Isu Tudung Fareeda: Kepada Allah Jua Kupohon Hidayah Buat Diri

Amar makruf nahi munkar adalah tanggungjawab yang besar terpikul di bahu setiap kita.

Selain mengajak kepada kebaikan, kita juga perlu memainkan peranan bertindak dengan tepat tatkala berlakunya kemungkaran. Sabda Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.” [HR Muslim]

Bertindak terhadap kemungkaran bukan sekadar menyergahnya sebagai mungkar. Atau menghalang sesiapa daripada melakukannya. Tetapi tindak balas yang dituntut pergi setahap lagi iaitu tindak balas kita mestilah mampu MENGUBAH kemungkaran itu, mengubahnya kepada sesuatu yang lebih baik. Sudah pasti, hal ini tidak akan terjadi jika benda salah, diperbetulkan dengan cara yang salah. Apatah lagi dengan cara yang lebih salah berbanding kesalahan yang telah sedia berlaku. Sebab itulah, CARA merupakan komponen yang penting dalam amar makruf nahi munkar.

Namun di era digital hari ini, banyak kemungkaran yang mendapat perhatian, adalah kemungkaran yang ditemui di atas talian. Liputan mengenai benda buruk dan baik oleh warga internet menyebabkan mereka yang duduk ribuan batu daripada tempat kejadian pun, boleh terasa bahangnya seperti ia berlaku di depan mata. Justeru, konteks amar makruf nahi munkar juga mengalami pengalaman yang berlainan apabila peristiwa-peristiwa di atas talian terjadi.

Sebagai pengguna media sosial yang aktif, saya menempuh pengalaman-pengalaman yang berlainan dari satu masa ke satu masa. Pengalaman itu ada yang manis, banyak juga yang pahitnya. Semuanya saya cuba ambil sebagai pengajaran yang mendidik diri agar menjadi lebih cermat, matang dan efisyen kerana pengalaman menggunakan media digital ini bukan sahaja baru bagi diri saya, malah bagi tamadun manusia itu sendiri. Setiap seorang mempunyai penafsirannya tentang apa yang bagus dan apa yang tidak di internet. Ada yang menganggap Like dan Share yang banyak itu berguna untuk tujuan dakwah. Ada yang beranggapan jumlah Like dan Share bukan jaminan. Ia persoalan subjektif yang terbuka kepada ujikaji dan perbincangan.

Saya telah menutup halaman Facebook yang mewakili peribadi, beberapa tahun yang lalu. Ketika itu jumlah Like dan Share adalah sekitar 70 ribu Likes. Demikian juga Twitter yang pada waktu akhirnya berjumlah sekitar 50 ribu followers. ‘Membuang’ halaman tersebut adalah sebahagian daripada usaha saya untuk meluruskan perjalanan diri menuju usia pertengahan. Saya tidak mahu pendapat saya dirujuk dengan cakap-cakap “Ustaz Hasrizal kata” kerana ia bukanlah sesuatu yang berguna pada mengukuhkan peribadi pengguna internet. Lalu saya pecahkan catatan-catatan saya mengikut tema kepada beberapa halaman yang berasingan, agar tindakan itu mendisiplinkan diri saya bercakap hanya dalam topik yang saya patut bercakap. Bukannya mahu bercakap dalam semua perkara.

Ia menjadi langkah yang mendamaikan.

Tidak mengapa ramai yang hilang daripada terhubung dengan tulisan saya. Tidak mengapa yang tinggal hanya sedikit. Tetapi sedikit yang bertindak balas dengan baik lagi substantial.

Akan tetapi akaun Instagram saya pula berkembang, sedikit demi sedikit. Selama sekitar dua atau tiga tahun, akaun Instagram berkenaan menjadi medan interaksi saya bersama sekumpulan kecil pengguna yang tahu apa niche interaksi kami, dan ia berkembang perlahan-lahan dengan sejahtera. Selepas beberapa tahun, barulah akaun berkenaan mencapai jumlah followers sekitar 25 ribu, terutamanya apabila saya tidak mampu lagi menyingkir peniaga-peniaga produk yang aktif menjual produk di akaun yang ramai followers.

KES TUDUNG FAREEDA

Saya sudah sejak sekian lama tidak mahu komen apa-apa.

Saya bukan sesiapa untuk memberi apa-apa komen.

Saya kenal sebentar dengan Fizo Omar semasa penggambaran drama Cinta Sempurna di Astro Oasis. Saya juga pernah diwawancara beliau di dalam Nasi Lemak Kopi O di TV9. Tetapi semua itu tidak signifikan kerana ia hanya beberapa minit daripada kehidupan kami. Mawar dan Tudung Fareeda pula, saya tidak ada kena mengena. Saya hanya penduduk daerah Bangi yang sekali sekala melintas butik mereka di situ, dan pengguna lebuhraya PLUS yang sekali sekala terpandang iklan gergasi Tudung Fareeda di paparan.

