Kita masih belum ‘selesai’ berbicara tentang Syiah.
Tumpuan beralih pula kepada Anti Hadith.
Isu demi isu, yang muncul dan menjadi perdebatan masyarakat, sepatutnya sudah cukup menyedarkan kita bahawa ada sebab, mengapa perintah Allah yang pertama bukan “berimanlah!”, bukan “sujudlah” dan bukan juga “sembahyanglah!”
Perintah Allah yang pertama adalah “Bacalah!” [Al-‘Alaq 96 : 1]
Ia adalah langkah pertama untuk menjadi manusia beragama. Bertuhan dalam kehidupan. Apa yang menjadi tunggak penting dalam agama ini adalah ILMU. Bukan beragama secara membuta tuli. Bukan sekadar ikut-ikutan.
“Beradalah dalam keadaan berilmu bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah” [Muhammad 47: 19]
Selagi kita disibukkan bukan dengan ilmu, kita akan disibukkan dengan isu.
Sekadar isu. Datang dan pergi, seperti tidak punya apa-apa implikasi dan makna.
Berilmu pula, kelihatannya kebanyakan masalah yang mencabar keberagamaan kita adalah masalah-masalah yang berbentuk inter-disiplin. Dalam erti kata yang lain, ia membabitkan pelbagai disiplin ilmu. Kepakaran dalam satu ilmu mungkin tidak cukup untuk memberikan reaksi yang setimpal terhadap isu yang mendatang. Apatah lagi dengan mengabai dan menafikan ilmu-ilmu selain satu ilmu yang dikuasai itu.
ANTI HADITH
Anti hadith kelihatannya seperti isu dalam tema ilmu Hadith.
Namun hakikatnya, ia adalah permasalahan yang perlu lebih mencapah daripada sekadar ilmu Hadith.
Ia adalah permasalahan yang membabitkan disiplin sejarah, juga falsafah, malah juga psikologi dan sosiologi.
Justeru, menjawab permasalahan Anti Hadith hanya dengan ilmu Hadith, jawapan yang diberi mungkin hanya dapat menjelaskan isu berkenaan kepada yang mengimani Hadith sebagaimana yang sepatutnya. Ada pun yang menolak Hadith, atau sudah pun cemas dalam pegangannya terhadap Hadith, jawapan ilmu Hadith kepada isu-isu anti Hadith ada kelompangan yang fatal.
Anti Hadith lebih besar daripada Dr. Kassim Ahmad.
Melihat keperluan menangani isu ini sekadar untuk menangani Dr. Kassim Ahmad, adalah pandangan yang tidak tepat. Bukan hanya Dr. Kassim Ahmad yang berpegang dengan idea ‘semakan semula terhadap Hadith’ ini, di Malaysia. Malah generasi berikutnya yang lebih muda, lebih dinamik, dan tiada rekod sosialis atau UMNO, wujud dan aktif di negara kita.
Nama-nama seperti A. Farouq Peru yang aktif dalam kegiatan Quranist, merupakan pensyarah di King’s College London, adalah di antara tenaga muda yang giat mewacanakan idea-idea ‘Anti Hadith’ pada fasa semasa.
Justeru, menganggap isu ini sudah selesai dengan terjawabnya segala permasalahan pada era 1980’an, akan menyebabkan semua mata tertumpu kepada Dr. Kassim Ahmad, ketika mana masyarakat berwacana dan beraktiviti dengan pihak yang lain.
Soal penguatkuasaan, menjadi tanggungjawab penguatkuasa untuk menentukan sikap dan tindakan mereka.
Soal orang politik mahu pangkah memangkah dengan soalan “mana dia” dan “mengapa dia”, biarlah orang politik meneruskan agenda masing-masing yang kita doakan tinggi manfaat dari mudaratnya.
Ada pun bagi kita selaku anggota masyarakat, masalah ini memerlukan kepada asas yang sama iaitu ILMU.
