Alhamdulillah selesai sudah sebulan Ramadan.
Semoga Allah menerima segala amal kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan berkenaan. Sama ada ibadah khusus seperti siyam, solat, Qiyam, tilawah dan iktikaf, mahu pun kebajikan-kebajikan yang dibuat sesama manusia.
Ramadan kami di Oulu kali ini sederhana.
Sederhana dalam serba serbinya.
Tiada ‘gangguan’ seperti promosi Raya, mahu pun bazar Ramadan dengan membeli dan makan minum yang berlebihan. Apa sahaja yang diinginkan, biasanya saya akan mencari resepi di Youtube lalu mencuba. Ramadan kali ini saya belajar membuat bubur puteri berendam, bubur butir nangka dengan halba, kuih lapis, roti puri dan pelbagai menu yang tidak pernah dimasak sebelum ini. Kebetulan sepanjang Ramadan universiti bercuti, maka dapatlah saya menumpukan masa untuk bersama keluarga.
Rutin anak-anak, selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, mereka turun ke bawah untuk bermain dengan kawan-kawan. Mungkin lebih bertenaga sebab sudah berbuka puasa. Sekali sekala mereka ke masjid untuk bertarawih, tetapi saya tidaklah terlalu menekankan mereka untuk bertarawih di masjid. Satu juzuk satu malam, satu dua hizb pada setiap rakaat, saya di umur mereka masih berlari main keliling masjid dan hanya masuk apabila waktu moreh tiba.
Saya membayar zakat fitrah kepada imam masjid. Jumlahnya tidak dispesifikkan. Kata imam, jika bekerja, bayarlah EUR10 untuk sekepala. Kalau tidak, antara EUR5 ke 7 pun munasabah. Wang zakat yang dikutip banyak diagihkan kepada keluarga refugee di sekitar Oulu. Saya membayar EUR7 sekepala untuk kami berenam.
Tiada resit rasmi, atau akad dengan skrip standard. Hanya ke pejabat masjid dan menyampaikan wang usai bertarawih.
Malam Shawwal, saya kumpulkan keluarga dan kami bertakbir di ruang tamu, usai mengerjakan solat Isyak. Dengan bantuan beberapa poster untuk info visual, saya terangkan kepada anak-anak tentang perkara-perkara sunat yang patut dilakukan pada hari raya Aidilfitri. Anak-anak berdebar untuk bersolat raya di gimnasium sekolah; sesuatu yang tidak pernah mereka alami sebelum ini.
Jumaat dan Sabtu pada penghujung Ramadan adalah cuti Midsummer di Finland yang dikenali sebagai Juhannus. Cuti ini sangat penting bagi rakyat Finland maka pada kedua-dua hari berkenaan majoriti kedai ditutup dan tiada perkhidmatan bas. Barulah saya teringat yang saya belum membuat persiapan raya. Mujur beberapa hari sebelumnya, saya sudah pun membeli beras pulut di kedai makcik Vietnam di Kauppahalli (Oulu Market Hall). Sebagai pengganti lemang, saya kukus pulut kuning sebanyak 2kg, dan dimakan bersama kari daging, untuk hidangan seisi keluarga. Jadilah, Alhamdulillah.
Syukur Aidilfitri jatuh pada hari Ahad.
Dan Ahad bukan lagi Junannus. Maka perkhidmatan bas kembali seperti biasa. Selesai mandi, berpakaian elok dan menjamah sedikit pulut kuning, kami sekeluarga menaiki bas ke perhentian Merikoskenkatu untuk menghadir solat raya Aidilfitri yang diadakan di Tuira School (Tuiran koulu). Tidak seperti Aidiladha lalu yang mana kami perlu berhati-hati dengan pergerakan dan suara memandangkan sekolah sedang berlangsung, kali ini cuti sekolah memboleh seluruh perkarangan sekolah digunakan untuk meletak kereta, dan suasana meriah dapat dijayakan tanpa bimbang mengganggu persekitaran.
Biar pun komuniti Muslim di Oulu berpecah dua di bulan Ramadan kerana ada yang mahu berpuasa dan bersolat mengikut jadual tempatan, dan ada yang mengikut jadual Mekah, Aidilfitri menyatukan semua. Dewan sendat dengan jumlah jemaah menjangkau mungkin hampir 2000 orang. Dewan yang sebegitu besar tidak muat, ramai yang bersolat di luar dewan.
Sebelum solat, Imam bertanya jika masih ada jemaah yang belum membayar zakat fitrah. Ada beberapa orang mengangkat tangan. Sebahagian petugas mengutip duit zakat, sebahagian lagi mengutip sedekah.
Selesai solat Aidilfitri, kanak-kanak menerima agihan goodie bag berisi candy dan minuman kotak. Kami yang dewasa saling mengucap tahniah, berpelukan mesra dan meraikan kegembiraan Aidilfitri. Terubatlah sedikit rasa rindu dengan kampung halaman. Dalam jumlah hadirin yang begitu ramai, saya nampak ada beberapa orang saudara baru daripada kalangan orang Finnish sendiri, dan mereka menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan yang mengenali.
Alhamdulillah kami ada jiran yang Muslim di tingkat bawah. Ada juga rumah untuk diziarahi, menyambung silaturahim. Dapat juga saya berkenalan dengan beberapa orang rakan Muslim lain khususnya daripada India dan Pakistan. Jiran kami adalah Muslim daripada India dan saya secara spesifik gembira melihat Muslim dari India dan Muslim dari Pakistan boleh beraya bersama.
