Ketakutan Terhadap Ancaman Cina dan DAP?

Ada beberapa mesej yang diajukan kepada saya menyatakan kebimbangan tentang jumlah kerusi kaum Cina atau non Muslim. Susah sebenarnya saya hendak jawab soalan ini sebab saya tidak faham di mana logiknya.

Negara kita ada perlembagaan, yang menjamin hak istimewa orang Melayu hingga secara realistiknya ancaman ke atas hak-hak berkenaan mustahil berlaku. Dua pertiga parlimen itu pun sudah ternganga, apatah lagi memerlukan restu Majlis Raja-raja Melayu. Lagilah tidak dapat saya bayangkan Majlis Raja-raja Melayu merestuinya.

Tiga perkara ini mustahil diubah melalui pilihanraya:

  1. Kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak (Perkara 153)
  2. Bahasa Melayu (Perkara 152)
  3. Majlis Raja-raja (Perkara 38)

Saya tidak faham bagaimana hendak menghadam dakwaan non Muslim mengancam Muslim melalui jumlah kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Berulang-ulang kali naratif yang sama dikitar semula menjelang pilihanraya.

DI FINLAND

Keduanya, pada masa ini saya tinggal di negara non Muslim yang baru-baru ini dinobatkan sebagai negara paling bahagia di dunia (saya tidaklah 100% bahagia sebab sudah duduk jauh pun masih suka baca komen orang Malaysia ?). Di negara ini semua hal ehwalnya adalah non Muslim.

Muslim sangat sedikit.

Keluarga saya adalah satu-satunya keluarga Melayu Malaysia Muslim di sini.

Tetapi…

Alhamdulillah…

Jenayah hampir tiada.

Anak kami umur 7 tahun, kini 8, pergi balik sekolah jalan kaki seorang diri sejauh 2km pergi dan 2km balik. Termasuk sebelum subuh, jika di musim sejuk.

Iphone tercicir, jumpa semula.

Sampah sarap dikitar semula dengan sangat optimum.

Kalau nak ada jenayah pun, Muslim pula yang menipu di dalam Facebook, tawarkan khidmat tumpang kereta kemudian cas harga merepek, duduk di pasar raya bersiul mengorat awek Finnish, kalau pun tidak malas nak kitar semula sampah sebab terbawa-bawa dengan kebiasaan negara asal. Pun, saya tidak generalisasikan ia. Masih kes terpencil.

Sekolah di sini juga mewajibkan sekolah menyediakan pelajaran agama Islam kepada murid Muslim jika berjumlah 3 orang atau lebih.

Semenjak di UK dan Ireland lagi saya belum melihat ‘kekafiran’ menjadikan urus tadbir negara rosak, ekonomi susah, rasuah berleluasa, jenayah meningkat dan masyarakat jadi bermusuhan sesama sendiri.

Itu di sinilah.

Di negeri jauh ini.

DI TANAH AIR

Saya anak Ipoh.

Kawasan saya sentiasa kawasan DAP vs MCA.

Tetapi sebelum saya kenal politik dan parti-partinya, saya sudah pun membesar bersama rakan-rakan berbilang bangsa dan agama.

Sebab itu, 5 tahun di sekolah agama, kemudian di Jordan, selama bertahun-tahun hidup dalam persekitaran semua Muslim, saya masih tidak lupa bahawa Malaysia adalah negara seperti pengalaman saya di usia kanak-kanak. Berbilang kaum, berbilang agama.

Walaupun jauh, YB kawasan saya di kampung halaman selalu berutus berita. Bukan sembang bersahaja bertanya khabar semata-mata. Jika ada yang beliau tidak faham tentang Islam, selalu juga beliau berbincang. Dan saya tahu beliau bukan hanya bertanya kepada saya malah kepada ramai lagi pihak yang lebih arif mengenai persoalan yang ingin beliau tahu.

Pertanyaannya bukan pertanyaan sifar pengetahuan, sebaliknya seorang yang membaca, mengkaji dan memahami, baru bertanya.

Kami pernah berbual mengenai hudud, tentang syura, tentang perbezaan fatwa dengan qadha’ mana yang mulzim mana yang tidak… antara yang saya masih ingat.

YB Howard Lee 李存孝 adalah pemimpin di kawasan saya, juga seorang rakan. Beliau bukan sahaja bekerja keras untuk kawasan DUN Pasir Pinji, beliau juga tegas membawa suara anak muda di peringkat nasional dan antarabangsa.

Saya ada juga tanya, “Bro macam mana kerjasama dengan orang Melayu dan Muslim di Pasir Puteh?”

Kami ketawa.

“Itulah hang kena selalu balik!” katanya.

Aduhai. Bab ni memang saya sangat sedih.

Sayangnya ialah saya duduk jauh, dan kurang berpeluang untuk lebih banyak membantu. Jika boleh, saya ingin buat lebih lagi. Tetapi banyaklah alasan saya untuk saya tidak dapat melakukannya. Sekurang-kurangnya yang boleh saya lakukan pada masa ini adalah untuk mengingatkan diri saya bahawa saya istimewa kerana dilahirkan sebagai Muslim di sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Ia unik.

Terutamanya apabila saya membawa aspek berkenaan ketika hidup di daerah asing seperti di Finland ini.

Asalkan saya menghargainya dan nyaman dengan akal yang waras, serta jaminan perlembagaan, bahawa orang yang bukan seperti kita BUKAN ancaman. Non Muslim bukan ancaman kepada Muslim. Demikian juga sebaliknya.

Berbeza agama bukan ancaman.

Berbeza bangsa bukan ancaman.

Berbeza bahasa bukan ancaman.

Ancaman ialah, walaupun sebangsa, seagama, sebahasa, hatta setali pusat sekali pun, tetapi khianat, rasuah, zalim, tidak kompeten, tidak berkualiti, dan mahu bersandar ke perlembagaan untuk kekal tidak berusaha memperbaiki diri sendiri.

Yang tipu Melayu bukan Cina.

Yang tipu Cina bukan India.

Yang tipu India bukan Melayu.

Yang tipu Melayu, Cina dan India di Malaysia, adalah Barisan Nasional.

Dirgahayu Tanah Airku Malaysia.

Anak Ipoh Timur, Pasir Pinji, dan terkini Tebing Tinggi.

Selamat datang Prof. Aziz Bari ke daerah 1Malaysia ini.

HASRIZAL
Oulu Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share