MENYEMAK ASAS ILMU
Secara jujur, saya sendiri berasa kerdil dalam menanggapi isu ini. Satu dua artikel yang saya tulis sebelum ini, tidak menyentuh topik yang diwacanakan oleh golongan Anti Hadith. Sebaliknya saya berusaha untuk memahami, apa yang menjadi latar belakang munculnya golongan ini, agar ada teladan yang boleh saya sempadani.
Saya sudah belajar tentang ilmu Hadith, semenjak di bangku universiti. Pembelajaran itu membabitkan sebuah sistem yang amat kompleks pada meneliti kualiti kesahihan sebuah riwayat sehingga kebenarannya teguh untuk diterima sebagai rujukan. Apabila saya kenang kembali, ada benarnya bahawa sejarah terbentuknya ilmu Hadith sama ada secara dirayah atau riwayah, tidak diperkatakan secara mendalam. Tumpuan diberikan banyak kepada aplikasi ilmu berkenaan, mengenali klasifikasi-klasifikasi Hadith serta kaedah berinteraksi dengannya. Dan apabilaHadith disanggah kedudukannya sebagai hujah, kerana mempertikaikan hal-hal yang berlaku di dalam sejarah perkembangan ilmu Hadith, bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk para agamawan sulit hendak bertindak.
Coretan Semasa Umrah Jun lalu
Pembelajaran Hadith ini juga berkait rapat dengan satu lagi subjek, iaitu Aqidah II. Di dalam subjek ini, pelajar dikehendaki mempelajari tentang satu sahaja topik iaitu Nubuwwah (Kenabian / Prophethood) tetapi mencakupi konsep Nubuwwah di dalam Islam, Kristian, Yahudi dan idea Nubuwwah di dalam Falsafah Barat.
Ramai pelajar Syariah kebosanan semasa mempelajari subjek ini. Salah satu puncanya, subjek ini berbentuk analisis kualitatif dan bukannya diuji di dalam peperiksaan ala-ala Alif Ba Jim Dal (ABCD).
Saya masih ingat, semasa peperiksaan akhir, soalan berkaitan subjek ini berbunyi, “setelah kamu mempelajari konsep Kenabian di dalam agama Islam, Kristian, Yahudi dan Falsafah Barat, terangkan, bagaimanakah konsep Kenabian dalam agama Yahudi mempengaruhi perkembangan semasa yang berlaku di Palestin”
Tidak sedikit pelajar yang termenung.
Saya juga mengambil masa yang lebih untuk menjelaskan di minda, apakah kehendak soalan ini.
Salah satu kekurangan yang ada semasa subjek ini kami pelajari (1996), kami tidak tahu apa kepentingannya pada masa hadapan, dan bagaimana banyak aspek kesarjanaan Islam berdiri di atas dasar-dasar Nubuwwah yang dibincangkan semasa itu. Rupa-rupanya topik Nubuwwah ini amat mendasar.
Dan apabila isu Anti Hadith muncul, kedudukan Nubuwwah dalam menanggap Sejarah, mula bergegar.
Anti Hadith, adalah istilah kepada pemikiran ‘tersebut’ apabila ia diungkapkan pada lisan kita kaum mukmin yang beriman dan beramal dengannya. Di dalam istilah yang lebih ‘neutral’ ia adalah satu topik yang cuba membincangkan Hadith dengan nada ‘objektif’ dengan menggunakan metod ahli sejarah moden dalam mengkaji tradisi agama. Ertinya, Hadith dikaji sebagai topik sejarah, bukan topik Hadith.
Maka dalam membicarakan tentang Hadith dalam kerangka ini, ia tiada nilai Nubuwwah!
Mempelajari Hadith secara ‘sekular’ seperti ini, boleh menatijahkan satu antara dua. Sama ada secara positifnya ia meluaskan pemahaman kita tentang asal usul Islam serta dasar yang menjadi akar bercabangnya keseluruhan daerah ilmu Islam, atau pun secara negatifnya, ia menjadi dominasi satu pandangan alam ke atas satu pandangan alam yang lain.