Raya hanya sehari.
Esoknya bukan lagi Raya.
Apa yang ada adalah 2 Syawwal, 3 Syawwal, 4 Syawwal, dan bukannya raya kedua, ketiga atau keempat.
Kami sekeluarga mengambil peluang bersiar-siar di sekitar Oulu dalam cuaca musim panas yang cerah kerana sebelum ini, Ramadan membataskan aktiviti di luar. Cuaca cerah dengan suhu sekitar 15º ke 22ºC adalah satu kurniaan yang sangat-sangat bermakna buat kami, selepas 7 bulan hidup di dalam selimut putih salji kutub utara.
Kemudahan teknologi membolehkan kami berhubung dengan keluarga di Malaysia. Ibu saya tahun ini berusia 76 tahun. Ingatan beliau adakalanya baik, adakalanya tidak jelas. Beliau mengalami dimentia yang menjadi lebih kuat dari setahun ke setahun. Emak tidak begitu jelas di mana saya berada. Melalui Facetime, emak melihat wajah kami sekeluarga tetapi emak tidak faham kenapa kami tidak balik beraya. Saya sembunyikan seluruh air mata dan hanya memberi sebanyak-banyak senyuman buat emak dan keluarga di kampung, dan menganggap sahaja yang emak juga senyum kepada saya, dengan memori lama yang masih beliau ingat.
Saya rindukan emak di kampung.
Keluarga mertua di tanah air juga dapat dihubungi. Tahun ini kali pertama keluarga sebelah isteri saya beraya tanpa ayahanda. Almarhum Haji Ahmad Nasarudin kembali ke rahmatullah selepas Aidilfitri tahun lalu, hanya beberapa hari sebelum saya berangkat ke Finland. Syukur ipar-ipar saya bersungguh mengadakan perhimpunan keluarga di rumah ayahanda dan saya doakan agar komitmen ini berterusan selamanya. Tanpa ibu bapa, sangat sukar untuk adik beradik berkumpul setempat, kecuali dengan azam dan tekad yang teguh.
Terima kasih juga kepada beberapa orang insan berhati mulia yang sudi mengirim kuih raya dari jauh, untuk hidangan kami sekeluarga. Merasa jugalah semperit, tat nenas, dan kerepek-kerepek rangup. Alhamdulillah proses untuk pos dan kastam di Finland tidak rumit. Semua yang dipos sama ada menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia, mahu pun kurier seperti DHL, tiba dengan baik. Sepertiga kiriman agak hancur, tetapi kami sudukan sahaja semuanya dengan penuh enak.
Alhamdulillah.
Khamis, kami sekeluarga bertolak ke Helsinki untuk meluangkan masa bercuti sempena musim panas.
Tetapi misi paling utama adalah untuk hadir ke Rumah Malaysia di Espoo, iaitu kediaman Duta Besar Malaysia ke Finland, TYT Dato’ Blanche Olbery. Beliau mengadakan Open House sempena Aidilfitri.
Betapa gembiranya kami melihat rendang, kuih muih, lontong dan pelbagai hidangan tradisional Malaysia terhidang. Terutamanya anak-anaklah. Merekalah yang bukan main kemaruk rindukan masakan Malaysia. Dalam kemeriahan makan-makan, kami sangat bersyukur dapat bertemu dengan ramai warga Malaysia, termasuk yang berkeluarga. Ada yang datang dari Tampere, Lahti, Kuopio, namun rasanya kamilah yang paling jauh, wakil Oulu, 700km di utara Helsinki.
Seronok berkenalan dengan kawan-kawan baru. Jika ada di kalangan mereka yang bermusafir ke utara, termasuk ke Rovaniemi, saya berbesar hati menjemput mereka singgah ke rumah kami di Oulu. Boleh juga berjamu-jamu serba sedikitnya nanti.
Ada yang mengenali saya sebagai ‘blogger berkenaan’, dan ada yang menyebut saya sebagai ‘penulis’. Saya hanya tersengih, dan lebih selesa memperkenalkan diri sebagai cikgu sekolah.
Dato’ Duta bermurah hati menghadiahkan kami sebuah pelita tradisional yang dibawa dari Malaysia. Bolehlah kami letakkan di rumah. Kalau rindu dengan kampung halaman, bolehlah menatap pelita itu.
Semua ini menjadi pengalaman berharga terutamanya untuk anak-anak kami. Belajar menghargai apa yang berharga. Belajar melihat Islam dan amalannya di luar daripada kebiasaan dan keselesaan masa ke masa. Belajar untuk melihat erti Ramadan dan Syawwal, yang lebih seimbang antara adat dan ibadat. Dan belajar merindui kampung halaman, ketika kampung halaman adakalanya tidak diberi makna yang secukupnya di era smart phone dan wifi hari ini.
Semoga Allah terus membimbing kami sekeluarga dan anda semua.
Salam Syawwal daripada saya sekeluarga di Finland.
Hasrizal Abdul Jamil
Oulunkylä, Helsinki
7 Syawwal 1438H
Ntah… Bila baca pengalaman mereka yang merantau… terasa seperti merantau ini mengeluarkan kita dari segala keserabutan dan kepincangan di samping belajar budaya dan cara hidup tempat orang. moga ia mengukuhkan jatidiri sebelum pulang ke tempat yang pernah kaki tersadung….
Salam Aidilfitri Ustaz. Di Penghujung Syawal