Saturday, January 11th, 2025

Teladan Kisah Musa Dan Khadir: Cabaran Era ‘Fragmented Knowledge’

Di dalam al-Quran, surah al-Kahf ayat 65 dan seterusnya, Allah menceritakan keazaman Musa ‘alayhi al-salam untuk belajar dengan al-Khadir (sebutan yang lebih tepat (الخَضِر) ‘alayhi al-salam, hamba Allah yang mengetahui perkara yang Musa tidak tahu. Permintaan Musa itu disambut dengan kenyataan al-Khadir bahawa Musa tidak akan mampu bersabar belajar dengannya kerana apa yang akan dipelajarinya adalah sesuatu yang tidak kelihatan ‘big picture’ kepada ilmu berkenaan, apabila ia diungkap sebagai

(وَكَيفَ تَصبِرُ عَلىٰ ما لَم تُحِط بِهِ خُبرًا)

“Dan mana mungkin engkau bersabar dengan apa yang engkau tidak mengetahuinya secara menyeluruh?”

Sifat pengetahuan al-Khadir yang akan mencabar kesabaran Musa itu mengingatkan kita kepada cabaran masa kini tentang payahnya untuk kita hari ini menyabarkan diri belajar sehingga faham dan ilmu yang difahami itu boleh berfungsi sebagai panduan hidup (رُشْدًا) kerana ilmu pengetahuan kita bersifat terjuzuk-juzuk (fragmented knowledge).

Tahu sedikit di sini dan sedikit di sana, apabila kita belajar secara tebuk-tebuk. Apatah lagi pembelajaran itu adalah mengikut apa yang kita mahu tahu melalui media sosial, video pendek-pendek 15 saat, 1 minit, 3 minit di Tiktok, Youtube dan sebagainya.

Sedangkan untuk faham satu perkara itu secara menyeluruh, ia memerlukan kesabaran yang panjang.

Sabar yang diungkap oleh Musa ‘alayhi al-salam sebagai :

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًا

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”. (Al-Kahf 18:60)

Proses belajar secara formal dan tersusun itu memakan masa yang panjang, memerlukan susah payah, dan boleh jadi menjemukan.

Baca selanjutnya di sini:

SUMBER MOTIVASI

Mengapa Musa mempunyai keazaman dan motivasi yang tinggi untuk melakukan perjalanan mencari ilmu itu?

Kita tidak tahu secara nyata.

Cuma, sains pembelajaran membuktikan bahawa sumber besar kepada motivasi manusia melakukan sesuatu ialah apabila individu berkenaan mempunyai ‘personal goal’. Tujuan yang datang daripada dalam dirinya (intrinsik), daripada kepercayaannya.

Bukan tujuan yang dibuat oleh orang lain dan dikenakan ke atasnya.

Elemen ini adalah elemen yang sudah kita bimbangkan semenjak sebelum pandemik lagi. Bahawa ‘ownership’ pelajar di dalam sistem pendidikan kita adalah rendah kerana rekabentuk pembelajaran kita amat essentialistic. Yakni, pihak atasan dan kemudiannya sekolah iaitu guru menentukan apa yang murid kena belajar. Manakala keperluan murid, apa yang difikirkannya, apa yang dimahukannya, tidak diambil kira berdasarkan rekabentuk pembelajaran itu sendiri.

Apabila lebih 60 ribu murid ponteng sekolah, kita mengambilnya sebagai indikator bahawa ramai yang mendapati pengalaman persekolahan adalah kurang bermakna, lagi membosankan, tidak dapat mengekalkan mereka untuk berada di sekolah.

Tetapi di era pra pandemik, kita ada undang-undang, dinding kelas, bangunan sekolah, pagar, pegawai keselamatan dan macam-macam lagi untuk mengekalkan murid berada di sekolah. Apabila berlaku bencana virus ini, semua itu hilang.

Murid perlu berusaha sendiri berada di hadapan skrin dan mengikuti pembelajaran.

Ia seumpama retak menanti belah.

Petikan program Wacana al-Quran bersama Tuan Fazrul Ismail dan al-Fadhil Ustaz Amirahman Abas bertarikh 24 Disember 2021.

Rakaman penuh boleh ditonton di sini:

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content