Seminar Ibrah Surah al-Kahf: Sebuah Rawatan Sistemik

656835151114715180_233447991

Dua tahun lalu, semasa seminar Ibrah Surah al-Kahf dilangsungkan pertama kalinya, cabaran pada masa itu bersifat agak umum. Biar pun yang hadir ke seminar itu dahulu, hanya sekitar 300 orang, namun promosi di media, membantu Surah al-Kahf dibawa ke arus perdana masyarakat. Di media sosial, selalu peringatan tentang surah al-Kahf untuk dibaca, terutamanya pada hari Jumaat, tersebar.

Namun kebelakangan ini, cabaran yang dihadapi dalam keberagamaan umat Islam di Malaysia menjadi semakin rumit.

Bukan masalah ilmu.

Bukan masalah akhlaq.

Jauh sekali masalah politik, ekonomi dan pendidikan.

Semua itu tidak dapat mengungkapkan secara menyeluruh masalah utama yang mencabar keberagamaan kita semasa kerana masalah itu bersifat rawak. Hakikat semasa, memperlihatkan masalah kita menjadi sistemik. Terkait antara satu sama lain dan membarah di dalam. Bagai api dalam sekam.

Apabila masalahnya menerbitkan asap, menyesakkan hidung yang menghidu dan mendebukan mata yang memandang, namun apinya tidak kelihatan, maka masalah itu bukan lagi masalah biasa-biasa.

Jika masalah kita dalam masalah aqidah, masalahnya bukan lagi masalah APA yang kita percayai, tetapi lebih kepada masalah BAGAIMANA kita mempercayainya. Jika masalah kita pada pendapatan, kewangan, ekonomi domestik dan negara, masalahnya bukan lagi pada masalah numerikal yang kuantitatif, tetapi masalah kualitatif. RM100 atau RM 100 juta, jumlahnya meresahkan kerana ada kualiti yang hilang daripadanya. Demikian juga masalah politik, memikirkan tentang urus tadbir negara dalam kerangka Barisan Nasional versus Pakatan Rakyat, tidak menyinarkan harapan, kerana kedua-duanya berkrisis pada nilai yang didukung.

Fizikal, intelektual, emosional, sosial, malah kepercayaan dan iman, segalanya menjadi materialistik. Hilang nilai spiritualnya. Terputus dari Tuhan.

Beragama semakin beragama tanpa bertuhan.

Dua hari Seminar Ibrah Surah al-Kahf berlangsung hujung minggu ini, saya menyampaikannya antara gementar dan berharap. Semoga perkongsian 13 jam pada mengupas empat kisah di dalam surah al-Kahf, membantu semua yang hadir bertadabbur dengan senjata Nabawi pembenteng diri daripada fitnah Dajjal ini, ameen.

Peserta dan saya selaku penyampai, turut rasa bertuah apabila seminar ini dihadiri sepenuhnya oleh murabbi Ibrah al-Quran kita di radio IKIM, Ustaz Syaari Abdul Rahman, serta guru al-Quran kita semenjak era Mari Mengaji, Ustaz Haji Zamri Zainuldin. Ustaz Zamri juga pengarang buku Memahami Keindahan Surah al-Kahf, terbitan Telaga Biru.

Dan moga Allah ampunkan kekurangan serta kesilapan saya sepanjang menyampaikan pengisian.

Berikut adalah beberapa artikel yang pernah saya tulis berkaitan isi kandungan seminar ini:

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Meninjau Eropah: Beragama Tanpa Tuhan

“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama”, itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang …

4 comments

  1. assalamu’alaikum wrt

    jazakallahhu khayran katheera atas pencerahan demi pencerahan ustaz dalam seminar. moga Allah melimpahkan keberkatan atas segala usaha ustaz dan pihak penganjur, serta melimpahkan lagi ilmu dan hikmah-Nya. ameen.

    mohon maaf kalau saya bertanya, untuk memperbetul semula kefahaman saya. ustaz, kalau boleh saya minta ustaz untuk mendefinisikan semula makna ‘materialistik’ mengikut konteks ayat ini?

    “fizikal, intelektual, emosional, sosial, malah kepercayaan dan iman, segalanya menjadi ‘materialistik’. hilang nilai spiritualnya. terputus dari Tuhan.”

    kalau boleh diberikan contoh yang ringkas dan nyata (real), bagaimana yang dikatakan fizikal yang ‘materialistik’? emosional yang ‘materialistik’? adakah materialistik ini, menunjukkan sesuatu yang diukur atas dasar kuantitinya, atau bagaimana?

    terima kasih.

  2. Assalamualaikum ustaz,
    jazakillahu khairan katheera dengan pencerahan dan penjelas ustaz di seminar alkahf.
    Subhanallah, ia memberikan satu perspektif baru buat saya dalam memahami al Quran, dan juga masalah yang berada di Malaysia sekarang.
    Di sini saya ingin bantuan ustaz, buku sejarah yang mana yang bagus untuk di baca dan di gunakan dalam memahami lagi mengenai Islam dan kebangkitannya supaya saya/kami boleh mengambil, mengetahui dan mengaplikasikan penambahbaikan yang boleh di buat untuk zaman ini dalam membentuk UA?..
    Respon ustaz amat saya hargai…

    Syukran

  3. Alhamdulillah.
    Perkongsian Ustaz banyak membuatkan saya berfikir dan meluaskan sudut pandang, melihat sesuatu perkara dengan pandangan dari pelbagai perspektif.

    Pemahaman saya tentang beberapa ayat:
    82: Allah yg bagi ilham/idea kepada manusia, bukan kerana bijak semata-mata. Sentiasa ingat apa yg baik itu daripada Allah, jangan berbangga diri & sombong terhadap orang lain. Ingatlah setiap perbuatan berilmu/bertaqwa, ada tujuan & hikmah disebaliknya.

    84: Keberkatan seorang pemimpin yg diangkat/dilantik, Allah akan tunjukkan jalan/cara kepadanya & membantunya untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

    88: Apabila seseorang itu beriman, dia banyak buat ibadah (tanggungjawabnya kepada Allah) & kebajikan (kepada manusia lain), Allah telah janjikan pahala & tak perlu risau pandangan manusia. Allah akan memimpinnya dengan taufikNYA untuk melaksanakan sesuatu kebaikan di dunia, menjalankan peranan sebagai khalifahNYA.

    Jika ada kekurangan, mohon ditegur & diperbetulkan. Wallahu’alam.

  4. Assalamualaikum wrt.

    sebenarnya ada banyak lagi yang ana mahu tekuni daripada surah al-Kahf, harap sangat sekiranya ana dapat bertamu ke rumah ustaz, boleh bincangkan lagi apa-apa yang berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share