“Emak baru dapat surat ini. Biasiswa kamu digantung!” kata emak di corong telefon.
Jantung saya berdegup kencang. Terasa gelap dunia di sekeliling.
“Macam mana boleh jadi macam ini? Emak tak mampu nak tanggung kamu,” emak menangis.
Kalaulah emak berada di depan mata, mahu saja saya memeluknya untuk mententeramkan dia. Tetapi emak jauh di seberang lautan. Di kampung halaman, ditimpa perasaan tatkala menerima sepucuk surat berpuaka yang mengubah hidup saya.
Sungguh saya tidak tahu menahu. Tiada penjelasan yang mampu saya berikan kepada emak. Hanya sebuah keyakinan, bahawa saya tidak bersalah. Saya tidak takut. Saya tidak membuat apa-apa kesalahan. Saya yakin surat itu hanyalah fitnah yang bertujuan untuk menjadikan saya sebagai kambing hitam. Terhadap sesuatu.
TIGA BULAN SEBELUMNYA
1997 adalah tahun musibah buat pelajar Malaysia di seluruh dunia.
Selain kejatuhan matawang Malaysia yang amat menakutkan, kami di Jordan ada kisah tambahan yang mengiringinya.
Pelbagai insiden menimpa. Kemuncaknya ialah, kerajaan Jordan menaikkan yuran kami daripada 25 Dinar bagi satu subjek, kepada 150 Dinar. Bayangkan, daripada RM125 bagi satu subjek, kami berdepan dengan kenaikan yuran mencecah RM750 bagi setiap satu subjek! Dan kami ada 44 ke 46 subjek untuk dihabiskan. Tentu sahaja bagi pelajar-pelajar yang menerima biasiswa, kenaikan ini tidaklah begitu besar kesannya kerana pihak penaja yang akan membuat keputusan untuk terus membayar, atau apa-apa jalan keluar yang lain. Namun bagi ribuan pelajar persendirian yang lain, mereka terumbang-ambing.
Segala-galanya datang bertimpa-timpa.
Asalnya, saya tidaklah begitu berhajat untuk bertindak balas secara aktif memandangkan diri sudah masuk ke tahun akhir pengajian. Tetapi atas rasa tanggungjawab sebagai senior, saya bersama ramai lagi rakan terutamanya pemimpin pelajar mengusahakan memorandum, mengutip tandatangan pelajar seramai mungkin, untuk merayu kepada kerajaan Jordan supaya menarik balik kenaikan yuran tersebut.
Lebih menyedihkan, kenaikan itu turut sama membabitkan kumpulan pelajar asing minoriti dari Indonesia, Thailand dan Filipina. Mereka juga dikenakan yuran baru yang amat tinggi itu. Dan mereka mengharapkan kami para pelajar Malaysia untuk bertindak selaku kelompok majoriti daripada kalangan pelajar asing.
“Tak perlu. Biar saya uruskan hal ini” tegas pegawai di Jabatan Pelajar Malaysia.
Ada pihak yang lebih berotoriti, mencadangkan penyelesaian secara diplomatik. Penyelesaian yang lebih baik, dan sewajarnya. Maka kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Itulah penyelesaian yang sepatutnya. Kami kembali semula ke mood pengajian sementara menanti perkembangan selanjutnya.
Sebulan berlalu…
Kelas sudah masuk minggu ketiga.
Tiada sebarang khabar berita.
Pihak penaja di Malaysia sudah bising. Mengapa pelajar Malaysia tidak masuk ke kuliah seperti yang sepatutnya?
Apabila kami merisik dengan Kementerian Pengajian Tinggi Jordan, berita yang diterima amat mengejutkan. Mereka tidak menerima sebarang bantahan daripada pihak berwajib mana-mana negara!
Di manakah penyelesaian diplomatik yang dicadangkan dulu?
Sejujurnya, saya tidak tahu.
Banyak kekecohan yang berlaku. Saya, antara mengambil tahu dan tidak, enggan terlalu membabitkan diri kerana sudah penat melayan hal-hal seperti ini semenjak di tahun pertama kembara saya di bumi Syam.
Namun dalam rasa hati yang berbelah bagi itu, saya didatangi rasa bimbang. Kali terakhir biasiswa masuk adalah kira-kira lima bulan yang lalu. Elaun kami yang sepatutnya diagihkan setiap tiga bulan sekali, sudah dua bulan lewat. Perit… setelah bekerja keras belajar untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM, demi melayakkan diri mendapatkan biasiswa yang ditawarkan, tiba-tiba hidup kami pula yang menjadi sengsara kerana pembayaran hampir tidak pernah tepat mengikut jadual. Semenjak awal pengajian.
Namun, belum pernah selewat ini…
Apa yang ganjil, hanya saya seorang sahaja yang mengalaminya kali ini. Dan kelewatannya bukan sebarangan.
Nyata sekali, kerisauan saya itu amat berasas.
KECELAKAAN
Panggilan telefon daripada bonda di kampung mengiyakan segalanya. Ia bukan lagi masalah-masalah teknikal yang sering dialasankan sebelum ini. Biasiswa saya digantung!