Natijah kedua ini sudah tentu akan berantakan kerana Hadith dipelajari dengan pandangan alam (Weltanschauung) dan epistemologi tsaqafah (Wissenschaftslehre) yang berbeza, malah bertentangan.
Muslim bukan hanya pada ritual yang nampak di mata (digambarkan sebagai tip of the iceberg dalam gambarajah di atas).
Perbuatan seseorang sebenarnya menterjemahkan software di dalam dirinya. Dan sebagai Muslim, software itu mestilah Islam. Justeru, sistem kepercayaannya, sistem berfikir dan memerhati serta sistem nilai, mestilah versinya versi Islam. Jika di puncak iceberg itu ada ketayap dan tudung, malah dibawa ke sejadah untuk bersujud, tetapi sistem-sistem dalamannya tidak dibentuk dengan sistem Islam, maka dengan pantas, gangguan-gangguan boleh mengubahnya menjadi jahiliah.
Apabila kita sebagai umat Islam mengimani Nubuwwah sebagai satu daripada fondisi sistem kepercayaan kita, keimanan itu membentuk satu setting yang khusus dalam kritikan Hadith di kalangan umat Islam. Biar pun ada aliran di dalam hadith yang berpendapat bahawa asal muslim itu adil hingga ada dalil yang menafikannya (madrasah mutasahilin) dan ada yang berpendapat keadilan seorang muslim itu mesti berdalil dan bukannya secara default (madrasah mutasyaddidin), apa yang pasti, SKEPTICISM bukan dasarnya.
TRADISI EROPAH TERHADAP TEKS SEJARAH
Ini berbeza dengan Historical Critical Method (HCM) oleh sarjana Barat yang terbit dari Renaissance Humanism, khususnya di Jerman pada kurun ke-18 dan 19.
Eropah mempunyai pengalaman yang berbeza dengan agama. Sejarah yang panjang antara sarjana dengan geraja sangat mempengaruhi apa yang difahami dan dipegang tentang Tuhan, Nabi dan Kenabian, Wahyu, dan hidup ini secara keseluruhannya.
Kerana itu, tidak sulit untuk kita memahami, mengapa Max Weber (1864-1920) sebagai seorang ahli sosiologi berpendapat bahawa para pengasas agama bukanlah pihak yang bertanggungjawab untuk memformulasikan ajaran mereka. Sebaliknya ia dirumus oleh generasi terkemudian untuk membentuk otoriti agama pengasas tersebut dalam bentuk yang berinstitusi. Ia adalah satu analisis yang pembolehubahnya adalah agama Yahudi dan Kristian. Manakala Islam, andai diheret sama untuk dianalisis sedemikian rupa, ia memulakan sengketa.
Ertinya, Islam sebagaimana ia sekarang, yang ada al-Quran, al-Sunnah, Ijma’, Qiyas, Mufti, Fatwa, Ulama, Qadhi apatah lagi pejabat agama dan yang seumpama dengannya, bukanlah Islam seperti Islam di zaman hanya ada Muhammad (sallallahu alayhi wa sallam), al-Quran dan sahabat. Islam hari ini adalah Islam rekaan Ulama. Bukan Islam sebagaimana yang Muhammad (sallallahu alayhi wa sallam) tahu dan mahu. Sebagaimana Kristian hari ini bukan Kristian Nabi Isa, sebaliknya Jesus St. Paul dan paderi-paderi yang seterusnya… andai kerangka Max Weber ini kita guna.
Justeru, cara ‘Barat’ berinteraksi dengan Hadith, adalah sama dengan cara mereka berinteraksi dengan mana-mana teks sejarah. Tiada kekudusan. Tiada kemaksuman. Apa yang ada adalah satu analisis yang ‘neutral’. Ia dirumuskan oleh Prof Jonathan A C Brown sebagai:
- Meragui keabsahan dan keboleh percayaan teks-teks sejarah.
