Selemah-lemah Rumah Adalah Sarang Labah-labah
Kita sering mendengar ungkapan bahawa zaman ini adalah zaman digital, zaman maya, zaman jaringan. Kita bergerak dalam dunia fizikal, tetapi kita juga bernafas, berinteraksi, dan memberi reaksi dalam dunia dalam talian. Ada satu perkara yang saya amati: apabila bersemuka, kita sangat menjaga adab dan kesopanan. Namun dalam ruang digital — mengapa seolah-olah segalanya berubah?
Kita yang Bertindak, Kita yang Bertanggungjawab
Kita perlu mengakui bahawa komen, ciapan, hantaran, dan segala bentuk komunikasi dalam talian tetap datang daripada manusia. Ada yang ditaip sendiri, ada juga yang dijana oleh teknologi. Namun teknologi itu juga kita yang cipta, kita yang guna, dan kita yang kawal.
Hakikatnya, semuanya tetap berbalik kepada kita.
Tambahan pula, semakin lama, kehidupan kita dalam talian semakin dominan. Masa yang kita habiskan dalam dunia digital semakin panjang. Aktiviti di ruang ini memberi kesan mendalam kepada siapa kita, bagaimana kita berfikir, dan bagaimana kita memperlakukan orang lain. Dalam diam, kita hidup dalam dua alam — dunia nyata dan dunia maya. Dan dalam dunia maya itu, adab dan batasan seolah-olah terangkat.
Mikrosistem Digital dan Teori Ekologi
Dalam satu perkongsian yang lalu, saya membincangkan Teori Ekologi Bronfenbrenner yang menjelaskan bagaimana manusia dipengaruhi oleh pelbagai lapisan persekitaran, dari yang paling dekat (mikrosistem) sehingga ke sistem sosial yang lebih luas.
Dalam konteks hari ini, dunia digital — media sosial, platform komunikasi, dan ruang interaksi maya — merupakan mikrosistem moden. Ia tidak boleh lagi dianggap asing atau terpisah. Ia mempengaruhi kita secara langsung. Dan yang memproses segalanya tetap organ yang sama — akal dan hati manusia.
Ujian ‘Anonymous’ dan Kemayaan
Salah satu cabaran terbesar dalam dunia digital ialah ‘anonymous’ dan kemayaan.
Hidup ‘tanpa nama’ membolehkan kita berselindung di sebalik nama samaran, gambar avatar, atau profil palsu. Kemayaan pula memberi kita rasa bahawa interaksi ini tidak nyata — tiada beban, tiada akibat. Maka muncullah kata-kata yang kasar, maki hamun, hinaan, tuduhan, dan ejekan yang tidak kita berani ucapkan di dunia sebenar.
Kita fikir:
“Tiada siapa kenal aku.”
“Aku hanya menaip, bukan menyakiti secara fizikal.”
“Ini cuma internet, tak ada apa-apa.”
Namun, adakah itu benar?
Evolusi Web: Dari Musafir ke Bermastautin
Istilah World Wide Web diperkenalkan oleh Sir Tim Berners-Lee pada tahun 1989. Ketika itu, internet bersifat satu hala — kita hanya membaca, mencari maklumat. Itulah zaman Web 1.0.
Masuk ke era Web 2.0, kita mula berinteraksi. Kita mencipta kandungan, menulis status, berkongsi gambar, berkomen, dan berdebat. Kita mula bermukim di dunia maya. Kita bina rumah di media sosial seperti Friendster, MySpace, Facebook dan yang seumpama dengannya.
Kini dalam era Web 3.0 atau semantic web, kita bukan sahaja tinggal — kita bermastautin di dalamnya. Dunia digital menjadi tempat hidup, bekerja, bersosial, dan bahkan membentuk identiti.
Bagi Generasi Z, dunia dalam talian bukan sekadar tempat persinggahan. Ia adalah rumah sebenar mereka. Pengaruh media sosial lebih besar daripada nasihat orang tua. WWW bukan lagi sekadar jaringan global — ia adalah persekitaran pembentukan peribadi.
Sarang Labah-labah dalam Al-Qur’an
Perkataan “web” dalam Bahasa Melayu diterjemah sebagai jaring atau jaringan. Namun dalam Bahasa Arab, ia mengingatkan kita kepada sarang labah-labah — al-‘ankabut.
