“Kalau banyak A sekalipun, tetapi kalau akhlak ke laut, tidak ada maknanya. Sebab itu, kita utamakan akhlak!”
“Akhlaklah yang paling penting! Sebelum segalanya.”
Kata-kata sebegini biasa kita dengar dalam perhimpunan pagi di sekolah.
Ia diucapkan oleh pengetua, guru besar, guru disiplin, serta guru bertugas.
Akhlak baik, semua orang suka.
Akhlak buruk, semua orang luka.
Tiada siapa akan membantah, jika keutamaan akhlak, kita ucapkan.
Namun, persoalan yang ingin kita timbulkan, walaupun lisan kita mengatakan bahawa akhlak adalah paling utama, apakah agenda yang mendominasi aktiviti di sekolah dan apakah yang sebenarnya kita lihat sebagai pencapaian di sebuah sekolah? Jika akhlak pelajar yang kurang baik menjadi lebih baik, namun pada masa yang sama, perkembangan akademik pelajar itu tidak begitu memberangsangkan, masihkah kita menganggap telah berlaku peningkatan yang tulen dan perlu dihargai?
Atau adakah kita masih bergantung kepada pencapaian akademik, terutamanya apabila pencapaian akademik menjadi KPI pelbagai pihak dalam kelas, sekolah, daerah, negeri, mahupun di sebuah negara?
Saya berbesar hati apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat perancangan untuk melaksanakan pendidikan karakter. Ia adalah niat yang harus disambut dengan baik. Walau bagaimanapun, kita perlu realistik dalam menilai kesungguhan dan kebarangkalian untuk ia benar-benar dijayakan di sekolah.
Pendidikan karakter bukan slogan.
Ia juga bukan projek jangka pendek. Jauh sekali sekadar trend.
Pendidikan karakter mempunyai komponen, pedagogi khusus, dan kaedah tertentu untuk menjayakannya.
Di sekolah kecil kami, Khalifah Model School Primary (KMS) dan Khalifah Model School Secondary (KMSS), walaupun istilah pendidikan karakter baru sahaja digunakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, agenda untuk membentuk karakter cemerlang telah bermula sejak awal penubuhan sekolah, lebih sedekad yang lalu. Slogan “shaping excellent character” bukan hanya slogan sekolah, tetapi ia dilaksanakan secara sistematik dalam seluruh aktiviti sekolah, sama ada dalam subjek-subjek yang diajar, dalam aktiviti-aktiviti di sekolah, mahupun dalam program keibubapaan. Agenda membentuk karakter perlu bersinergi antara usaha yang dilakukan di sekolah dengan apa yang diusahakan di rumah.
If pupils are to make sense of, learn about, and act in accordance with the mission of the school, the school needs to provide educational experiences in and out of the classroom that equip students with the language, knowledge, understanding, skills and attributes that enable character development.
Maksudnya:
Jika pelajar ingin memahami, mempelajari, dan bertindak selaras dengan misi sekolah, sekolah perlu menyediakan pengalaman pendidikan di dalam dan di luar bilik darjah yang melengkapkan pelajar dengan bahasa, pengetahuan, pemahaman, kemahiran, dan atribut yang membolehkan pembangunan karakter.
(Watts, Paul; Fullard, Michael; Peterson, Andrew. Ebook: Understanding Character Education and Personal Development: Approaches, Issues and Applications (p. 118). McGraw-Hill Education. Kindle Edition.)
Dalam perkongsian kali ini, kita akan melihat sedikit berkenaan dengan pendidikan karakter, bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam bilik darjah dan juga di luar bilik darjah.
AKHLAK DAN REALITI SEMASA
Tidak dapat dinafikan, apabila membicarakan pendidikan karakter, sebagai umat Islam, kita pasti terfikir tentang satu istilah yang sangat dekat dengan pengetahuan dan pegangan kita, iaitu akhlak.
Persoalannya, mengapa sekolah perlu ada agenda khusus berkaitan dengan akhlak?
Menjawabnya, kita semak semula perihal masa. Semenjak usia berapakah anak kita mula bersekolah? Apabila mereka mula bersekolah, berapa jam sehari masa mereka berada di sekolah?
Semenjak seawal usia 5-6 tahun, anak-anak kita sudah meluangkan masa yang begitu banyak setiap hari di sekolah sehingga mereka meninggalkan alam kanak-kanak menuju ke alam remaja dan dewasa. Jika apa yang terjadi dalam pengalaman persekolahan anak-anak tidak menjurus kepada membentuk akhlak mereka, di manakah akhlak itu boleh dibentuk?
Apabila waktu persekolahan berakhir, kebiasaannya waktu bekerja ibu bapa juga tamat. Mereka pulang ke rumah dalam keadaan letih, begitu juga dengan anak-anak. Dalam situasi sebegini, berapa banyak masa dan tenaga yang masih berbaki untuk memastikan pembentukan akhlak dapat dilaksanakan di rumah? Usaha ini pastinya bukanlah sesuatu yang mudah.
