Wednesday, January 15th, 2025

Mencintai Kematian Seperti Mereka Mencintai Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan.”

Ungkapan ini merujuk kepada kata-kata Khalid bin Al-Walid radiallahu anhu dalam suratnya kepada Raja Parsi, seperti yang direkodkan dalam Tarikh At-Tabari dan Al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibnu Kathir. Dalam surat tersebut, Khalid bin Al-Walid menulis:

Yang bermaksud:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Daripada Khalid bin Al-Walid kepada Raja Parsi. Segala puji bagi Allah yang telah membubarkan pemerintahanmu, melemahkan perancanganmu, dan memecahbelahkan kesatuanmu. Terimalah Islam atau bayarlah jizyah. Jika tidak, aku datang bersama dengan satu kaum yang mencintai kematian seperti kamu mencintai kehidupan.”

Kata-kata ini mengandungi mesej yang mendalam, menggambarkan semangat juang yang tidak gentar terhadap maut. Ia mencerminkan keyakinan yang utuh terhadap janji Allah, di mana mati di jalan-Nya dianggap sebagai puncak kemuliaan.

Semangat Pejuang yang Membebaskan Palestin

Ungkapan ini tidak sekadar menjadi slogan sejarah, tetapi hidup dalam jiwa mereka yang memperjuangkan keadilan hingga ke hari ini. Semangat mencintai kematian seperti mencintai kehidupan terlihat jelas dalam perjuangan membebaskan Palestin.

Palestin, bumi Isra’ wal Mi’raj, terus menyaksikan perlawanan sengit antara mereka yang berjiwa tegar dan kezaliman Zionis yang kini mendominasi tanah itu. Pejuang Palestin berjuang dengan keberanian luar biasa, menentang musuh yang meskipun memiliki kekuatan ketenteraan, dibelenggu jiwa pengecut.

Tentera Zionis memegang senjata dengan ketakutan, berlindung di sebalik tembok-tembok yang melindungi jasad tetapi tidak mampu membentengkan jiwa mereka daripada kecemasan. Sebaliknya, pejuang Palestin percaya bahawa hidup adalah satu peluang, dan mati di jalan Allah adalah satu penghormatan.

Perjuangan ini tidak hanya melibatkan fizikal tetapi menyentuh akar rohani, menyemai keyakinan bahawa keadilan pasti akan menang meskipun berhadapan dengan kekuatan yang tampak tidak seimbang.

Contoh Terkini dari Perang di Gaza

Dalam konflik terkini di Gaza, semangat juang pejuang Palestin terus terpamer dengan jelas.

Sebagai contoh, walaupun berdepan dengan serangan udara dan darat yang hebat, pejuang Palestin berjaya menyesuaikan diri dengan menggunakan taktik perang gerila dan memanfaatkan sumber yang terhad.

Mereka menunjukkan keberanian dengan terus melancarkan serangan balas, walaupun mengetahui risiko tinggi terhadap nyawa mereka.

Keberanian ini bukan sahaja dilihat dalam kalangan pejuang bersenjata tetapi juga dalam kalangan sukarelawan dan penduduk awam yang berusaha membantu mangsa konflik.

Kisah-kisah sukarelawan yang membantu menyediakan keperluan asas dan sokongan kepada mereka yang terjejas menggambarkan semangat solidariti dan keberanian yang tinggi.

Sebaliknya, terdapat laporan mengenai tentera Zionis yang mengalami keletihan dan kehilangan semangat juang akibat pertempuran yang berlarutan.

Beberapa laporan menyebut bahawa tentera Israel menjadi kecewa dan enggan meneruskan pertempuran di Gaza, menunjukkan perbezaan ketara dalam semangat antara kedua-dua pihak.

Situasi ini menekankan bahawa walaupun dengan kelebihan ketenteraan, tanpa semangat dan keyakinan yang kukuh, kemenangan sukar dicapai.

Sebaliknya, pejuang Palestin, dengan semangat yang tidak pernah luntur, terus berjuang demi keadilan dan kebebasan tanah air mereka.

