Beragama Dengan Akal Yang Sihat

osmanlidevletimedresesi

Mahu makan makanan yang LAZAT, atau yang BERKHASIAT?

Dulu-dulu, hal ini tidak menjadi persoalan.

Kebanyakan makanan yang dimakan adalah lazat, dan dalam masa yang sama ia berkhasiat. Tetapi dengan munculnya makanan sampah (junk food) yang lazat, dan makanan berkhasiat yang tidak mesra lidah dan selera, kita jadi dilema.

Jika mahu makan makanan yang lazat, mudah sahaja.

Rasa, dan jika selera kata sedap, jalan!

Tetapi jika mahu makan makanan yang berkhasiat, kita perlu tahu apakah faktor yang menentukan sama ada makanan itu berkhasiat atau pun tidak.

Jika makanan yang hendak dinilai berkhasiat atau pun tidak itu adalah OUTPUT, maka sebelum ia menjadi sebuah hidangan, ia bermula daripada INPUT dan PROSES. Input ialah bahan-bahan yang diguna pakai untuk menghasilkan hidangan makanan. Manakala proses pula ialah kaedah-kaedah yang dipakai untuk memproses bahan tadi, sehingga ia masak dan sedia dimakan.

prosesmakan.002

Maklumat tentang INPUT dan PROSES itulah yang menentukan sama ada makanan itu berkhasiat atau pun tidak.

Soalannya sekarang ialah, anda yang mahu berpendapat itu, tahukah tentang input dan proses berkenaan?

Kenal rempah?

Kenal bawang?

Kenal ikan semilang dan ikan keli? Dua-dua sama bermisai. Satu hidup di air masin, satu hidup di air tawar.

Kemudian, tahukah anda mengapa ada bawang yang dihiris, ada yang dipotong dadu dan ada yang dicincang lumat? Apa bezanya antara ikan yang digoreng dengan ikan yang dibakar? Apa bezanya antara daging ayam yang dikukus dengan yang distim? Serupa atau tidak sama?

Mungkin hodoh benar bertanyakan soalan ini. Takkanlah itu pun tidak tahu!

Tetapi jangan terkejut, semakin ramai generasi hari ini yang tidak tahu rupa-rupanya french fries itu asalnya adalah ubi kentang di dalam tanah. Malah ada yang tidak faham apa kaitannya burger yang dimakan dengan lembu-lembu yang berkeliaran di tepi lebuhraya. Gara-gara generasi didikan ‘bibik’, sedar-sedar semuanya sudah terhidang di meja. Ibu bapa lupa resepi, anak-anak bingung berlapis tinggi!

Jika anda ada maklumat, tahu, faham, tentang bahan-bahan yang dipakai, dan proses yang dilakukan untuk memasaknya, maka bolehlah anda membuat keputusan, sama ada makanan berkenaan berkhasiat atau pun tidak.

Tetapi jika bawang pun tidak kenal, goreng pun tidak tahu, ikan pun ditanya apa agama orang yang ‘sembelih’, ertinya… anda itu tidak tahu. Dan jika tidak tahu, makan sahajalah apa yang disarankan oleh yang tahu, yang pakar … dan JANGAN BANYAK ‘KOMPLEN’!

Kita cuba menganalogi tahap-tahap berfikir ini, untuk merawat dua penyakit yang berbahaya jika ada salah satunya, dan maha bahaya apabila wujud kedua-duanya.

Iaitu penyakit BODOH, dan penyakit SOMBONG.

Bergabung dua-dua, jadi BODOH SOMBONG!

MAKSUD UTAMA ANALOGI

Mahu pegang hukum yang ‘senang’ atau yang tepat?

Dulu-dulu hal ini tidak menjadi persoalan. Dunia pra globalisasi, banyak amalan dalam keberagamaan kita sifatnya senada. Solat kita sama, puasa kita sama, berpakaian kita tidak banyak berbeza.

Tetapi apabila dunia menjadi sebuah kampung kecil, di era ‘now everyone can fly’ ini, orang kita banyak ke tempat orang, orang tempat orang banyak ke tempat kita. Dulu-dulu, cara solat yang berbeza serba sedikit itu, hanya ditemui sekali seumur hidup, dan selalunya di hujung usia, semasa mengerjakan Haji di Mekah, kini sama-sama sebangsa dan seagama pun, kefahaman dan amalannya jadi berbeza-beza.