Teringat saya kepada apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
إِنَّمَا النَّاسُ كَالإِبِلِ الْمِائَةُ لاَ تَكَادُ تَجِدُ فِيهَا رَاحِلَةً
Manusia ini seumpama unta tunggangan. Dalam seratus, hendak mencari satu yang benar-benar berkualiti dan sesuai untuk ditunggang pun payah. (Sahih al-Bukhari : 6498)
Maksud hadis ini ialah betapa sukarnya mencari manusia yang benar-benar berkualiti, yang menggambarkan bahawa usaha membangunkan kualiti seorang manusia amat mencabar. Memang benar, akademik, ilmu pengetahuan, dan kemahiran hidup adalah penting. Namun, semua itu masih sebahagian kecil daripada kemanusiaan seorang manusia. Jika kereta berkualiti ditentukan oleh enjinnya, durian harga mahal oleh rasa dan tekstur isinya, manusia yang berkualiti adalah manusia berakhlak.
Jika seluruh tenaga, masa, dan fokus di sekolah hanya tertumpu kepada mencapai sasaran akademik, bagaimana kita dapat mengelakkan situasi di mana yang dikejar tak dapat, yang digendong pula berciciran? Apabila akademik diberikan keutamaan tetapi gagal dicapai, dan akhlak yang diuar-uarkan sebagai perkara penting pula tercicir daripada perhatian serta usaha berterusan, kita perlu menilai semula keutamaan ini.
KAEDAH MEMBINA AKHLAK
Sebelum membincangkan pendidikan karakter, penting untuk kita memahami bagaimana akhlak sebagai teras utama dalam agama kita, selepas akidah dan ibadah, didefinisikan oleh para ilmuwan terdahulu. Ini membantu menyelaraskan kefahaman tentang akhlak serta istilah-istilah lain seperti sahsiah dan karakter yang relevan dalam konteks pendidikan karakter. Saya merujuk kepada definisi yang diberikan oleh Imam Birgivi rahimahullah (wafat pada tahun 1573 M), yang meneruskan definisi terdahulu oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah (wafat pada tahun 1111 M).
الخلق مَلَكَة تصدر عنها الأفعال النفسانية بسهولة من غير رَوِيَّة. و يمكن تغييره , لورود الشرْع به, باتّفاق العقلاء , و التجربة
Menurut Imam Birgivi, akhlak adalah kualiti dalam diri manusia yang daripadanya terbit perbuatan-perbuatan baik secara spontan, tanpa memerlukan pertimbangan dan penilaian mendalam sebelum ia dilakukan. Kualiti ini bersifat dinamik, dalam erti kata ia boleh dibentuk, diwujudkan, atau dihapuskan. Hakikat ini disokong oleh dalil syarak, diakui oleh para bijaksana, serta terbukti melalui pemerhatian dan pengalaman.
Unsur penting dalam definisi ini adalah bahawa akhlak merujuk kepada sesuatu yang berakar umbi dalam diri manusia, sehingga perbuatan baik dilakukan secara semula jadi tanpa perlu berfikir panjang. Ini terjadi apabila kebaikan tersebut dipupuk melalui kefahaman, kepercayaan, latihan, dan kebiasaan. Dalam bahasa Inggeris, ia dirujuk sebagai “our second nature.”
Sebagai contoh, jika seseorang bertembung dengan individu yang memerlukan bantuan, dia memberikan bantuan tersebut tanpa memikirkan untung rugi kepada dirinya sendiri. Perbuatan sebegini menepati maksud akhlak seperti yang ditarifkan oleh Imam Birgivi dan Imam al-Ghazali. Kualiti ini bukan sekadar amali tetapi juga hasil daripada pemahaman, penalaran, dan latihan yang berterusan.
KOMPONEN AKHLAK
Imam Birgivi, dalam magnum opus beliau “At-Tariqah Al-Muhammadiyah” yang ditulis pada abad ke-16, memberikan penjelasan terperinci tentang mekanisme dalam diri manusia yang mempengaruhi akhlak. Beliau menjelaskan bahawa akhlak terbit daripada interaksi tiga domain utama dalam diri manusia, iaitu: keupayaan berfikir (An-Nutuq), keinginan (Asy-Shahwah), dan kemarahan atau penolakan (Al-Ghadab). Ketiga-tiga domain ini berperanan menarik manusia ke arah kebaikan atau keburukan. Untuk memastikan manusia memilih melakukan perkara baik, emosi perlu dibimbing oleh akal yang sihat. Dalam konteks ini, akal yang bijaksana berfungsi sebagai penasihat kepada keinginan dan kemarahan, membantu manusia menyeimbangkan tindakan mereka agar selaras dengan nilai-nilai kebaikan.
Jika keinginan terhadap sesuatu tidak mendengar nasihat akal, ia boleh membawa kepada keterlaluan sehingga seseorang menjadi gelojoh dan menginginkan perkara-perkara yang salah, yang akhirnya mendatangkan mudarat. Sebaliknya, apabila keinginan seseorang mati, tiada kemahuan terhadap apa-apa, seseorang mungkin tidak terdorong untuk melakukan perkara yang baik. Keadaan ini diibaratkan seperti pepatah “si luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan,” Seseorang menjadi apatis dan tidak peduli. Walaupun berbekalkan ilmu, akal menawarkan pelbagai insentif seperti wang, makanan, malah pahala, syafaat Nabi ﷺ hingga Syurga Allah SWT sekali pun, keinginan tersebut tetap rumit dibangkitkan. Ini menunjukkan betapa pentingnya akal yang sihat dalam membimbing keinginan untuk memastikan ia seimbang dan tidak melampau, baik ke kiri mahu pun ke kanan.