- Mencurigai naratif ortodoks yang terdapat di dalam teks berkenaan.
- Pensabitan boleh terhasil apabila sarjana yang menganalisa sumber sejarah dapat menyaring antara yang sahih dan tidak sahih dengan mengenal pasti bahagian manakah di dalam satu-satu teks berfungsi memenuhi agenda-agenda tertentu di dalam sejarah.
Misal untuk menjelaskannya, seorang lagi sarjana Barat yang sangat terkenal di dalam topik ‘Anti Hadith’ ini iaitu Ignaz Goldziher (1850 – 1921). Beliau mengatakan bahawa hadith yang menyebut tentang keutaman Mekah, Madinah dan al-Aqsa merupakan hadith rekaan yang sengaja disebarkan untuk mempromosikan destinasi haji alternatif dari Mekah, kepada al-Aqsa yang ketika itu berada di bawah pentadbiran Kerajaan Umawi! Hal ini, menurut Goldziher, dapat dilakukan kerana Bani Umayyah sebelum itu telah membiayai projek pengumpulan Hadith. Al-Zuhri yang penting dalam proses ini, merupakan seorang penyokong kuat Bani Umayyah dan menjadi guru kepada putera raja Bani Umayyah serta hakim negara.
Malah, al-Zuhri menurut Goldziher, memakai pakaian seragam tentera Umawi!
Skeptis yang tinggi oleh Goldziher membawa beliau kepada membuat analisa yang menyalahi kesarjanaannya sendiri. Semasa beliau membincangkan tentang perbuatan Ulama memalsukan Hadith kerana kepentingan politik di era Abbasi, Goldziher telah mendatangkan kes Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha’i. Ghiyath telah mencipta Hadith kononnya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam mengharuskan perbuatan berlaga burung merpati untuk tujuan pertandingan. Hadith itu direka kerana Ghiyath mahu mendapat habuan upah kerana beliau tahu yang Khalifah al-Mahdi menggemari aktiviti tersebut.
Goldziher membuat kesimpulan bahawa walaupun Khalifah al-Mahdi mendapat tahu tentang pembohongan tersebut, itulah kes yang membuktikan betapa Ulama istana sanggup untuk mereka-reka Hadith palsu untuk mencapai motif masing-masing!
Sedangkan, dalam sistem ilmu Hadith umat Islam, kisah ini adalah kisah yang dijadikan contoh pada menunjukkan kecelaan perbuatan mencipta Hadith palsu, dan bagaimana ilmu Hadith yang begitu sistematik dapat mengesan serta mendedahkannya. Goldziher pula, menjadikan cerita itu untuk membuktikan Ulama Islam mencipta hadith secara palsu.
Seumpama penanam pisang menunjukkan contoh pisang busuk, Goldziher membuat kesimpulan bahawa pisang adalah buah yang busuk!
Akan tetapi, Ignaz Goldziger kelahiran Hungary itu adalah Yahudi.
Tidak mengapa seorang Yahudi itu begitu skeptis dengan Islam hingga membuat analisis yang begitu ekstrim. Bukan hanya ekstrim kepada kita, tetapi ekstrim di pandangan sarjana-sarjana terkemudian yang menyemak hasil kerjanya yang banyak itu.
MENGAPA KITA MENJAMAH METODE MEREKA?
Tetapi mengapa idea-idea ‘Anti Hadith’ oleh Goldziher, dan kemudiannya juga Joseph Schacht (1902 – 1969), dijamah oleh seorang Muslim?
Itu yang cuba saya fahami dalam dua artikel sebelum ini iaitu PEMIKIRAN SKEPTIS DALAM BERAGAMA dan MUSLIM SKEPTIS: MENGAPA MANGSA JADI PEMANGSA?
