Tahun-tahun Yang Menipu

keterbalikan

“Susahnya hendak membuat pendirian sekarang ini” keluh seorang kawan.

“Semua benda macam ada berlapis-lapis maklumat hingga tidak pasti mana yang betul mana yang salah” tambah seorang lagi.

Mereka berdua tidak sendirian.

Ia bukan keluhan pinggiran.

Ia menjadi apa yang dirasakan ramai. Malah ia bukan sekadar rasa. Ia kenyataan.

Mengapa susah sangat hendak memahami mana yang betul, mana yang salah? Jika di suatu ketika kesusahan ini berpunca daripada kekurangan maklumat, kini kesusahan yang sama diakibatkan oleh maklumat yang berlambak. Terlalu berlambak. Tambah-tambah pula hal politik, hal ekonomi. Kalau lemah stamina untuk mencantum kepingan puzzle, mungkin jawapan akhirnya ialah, “arghh. Sama sahaja semuanya!”

Mana mungkin sama.

41_34“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan” [Fussilat 41: 34]

Kalau semua sama, itu bahasa putus asa.

Putus asa dibenci Allah dengan penuh murka.

Sesungguhnya kita sedang hidup di era tahun-tahun yang menipu. Penipuan yang tidak dapat ditunjuk siapa penipunya. Yang jelas, mangsa penipuan itu kita semua. Kecelaruan ini bukan kecelaruan main-main. Ia ujian Allah untuk umat akhir zaman. Renungi pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Segalanya jadi terbalik.

Orang yang bercakap benar dianggap pendusta.

Orang yang berdusta dianggap berkata benar.

Orang yang khianat dianggap amanah.

Orang yang amanah, dikhianati.

Semua jadi terbalik.

Kalau boleh, mahu sahaja saya sarankan satu kaedah mudah iaitu apa sahaja yang diwar-warkan oleh media, carilah yang sebaliknya. Kebenaran ada di situ! Tetapi saya tidak boleh memandu hidup semudah itu. Kita perlu kembali kepada kaedah. Cari panduan. Namun isunya ialah panduan siapa?

Jika SIAPA yang jadi kaedah, siapa itu adalah lubuk masalah.

“…dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.”

Ketika kita dahagakan bimbingan, yang rancak membimbing adalah al-Ruwaibidhah.

Al-Ruwaibidhah ini, para sahabat juga tidak arif mengenainya. Mereka meminta penjelasan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menggelar mereka sebagai AL-SAFEEH, si bodoh. AL-SAFEEH ini juga bukan sekadar orang bodoh, tetapi si bodoh yang tidak malu untuk menzahirkan kebodohannya melalui apa yang diucapkan. AL-SAFEEH inilah yang memberi penjelasan, penerangan, huraian, agar manusia dapat membezakan antara yang dusta dan benar, antara yang khianat dan amanah, antara yang batil dengan yang hak.

Lalu dengan kebodohannya yang tersebar dalam kepetahan, semakin bingunglah masyarakat. Semakin tertipulah orang ramai dalam tahun-tahun yang menipu ini.

PENYELESAIAN

Saya tiada jawapan mudah.

Oleh kerana tahun-tahun yang menipu ini adalah muqaddimah era Dajjal, maka kita perlu kembali kepada benteng yang dibekalkan oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Kita perlu membaca, meneliti, menghayati dan mengangkat tinggi SUNTIKAN IMUNISASI diri yang wujud di dalam SURAH AL-KAHF.

surahalkahf.001

Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools’ untuk menghasilkan tiga perkara:

  • (تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
  • (تصحيح منهج النظر و الفكر) Membetulkan metod memerhati dan berfikir (Pandangan Hidup)
  • (تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)

Justeru, semaklah perkara-perkara berikut:

  • Apakah yang engkau percaya, dan bagaimanakah cara engkau mempercayainya?
  • Bagaimanakah cara engkau memerhatikan sesuatu kejadian dan memikirkannya? Apakah pandangan hidup kamu sesuai dengan siapa kamu, siapa Allah dan apa makna kehidupan ini?
  • Apakah nilai yang engkau pegang dalam hidup ini? Adakah apa yang penting di sisi Allah, penting dalam hidupmu? Apakah apa yang engkau sanggup lakukan, ia sebenar-benarnya ada harga di sisi Allah?

Untuk menjawab soalan itu, jawapannya tidak perlu dikongsi dengan orang lain.

Tanyalah diri masing-masing, adakah aku mangsa, adakah aku pemangsa, adakah aku al-Ruwaibidhah itu, atau adakah aku calon Dajjal yang maha menyesatkan itu?

Lindungilah kami dan zuriat kami di era fitnah ini ya Allah.

“اللهم أرنا الحق حقاً، وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً، وارزقنا اجتنابه، ولا تجعله ملتبساً علينا فنضل،

واجعلنا للمتقين إماما

“Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai benar dan kurniakan rezeki untuk kami mengikutnya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai batil dan rezekikanlah kami untuk menjauhkan diri daripadanya. Jangan jadikan ia keliru terhadap kami hingga kami tersesat…

“… dan jadikanlah kami ikutan orang-orang yang bertaqwa” [Al-Furqan 25: 74]

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

 

Check Also

Meninjau Eropah: Beragama Tanpa Tuhan

“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama”, itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang …

3 comments

  1. assalamualaikum ustaz. betul ke ayat terakhir yg ustaz tulis tu dari surah al-Furqan 25 : 74?? sebab yang saya semak dan jumpa adalah ayat ni;
    وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
    Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang- orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

    maaf sekiranya bertanya. hanya sekadar meminta penjelasan. atau mungkin ustaz punya maksud tersirat yg tersendiri?

    • Saudara haryz,

      Yang merupakan sebahagian daripada ayat tersebut hanyalah potongan di akhirnya
      “وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً”

      Yang ini
      اللهم أرنا الحق حقاً، وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً، وارزقنا اجتنابه، ولا تجعله ملتبساً علينا فنضل،
      pula,
      adalah doa lain yang tersendiri, bukan sebahagian daripada ayat Surah al-Furqan itu.

  2. Assalammualaikum. Terima kasih sebab share topik ni…di akhir zaman kita sepatutnya lebih mendekatkan diri padaNya tp sering kali kita terleka dan alpa. Baru semalam sy mendengar sedikit perkongsian mengenai fitnah dajjal. Teruskan usaha menyebarkan dakwah. Syukran ustaz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share