Akal yang sihat mencegah ekstremisme.
Berlebih-lebihan, atau berkurang-kurangan.
Jika perasaan marah tidak mendengar nasihat akal, ia boleh menjadi ekstrem dan melampau, sehingga menyebabkan manusia melakukan perkara yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Sebaliknya, jika perasaan marah itu hilang sama sekali dan tidak dipandu dengan nasihat akal yang baik, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi pengecut. Dalam keadaan ini, seseorang tidak akan berani membantah kemungkaran atau berusaha menghapuskan kemudaratan yang ada.
Akal membimbing emosi marah menjadi berani.
Emosi marah yang mengenepikan akal bertukar menjadi ganas di ekstrem kanan, pengecut di ekstrem kiri.
Merumuskan apa yang disebutkan oleh Imam Birgivi, kita memahami bahawa untuk memiliki akhlak yang baik, manusia memerlukan akal yang sihat. Akal ini mestilah mampu mencerna dan memproses maklumat, memahami realiti, menganalisis situasi, dan membuat keputusan yang bijaksana antara perkara baik dan buruk.
Manusia bukanlah malaikat yang sentiasa mentaati Tuhan secara statik, dan manusia juga bukan syaitan yang kekal dalam keadaan mengingkari Tuhan. Sebaliknya, manusia diilhamkan dengan kecenderungan kepada perkara fujur (kejahatan) dan takwa (kebaikan). Untuk menghadapi kecenderungan yang wujud pada kedua-dua dimensi ini, manusia perlu menggunakan akal fikiran yang dibangunkan dengan baik untuk memilih jalan yang benar.
Pendidikan yang gagal membangunkan kemahiran berfikir bukan sahaja membawa kemudaratan kepada industri, pekerjaan, dan keperluan duniawi, tetapi juga kepada keberagamaan manusia serta persiapannya menuju kehidupan selepas mati. Oleh itu, pendidikan yang melemahkan akal fikiran dan tidak memupuk kemahiran berfikir sebenarnya mengancam dunia dan akhirat kita, termasuk agama. Justeru, usaha untuk memastikan pendidikan memupuk kebolehan berfikir yang baik adalah perjuangan agama yang penting, jika dilihat dari sudut tersebut.
Di negara-negara Barat yang sering bergelut dengan pelbagai kemungkaran, kejahatan, dan kekeliruan, kita tetap menyaksikan ramai individu yang mendapat hidayah daripada Allah SWT. Mereka mencapai hidayah ini kerana akal fikiran mereka, yang terbentuk melalui sistem pendidikan yang menggalakkan pemikiran kritis. Sistem ini mencabar mereka untuk menyoal kehidupan, kepercayaan, dan mencari kebenaran, sehingga akhirnya menemukan mereka dengan jalan yang benar.
Sayangnya, dalam pendidikan agama secara formal di peringkat universiti, saya tidak melalui subjek khusus berkaitan akhlak. Tiada subjek khas untuk mengakhlakkan saya sebagai pelajar pengajian Islam, bakal ustaz, bakal agamawan. Ia bukan alasan untuk saya tidak peduli kepada kepentingan akhlak.
Saya perlu mencarinya.
Baik di luar kampus, mahu pun selepas berhasil menggenggam segulung ijazah Syariah.
PENDIDIKAN KARAKTER
Pendidikan karakter yang berkesan memerlukan kerangka yang jelas, pedagogi khusus, dan pendekatan strategik. Ia bukan hanya dilaksanakan di dalam bilik darjah, tetapi perlu diterapkan secara menyeluruh dalam ekosistem sekolah, termasuk aktiviti ko-kurikulum serta hubungan antara guru, pelajar, dan ibu bapa.
Pendidikan karakter adalah agenda penting yang dirumuskan dengan teliti. Antaranya, seperti yang ditarifkan dalam “The Jubilee Centre Framework for Character Education in Schools 2022”:
Character is a set of personal traits or dispositions that produce specific moral emotions, inform motivation and guide conduct.
Character education includes all explicit and implicit educational activities that help young people develop positive personal strengths called virtues.
Maksudnya:
Karakter adalah satu set sifat peribadi atau kecenderungan yang menghasilkan perasaan terhadap moral tertentu secara spesifik, menjelaskan motivasi dan membimbing tingkah laku.
Pendidikan karakter merangkumi semua aktiviti pendidikan tersurat serta tersirat yang membantu pelajar membangunkan kekuatan keperibadian diri yang disebut sebagai kebaikan.
