Mungkin di satu peringkat, kesalahan besar saya ke atas Ustaz Nushi Dato’ Mahfodz ialah, apabila orang tidak berpuas hati dengan saya, mereka akan bertanya kepada Ustaz Nushi, “Hasrizal tu, kenapa?”
Kasihan Ustaz Nushi, saya yang buat masalah, beliau pula yang terganggu.
Jika dibandingkan tempoh perkenalan, jumlah ‘credit hour’ yang diluangkan serta tahap kenal, antara saya dengan Dr Maszlee Malik berbanding saya dengan Ustaz Nushi, tentunya persahabatan saya dengan Ustaz Nushi adalah lebih lagi. Dalam suasana politik semasa, saya cuba untuk berhati-hati agar tidak membuat sebarang association yang tidak disenangi oleh Ustaz Nushi, kerana menyakiti hati seorang sahabat seperti beliau, saya tidak mahu sama sekali ia terjadi.
Sama seperti Dr. Maszlee Malik, Ustaz Nushi adalah sahabat kami yang bersama-sama di dalam program Rancangan Bersama JPA – Petronas melanjutkan pelajaran ke bidang Pengajian Islam di Jordan. Pengalaman kami di KUSZA sama seperti yang saya ceritakan mengenai Dr Maszlee tempoh hari. Bezanya ialah, di Jordan, kami sama-sama di dalam wadah perjuangan PAS.
Berusrah bersama, bertamrin bersama, dan sebagai tambahan, kami juga bernasyid bersama. Sama-sama suka bernasyid, dan kami aktif di dalam kumpulan Usrah al-Firdaus. Sempatlah merakam beberapa album nasyid, untuk alternatif hiburan Islam, semangat yang diambil daripada usaha gigih kumpulan nasyid induk kita iaitu Usrah al-Wadi di Mesir pada masa tersebut.
Walaupun saya belajar di hujung selatan Jordan iaitu di Universiti Mu’tah, manakala Ustaz Nushi di utara Jordan di Universiti Yarmouk, aktiviti nasyid banyak menambah masa kami bertemu satu sama lain.
Bagi pembaca yang pernah membaca travelog saya bertajuk Secangkir Teh Pengubat Letih, pasti ada bertemu dengan nama Ustaz Nushi. Beliaulah yang memberi cadangan untuk kami berdua sama-sama ke Turki memulakan pengembaraan, dan ia menjadi kenangan manis serta penting dalam hidup saya. Selepas pemergian itu, Ustaz Nushi cukup dengan satu lawatan. Saya pula yang berulang-ulang kali ke Turki, berpuluh-puluh kali.
Saya tidak berani untuk mendakwa saya sangat mengenali Ustaz Nushi kerana manusia itu dinamik dan berkembang dari semasa ke semasa. Tetapi apa yang saya pasti ialah, Ustaz Nushi adalah sahabat sejati saya. Sahabat yang sangat istimewa. Terutamanya di zaman kontroversi saya di Jordan tatkala ditohmah dengan pelbagai pandangan negatif, saya kehilangan kawan dari kalangan ahli jemaah sendiri, tetapi antara yang tidak sedikit pun berubah sikapnya terhadap saya adalah sahabat saya yang seorang ini, Ustaz Nushi.
Di peringkat awal terpulau oleh jemaah sendiri, saya sanggup bermusafir dari Mu’tah di selatan Jordan ke Irbid di utara sana, semata-mata untuk pergi bukan ke rumah Nushi, tetapi ke biliknya. Tidak semestinya berbual panjang, tetapi cukup dengan bilik yang sepi, milik sahabat yang faham dengan kerenah saya, tetapi sentiasa menghulurkan baik hatinya untuk mententeramkan saya.
Itulah pun, perkataan terbaik untuk mengungkapkan tentang Ustaz Nushi. Beliau adalah seorang yang baik hati.
Beliau seorang ilmuan yang pintar, tetapi baik hatinya lebih lekat di ingatan.
PASCA JORDAN
Walaupun hubungan kami terpisah agak lama apabila saya bermastautin di United Kingdom, bilamana kembali ke Malaysia, kami selalu bertemu di dalam program anak muda terutamanya yang membabitkan mahasiswa ke luar negara. Sering berselisih sesi ceramah. Saya dahulu, beliau kemudian. Beliau dahulu, saya kemudian. Walaupun kami jarang berjumpa, kami sering dijodohkan di poster program, berceramah di program yang sama dalam waktu yang berlainan.
Hubungan kami kembali bertaut dekat, apabila saya berpindah ke Bandar Seri Putra dan berjiran dengannya. Beliau mengalu-alukan kehadiran kami sekeluarga, dan memperkenalkan saya dengan kejiranan berdekatan.
Apabila kami duduk dekat, tidaklah pula kami dapat selalu berjumpa. Masing-masing sibuk, dan saya tidak beriltizam untuk ke surau terdekat kami, iaitu surah al-Hijrah. Tetapi setiap kali kami berselisih, pasti akan berbual panjang, sampai kami perlu berpisah kerana ada tugasan lain.