Rashad Khalifa (1935-1990) adalah tokoh yang mempopularkan idea ‘Anti Hadith’ ini melalui gerakan Submission beliau di Amerika Syarikat. Apakah yang menjadi punca, idea-ideanya begitu sinonim dengan Ignaz Goldziher? Secara jujurnya, saya tidaklah mengkaji dengan mendalam akan hal ini. Hanya mengetahuinya sebagai seorang orang biasa yang membaca. Namun ia tidak menghalang saya daripada bertanya, apakah kerana latar belakang bapa dan keluarga Rashad Khalifa yang begitu kuat tradisi Sufi tradisionalisnya, Rashad Khalifa memberontak?
Beliau dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Kafr El-Zayat di Mesir pada tahun 1935. Bapa beliau adalah pemimpin kepada Tarekat Ar-Rashad Al-Shathlya, sebuah tarekat besar dengan ribuan pengikut, dan beliau namakan bersempena dengan nama anaknya, Rashad.
Rashad Khalifa dan golongan ‘Anti Hadith’ sering menggambarkan Ulama sebagai perosak agama Islam sebagaimana paderi merosakkan agama Kristian sering disebut sebagai mengagung-agungkan Muhammad, serta menggunakan otoriti Ulama untuk mendesak penerimaan satu-satu pendapat agama. Dakwaan ini datang daripada pemerhatian, dan apa yang mungkin Rashad Khalifa perhatikan berkemungkinan dipengaruhi oleh amalan dalam tradisi Sufi, di mana elemen-elemen ini sangat mendasar lagi ketara.
Keperluan untuk mencari jawapan kepada hal ini, adalah untuk membantu kita memahami jalur penghubung intelektual yang menemukan seorang Muslim, dengan idea-idea Kritikan Sejarah Barat.
MOTIF TEMPATAN
Ada pun Dr. Kassim Ahmad merupakan seorang sarjana dalam bidang politik dan pengajian Melayu, saya tertanya-tanya apakah idea yang beliau bawa di dalam isu ‘Anti Hadith’ ini merupakan sebuah idea asli daripada kajian beliau yang mendalam, atau memakai sahaja idea-idea sedia ada yang dibawa oleh Rashad Khalifa malah yang terdahulu laginya Ignaz Goldziher?
Lebih menghairankan saya, mengapakah idea ‘Muhammad terlalu diagung-agungkan’, ‘rambut wanita bukan aurat’, dan ‘hadith bukan sumber Islam’ dibincangkan dalam kerangka ‘HALA TUJU NEGARA 30 TAHUN AKAN DATANG?” Apa kena mengenanya semua itu dengan pembangunan negara? Kajian manakah yang menunjukkan jika wanita bertudung rambut mereka akan busuk dan negara menjadi mundur? Dan mengapa Tun Mahathir beriya-iya menyokong Dr. Kassim Ahmad dan menggunakan bahasa ‘play victim‘ bahawa mereka berdua senasib, mangsa label, sedangkan rakyat sebenarnya tertanya-tanya, “apa yang kamu mahu?”
Apa penyataan masalah (problem statement) kepada idea ‘Anti Hadith’ Dr. Kassim Ahmad apabila ia dikaitkan dengan hala tuju negara 30 tahun akan datang?
Apa objektif yang hendak dicapai?
Apa literatur dan metode yang dipakai?
Apa dapatan yang hendak diketengahkan?
Dan apa yang lebih utama, apa kepentingannya?
Persoalan-persoalan ini menjadikan isu ‘Anti Hadith’ semacam tidak berbaloi untuk didebatkan dalam kerangka Dr. Kassim Ahmad. Tetapi memandangkan isu ‘Anti Hadith’ dan idea-idea golongan Quranist adalah lebih besar daripada beliau, dan cergas mengisi wacana intelektual urban semasa di negara ini, saya kira ada kewajarannya hal ini terus dibincangkan. Kirakan saya sebagai salah seorang pelajarnya. Bukan calon pendebat seperti yang diusulkan di sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Saya juga tertarik dengan sanggahan Claire Khaw yang mahu mengenengahkan gagasan Secular Koranism. Beliau menegur A. Farouq Peru apabila golongan ‘Anti Hadith’ membicarakan soal halalnya homoseksualiti kerana al-Quran tidak mengharamkannya, hanya Hadith yang begitu, juga topik seperti boleh bela anjing atau tidak, rambut wanita aurat atau tidak, yang kesemua itu menjadikan idea ‘Anti Hadith’ atau Quranism sukar diterima oleh Muslim Orthodoks (seperti kita)!