(The Jubilee Centre Framework for Character Education in Schools, 2022)
Terdapat banyak perbincangan tentang pendidikan karakter, tetapi pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai pendekatan yang dibangunkan oleh The Jubilee Centre for Character and Virtues di University of Birmingham. Pendekatan ini menggunapakai kerangka Aristotle, dengan lima penjelasan utama mengapa model Aristotle dijadikan asas untuk dibangunkan dan dikembangkan. Kita juga boleh menilai model ini dari perspektif kita sebagai umat Islam, berdasarkan kefahaman kita tentang konsep akhlak yang telah dibincangkan sebelum ini.
PERTAMA:
Pendidikan karakter Aristotelian berasaskan konsep “human flourishing” atau eudaimonia, yang disebut oleh orang Yunani purba sebagai matlamat tertinggi manusia. Ia merupakan tujuan murni tanpa syarat yang mendorong segala tindakan. Sesuatu tindakan atau reaksi hanya dianggap betul secara moral jika ia menyumbang kepada “human flourishing”. Aristotle menjelaskan bahawa dengan menganalisis ‘fungsi’ sebenar manusia secara empirik (seperti menganalisis fungsi pisau yang baik atau ladang gandum yang subur), kita dapat menentukan bahawa “human flourishing” melibatkan penghayatan nilai-nilai murni pemikiran dan karakter, serta merealisasikan potensi fizikal dan mental manusia sepanjang hayat.
Proses membangunkan kualiti manusia itu sendiri adalah kebaikan yang mutlak. Kita tidak perlu bertanya, “Jika manusia menjadi baik, apa faedahnya kepada industri atau sekolah?” atau “Jika akhlak baik, adakah akademik akan turut baik?” Akhlak adalah kebaikan induk yang tidak memerlukan pengiktirafan berdasarkan faedah lain untuk dianggap bernilai.
Dalam konteks sekolah, institusi yang melaksanakan pendidikan karakter akan melihat pencapaian apabila tingkah laku dan jati diri pelajar yang bermasalah dapat diperbaiki, meskipun pencapaian akademik mereka belum memuaskan. Ini membezakan model pendidikan karakter Aristotelian dengan model lain di Barat yang sering menilai pendidikan karakter berdasarkan manfaatnya terhadap akademik, industri, atau pekerjaan. Walaupun persoalan ini relevan, menilai pendidikan karakter hanya dari sudut instrumental akan menghilangkan nilai utamanya.
Apabila sekolah terus menjadikan pencapaian akademik sebagai KPI utama, pendidikan karakter akan kekal sebagai agenda sampingan. Ini menimbulkan dilema: jika pelajar memiliki akhlak yang baik tetapi keputusan akademiknya sederhana, adakah pencapaiannya tetap dihargai setanding dengan pelajar yang cemerlang? Bagaimana pula sekolah memposisikan pelajar yang akademik mereka cemerlang tetapi kurang dari segi akhlak?
Situasi ini menyerlahkan keperluan untuk menyelaraskan keutamaan antara akhlak dan akademik dalam sistem pendidikan kita.
Saya tidak bermaksud untuk memperlawankan akademik dengan pendidikan karakter kerana kajian menunjukkan apabila karakter dibangunkan, pencapaian akademik turut meningkat. Kajian Park and Peterson (2006) mendapati pendidikan karakter menyumbang sekurang-kurangnya 16% kepada pencapaian akademik pelajar.
Kami berpegang dengan hal ini di Khalifah Model School Secondary (KMSS) dan Khalifah Model School Primary (KMS).
Secara amalinya, terdapat pelajar di tahun ketiga KMSS yang menghadapi kesukaran memenuhi keperluan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam IGCSE. Ia mungkin disebabkan oleh faktor bahasa atau lain-lain. Dalam situasi ini, pihak sekolah biasanya akan menjelaskan kepada ibu bapa: jika pencapaian akademik adalah keutamaan, keputusan sama ada untuk meneruskan persekolahan di sini atau berpindah ke tempat lain perlu dibuat awal, bukan di saat akhir. Namun, sentiasa ada ibu bapa memilih untuk anak mereka terus bersekolah di sini, meskipun sedar keputusan akademik mungkin sederhana. Mereka menghargai manfaat lain dari pengalaman persekolahan di KMSS dan KMS yang sukar didapati di tempat lain.
Hasilnya, apabila keputusan IGCSE diumumkan, kita melihat pelajar-pelajar mendapat keputusan yang pelbagai. Ada yang mencapai kecemerlangan antarabangsa dengan A* dan ada yang mendapat keputusan lebih rendah. Walaupun keputusan berbeza, setiap pelajar dihargai kerana pencapaian mereka dinilai lebih daripada sekadar keputusan peperiksaan. Pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik tetap mencapai objektif lain yang penting. Ini mengingatkan kita tentang perlunya realistik dalam melaksanakan pendidikan karakter sebagai agenda sekolah, di mana pencapaian pelajar tidak hanya diukur melalui akademik.