“Anta apa khabar, Sheikh?” itu soalan yang selalu Ustaz Nushi tanya, apabila kami berselisih.
Nada yang sama. Nada seorang sahabat. Bertanya dengan bersungguh, “anta sebenarnya apa khabar?”
PENGAJIAN KITAB
Antara benda yang Ustaz Nushi akan selalu kemaskini apabila bertemu dengan saya ialah beliau mahu tahu saya mengajar kitab atau topik apa di dalam kuliah Maghrib. Selepas solat Jumaat di Surau Ikhlas Jalan Impian Putra, kami bersembang sampai surau kosong. Beliau pernah mencadangkan agar saya kembali mengajar kitab Tsaqafah al-Da’iyah, dan membuat kursus berasaskan kitab Sheikh Yusuf al-Qaradhawi berkenaan. Idea itu tidak berhasil apabila saya sendiri berhijrah ke Finland.
Setiap kali bertemu di surau dan masjid di sekitar Bandar Seri Putra, sambil berbual, saya memerhati bagaimana rapatnya Ustaz Nushi dengan penduduk tempatan dan senangnya mereka dengan beliau disebabkan oleh peribadinya, dan kerja-kerja beliau sebagai Ahli Majlis. Saya selesa untuk tidak dikenali sesiapa, kebetulan saya juga jarang berjubah atau berketayap.
Saya membayangkan, suatu hari nanti, Ustaz Nushi pasti akan menjadi pemimpin masyarakat. Saya memang pernah menyakatnya bahawa beliau akan menjadi wakil rakyat. Tambahan pula dengan latar belakang ayahanda beliau, seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia akademik pengajian Islam, serta PAS sendiri. Dan kini sudah tiba masanya, menjelang PRU-14.
Ustaz Nushi juga kritis dan faham dengan konflik di dalam jemaah. Beliau berkongsi kebimbangan.
Apa yang saya bantah dan tidak setuju, beliau faham. Insya-Allah beliau faham.
Cuma watak kami berbeza.
Perbezaan watak ini mempengaruhi implikasinya. Saya membuat keputusan yang keras, meninggalkan PAS. Tetapi Ustaz Nushi masih terus beristiqamah dengan PAS. Saya meninggalkan PAS kerana prinsip. Ustaz Nushi juga kekal beristiqamah di dalam PAS kerana prinsip. Pilihan kami berbeza, tetapi insya-Allah ia terbit daripada prinsip yang sama.
Selepas meninggalkan PAS, sememangnya saya kehilangan ramai sahabat, sangat ramai. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau mengundang kecewa. Ia risiko yang maklum. Tidak kira apa pun nostalgia silam, yang mesra berpaling wajah, yang sapa bertegur, kini jauh berundur. Tetapi selepas 2015 itu, Ustaz Nushi masih sama wajahnya kepada saya. Wajah seorang sahabat yang telah dikenali semenjak 1993, wajah yang serupa tidak berbeza (cuma tembam sikit).
Biar pun saya telah meninggalkan PAS dan memilih jalan yang berbeza, rasa hormat saya kepada Ustaz Nushi tidak pernah terjejas walaupun sedikit. Beliau teman sejati, walaupun ia mungkin sebenarnya hanya dari hati saya. Tiadalah saya bermaksud mahu membebankan Ustaz Nushi dengan pandangan saya terhadap beliau, kerana politik Malaysia di tahun 2018 ini sangat dinamik.
Politik adalah urusan tadbir, dan gerak kerjanya adalah gerak kerja berpasukan. Maka sudah tentu sokongan politik saya adalah kepada Pakatan Harapan dan calon kami bagi N.26 Sungai Ramal, Haji Mazwan Johar Tetapi bagi yang mengundi Ustaz Nushi Dato’ Mahfodz, anda memilih seorang tokoh yang terpuji. Baik hatinya seorang sahabat bernama Nushi, adalah sandaran doa saya untuk mengharapkan suasana politik dan kemasyarakatan yang sejahtera, di musim percakaran politik menjadi sangat meruncing masa kini.
Bertuah Bangi dan DUN Sungai Ramal. Siapa pun yang menang, kita sudah sedia menerima tokoh yang berkualiti. Alhamdulillah.
Ustaz Nushi, seandainya adalah lagi orang yang telefon anta bertanya, “Hasrizal itu kenapa?”, ana minta maaf kerana menyusahkan ustaz. Ia benda yang ana tidak boleh kawal. Dan berkemungkinan besar, ia sudah lama tidak lagi terjadi.
Sahabat anta si ‘trouble maker‘ bernama Hasrizal ini, dengan setulus hati mendoakan yang terbaik buatmu, menang atau kalah dalam PRU ke-14 akan datang ini, sīrū ‘alā barakatillāh, selamat maju jaya.
Salam rindu dari Kutub Utara,
Akhukum fillah,
Hasrizal
Oulu Finland.