Ia persoalan yang valid, walaupun yang bertanya bukan Secular Koranist lagi atheist seperti Claire Khaw.
Apa sebenarnya yang mahu diperjuangkan oleh golongan ‘Anti Hadith’ ini?
Dan sebenarnya (kerana saya tidak mengenali mereka), adakah golongan ‘Anti Hadith’ ini dalam hidup mereka merupakan seorang yang kuat beragama (religious) dengan versi al-Quran, atau debat ‘Anti Hadith’ ini hanya wisata intelektual semata?
INTER DISIPLIN
Apa yang penting, topik ‘Anti Hadith’ ini adalah topik inter disiplin. Ia memerlukan kerjasama ilmuwan dari pelbagai bidang untuk saling kukuh mengukuhkan. Alangkah berbezanya landskap kita hari ini, jika saranan Yusuf al-Qaradhawi pada tahun 1978 melalui bukunya Tsaqafah al-Da’iyah kita ambil secara serius. Al-Qaradhawi menyenaraikan 6 kategori ilmu yang mesti dikuasai oleh para pendakwah agar mereka dapat berfungsi dengan baik di medan.
6 kategori ilmu itu ialah:
- Ilmu-ilmu Islam : Al-Quran, al-Sunnah, Fiqh, Usul Fiqh, Tasawwuf dan sistem-sistem Islam.
- Ilmu Sejarah
- Ilmu Kemanusiaan: Psikologi, Sosiologi, Ekonomi, Falsafah, Etika dan Sejarah (diasingkan dalam satu bab khas).
- Ilmu Kesusasteraan dan Bahasa
- Ilmu Sains
- Ilmu Kajian Semasa (Current Affairs)
Masyarakat perlu disibukkan dengan mencari ilmu, belajar, menambah pengetahuan, dan menjauhi polemik politik kepartian sebagai cermin mata semua isu semasa.
Ia juga bukan isu klasik.
‘Anti Hadith’ adalah isu ISLAM DAN MODERNISME. Maka literatur ilmuwan kita mesti menyeluruh untuk menggarap persoalan ini dengan baik.
Ignaz Goldziher al-Majari itu hanya setahun menuntut ilmu dan bertalaqqi di al-Azhar (1873 – 1874). Dia menjadi bapa besar dalam mempelopori aliran ‘Anti Hadith’ sehingga kini. Justeru mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam yang tidak bersungguh dalam pengajian masing-masing, walaupun tinggal di tanah Arab selama hayat seekor unta, ada pelajaran besar yang perlu kita insafi bersama, sebelum nasi menjadi bubur!
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Tertarik dengancerita dalam “hadith” tentang “burung”
assalamualaikum ustaz,
Mohon bertanya ya. Saya merupakan seorang pelajar. Bila saya banyak membaca buku, saya jadi terfikir; membaca itu sepatutnya membuka minda, bukan sekadar memberi informasi. Tetapi, adakah ruang ilmu hanya berkisar dengan apa yang terdapat di dalam buku sahaja? Jika seseorang muslim bertanggungjawab untuk meneroka ilmu, bagaimana sekiranya seseorang itu bukan berkerjaya dalam bidang akademik, dan tidak mempunyai keupayaan berfikir yang tinggi?
Terima kasih ustaz sebab sudi berkongsi idea. I really do admire your way of thinking and from most of your articles, I really feel the responsibility to do what I supposed to do as a muslim. I am thankful for everything you have shared with us. I really appreciate it. And thank you so very much.
