Tahniah dan terima kasih kepada anak-anak muda Muslim, Melayu, seperti Sheikh Omar Ali, Edry Faizal, Syefura Othman, Dyana Sofea dan sekalian yang lain, bersama Prof Aziz Bari, kerana mewarnakan DAP dengan satu paradigma baru yang amat penting dalam membina jambatan-jambatan penting untuk Malaysia baharu.
Teringat sekitar tahun 2011 – 2013, semasa saya hadir ke sebuah program wacana DAP di Shah Alam, bersama beberapa orang rakan. Kami adalah antara ‘golongan ustaz’ yang hadir ke forum berkenaan.
Selain topik utama yang dibincang, berlaku usik mengusik antara kami dengan beberapa AJK program berkenaan, “bagusnya DAP sekarang ini sudah mula menggunakan bahasa Melayu di dalam programnya.”
“Masuklah DAP, ustaz!” kata salah seorang AJK.
“Haha, sanggupkah DAP menerima ‘Islamist’ seperti kami?” saya menjawab, dengan soalan.
Walaupun sebenarnya, soalan yang betul ialah, “sanggupkah kami para Islamist menyertai DAP?”
Ketika itu, saya jawab, “secara dasar, saya faham apa yang DAP perjuangkan dan sebagai penduduk Parlimen Ipoh Timor dan DUN Pasir Pinji, saya telah berkenalan dengan DAP dengan lebih awal lagi. Saya berpuas hati mengundi dan menghantar Lim Kit Siang sekali lagi ke Parlimen dalam PRU Mac 2008.” Cumanya, ia mungkin berat untuk keluarga saya memandangkan saya aktif berkuliah di surau dan masjid. Sanggupkah surau dan masjid membayangkan ustaz mereka Ustaz DAP? Paradigma itu asing untuk masa tersebut. Malah mungkin masih begitu sehingga kini.
Saya masih ingat semasa pemimpin-pemimpin PAS bermesyuarat dengan wakil-wakil gerakan Islam antarabangsa di Leicester UK, untuk menentukan pendirian bekerjasama dengan DAP, para ulama di dalam mesyuarat berkenaan memberi sokongan kepada PAS untuk kerjasama tersebut, malah menjangkakan banyak yang gerakan Islam lain boleh belajar daripada pengalaman unik PAS bergerak sebagai sebuah gerakan Islam di dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Maaf kerana saya kurang ingat nama-nama tokoh yang berada di dalam majlis berkenaan.
Kenangan itu telah berlalu.
Kini ramai tokoh Melayu dan Muslim yang telah menyertai DAP, termasuk seniman unggul Pak A. Samad Said.
Selamat maju jaya kalian semua.
HASRIZAL
Oulu Finland