KEDUA:
Pendidikan karakter Aristotelian menekankan bahawa pendidikan karakter berpusat kepada penghayatan nilai-nilai kebaikan sebagai kecemerlangan manusia. Ia turut menawarkan manfaat melalui konsep “golden mean,” iaitu keseimbangan. Dalam kerangka Aristotle, setiap nilai moral mencerminkan keadaan watak yang seimbang, seperti keberanian, yang berada di antara dua ekstrem: kekurangan, seperti pengecut, dan keterlaluan, seperti keberanian melulu. Jalan yang benar adalah jalan tengah, yang memastikan tindakan seseorang dilakukan dengan cara yang tepat, kepada individu yang sesuai, pada masa yang sepatutnya.
Ingatkah kita kepada ulasan Imam Birgivi sebelum ini?
Betapa pentingnya peranan akal, untuk ummatan wasata.
KETIGA :
Kelebihan ketiga pendidikan karakter Aristotelian ialah bagaimana ia menekankan peranan unik emosi dalam pembangunan moral, berbeza daripada pendidikan karakter lain yang hanya memfokuskan kepada pengubahsuaian tingkah laku. Aristotle menyatakan bahawa bukan sahaja tindakan yang betul, tetapi juga reaksi yang tepat menyumbang kepada pembentukan eudaimonia. Emosi, seperti tindakan, mempunyai ‘keadaan pertengahan dan terbaik’ apabila dirasai ‘pada waktu yang sesuai, terhadap perkara yang sesuai, kepada individu yang sesuai, untuk tujuan yang sesuai, dan dengan cara yang sesuai’ (Aristotle, 1985: 44). Jika emosi terlalu kuat atau terlalu lemah, ia menjejaskan keseimbangan moral; tetapi jika emosi berada dalam keadaan pertengahan, ia menunjukkan moral yang baik (1985: 41). Individu hanya dianggap berbudi pekerti jika mereka konsisten mengalami emosi yang seimbang. Nilai seperti belas kasihan (kesedihan terhadap penderitaan yang tidak wajar) adalah gabungan emosi yang dapat membentuk nilai moral sepenuhnya, walaupun seseorang mungkin tidak dapat berbuat apa-apa terhadap penderitaan tersebut.
KEEMPAT:
Pendidikan karakter Aristotelian menumpukan perhatian kepada penyelesaian konflik antara nilai, berbeza dengan pendekatan lain yang sering menggambarkan pilihan moral sebagai hanya antara baik dan buruk. Hakikatnya, dilema yang sering dihadapi golongan muda melibatkan konflik antara nilai-nilai yang bertembung.
Contohnya, konflik antara esetiaan kepada rakan dan kejujuran kepada pihak berkuasa. Remaja mungkin terperangkap antara mengekalkan rahsia rakan atau bercakap benar kepada guru. Sedangkan bagi guru, dia mungkin melihat ‘amar makruf nahi munkar’ sebagai topik yang ‘sudah terang lagi bersuluh’. Apa lagi yang hendak dibincangkan selain buat sahaja seperti yang disuruh!?
Dalam kerangka Aristotelian, holisme reflektif menjadi keutamaan. Orang dewasa yang berbudi pekerti tidak hanya bertindak secara betul, tetapi keputusan mereka dibuat atas alasan yang kukuh, didorong oleh emosi yang seimbang, dan dipandu oleh meta-nilai intelektual seperti phronesis (kebijaksanaan praktikal). Phronesis bertindak sebagai pengimbang moral apabila dua nilai seperti kesetiaan dan kejujuran bertembung, memastikan tindakan yang dilakukan berada dalam keseimbangan yang tepat (Aristotle, 1985: 40).
KELIMA:
Dalam Aristotelianisme, pendidikan karakter bukan sekadar pelengkap kepada pemahaman moraliti atau falsafah moral, tetapi ia adalah asas utama. Kemajuan dalam kecemerlangan moral hanya dapat dicapai melalui pendidikan sejak usia muda, bahkan sejak lahir.
Menurut Aristotle, kajian tentang moraliti tidak bermakna jika ia tidak mengambil kira implikasi pendidikan. Kritikan sering dilontarkan terhadap falsafah moral kontemporari kerana mengabaikan isu perkembangan, khususnya zaman kanak-kanak. Pendekatan Aristotle berbeza secara radikal, hingga beliau hampir dianggap mereduksi falsafah moral kepada pendidikan karakter. Bagi Aristotle, lebih penting untuk mengetahui bagaimana kebaikan dapat dibentuk berbanding sekadar memahami apa itu kebaikan. Beliau menegaskan bahawa tujuan penyelidikan moral adalah untuk menjadi individu yang baik, bukan sekadar mengetahui konsep kebaikan. Tanpa penghayatan ini, penyelidikan moral tidak memberi sebarang manfaat (1985: 35). Pendekatan ini menjadi asas yang kukuh untuk pendidikan karakter.
Sebab itu, janganlah agenda pendidikan karakter kita, masih berlegar soal mengukur-ukur kefahaman murid melalui soal jawab factual knowledge.
Jangan nanti, usaha kita hanya melahirkan insan berpelajaran, tetapi tidak berpendidikan.
TIGA SALURAN BELAJAR KARAKTER
Karakter dipelajari oleh anak-anak melalui tiga cara utama: karakter yang ‘ditangkap’ (character is caught), karakter yang diraih (character is sought), dan karakter yang dipelajari serta diajar (character is taught).