Tetapi sebagai hamba Allah, apabila ada sesuatu yang tidak kena, saya juga terkena bahangnya. Rasa perlu bersuara. Jika tidak sampai kepada tuan empunya diri pun, mungkin penting untuk mereka yang ada di dalam lingkungan saya, biar sekecil mana pun ia. Kes Tudung Fareeda ini berulang-ulang kali. Makin lama makin menjadi. Saya berkuliah di sekitar Bangi. Tentu sahaja saya rasa apa yang berlaku di Bangi seperti kejadian berebut-rebut di butik berkenaan, perlu saya suarakan.

Di akaun Instagram, saya suarakan ia.

Saya menegur kaedah promosi dalam bentuk provokasi yang dilakukan oleh pihak syarikat. Saya juga sentuh tentang keangkuhan admin Page Tudung Fareeda yang sangat biadab terhadap apa sahaja pandangan yang diberikan oleh masyarakat, tanpa saya nafikan banyak teguran yang disampaikan juga adalah sama buruk dan salah dari segi akhlaq Islam.

Bahagian yang saya kesal adalah di perenggan akhir. Biar pun apa yang saya tulis adalah dalam bentuk syarat dan jawab syarat yakni JIKA dan MAKA, saya terlupa bahawa kenyataan dalam format sebegitu mudah dimanipulasi, digunting-gunting dan menjadi salah faham yang tidak sihat. Dan itulah yang berlaku. Lain yang saya tulis, lain yang dipetik oleh halaman-halaman tanpa identiti pemilik.

Halaman ini sangat berpengaruh kerana kuasa viraliti yang tinggi padanya. Jika yang dikongsi adalah artikel, berkemungkinan artikel tidak dibaca, tetapi tajuk yang mendapat perhatian. Tajuk yang diberikan oleh halaman Suara TV mengundang musibah kepada diri saya:

“Pendakwah Doa, Mohon Perniagaan Tudung Fareeda Bankrap” bertarikh 4 April 4 2016 oleh Editorial

Saya telah menulis emel kepada Suara TV menegur tajuk yang provokatif dan mengundang permusuhan itu. Berikut adalah emel yang saya hantar pada tarikh berkenaan:

Assalamualaikum WBT.

Semoga emel ini diterima di dalam kesempurnaan iman dan kesihatan.

Merujuk kepada artikel di halaman blog tuan bertajuk “Pendakwah Doa, Mohon Perniagaan Tudung Fareeda Bankrap” bertarikh 4 April 4 2016 oleh Editorial, saya meminta jasa baik pihak tuan memperbaiki tajuk artikel berkenaan. Tajuk yang dipetik secara tidak lengkap itu, berisiko menggalakkan permusuhan dan tidak mendatangkan kebaikan kepada pembaca. Di dalam komen saya yang panjang mengenai isu strategi promosi tudung Fareeda sebagaimana yang disiarkan di Instagram, saya menyebut seperti berikut:

“Jika nasihat Mufti dan pelbagai pihak tidak diendahkan, lebih baik Allah bangkrapkan sahaja bisnes kalian daripada masyarakat ini bangkrap akhlaq. Ittaqullāh!”

Ia sangat berbeza dengan tajuk yang editorial tuan pilih yang berbunyi: “Pendakwah Doa, Mohon Perniagaan Tudung Fareeda Bankrap”

Kewartawanan beretika adalah penting untuk mencapai maksud yang baik di dalam melaporkan sesuatu isu. Semoga saranan saya ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak tuan.

Yang benar,

Hasrizal bin Abdul Jamil.

Emel saya telah menerima maklum balas mereka. Berikut adalah isi kandungan emel berkenaan:

Salam,

Terima kasih atas maklumbalas yang diberikan.

Untuk makluman, setelah meneliti permintaan pihak tuan berdasarkan email yang dihantar, Editorial telah bersetuju menukar tajuk artikel tersebut selari dengan kenyataan pihak tuan di laman Instagram.

Segala kesulitan amatlah dikesali.

Sekian, terima kasih.

