MISI QATAR: Membekal Generasi Dongak Dengan Jiwa Tunduk

Program di Khawr Community memberangsangkan. Saya sepatutnya berceramah hanya satu sesi, tetapi telah diminta menyambung pengisian dengan satu sesi tambahan.

Ia suatu penghargaan dan saya menyambutnya dengan satu jam tambahan ceramah. Biar pun habis lewat, kami saling mengambil manfaat.

Saya gembira bertemu dengan ramai ikhwah di Khawr, termasuklah Prof Azhar yang sering disebut-sebut warga ER HUKM, tempat Ummu Saif bekerja.

Sesi tamat sekitar jam 11:30 malam dan saya tidur nyenyak di rumah akhi Megat terlalu sibuk tidur hingga tidak sempat untuk bermimpi.

SUBUH YANG DAMAI

Semasa bangun subuh, kaki saya mengalami sedikit kekejangan. Namun minyak angin yang saya bawa cepat meredakannya. Kami bersolat subuh di salah sebuah masjid di Khawr Community itu. Sementara menanti matahari terbit, saya dibawa oleh Megat bersiar-siar di perkampungan Al-Dhakhirah untuk melihat matahari terbit, di sisi perairan Teluk Arab.

Cuaca dingin di pagi Sabtu itu sungguh mendamaikan.

Tetapi saya agak tersentuh melihat masjid-masjid lama yang telah ditinggalkan, dan digantikan dengan masjid baru yang lebih cantik dan kemas selari dengan pembangunan pesat Qatar. Namun mungkin jiwa saya adalah jiwa ahli sejarah, saya sering terpaut pada yang lama kerana banyak kenangan dan cerita di sebalik setiap peninggalan.

SLOT DI DUKHAN

Pagi Sabtu, saya bersama Megat dan Kolonel Basit bergerak pantas melintasi padang pasir, unta dan debu Qatar menuju ke Dukhan. Ia terletak di pantai Barat Qatar dengan perjalanan selama 2 jam lebih bagi pemandu biasa, tetapi kurang satu setengah jam dengan stering Kolonel Basit yang memandu laju. Cara pemanduan lazim, untuk lebuh raya membelah padang pasir yang kosong.

Setibanya kami di Dukhan, saya agak pening lalat kerana tidak cukup tidur dan menaip di dalam kereta (slide belum sempat disiapkan sebelumnya). Tetapi pening itu hilang apabila kami dikejutkan dengan berita, sebahagian ibu bapa yang sepatutnya hadir ke program kami pagi itu berada di dalam duka kerana malam sebelumnya, bouncing castle di theme park berhampiran runtuh dan belasan atau mungkin lebih dua puluh kanak-kanak terhumban setinggi 10 meter. Ada yang patah rusuk dan mengalami internal injury yang agak serius, malah saya difahamkan ada yang masih tidak sedarkan diri.

Kami mengambil peluang di samping ceramah, untuk mengadakan solat hajat dan saya doakan agar kesemuanya selamat sejahtera dan beransur pulih hendaknya.

Akhi Megat sedang mengisi nasi untuk Kolonel Basit, bersama warga Dukhan yang hebat

Namun kesedihan itu tidak menjejaskan tradisi warga Dukhan yang amat gemar berkumpul dan berprogram. Sesi soal jawab dihujani pelbagai soalan, termasuklah permintaan kaum ibu untuk saya basuh suami-suami mereka yang kurang peka dengan beberapa perkara besar yang dianggap kecil.

9 rasional 1 emosi bagi lelaki, 9 emosi 1 rasional bagi perempuan, kegagalan berkomunikasi sering menjadi punca. Jangan assume, bukalah mulut dan bawa berbicara itu sahaja pesan saya, seorang anak muda yang pengalamannya jauh kurang berbanding penyoal sendiri. Membuka mulut suami untuk meluahkan isi hati, sama sulitnya dengan membuka kulit kerang mentah untuk dikorek isinya yang sedap itu!

Selepas majlis dan solat hajat, kami dihidangkan dengan makanan yang menyebabkan saya terlupa akan Qatar. Masakan kampung dengan ikan masin goreng bawang, kerabu mangga, gulai lemak udang dengan kacang kami terasa bagai di kampung halaman sendiri. Warga Dukhan cukup mesra dan berbudi terima kasih daun keladi, ada rezeki jumpa lagi.

Kami memecut laju kembali ke Doha. Dalam mengantuk dan letih, saya tidak boleh tidur kerana perlu mengemaskinikan slide untuk program remaja sebentar lagi. Namun setengah jam sebelum tiba ke Doha, saya terkejut apabila mendengar dengkuran diri sendiri! Teruk benarlah maknanya itu.

REMAJA DOHA

Seperti selalu, biar pun saya lebih mahu menyelam ke dalam program akademik dan diskusi ilmiah yang memberikan kepuasan segera buat diri, saya tetap terjebak ke alam yang lebih mendesak, penuh kebimbangan dan cabaran, tetapi dalam masa yang sama penuh potensi, keceriaan dan kepuasan.