- Karakter yang Ditangkap (Character is Caught) Karakter anak-anak terbentuk melalui apa yang ditangkap, hasil pemerhatian terhadap tingkah laku orang dewasa yang berpengaruh, termasuk guru dan ibu bapa. Tingkah laku ini diperhatikan dan memberi kesan langsung kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa dan guru tidak boleh berkata, “Lakukan apa yang saya cakap, bukan apa yang saya buat,” kerana tindakan mereka sendiri adalah contoh utama yang akan diikuti oleh anak-anak. Sama ada sekolah mempunyai agenda pendidikan karakter atau tidak, anak-anak tetap menyerap karakter melalui apa yang mereka lihat. Malangnya, jika tingkah laku yang dicontohi adalah negatif, ia akan merosakkan pembentukan karakter mereka.
- Karakter yang Diraih (Character is Sought) Karakter diraih melalui program yang direka khusus untuk memupuk, menyemai, dan mempromosikan nilai-nilai positif. Program seperti kempen kesedaran, bengkel, pertandingan, dan aktiviti luar bilik darjah memberi pelajar peluang untuk menghayati nilai-nilai tersebut secara praktikal. Contohnya, aktiviti khidmat masyarakat bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada realiti kehidupan, tetapi juga membantu mereka mengembangkan sifat empati, tanggungjawab sosial, dan integriti. Melalui pengalaman ini, pelajar bukan sahaja memahami kepentingan nilai tersebut, tetapi juga terinspirasi untuk mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka. Dengan cara ini, karakter bukan sahaja diraih, tetapi juga menjadi sebahagian daripada identiti pelajar.
- Karakter yang Dipelajari dan Diajarkan (Character is Taught) Karakter dibentuk melalui pembelajaran formal yang melibatkan penerangan, huraian, dan pengajaran langsung tentang nilai-nilai tertentu. Proses ini bertujuan membolehkan pelajar memahami konsep, rasional, dan aplikasi nilai dalam kehidupan harian. Pengajaran formal ini meliputi kaedah seperti perbincangan interaktif, simulasi, kajian kes, dan refleksi kendiri untuk memastikan pelajar dapat menghayati nilai tersebut dengan mendalam. Namun, pendidikan karakter tidak boleh berdiri sendiri tanpa sokongan dua saluran utama yang lain, iaitu karakter yang ditangkap dan diraih. Sekiranya wujud percanggahan antara apa yang diajarkan dengan apa yang dilihat dan dialami pelajar melalui contoh guru dan ibu bapa, pendidikan formal ini menjadi kurang berkesan. Contohnya, jika guru bercakap tentang nilai kejujuran tetapi sering menunjukkan sikap pilih kasih atau tidak adil, mesej yang ingin disampaikan akan kehilangan kredibiliti.
Keberkesanan pendidikan karakter bergantung kepada keselarasan antara ajaran formal, tingkah laku guru dan ibu bapa, serta pengalaman pelajar dalam persekitaran sekolah dan komuniti. Oleh itu, guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam menyelaraskan apa yang diajar dengan apa yang diamalkan, supaya pendidikan karakter tidak hanya sekadar teori, tetapi menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan pelajar.
Sebagai guru dan ibu bapa, jika kita tidak sedar bahawa anak-anak menangkap karakter melalui pemerhatian dan meraih karakter melalui pengalaman, kita mungkin hanya sekadar membebel atau memberi ceramah yang tidak bermakna kepada pelajar, tanpa sebarang impak yang sebenar.
KATEGORI KEBAIKAN (VIRTUES)
Karakter yang cemerlang yang kita ingin bangunkan adalah berasaskan kepada pelbagai kebaikan atau “virtues”. Virtues ini boleh dikategorikan kepada beberapa jenis utama:
- Kebaikan Intelektual (Intellectual Virtues) Kebaikan dalam kategori ini merangkumi keupayaan seperti pemikiran kritis (critical thinking), sifat ingin tahu (curiosity), kebijaksanaan membuat pertimbangan (judgement), penaakulan yang baik (good reasoning), refleksi mendalam (reflection), dan kebolehan untuk mencari jalan penyelesaian (resourcefulness). Ini menunjukkan bahawa kebaikan bukan sekadar bersopan santun tetapi turut melibatkan pembangunan kualiti intelektual yang memberi manfaat besar dalam kehidupan harian.
- Kebaikan Moral (Moral Virtues) Kebaikan moral meliputi sifat-sifat seperti belas kasihan (compassion), keberanian (courage), kesyukuran (gratitude), kejujuran (honesty), sifat rendah diri (humility), rasa malu (modesty), integriti (integrity), keadilan (justice), dan hormat-menghormati. Sifat-sifat ini membentuk asas penting bagi hubungan manusia yang harmoni.
- Kebaikan Kewarganegaraan (Civic Virtues) Kebaikan ini berkaitan dengan peranan seseorang sebagai anggota masyarakat, seperti kesedaran komuniti (community awareness), sikap berjiran yang baik (neighbourliness), melibatkan diri dalam kerja sukarela, membantu mereka yang memerlukan, menjaga kebersihan, dan mengalihkan halangan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain. Banyak daripada kebaikan ini mengingatkan kita kepada saranan-saranan tanggungjawab sosial berpandukan hadis-hadis Nabi ﷺ.
