Tanpa emak dan abah, tiadalah saya. Abah sudah pergi meninggalkan kami sejak saya masih di bangku sekolah. Emak menjadi emak dan ayah menjaga kami anak-anak lima beradik lelaki.
Emak cikgu sekolah. Berpuluh tahun beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Puteh. Anak murid dan orang kampung mengenali emak sebagai Cikgu An.
Saya anak Cikgu An.
Terima kasih saya ucapkan kepada anak-anak murid Cikgu An yang mengusahakan reunion ini dahulu. Walaupun emak tidak hadir ke majlis, tetapi kunjungan rombongan anak murid ke rumah pasti memberi makna kepadanya. Menurut abang saya, emak masih ingat nama beberapa orang anak muridnya. Di dalam sains pembelajaran, simpanan makluman di dalam ‘long term memory’ terjadi kesan daripada ‘meaning making’ yang kuat. Ertinya kehidupan di bilik darjah antara emak dan murid-muridnya adalah sesuatu yang signifikan kepada beliau.
.
Di sudut yang lain pula, abang saya bercerita bagaimana beliau bertemu dengan seorang pakcik dari kaum asli. Semasa abang saya bersama pakcik itu melawat kampungnya di Lasah, abang saya memberitahu bahawa emak kami pernah dahulu mengajar di Lasah. Pakcik itu terkejut dan bertanya nama ibu kami. Kata abang saya, orang biasa memanggil emak kami dengan panggilan ‘Cikgu An’. Pakcik berkenaan terperanjat dan katanya “adakah nama penuhnya Kamaran Zainah binti Jan?” Beliau begitu terharu dapat bertemu dengan anak kepada gurunya kerana menurut pakcik tersebut, di zaman itu tidak ramai cikgu yang sanggup mengajar di kawasan pedalaman seperti di Lasah. Sebab itu mereka amat menghargai para guru dan mengingati hampir ke semua NAMA PENUH guru pada masa tersebut termasuk nama emak kami. Pakcik berkenaan berusia 60’an dan emak hanya mengajar beberapa tahun di Lasah pada era negara baru mencapai kemerdekaan.
Semoga semangat guru dan hubungan murid sedemikian rupa menjadi inspirasi kita generasi hari ini.
ANAK CIKGU AN
Dulu-dulu saya jadi orang suruhan emak untuk membeli ikan atau sayur di kedai. Saya jalan kaki dengan emak meredah kampung menuju perhentian bas untuk meneman emak ke bank mengambil pencen, kemudian singgah ke pasar besar. Apabila emak pilih ikan, saya tengok emak selak lihat insang dan mata ikan itu. Orang kata saya anak manja, anak emak, saya tidak rasa itu satu ejekan sebab saya bangga jadi anak remaja yang tak malu berkepit dengan emaknya.
Semakin saya dewasa, tanggungjawab makin banyak, saya kurang berpeluang meneman emak. Dan apabila saya sekali lagi membuat keputusan belajar di luar negara, saya tahu apa risikonya. 14 Ogos 2016, saya peluk dan cium emak puas-puas, sebab saya takut itu peluang terakhir. Sepanjang musim panas ini saya merancang untuk pulang bercuti sedikit masa lagi, tetapi ketentuan Allah emak pergi, tidak menunggu kepulangan saya kali ini. Rindu membuak di dada. Namun apakan daya, emak pergi selamanya, tak kembali lagi.
Terima kasih semua sahabat yang mengirim doa dan ucapan, saya tidak mampu membalas satu persatu, namun setiap satunya saya baca dan berharap, “sampaikanlah doa mereka semua kepada bonda”
Damailah cinta hatiku di negeri abadi.

Rindu di hatiku, kubawa mati.
.