Apatah lagi jika membabitkan orang yang bangsa keturunanya lain, negara asal lain, biar pun berTuhan dan berNabi yang sama, akhirnya bentuk amalan sesama kita ada perbezaan. Kita bertasyahhud akhir dengan jari teguh menunjuk kiblat, orang sebelah kita jarinya bergerak-gerak dan mata kita memerhatikannya.

Maka, pada hari ini, mahu pegang hukum yang ‘senang’ atau tepat, bukan lagi soalan yang mudah.

Ia berkonflik.

‘Senang’ yang kita maksudkan itu bukanlah yang senang hendak dibuat. Tetapi yang kita maksudkan dengan ‘senang’ itu ialah hukum yang senang dalam ertikata hukum yang kita sudah sedia tahu. Yang diajar secara formal di peringkat awal pendidikan. Berpegang dengan apa yang kita telah tahu, lebih ‘senang’ berbanding mahu berpegang dengan apa yang kita belum tahu.

Hendak tahu apa yang kita belum tahu itu, memang susah.

Kena menuntut ilmu.

Jika kita mahu pegang hukum yang senang, maka senang sahaja. Pegang sahaja apa yang kita sudah tahu.

Cumanya, kita kenalah bersabar menguruskan akibat-akibatnya, dan ia perkara biasa.

Misalnya, hukum yang ‘senang’ dalam bab bersentuh lelaki dan perempuan ialah ia membatalkan wudhu’. Sebab itu adalah apa yang kita sudah sedia tahu. Peganglah hukum ini.

Cuma, kita kenalah bersabar menguruskan beberapa kondisi yang rumit. Misalnya mahu mengekalkan wudhu’ di dalam LRT, semasa tawaf dalam Haji dan Umrah, malah mungkin suami diserang angin ahmar (na’udhubillah) lalu lumpuh, dan isteri mahu membantu mewudhu’kan suami, sepanjang hayat mereka.

Tetapi, jika kita berkemahuan untuk mengikut hukum yang TEPAT, ketepatan hukum ini sangat bergantung kepada INPUT dan PROSES.

Input kepada satu-satu hukum ialah nas-nas yang menjadi rujukan. Al-Quran dan Hadith Nabi SAW. Selain yang dua itu, ada input yang lain seperti hukum bahasa Arab dan cabang-cabang sumber yang lain.

Proses pula ialah kaedah-kaedah yang dipakai dalam berinteraksi dengan sumber itu tadi. Satu hukum fiqh, bukannya satu ayat al-Quran terus mengeluarkan satu hukum. Sebaliknya satu-satu hukum Fiqh sebagai output itu, datang daripada ayat-ayat al-Quran yang berkaitan, hadith-hadith Nabi SAW yang berkaitan, dihimpunkan secara topikal, dan kemudiannya diproses.

Proses itu, ada yang menggunakan ilmu Usul al-Fiqh, ada yang menggunakan ilmu Tafsir, ilmu Mustalahāt al-Hadith, dan di sini jugalah kita bertemu dengan proses yang dinamakan sebagai Maqasid Syariah, serta jargon-jargon disiplin pengajian Islam yang banyak itu.

ANALOGIHUKUM.002

Maklumat tentang input dan proses itulah yang menentukan sama ada hukum itu tepat atau tidak. Malah betul atau salah.

Apakah dalil-dalil yang dirujuk?

Bagaimanakah dalil-dalil itu diproses untuk mengekstrak hukum daripadanya?

PERSOALANNYA

Soalannya sekarang ialah, tahukah anda tentang INPUT dan PROSES itu? Ada ilmu? Faham kaedahnya?

Jika kita memahami nas-nas al-Quran, tahu membezakan لا yang menatijahkan haram dengan yang menatijahkan makruh, tahu Usul al-Fiqh lebih kurangnya, maka bolehlah kita kongsikan pendapat kita.

Berbincang dalam ‘bulatan gembira’, tulis di Facebook, berkicau di Twitter atau berposter di Instagram. Jika kemas pendapat yang diberi, boleh juga cuba-cuba artikelkan ia di blog, hantar ke ruang surat pembaca akhbar, untuk liputan yang lebih luas. Jika tidak pun, tag sahaja orang berpengaruh dan minta dia sebarkan.

“Err… saya pun lupa, actually Quran ke Hadith ke yang cakap macam tu!”

Oh, kalau itulah level kita, bawa-bawalah sedar diri.

Hormati kekangan diri sendiri. Respect your limit!

Istihalah? ‘Umum al-Balwa?

“Ahh, kalau benda dah Tuhan kata haram, maka haram! Titik!”