- Kebaikan Pelaksanaan (Performance Virtues) Kategori ini melibatkan sifat-sifat yang membantu seseorang melaksanakan tugas dengan cemerlang, seperti keyakinan diri, motivasi, kesabaran, kerjasama, dan kecekapan bekerja dalam kumpulan. Sifat-sifat ini memastikan tugas dilakukan dengan lebih efektif dan berkesan.
- Kebijaksanaan Praktikal (Practical Wisdom) Kebaikan ini lebih kompleks, terutamanya apabila seseorang dewasa menghadapi konflik moral. Kebijaksanaan praktikal membantu individu membuat keputusan yang tepat antara kebaikan dan keburukan tanpa terjerumus dalam kekeliruan.
KOMPONEN PENDIDIKAN KARAKTER
Dalam setiap kebaikan ini, terdapat tiga komponen utama yang perlu diberi perhatian:
- Ilmu (Virtue Knowledge): Pemahaman tentang mengapa sesuatu kebaikan itu baik, berdasarkan dalil, cerita, maklumat, atau data penyelidikan.
- Penaakulan (Virtue Reasoning): Membincangkan, membahaskan, dan menghuraikan salah faham yang mungkin timbul tentang kebaikan tersebut.
- Amalan (Practical Virtue): Bagaimana kebaikan itu dilaksanakan dalam kehidupan sebenar.
Pendidikan karakter tidak boleh hanya berfokus kepada amalan praktikal jika pemahaman dan penjelasan tentang kebaikan itu diabaikan. Ketiga-tiga komponen ini perlu digabungkan secara harmoni. Oleh itu, pendidikan karakter tidak semestinya dilaksanakan sebagai subjek khas tetapi perlu disepadukan ke dalam pelbagai subjek dan aktiviti di sekolah. Ini adalah cabaran besar yang memerlukan perhatian teliti untuk memastikan pendidikan karakter benar-benar berkesan dan bermakna.
MERANCANG SECARA BERLANGKAH
Dalam program tutorial untuk guru-guru Postgraduate Diploma in Education di Uni Razak, saya memperkenalkan pendekatan lima langkah (the stepped approach) bagi menjayakan penerapan kebaikan secara praktikal:
- Tentukan Kebaikan Utama Pilih kebaikan yang ingin difokuskan. Pastikan relevansi dan matlamatnya jelas untuk pelajar dan komuniti sekolah.
- Kenal Pasti Kategori Kebaikan Tentukan sama ada kebaikan tersebut berada dalam kategori intelektual (intellectual), kewarganegaraan (civic), pelaksanaan (performance), atau moral. Langkah ini memastikan keseimbangan dalam penerapan nilai di sekolah.
- Selaraskan dengan Pengetahuan Pelajar Terokai apa yang pelajar sudah tahu dan pengalaman mereka yang relevan. Kaitkan kebaikan yang diajar dengan pengetahuan sedia ada untuk meningkatkan pemahaman.
- Reka Aktiviti Praktikal Rancang aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) seperti projek luar kelas, khidmat masyarakat, atau simulasi untuk mengukuhkan aplikasi nilai tersebut.
- Refleksi Secara Berterusan Adakan ruang untuk pelajar menilai keberkesanan tindakan mereka, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, serta merancang penambahbaikan.
Pendekatan ini disesuaikan daripada panduan dalam buku Understanding Character Education: Approaches, Applications, and Issues, yang memberikan panduan praktikal untuk mendalami pendidikan karakter.
Saya menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan pendidikan karakter di sekolah kerajaan. Seandainya sokongan KPM kepada guru mungkin masih belum mencukupi, kita tidak boleh menunggu. Apa yang boleh dilakukan ialah memulakan inisiatif di peringkat sekolah. Apa yang kami lakukan di Khalifah Model School Primary dan Secondary, serta bahan yang saya kongsi dengan guru di dalam program Postgraduate Diploma in Education di UNIRAZAK, saya kongsikan serba sedikit dari semasa ke semasa di blog, media sosial dan semua saluran yang saya ada.
Hasrat saya, agar lebih ramai yang mahu melakukannya, boleh melakukannya.
Guru tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk memulakan pendidikan karakter. Pendidikan karakter berlaku setiap hari, sama ada dirancang atau tidak.
CONTOH APLIKASI DARIPADA SUNNAH
Contoh daripada sunnah Nabi ﷺ menunjukkan kepentingan pendidikan karakter melibatkan virtue reasoning. Dalam hadis riwayat Abu Umamah, seorang anak muda meminta kebenaran kepada Nabi ﷺ untuk berzina. Permintaan ini kelihatan biadab dan mencetuskan kemarahan para sahabat. Namun, Nabi ﷺ mendekati situasi ini dengan kebijaksanaan luar biasa. Baginda menenangkan para sahabat dan meminta anak muda itu duduk dekat dengannya.
