
Izinkan saya meluahkan rasa gembira di sini.
Tiada apa-apa yang besar.
Saya gembira pagi ini kerana penyelia saya gembira. Beliau gembira dengan kemaskini penulisan disertasi saya untuk bahagian Research Methodology (Kaedah Penyelidikan).
Ia bahagian yang saya paling takut dalam percubaan sebelum-sebelum ini. Saya selalu bingung hendak merumuskan mengapa teori tertentu saya pilih sebagai dasar merekabentuk sebuah penyelidikan.
Kali ini saya memilih menggunakan Interpretative Phenomenological Analysis (IPA) untuk merekabentuk penyelidikan peringkat sarjana di School of Education, Trinity College Dublin, ini. Percubaan keenam, dan mudah-mudahan yang terakhir.
Ada tiga komponen penting IPA yang saya jelaskan mengapa ia sesuai untuk penyelidikan ini.
PHENOMENOLOGY
Fenomenologi mengkaji pengalaman manusia dan cara mereka memahami dunia di sekeliling mereka. Contohnya, apabila seseorang menggambarkan kesukaran untuk fokus dalam bilik darjah yang bising, fenomenologi membantu penyelidik memahami pengalaman itu secara mendalam.
Dalam kajian ini, fenomenologi digunakan untuk meneroka bagaimana pelajar universiti dengan ADHD mengalami dan mentafsir persekitaran akademik mereka, khususnya dengan peningkatan penggunaan peralatan berasaskan Generative AI dalam pendidikan.
HERMENEUTIC
Hermeneutic bermaksud menterjemah makna. Seseorang itu di dalam temubual, menterjemahkan pengalamannya melalui penceritaan. Saya sebagai penyelidik, menterjemahkan terjemahan pengalaman individu tadi untuk menyingkap maksud secara yang lebih mendalam. Sebab itu IPA kadang-kadang disebut sebagai double-hermeneutic.
• Pelajar merenung dan menjelaskan pengalaman mereka sendiri.
• Penyelidik kemudian mentafsir penjelasan tersebut untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam.
Sebagai contoh, jika seorang pelajar menyatakan bahawa alat AI membantu mereka “stay on track”, penyelidik akan menyelidiki lebih lanjut tentang maksud sebenar “stay on track”, bagi seseorang dengan ADHD — adakah ia mengurangkan kebimbangan? Adakah ia membantu dalam pengurusan organisasi?
Sesiapa yang membaca kajian sebegini, akan meneruskan proses menterjemahkan ia kepada dirinya. Langkah ini penting untuk mewujudkan kesedaran kita terhadap apa yang didengar, dibaca, difikir dan ditulis berbanding melakukan semua itu dalam keadaan dangkal dan luaran semata-mata.
IDIOGRAPHY
Idiografi menekankan kajian terhadap individu sebelum mengenal pasti corak umum. Memandangkan ADHD memberi kesan berbeza kepada setiap pelajar, adalah penting untuk meneliti pengalaman mereka secara mendalam sebelum membuat kesimpulan yang lebih luas.
Berbanding dengan kenyataan umum seperti “AI bermanfaat untuk semua pelajar dengan ADHD,” kajian ini menganalisis setiap kes secara terperinci untuk memahami bagaimana dan mengapa AI membantu (atau tidak) dalam pelbagai situasi. Pendekatan ini memastikan pemahaman yang lebih mendalam dan tepat.
Dalam erti kata yang lain, IPA sesuai untuk kajian ini kerana:
- Fokus pada Pengalaman Peribadi
- Kajian ini meneliti bagaimana pelajar secara peribadi mengalami penggunaan AI dalam pembelajaran mereka, dan IPA direka untuk menangkap pemahaman yang terperinci dan mendalam mengenai pengalaman tersebut.
- Membantu Menyingkap Makna
- Peralatan AI seperti ChatGPT masih baharu, dan pelajar mungkin mengalaminya dengan cara yang berbeza—ada yang mendapati ia membantu, manakala yang lain mungkin bergelut dengan kebergantungan berlebihan atau kekeliruan. IPA membantu menyingkap makna di sebalik pengalaman ini.
- Mengkaji Perbezaan Individu
- Oleh kerana ADHD memberi kesan berbeza kepada setiap pelajar, kajian ini memberi tumpuan kepada kisah peribadi setiap individu sebelum membuat kesimpulan yang lebih umum.
- Memberikan Fleksibiliti
- Oleh kerana AI adalah teknologi yang berkembang pesat, pendekatan terbuka IPA membolehkan penyelidik meneroka dapatan yang tidak dijangka tanpa terikat kepada kategori yang telah ditetapkan.
Selepas menyemak berpuluh-puluh penyelidikan terdahulu yang menggunakan IPA, saya jelaskan di dalam draf berkenaan kekuatan dan kelemahan IPA:
Kekuatan (Mengapa IPA Berguna)
- Memberikan pemahaman yang mendalam dan terperinci: Berbeza dengan tinjauan yang hanya memberikan jawapan mudah seperti “ya” atau “tidak”, IPA meneroka sebab-sebab yang lebih mendalam di sebalik pengalaman seseorang.
- Mendorong refleksi penyelidik: Penyelidik menilai kecenderungan dan bias diri mereka sendiri untuk memastikan tafsiran data dibuat secara adil.