Saya bimbangkan anak-anak, generasi muda.

Program bersama remaja di Doha, Qatar baru-baru ini memberikan satu lagi pengalaman saya bersama anak-anak muda ini.

Perancangan asal saya bersama akhi Megat, adalah untuk mengadakan satu slot bersama anak-anak warga Malaysia di Doha dan sekitarnya. Tetapi selepas diiklankan, jumlah peserta bertambah. Bukan sahaja kewarganegaraan, malah batasan usia turut roboh tidak tertahan-tahan lagi. Program pada petang itu menerima kehadiran anak-anak warga Indonesia yang datang dengan dua bas mini, di samping anak-anak warga Malaysia yang juga agak memberangsangkan kehadiran mereka.

Tajuknya biasa sahaja. 3 Simple Questions, Dare to Fail!

Membahaskan soal tujuan hidup, tetapi dalam bahasa yang santai dan saya juga perlu menyarung watak baru, agar sesuai dengan jiwa peserta yang semuda 4 tahun (malah yang berumur 2 tahun pun duduk bersama berlari ketakutan melihat video The End of Life saya) hingga mencecah usia 20an. Tambahan pula dengan ibu bapa yang turut sama, ia adalah range hadirin yang sungguh mencabar.

Kuliah disampaikan di dalam Bahasa Inggeris. Biar pun English saya tidaklah Shakespeare tetapi cukuplah untuk memahamkan pendengar dan difahami.

RESPONSIF

Apa yang menarik perhatian saya ialah sikap peserta yang amat responsif. Pantang soalan ditanya, berebut-rebut mereka mahu menjawabnya. Bukan sahaja yang belasan tahun, malah si kecil pun tanpa segan silu menjawab, malah jawapannya amat melucukan dan bernas.

Apa beza jalan dengan jalan-jalan?, saya mengusik.

Jalan is you do the walking with reason, and jalanjalan is just a waste of time!” kata seorang peserta.

Wah, kembang hati saya. Alangkah sebelum-sebelum ini pengurus bank pun malas menjawab soalan yang sama, anak-anak ini cepat menangkap perbincangan.

So, would you consider yourself as hidup or hiduphidupan?” saya menyudahkan teka teki.

“Haha.. !!!” mereka ketawa.

“If we consider ourself as hiduphidupan then let us live with no reason. If we are HIDUP, then let us understand our purpose of life” itu mesej terakhir saya.

Saya cuba membuat analisa, apakah yang menjadikan mereka begitu.

Faktor ibu bapa, pada kiraan saya agak sederhana. Tidak dinafikan, kebanyakan remaja ini, ibu bapa mereka adalah golongan profesional yang sedikit sebanyak mempunyai pendekatan mendidik yang lebih akomodatif. Tetapi hampir kesemua anak remaja ini bersekolah di British School atau Americal School, dan saya merasakan bahawa mungkin pendekatan pendidikan yang mereka terima, menjadikan mereka lebih berani menonjolkan pendapat berbanding dengan kita dan kebanyakan remaja kita yang lebih kerap disuruh SHUT UP berbanding SPEAK UP.

Usahkan remaja, yang tua-tua pun lebih rela hidup derita dan ditipu berkali-kali, daripada SPEAK UP, kerana diorientasikan dengan kehidupan SHUT UP! Tak percaya, tunggu keputusan pilihanraya.

Program remaja di Doha amat baik. Saya menghargainya dan terasa puas mengendalikan mereka. Bukan mudah melayan remaja pada jam 3 petang untuk mereka mengikuti ceramah tanpa terlelap.

Saya amat berharap agar sesiapa sahaja yang dijemput oleh warga Doha untuk datang berceramah, sekurang-kurangnya satu slot mesti disediakan untuk remaja kerana keseimbangan orientasi silibus British di sekolah mereka, dengan proses membuka Doha ke dunia antarabangsa, memerlukan anak remaja ini disuntik dengan nilai-nilai Islam dari semasa ke semasa. Nilai itu pula mestilah mesra remaja dan bukan suntikan dogma.

“Proud to be a Muslim, and proud to be known as a Muslim. You can be a modern person without being westernized because modernization and westernization are two different things”, adalah mesej saya yang menutup sesi bersama mereka.

“Children might fail to follow our word but they will never fail to follow our action. If you want to have listened, listen first. If you want to be respected, respect first. Teach your children with actions and if you want to deliver a message, be the message!” itu pula penutup pesan saya kepada ibu bapa.

Integration? Modernization? Westernization? Imitation?