Perhatikan bagaimana baginda memecahkan isu berkenaan kepada komponen-komponen induk pendidikan karakter:
Baginda tidak menyentuh soal hawa nafsu, nasihat menundukkan pandangan, berpuasa untuk mereda gelora jiwa atau memberi amaran tentang seksaan Neraka. Semua itu benar dan tidak salah. Tetapi amalan pedagogi meninjau punca sebenar permintaan pelik itu dari sudut lain.
Baginda bertanya: “Jika seseorang berzina dengan ibumu, adakah kamu setuju?” Anak muda itu menjawab, “Tidak.” Baginda mengulangi soalan ini untuk anak perempuan, saudara perempuan, dan ibu saudaranya. Setiap kali, jawapannya adalah, “Tidak.” Nabi ﷺ kemudian menjelaskan, “Jika kamu tidak mahu hal itu berlaku kepada keluargamu, jangan lakukan kepada orang lain.”
Isu sebenar di belakang zina kali ini, adalah sikap mementingkan diri sendiri. Tidak empati mempertimbangkan implikasi perbuatan yang sama, kepada orang lain, sebagaimana tidak susah memahami implikasi perbuatan tersebut semasa kena ke atas diri sendiri.
Baginda melengkapkan nasihat ini dengan doa: “Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, dan lindungilah dirinya daripada perbuatan keji.” Selepas peristiwa itu, anak muda tersebut berubah dan tidak lagi cenderung kepada zina. Dalam riwayat lain, Nabi ﷺ bersabda: “Bencilah apa yang Allah benci, dan sukailah untuk saudaramu apa yang kamu suka untuk dirimu sendiri.”
Pendekatan Nabi ﷺ ini menunjukkan bahawa pendidikan karakter dalam Islam menggabungkan empati, logik, dan dimensi rohani. Ia tidak hanya membentuk tingkah laku tetapi juga mendidik hati dan minda secara mendalam. Lebih lengkap berbanding model Aristotelian yang kita sentuh sebelum ini.
Sayang jika kita mensia-siakannya.
BUKAN AGENDA SAMPINGAN
Selain pembelajaran formal, pendidikan karakter turut dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti di luar bilik darjah. Aktiviti seperti perhimpunan pagi, kempen bulanan, sukan, serta program kokurikulum lain memainkan peranan penting dalam memupuk karakter positif dalam diri pelajar. Pendekatan ini memastikan bahawa setiap aspek kehidupan persekolahan memberikan peluang kepada pelajar untuk membangunkan karakter mereka.
Pendidikan karakter perlu merangkumi kesemua sendi utama yang telah dibincangkan, dan pendidikan ini lebih bermakna apabila ia berasaskan pandangan alam Islam, dan mengharmonikannya dengan mesej serta tuntutan akhlak.
Di sekolah kami, modul yang digunakan dikenali sebagai “Metode Khalifah”. Modul ini bukan hanya disampaikan melalui pengalaman pembelajaran di dalam bilik darjah, tetapi juga diterapkan secara menyeluruh dalam kehidupan persekolahan. Kami turut menyediakan subjek khas bernama “Khalifah Method” yang diajar dari Tahun 1 hingga ke peringkat sekolah menengah. Subjek ini bukan untuk tujuan penilaian atau peperiksaan, tetapi untuk memastikan pendidikan karakter dapat direalisasikan secara sistematik dan konsisten.
Saya berkongsi pengalaman ini bukan untuk menunjuk pandai, tetapi untuk menambah nilai kepada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjayakan pendidikan karakter di sekolah kerajaan. KPM tentunya mempunyai pendekatan mereka sendiri, tetapi bagi saya, pendidikan bukan sekadar kerjaya, KPI, atau sumber rezeki. Ia adalah jalan islah yang saya pilih sebagai hamba Allah SWT. Walaupun saya tinggal jauh di negeri asing, saya masih dan sentiasa ingin melihat pendidikan di tanahair berubah.
Saya juga menginsafi hakikat bahawa apa yang saya kongsikan ini lebih penting untuk saya amalkan dalam kehidupan dan keluarga saya sendiri.
Mudah-mudahan, kita semua dapat menghayati misi Nabi ﷺ, yang diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.
Tiada pendidikan tanpa pendidikan karakter, dan karakter yang cemerlang adalah berasaskan kepada akhlak mahmudah yang dianjurkan oleh agama kita.
Hasrizal
Naas, Ireland.
RUJUKAN:
Jubilee Centre for Character and Virtues. (2022). The Jubilee Centre framework for character education in schools.University of Birmingham. Retrieved from https://www.jubileecentre.ac.uk/character-education-/framework-for-character-education/
Sariyannis, M. (2022). Birgivî, Mehmed Efendi: Died: Istanbul, 1573. In Encyclopedia of Renaissance Philosophy (pp. 399–401). Cham: Springer International Publishing.
Watts, P., Fullard, M., & Peterson, A. (2021). Understanding character education: Approaches, applications and issues. McGraw-Hill Education (UK).
Arthur, J., Kristjánsson, K., Harrison, T., Sanderse, W., & Wright, D. Teaching character and virtue in schools (Citizenship, Character and Values Education) (p. 30). [Kindle edition].