Sent from my iPhone

Namun apakan daya, tajuk yang diubah di Portal Suara TV tidak mengubah tajuk yang telah diekstrak di halaman Facebook dan Twitter. Maka tersebarlah dengan begitu meluas soal adanya seorang pendakwah bernama Hasrizal Abdul Jamil mendoakan perniagaan orang bangkrap. Kemuncaknya ialah apabila Tudung Fareeda mengadakan sidang media baru-baru ini untuk memberi penjelasan tentang strategi mereka dalam kejadian awal bulan lalu, seorang wartawan bertanya pendapat Fizo Omar tentang pendakwah yang mendoakan bisnesnya bangkrap, dan KINITV menamakan pendakwah itu sebagai Hasrizal Abdul Jamil.

Sidang Media Tudung Fareeda

DI LUAR UPAYA

Apabila kejadian-kejadian sebegini berlaku, saya berlapang dada. Saya tahu saya tidak boleh buat apa-apa. Saya hanya mengambilnya sebagai kaffarah daripada Allah untuk mudah-mudahan dosa-dosa saya yang banyak terampun. Itu yang sesungguhnya. Tidak mengapa jika mesej yang salah pergi kepada Tudung Fareeda. Saya hanya mampu berdoa agar kemungkaran yang terjadi, berubah ke arah yang lebih baik, untuk semua. Saya sudah menutup akaun Instagram berkenaan kerana saya tidak mahu menyediakan platform untuk masa masyarakat terbuang.

Saya juga mengurut dada mencari rahmat Allah apabila tokoh seperti Prof. Dr. Harlina dikecam secara viral di media sosial, yang semua ini menyebabkan saya tertanya-tanya, adakah setiap satunya memerlukan liputan dan maklum balas, seperti hidup kita sangat banyak masa terluang untuk sibuk dengan LIKE dan SHARE yang tidak membawa masyarakat ke arah yang lebih baik?

Pada masa itu raja di perang maklumat adalah Raja Viral. Dengan jutaan followers, merekalah yang mencorakkan siang malam pagi dan petang masyarakat hari ini.

Teringat saya catatan sahabat dan guru saya, Ustaz Emran Ahmad di halaman Facebook beliau. Seorang ilmuan daripada Arab Saudi menyebut:

أخطر ما على الأمة الآن الدعاة الجهال الذين لا يعرفون العلم ويدعون الناس بجهل وضلالة
Perkara yang paling membahayakan bagi umat ini sekarang ialah kewujudan para pendakwah atau penyeru yang jahil yang tidak mengetahui ilmu dan menyeru manusia dengan kejahilan dan kesesatan.

Kewujudan ramai orang yang jahil tetapi terkenal dan viral telah menyebabkan kerosakan menjadi tersebar.

Kata Imam al-Hafiz al-Mizzi rahimahullah (742 Hijrah)

ولو سكت من لا يدري لاستراح ، وأراح ، وقل الخطأ ، وكثر الصواب
‘Dan kalaulah sekiranya orang yang tidak tahu itu berdiam diri nescaya keadaan akan menjadi rehat dan tenang, serta kesalahan menjadi sedikit dan kebenaran akan menjadi banyak.’ [Tahzib al-Kamal, Al-Mizzi]

Pada masa seperti ini, apa yang lebih baik adalah mendidik diri untuk mematikan perkara-perkara lagha dengan tidak memberi nyawa kepadanya melalui perhatian yang tidak berkenaan.

Sabda Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

مِنْ حُسْنِ إسلامِ المَرْءِ تَرْكُهُ ما لا يَعْنِيه

Antara tanda eloknya Islam seseorang itu, ialah apabila dia meninggalkan hal-hal yang tiada kena mengena dengan dirinya. [HR Muslim]

Viraliti sangat dikejar oleh banyak pihak sama ada untuk populariti mahu pun untuk tujuan bisnes. Namun kita percaya bahawa di dalam tubuh manusia ada hati, dan hati ini dipegang oleh Allah dan dibolak balikkan-Nya dengan sangat mudah. Mohonlah kepada Allah, agar kita ditetapkan hati beramal dengan kebaikan, dan tidak terkeliru di zaman yang serba kelabu ini.

Semoga Allah ampunkan kesalahan kita semua.

Teruskan perjalanan ke arah yang lebih baik. Redha Allah, itu yang dicari.

Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

4 comments

  1. Bersabarlah dan tetapkan kesabaran itu ustaz!

  2. suziana mohd tahir

    Tuan yang mulia. Anggaplah ujian ini sebagai petunjuk kasih sayang Allah SWT terhadap diri tuan. InshaAllah semoga sifat redha, kesabaran tuan berlapang dada menjadi asbab bagi Allah untuk meninggikan lagi darjat tuan. Biarlah hina di mata manusia, tetapi mulia di sisi Allah SWT. Sungguh kita sekarang telah berada di akhir zaman.

  3. Sangat membuka minda. Menarik. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share