MENJANA UMMAH GEMILANG

Sempat berehat dan menyegarkan diri seketika di rumah akhi Zaim, senior saya di SMAP Labu, aktiviti saya diteruskan dengan ceramah MENJANA UMMAH GEMILANG. Kali ini program telah menerima kunjungan lebih ramai peserta khususnya warga Malaysia profesional di Doha. Sunnatullah dan Syariatullah, adalah konsep paling utama yang saya tekankan untuk mencantumkan pemisahan dua unsur ini dalam pemikiran kebiasaan kita.

Ceramah berlangsung selama hampir dua jam dan ia menutup tirai program saya di Doha, ibu kota Qatar kali ini.

Sesi Ceramah Menjana Ummah Gemilang

MENINJAU KOTA DOHA

Pagi Ahad, saya dan akhi Megat mengambil peluang untuk bersiar-siar di Doha.

Tentu sahaja, lokasi wajib kami ialah Souq Waqif, iaitu sebuah bazar lama yang terletak tidak jauh dari Fort Doha.

Perasaan saya sedikit berkecamuk. Bukan runsing. Tetapi saya ditujah rasa rindu kepada kehidupan lama di bumi padang pasir ini semasa saya menghidu bau tanah, bangunan dan rempah ratus yang banyak terjual di sekitar Souq Waqif berkenaan. Saya berdoa semoga suatu hari ini saya berpeluang membawa Ummu Saif dan anak-anak meneroka kehidupan di negara Arab yang merupakan sebahagian hidup saya untuk satu jangka waktu yang panjang.

Sudah tentu, barang pertama yang saya cari ialah jubah.

Saya sudah lama tidak berpeluang membeli jubah. Sebelum ini pun jubah yang saya pakai adalah jubah yang saya beli semasa musim Haji 1998. Berbaloi sungguh saya mengeluarkan sedikit wang lebih memberi jubah berjenama Daffah kerana kainnya masih baik biar pun sudah 10 tahun saya memakainya. Hanya saiz sahaja yang bermasalah. Jubah itu gagal membesar seiringan!

Saya mengambil peluang membeli dua helai jubah putih Qatari dan dua jubah berwarna dengan harga 55 Riyal Qatari setiap satu. Riyal Qatari hampir sama nilainya dengan Ringgit Malaysia. Begitu juga, sehelai jubah putih untuk Saif dan sehelai untuk Imad. Saya kurang pasti sama ada mahu membeli Abaya untuk Ummu Saif dan Naurah kerana Abaya yang sedia ada pun jarang digunakan. Tetapi saya berpendapat, Abaya adalah pakaian yang sangat praktikal untuk kaum wanita.

Tidak mengapa, ada beberapa cenderahati yang lebih sesuai dengan Ummu Saif juga Naurah.

Bergambar di hadapan Fanar Islamic Centre, Doha

Kami juga mengambil kesempatan untuk solat zohor di Fanar Islamic Centre, tempat di mana bermastautinnya tokoh yang saya hormati iaitu Abu Ameenah Bilal Philip. Hajat di hati ingin bersemuka, tetapi saya difahamkan yang beliau tidak berada di Qatar pada masa itu.

Sebelum berlepas meninggalkan Doha, saya dan akhi Megat pergi ke sebuah kedai mamak tidak jauh dari Lapangan Terbang. Taste of Asia terkenal di kalangan warga Malaysia di Doha kerana pakej kedai ini hampir lengkap. Roti canai, roti telur, teh tarik dan nasi kandar, semuanya ada belaka. Rasanya pun boleh tahan.

“Telur ayam di sini warna putih juga ya?” saya bertanya kepada Megat.

“Ha?” beliau terkejut.

Rupa-rupanya Megat sendiri pun tidak perasan yang telur ayam di kebanyakan negara Arab berwarna putih seperti telur itik.

Saya ketawa terkenang telur ayam yang dijadikan telur masin semasa saya bermastautin di Jordan.

SELESAI SEBUAH MISI

Jam 3:10 petang, pesawat berlepas meninggalkan Doha menuju ke Dubai.

Biar pun saya berasa amat penat, tetapi saya tetap berpuas dan gembira. Erti hidup pada memberi telah menjadikan saya semakin dekat dengan Allah, Tuhan yang Maha Memberi itu.

Allah memberi kekuatan kepada saya untuk memberi.

Allah memberi kekuatan kepada audience saya untuk menerima dan terus menjadi pemberi.

Dan Allah memberi kekuatan kepada Ummu Saif dan anak-anak saya sebagai tulang belakang saya, kerana jika tidak kerana keluarga yang menyokong, keluargalah elemen yang paling berkuasa untuk melonglaikan kaki yang melangkah di jalan juang yang payah ini.

Salam sejahtera Qatar, moga pembangunan pesatmu seiring dengan pembangunan manusia dan generasi muda masa depanmu.

Jangan ucapkan selamat tinggal,
Tetapi ucaplah hingga bertemu lagi.
Seandainya tidak di bumi Tuhan,
Mudah-mudahan di Syurga-Nya nanti

Ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Doha International Airport, Qatar

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share