Waalaikum al-salaam wbt. Terima kasih kerana sudi bertandang ke blog saya. Kemahiran berfikir yang tinggi, biar pun dalam keseluruhan hidup ini, ia adalah alat, tetapi ia bukanlah alat yang plug and play. Ia adalah hasil proses yang panjang. Cadangan saya ialah, banyakkan membaca. Jangan baca sekadar buku atau artikel yang kita selesa dan faham, cabar diri untuk sedikit demi sedikit baca bahan yang tinggi sedikit. Inshaallah dengannya kualiti membaca, memahami dan memproses maklumat kita akan sentiasa dalam momentum peningkatan. Sama-sama kita berusaha. Salam ukhuwwah.
Salam utk semua,
Allah SWT tdk akan melaknati org2 yg mengkaji, mempertahankan dan mempertinggikan kitab Al-Quran, malah mereka ini adalah manusia pilihan yg akan masuk syurga tanpa dihisab (35:32). Tetapi Allah SWT akan melaknati dan membawa azab yg pedih lagi menghina kepada sesiapa yg memperlekehkan AL-Quran dan mengadakan kitab2 baru utk bertanding dgn Al-Quran (34:38), kononnya Al-Quran itu tdk lengkap dan memerlukan kpd kitab2 lain. Kitab2 lain yg kononnya berfungsi utk menjelaskan ayat2 Al-Quran inilah yg tlh menjauhkan umat Islam dari Al-Quran sehingga Al-Quran dijadikan barang perhiasan sahaja dan bukan lagi sumber ilmu yg maha agung.
Inilah kejayaan yg amat besar bagi yahudi dan nasrani sbb bukan sahaja tlh berjaya menjauhkan umat Islam dari Al-Quran malah berjaya mmbuatkan umat Islam berpecah-belah dan bersengketa sesama sendiri. Al-Quran adalah satu khazanah ilmu yg maha hebat lagi agung. cubalah baca blog2 yg mgkaji Al-Quran seperti harunyahya.com atau http://kajian-quran.blogspot.com/ dan sbgnya. Lihat dan kajilah sendiri akan kehebatan Al-Quran yang amat digeruni oleh semua musuh-musuh Islam.
Lihatlah bagaimana Al-Quran menjelaskan E=MC2, menjelaskan ilmu wireless communication, artificial intelligence, knowledge representations, centripetal force, piezoelectric, subliminal dan subconscious, dan sebagainya. Sekiranya umat Islam kembali kepada Al-Quran maka mereka akan menjadi umat terbaik “khaira ummatin”, dan inilah yg digeruni oleh yahudi dan nasrani!
Salam, boleh berikan potongan ayat yang dikatakan menjelaskan e=mc2, wireless communication,AI.. Sangat menghargai perkongsian ilmu, kerana saya terasa sangat ‘wow’ apabila terbaca post saudara/saudari..
Membaca penulisan-penulisan blog penulis buku “Malaysia and The Club of Doom”, tidak dapat tidak saya bersetuju dengan kenyataan: ‘Anti Hadith’ adalah isu ISLAM DAN MODERNISME.
Keadaan negara-negara umat Islam beliau lihat sebagai terlalu ‘keakhiratan’. Akibatnya ummah ketinggalan dari menjadi peneraju teknologi dan pengurusan keduniaan, bukan sahaja dari segi kebendaan, malah nilai kemanusiaan.
Salam.
Di dalam sebuah video di Youtube, saudara SaifulIslam mengatakan bahawa gerakan anti-Hadis menolak hadis kerana mahu membenarkan Homoseksual. Saudara mengatakan bahawa di dalam al-Qur’an tiada ayat yang mengharamkannya dan yang mengharamkannya adalah Hadis. Bagaimana dengan kisah Nabi Lut yang terdapat di dalam al-Qur’an ? Bukankah di situ diceritakan tentang kesalahan orang-orang yang melakukan perbuatan tersebut dan juga hukuman langsung dari Allah ?
http://youtu.be/RFMhdTDg0hM
Minit yang 20:25 <<<— penerangan saudara tentang tiada hukuman tentang Homoseksualiti di dalam al-Qur'an dan hanya ada pada Hadis.