- Mengambil kira konteks peribadi dan budaya: IPA mengiktiraf bahawa pengalaman pelajar dipengaruhi oleh latar belakang, persekitaran, dan cabaran individu mereka.
Kelemahan (Cabaran IPA)
- Saiz sampel yang kecil: Kajian IPA biasanya melibatkan bilangan peserta yang terhad, menjadikan dapatan kajian kurang boleh digeneralisasikan kepada semua pelajar dengan ADHD.
- Memerlukan peserta menyatakan pemikiran dengan jelas: Jika pelajar sukar menjelaskan perasaan mereka, penyelidik mungkin menghadapi kesukaran untuk menangkap pengalaman mereka secara menyeluruh.
- Subjektiviti dalam tafsiran: Penyelidik yang berbeza mungkin mentafsir data yang sama dengan cara yang berbeza, walaupun kaedah seperti semakan rakan penyelidik dapat membantu mengurangkan isu ini.
JALAN MASIH PANJANG
Perjalanan saya dalam pengajian sarjana dan penulisan disertasi masih panjang. Setiap hari, ada sahaja perkara baharu yang perlu dihadam, ditulis, dan disusun. Dua minggu sekali, saya menghadirkan diri ke sesi kaunseling untuk mententeramkan diri, kerana dari semasa ke semasa, perasaan cemas itu masih datang menyapa. Saya khuatir ada sesuatu yang tidak kena berlaku, mungkin kesan trauma daripada kegagalan demi kegagalan dalam pengajian sebelum ini. Saya cuba untuk tidak terperangkap dalam ketakutan lalu, tetapi adakalanya bayang-bayang itu tetap menjengah.
Malam tadi, saya sukar melelapkan mata, memikirkan pertemuan pagi ini dengan penyelia. Walhal, penyelia saya seorang yang baik hati dan penuh hikmah dalam membimbing. Setakat ini, semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah. Saya sahaja yang bimbang tanpa asas. Mungkin juga secara kebetulan minggu ini, beban kerja menimpa bertimpa-timpa, menjadikan segala-galanya terasa lebih berat daripada biasa.
Antara Rakaman, Kelas, dan Menulis
Dalam kesibukan memproses maklumat mengenai Kaedah Penyelidikan dan menulisnya, saya juga berdepan dengan pelbagai komitmen lain. Pada pagi Selasa, saya terlibat dalam sesi rakaman program Sekolah Penulisan Ramadan, membentangkan bagaimana trauma-informed care dan trauma-informed practice boleh menjadi panduan dalam menulis buku yang menyembuhkan, meskipun tidak semestinya jatuh dalam kategori buku healing. Saya bekerja keras dalam masa yang singkat untuk menyiapkannya, memastikan setiap poin yang dikongsi relevan dan bermakna.
Selesai sahaja sesi rakaman, saya terus masuk ke kelas dalam talian bagi subjek baharu kami, The Role of Education Partners in Inclusive Education. Kelas ini agak intensif kerana hanya ada empat orang di dalamnya—seorang pensyarah dan tiga pelajar. Tiada ruang untuk bersembunyi atau sekadar menjadi pemerhati. Saya tidak sempat menarik nafas sebelum perlu memecut gear lima, mengerah minda untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan.
Kelas itu diikuti pula dengan subjek Responding to Student Diversity in Education, yang terus membawa saya menyelami teori dan aplikasi trauma-informed practice dalam dunia pendidikan. Dalam celah-celah itulah saya menulis bahagian Research Methodology disertasi saya, di tengah-tengah keletihan dan kesibukan. Mungkin sebab itu, pagi ini saya sangat gembira apabila penyelia menyatakan kepuasan dengan perkembangan kerja saya. Sekurang-kurangnya ada satu kelegaan di tengah ribut kesibukan.
Esok yang Padat, Hujung Minggu yang Ditunggu


Esok, saya akan bersama Dr. Anuar Ahmad dan Prof. Madya Dr. Mohd Tazli Azizan dalam Webinar Pendidikananjuran MINDA UKM. Selesai sahaja webinar itu, saya akan terus masuk ke kelas seterusnya—kali ini mengenai Penyelidikan Kuantitatif, topik yang saya kurang gemari. Jangan marah ya!
Kelas itu akan berakhir pada pukul 8 malam, dan biasanya saya hanya tiba di rumah sekitar jam 11 malam. Kemudian, pada pagi Sabtu jam 7 pagi, saya ada sesi ceramah Ramadan bersama Zikra.My. Selesai urusan itu, saya perlu bersiap untuk menghadiri majlis akad nikah seorang sahabat yang berhajat saya hadir. Semoga semuanya berjalan lancar.
Mudah-mudahan, Ahad nanti adalah hari untuk berehat. Saya membayangkan diri terbongkang di depan TV, menikmati siri kegemaran—mungkin dokumentari kapal terbang terhempas, atau kisah hantu yang cuba menakut-nakutkan manusia yang terlupa dirinya adalah Khalifah Allah di muka bumi.
Perjalanan ini masih panjang, tetapi selagi ada kudrat dan semangat, saya akan terus melangkah. Satu langkah pada satu masa.
Mudah-mudahan usaha pengajian dan penyelidikan saya ini menyumbang kepada islah nilai inklusif dan kebolehcapaian pendidikan untuk semua, khususnya anak-anak dan individu ADHD seperti saya, amin.