanak pada peringkat awal mampu memberi kesan positif terhadap kedua-dua kemahiran membaca dan konsep kendiri akademik. Jadikan membaca sebagai budaya emak ayah terlebih dahulu. Bacakan buku kepada anak-anak.
Pengajaran membaca formal awal tidak menjamin prestasi membaca jangka panjang yang lebih baik. Tangguhkan pengajaran formal ke usia 7 tahun, membolehkan tempoh lebih panjang untuk memupuk minat literasi dan motivasi intrinsik — faktor kritikal bagi kejayaan membaca berterusan. Pendekatan ini berupaya mengekalkan sikap positif kanak-kanak terhadap aktiviti membaca, sekaligus berpotensi mengurangkan risiko kemerosotan motivasi membaca yang lazim berlaku sepanjang persekolahan.
Kita berhasrat melahirkan masyarakat yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Agama juga memerintahkannya.
Membaca sepanjang hayat!
Namun, cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa hari ini ialah tekanan sistem pendidikan yang sering kali menuntut anak-anak untuk menguasai kemahiran membaca pada usia yang tidak selaras dengan perkembangan mereka.
Ada ibu bapa yang berasa mereka tiada pilihan selain memaksa anak membaca awal agar mereka dapat ‘bertahan’ dalam sistem. Tanpa sedar, sistem buatan manusia itu dikuduskan, dengan harga mahal iaitu pada mengorbankan potensi sebenar anak, dan fitrah mereka.
Hakikatnya, sistem boleh berubah, tetapi kesan negatif paksaan membaca terhadap anak-anak mungkin kekal seumur hidup.
Kesannya mungkin tidak dapat dilihat secara fizikal, tetapi ia tetap meninggalkan impak yang mendalam. Ramai pelajar yang hilang minat membaca akibat daripada pendekatan yang terlalu formal dan menekan. Malah ramai juga yang langsung gagal membaca. Senario yang menyumbang kepada ‘kemiskinan pembelajaran’.
Teraniaya oleh sebuah sistem.
Walaupun perbincangan ini berasal daripada buku Pedagogi Ramadan yang membincangkan tentang ibadah puasa, konsepnya turut relevan dalam pendidikan anak-anak secara umum. Bagi perbincangan lebih lanjut mengenai ibadah puasa, ia boleh dirujuk dalam buku tersebut atau dalam video yang akan saya kongsikan kelak, Insya-Allah.
Semoga ada manfaat dalam perkongsian ini. Selamat menghidupkan ibadah di bulan Ramadan, dan marilah kita bersama-sama melindungi anak-anak daripada sistem yang tidak menghormati fitrah mereka. Dengan sokongan ibu bapa, Insya-Allah anak-anak dapat menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan dengan cara yang lebih sihat dan selamat.
Wallahu a‘lam.
RUJUKAN:
Berhenke, A. L. (2013). Motivation, Self-Regulation, and Learning in Preschool.
Crampton, A., & Hall, J. (2017). Unpacking socio‐economic risks for reading and academic self‐concept in primary school: Differential effects and the role of the preschool home learning environment.
Putman, M., & Walker, C. A. (2010). Motivating Children to Read and Write: Using Informal Learning Environments as Contexts for Literacy Instruction.
Stipek, D., Feiler, R., Daniels, D., & Milburn, S. (1995). Effects of Different Instructional Approaches on Young Children’s Achievement and Motivation.
Suggate, S. (2013). Does early reading instruction help reading in the long-term? A review of empirical evidence.
Walgermo, B., Foldnes, N., Uppstad, P. H., & Solheim, O. (2018). Developmental dynamics of early reading skill, literacy interest and readers’ self-concept within the first year of formal schooling.
Wigfield, A., Gladstone, J. R., & Turci, L. (2016). Beyond Cognition: Reading Motivation and Reading Comprehension.