Kisah Nabi Lut dan kaumnya yang homoseksual.
27:54. Dan Luth(Lot), apabila dia berkata kepada kaumnya, ''Apa, adakah kamu melakukan kesumbangan dengan mata-mata kamu terbuka?
27:55. Apa, adakah kamu mendatangi lelaki dengan syahwat(hawa nafsu) bukan perempuan? Tidak, kamulah kaum yang bodoh.''
27:56. Dan tidak ada jawapan kaumnya melainkan mereka berkata, ''Usirlah keluarga Luth(Lot) daripada bandar raya kamu; mereka adalah orang-orang yang membersihkan diri!''
27:57. Maka Kami menyelamatkan dia dan keluarganya, kecuali isterinya; Kami menentukan dia termasuk orang-orang yang tertinggal.
27:58. Dan Kami menghujani mereka dengan suatu hujan; dan buruknya hujan orang-orang yang diberi amaran.
Al-Quran menjelaskan keharaman perbuatan songsang kaum Lut. Tetapi al-Quran tidak menjelaskan hukuman apa yang hendak dikenakan ke atas mereka. Sama ada hudud sebat dan rejam seperti zina, atau ta’zir menurut keputusan hakim. Hal ini disebut dan dibahaskan berdasarkan hadith, bukan al-Quran
Salam.
Dengan cerita yang disampaikan di dalam al-Qur’an mengenai kaum Lut, maka bukankah ini bermakna perbuatan homoseksual ini dilarang didalam agama ? Jika ianya dilarang agama, bagaimana mereka yang mendukung al-Qur’an dan dikatakan menolak hadis, bersetuju pula dengan perbuatan homoseksual ?
Salam.
Saudara SaifulIslam membuat satu keterangan bahawa kumpulan Anti-Hadis menolak Hadis untuk menghalalkan Homoseksual, itu yang saudara sebut didalam video tersebut. Saudara tidak menyebut tentang apa hukuman yang hendak dikenakan. Satu tuduhan atau fitnah dengan mengatakan kumpulan Anti-Hadis menghalalkan Homoseksualiti kerana tiada ayat yang mengharamkannya di dalam al-Qur’an.
Bukankah cerita mengenai Kaum Lut itu jelas satu larangan terhadap perbuatan tersebut ? Malah mereka dihukum secara langsung oleh Allah atas kesalahan mereka setelah ditegur dan diminta berubah oleh Nabi Lut.
Video Youtube itu JELAS mengenai pertuduhan yang saudara lemparkan terhadap mereka yang kononnya Kumpulan Anti-Hadis, iaitu, menolak hadis untuk menghalalkan Homoseksualiti.
Salam.
Mungkin ayat ini boleh menjelaskan hukuman terhadap golongan homoseksual ?
4:15. Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan.
4:16. Dan apabila dua orang antara kamu(lelaki) melakukannya(kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya; Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima Taubat, Pengasih.
Jika ini mengenai zina, sudah tentu hukumannya ialah 100kali sebatan. Tetapi jelas kesumbangan disini bukanlah perbuatan zina antara lelaki dan perempuan, tetapi sesuatu perbuatan yang juga dianggap berat kesalahannya kerana akan ditahan(dipenjara) di rumah-rumah mereka sehingga kematian tiba ? Maka kesumbangan apakah yang perempuan lakukan hingga mendapat hukuman sebegini ? Kesumbangan antara perempuan dan perempuan ?
Pada ayat 4:16, frasa ‘kamu’ ditujukan kepada Nabi Muhammad iaitu seorang lelaki; melakukan perbuatan sumbang yang sama(lelaki dan lelaki) maka hukumlah mereka – sepertimana hukuman yang disebut pada ayat 4:15.
Apa pendapat saudara SaifulIslam ?
terukan menulis saudaraku.