Jika itulah cara kita berpendapat dalam beragama, sedar-sedarlah diri. Tanpa ilmu tentang input, tanpa ilmu tentang proses, tandanya kita tidak tahu!

Dan jika kita tidak tahu, ikut sahajalah saranan-saranan yang diberikan oleh orang yang tahu, DAN JANGAN BANYAK KOMPLEN!

MUHASABAH TAHAP KEBERAGAMAAN

Kita analogikan hal ini, agar dengan cara yang ringkas dan mudah, kita dapat visualkan tentang tahap keberagamaan kita. Kita boleh memeriksa di tahap mana kita berada. Adakalanya, kita terfitnah oleh Facebook dan Twitter yang sebenarnya merupakan ujian KUASA kepada pemiliknya. Kuasa berpendapat, kuasa berteori, kuasa berteritori.

Kita bukan kucing jantan yang menanda teritori dengan pancutan kencing!

Kita manusia.

Teritori kita itu adalah amanah daripada Allah. Tempat kita berperanan, tetapi dalam batasan diri kita sendiri.

Di zaman serba positif ini, kita mungkin sudah lama tidak disergah bahawa kita sebenarnya BODOH.

Banyak benar yang kita belum tahu.

Jika kita hormat kebodohan diri sendiri, lalu bercakap hanya pada kadar yang sesuai dengan secebis kepandaian kita berbanding portion bodoh yang lebih besar di dalam carta pai ilmu di dada (kepala), maka kita masih berpeluang mulia. Allah tidak menghina orang bodoh. Allah menilai dengan taqwa. Maka jika kita sedar yang kita tidak berilmu, lalu kita merendah diri dan menasihati gaya orang tidak berilmu, nasihat itu tinggi dan berguna.

“Abah sekolah tak tinggi. Abah menoreh getah sahaja. Tapi abah ni dah tua. Abah nak ingatkan kamu, lagi tinggi pokok yang kamu panjat, lagi kuat angin yang menggoncang” pesan seorang abah kepada anaknya yang hendak dilepaskan ke Balai Berlepas KLIA.

Si abah itu tidak banyak ilmunya, tetapi akhirnya dia bijaksana. Malah bertaqwa.

Mungkin di sisi Allah, abah sekolah tidak tinggi itu sama mulia dengan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi.

Dua-dua Allah mahu masukkan ke Syurga kerana kedua-duanya hamba Dia yang mulia. Seorang berilmu rendah namun tetap berusaha melakukan kebaikan dalam kapasitinya. Seorang lagi berilmu tinggi lalu berjihad melakukan kebaikan dalam kapasitinya.

Tetapi apabila kita BODOH dan tidak menghormati kebodohan diri sendiri, kita jadi hina.

Kita analogikan hal ini, untuk merawat dua penyakit dalam beragama. Kewujudan salah satunya sudah cukup merugikan malah mungkin berbahaya.

Penyakit JAHIL.

Penyakil TAKABBUR.

Apabila berkahwin kedua-duanya, ia jadi JAHIL MURAKKAB.

Dan apabila si bodoh tidak malu menzahirkan kebodohannya, dia jadi al-Ruwaibidhah.

Jadi al-Safīh!

Pesan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam: “Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh (al-safīh) yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

LOGIK DALAM BERAGAMA

Ahh, artikel ini menggunakan logik sahaja! Mana Islamnya? Mana dalil-dalilnya?

Benar, artikel ini adalah artikel tentang logik dalam beragama. Apabila kita beragama tanpa berakal, kita jadi sang KELDAI BERSERBAN.

Lilitlah dengan agama yang bagaimana sekali pun, setiap kali berbunyi, yang keluar adalah kebodohan dan kehodohan.

donkeyturban

Dan jika artikel semudah ini pun kita tidak faham, bawa-bawalah bertaubat daripada perdebatan.

Ampunkan kami ya Allah.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

______________________
Nota: Beragama Dengan Akal Sehat juga adalah tajuk sebuah buku yang dikarang oleh Agus Mustofa, pembaca dijemput mengenalinya di Goodreads

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

2 comments

  1. Benar sekali ustaz, dunia kini dalam serba serbi positif, kita jarang sekali disergah, diingatkan kebodohan kita. Saya hanya mampu tersenyum kelat bila ada rakan yang berkata “Al-Quran dah kata haram, mana boleh….”

    • Tidak mengapa…

      فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنتَ مُذَكِّرٌ
      لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِرٍ

      Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). [Q88: 21-22]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share