Dalam Surah al-‘Ankabut ayat 41, Allah SWT berfirman:
مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah — kalau mereka mengetahui.
Satu peringatan yang sangat dalam. Ada manusia yang menjadikan selain Allah sebagai tempat bergantung, pelindung dan sumber kekuatan. Rumah labah-labah kelihatan kompleks, tetapi sangat rapuh.
Begitulah juga kita — kadang-kadang menjadikan ruang maya sebagai tempat kita merasa bebas, berkuasa, dan kebal. Kita lupa bahawa dalam setiap ruang dan setiap waktu, kita tetap di bawah pengawasan Tuhan.
Menjaga Kata, Menjaga Akhlak
Sabda Rasulullah ﷺ :
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik-baik atau diam.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini sangat jelas. Iman kepada Allah dan Hari Akhirat sepatutnya membimbing setiap ucapan kita — termasuk apa yang kita taip, hantar, kongsi dan komen.
Namun mengapa begitu ramai antara kita memilih untuk menyakitkan orang lain dalam ruang digital? Jika dalam dunia nyata kita menjaga lidah, mengapa dalam dunia maya kita bebas berucap tanpa adab?
Sarang atau Rumah?
Rumah labah-labah kelihatan rumit, canggih dan indah pada mata saintis. Namun ia bukan rumah perlindungan. Ia adalah perangkap. Tempat menangkap, tempat memerangkap, tempat memburu mangsa.
Demikian juga dunia digital. Jika kita menjadikannya sebagai ruang cari rezeki yang jujur dan bermanfaat — silakan. Tetapi jika kita jadikan ia tempat membuli, mengutuk, menyindir, dan menzalimi atas nama ‘anonymous’ — kita sedang membina rumah yang sangat rapuh. Rumah yang tidak melindungi kita, tetapi menjerat kita.
Setiap Huruf Dikira
Setiap huruf yang kita taip, setiap emoji yang kita kirim, setiap mesej yang kita hantar — semuanya dicatat. Ia bukan ghaib. Ia bukan hilang. Ia akan dibentangkan di hadapan kita nanti.
Sabda Rasulullah ﷺ dalam satu hadis yang menggugah jiwa:
أَتَدْرُونَ مَنِ الْمُفْلِسُ؟
قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ
فَقَالَ:
إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ، قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ، أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ، فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
“Tahukah kamu siapa orang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang yang tidak mempunyai dirham dan tidak memiliki harta.”
Lalu Nabi bersabda:
“Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada Hari Kiamat membawa solat, puasa dan zakat, namun dia juga datang dengan maki hamun orang ini, tuduh orang itu, makan harta orang ini, tumpahkan darah orang itu, pukul orang ini. Maka akan diambil pahala-pahalanya dan diberikan kepada mereka. Jika habis pahalanya sebelum selesai urusannya, dosa-dosa mereka pula akan diambil dan dilontarkan kepadanya, lalu dia dicampakkan ke dalam neraka.”
(Riwayat Muslim)
Maka, penghuni rumah labah-labah itu boleh terdiri daripada mereka yang sangka mereka selamat, tapi akhirnya kembali kepada Allah sebagai golongan muflis, tatkala kita bezakan perbuatan online berbanding offline dalam kehidupan yang hakikatnya SATU ini.
Penutup: Mari Kita Muhasabah
Dunia digital adalah realiti. Ia bukan ruang yang bebas dari agama, nilai dan akhlak. Ia adalah sebahagian dari hidup kita — dan akan jadi sebahagian dari hisab kita.
Mari kita renungkan:
• Siapa yang menjadi pelindung kita dalam talian?
• Siapa yang menjadi teman dampingan kita dalam talian?
• Dan apakah kita benar-benar sedang membina rumah, atau sebenarnya sedang terperangkap dalam sarang labah-labah yang kita cipta sendiri?
Kerana sesungguhnya,
Selemah-lemah rumah, adalah rumah labah-labah.
Semoga kita tidak lelah beramal ibadah, tetapi mengadap Allah SWT sebagai hamba-Nya yang muflis.