AP News
Some Israeli soldiers refuse to keep fighting in Gaza
13 Jan 2025
WSJ
A Battered Hamas Charts Path Without Its Chief Strategist
18 Oct 2024
WSJ
How the Massacre of Ignored Female Soldiers Came to Symbolize Oct. 7 Failures
5 Oct 2024

Pengalaman Peribadi dengan Kata-kata Khalid

Bagi saya, ungkapan ini mula hadir dalam hidup ketika saya masih seorang anak muda, pelajar di Jordan yang bersemangat tinggi untuk berkhidmat kepada Islam. Ia menjadi inspirasi sehingga saya masukkan dalam lirik nasyid Tetamu Dataran Syam yang saya karang sekitar tahun 1995.

Bahagian pertama nasyid itu adalah puisi nukilan Dr MAZA, senior kami semasa di Jordan, manakala bahagian kedua saya kembangkan menjadi sebuah karya yang dipersembahkan oleh Usrah al-Firdaus. Nasyid ini dihasilkan bersempena program menyambut pelajar baharu di Jordan.

Namun, kata-kata Khalid bin Al-Walid ini bukanlah sekadar ungkapan. Ia adalah kata-kata berat yang menguji kedalaman jiwa. Ketika saya mengungkapnya di usia muda, hidup terasa ringkas. Beban tanggungjawab belum menghimpit, dosa-dosa terasa belum berat. Tetapi kini, ketika usia mencecah 50 tahun, kata-kata ini mengundang renungan yang jauh lebih mendalam.

Kehidupan dan Kematian: Sebuah Perjalanan Penuh Makna

Hidup ini ibarat sungai yang mengalir dari mata air suci di puncak gunung, menuruni rimba, merentas kampung halaman, hingga ke hiruk-pikuk kota. Di awal perjalanan, airnya jernih, murni, dan menyegarkan. Namun, semakin jauh ia mengalir, semakin banyak sampah sarap yang terbawa bersama, hingga akhirnya tiba di muara—air itu masih air, tetapi sudah tidak selamat diminum.

Saya melihat diri ini seperti sungai itu. Semakin lama hidup, semakin banyak dosa dan kelemahan terbawa bersama. Saat ini, perasaan sering bercampur baur. Ada masanya saya merasa muda, seolah-olah 30 tahun lalu, tetapi ada masanya saya gementar. Sedar bahawa ramai rakan sebaya telah pergi mendahului, sama ada kerana sakit atau kemalangan.

Hakikatnya, umur yang berbaki tidak pasti berapa lama. Hendak membayangkan berbaki separuh, atau suku pun terasa berat. Lalu, saya bertanya kepada diri sendiri: Jika hari ini saya mengungkapkan, “kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan,” bagaimana ungkapan itu tercermin dalam tindak-tanduk seharian saya?

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan sesungguhnyalah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

Dia adalah yang telah Mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

(Surah al-Mulk 67 : 1-2)

Sebagai Pendidik: Mendidik Jalan Islah

Sebagai seorang pendidik, saya tertanya-tanya bagaimana kesedaran tentang cinta kepada kematian ini dapat disemai dalam jiwa anak muda. Mendidik dengan maksud menghadirkan usaha islah dari dalam jiwa setiap insan yang Tuhan amanahkan kepada kita.

Mencintai kematian bukanlah bermaksud melarikan diri daripada kehidupan. Sebaliknya, ia menuntut kita menghargai kehidupan sebagai peluang menyediakan bekalan sebelum mati. Ia motivasi besar untuk personal goal kita.

Bekal itu bukan hanya hasanat akhirat, tetapi hasanat dunia. Menjadi khalifah Allah bermaksud kita makmurkan bumi ini dengan kebaikan-kebaikan yang diperlukan, mengikut acuan Allah swt.

Hasanat dunia yang khalifah-Nya usahakan mesti ada elemen ‘jariah‘. 

Jariah di dalam bahasa Arab bermaksud sesuatu yang mengalir.

Ia bukan one-off.

Ia berpanjangan, berimpak, scalable, sustainable.

Beranilah memaknakan kematian dan mencintainya, dengan menghargai kehidupan.

Kembali kepada semangat awal blog ini, bahawa ERTI HIDUP PADA MEMBERI.

Hasrizal
Naas, Ireland

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Salahkan Anak Kakak Makcik Sendiri

Saya menulis di Facebook (3 Januari 2025): Kejahilan memang penyakit. Kita hanya biasa dengan satu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content