Saya tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh bonda. Insan yang sepatutnya menjadi manusia terakhir tahu tentang insiden yang menimpa ini.
Di dalam surat berkenaan, saya dituduh menghasut pelajar Malaysia di seluruh Jordan agar tidak mendaftarkan diri di universiti ekoran kenaikan yuran kami itu! Saya juga dituduh menghasut pelajar-pelajar lain untuk bertindak secara anti establishment, menentang pembabitan di dalam program-program anjuran pihak berwajib. Ia adalah suatu pertuduhan jahat yang amat mengejutkan saya.
Bukti kepada semua itu, adalah bersandarkan kepada beberapa cop imigresen yang kedapatan di pasport saya. Saya dituduh pulang ke Malaysia pada tarikh tertentu tanpa pengetahuan pihak penaja dan saya terbabit dalam kegiatan-kegiatan yang salah di sisi perjanjian saya bersama penaja.
Allah!
Memang benar, setiap pelajar yang ditaja, tatkala bermusafir ke mana-mana, hatta pulang ke Malaysia sekali pun, sepatutnya memaklumkan keberadaan mereka itu kepada pihak penaja. Namun dengan puluhan ribu pelajar tajaan, hampir tiada seorang pun dalam pengetahuan kami yang berbuat demikian. Ia dimanipulasi oleh pegawai yang memfitnah saya itu. Mereka bertemu ‘bahan’ untuk mencipta kes terhadap saya. Demi melepaskan diri daripada kesalahannya tidak menjalankan tugas dengan baik, saya dipilih sebagai kambing hitam untuk disembelih. Perhatian pihak berwajib di Malaysia dialihkan kepada saya.
Barulah saya faham mengapa kira-kira sebulan sebelumnya, apabila saya bertemu dengan pegawai terbabit untuk bertanya biasiswa saya, beliau meminta pasport saya. Dokumen tersebut dibawanya ke pejabat dan saya menunggu selama berjam-jam sebelum pasport itu dipulangkan. Apabila saya bertanya apa yang beliau buat dengan pasport saya, beliau hanya tersenyum.
Tarikh-tarikh di dalam pasport itu rupa-rupanya dimanipulasi untuk mencipta kes terhadap saya.
Saya berusaha untuk menenangkan emak yang panik. Dalam keadaan dirinya uzur dimamah sunyi dan pertambahan usia, berita penggantungan biasiswa saya memburukkan keadaan. Saya berjanji untuk terus berjuang mendapatkan kembali hak saya. Emak harus yakin dengan saya, kerana saya TIDAK BERSALAH.
BERSEMUKA
“Kamu nak apa?” tanya pegawai itu kepada saya.
“Benarkah saya digantung biasiswa?” saya menyoal pegawai tersebut.
“Masuk ke dalam!” dia menarik tangan saya masuk ke pejabatnya.
“Saya mahu tahu, apa alasan ustaz memfitnah saya seperti ini?” saya bertanya. Dada seperti tepu dengan api.
“Itu rahsia kerajaan!” katanya sambil menjeling dengan sinikal kepada saya, dari seberang meja.
“Rahsia kerajaan apa??? Ini surat apa? Ini tandatangan siapa?” saya mengeluarkan salinan surat yang difaks oleh bonda. Beliau yang menandatanganinya. Terpampang di surat berkenaan.
Beliau amat terkejut.
“Mana kamu dapat surat ini?” tanyanya kepada saya.
“Hai, kalau ustaz ada rahsia kerajaan, saya pun ada rahsia saya juga!” saya memulang paku buah keras.
“Beri surat itu kepada saya!” beliau cuba merampas surat itu daripada tangan saya.
Saya menepis tangannya. Beliau sudah berusia akhir 50′an. Berpangkat bapa saya. Ralat rasanya terpaksa berkonfrontasi dengan beliau.
“Kalau ustaz ambil sekali pun, saya sudah buat banyak salinan. Ustaz fikirlah sendiri, kalau surat ini dikeluarkan kepada emak saya, takkanlah ia tidak sampai kepada saya? Itu pun tak boleh fikir ke?” saya semakin hilang sabar. Darah muda mendidih, membuak-buak, terutamanya apabila sikap beliau yang tidak masuk akal. Memperbodoh-bodohkan saya.
Beliau mendail telefon dan bercakap dengan seorang pegawai yang lebih tinggi pangkatnya di Kaherah.
“Ini ha, ada pelajar nama Hasrizal ini. Dia kata biasiswanya digantung. You tahu ke?” tanya beliau sambil mencebikkan muka ke arah saya.
“Ustaz jangan nak main marah anak sindir menantu!” saya semakin meninggikan suara.
Asri yang menemani menepuk bahu saya meminta saya bersabar.
“Habis kamu nak apa?” tanya beliau.
“Nak apa? Ustaz dengar sini, saya sekarang di tahun akhir pengajian dan berusaha keras untuk segera balik kerana emak saya uzur. Tetapi surat ustaz telah menyebabkan sakit emak saya menjadi semakin teruk. Ustaz kena ingat, kalau apa-apa terjadi kepada emak saya, saya tidak akan lepaskan ustaz!” saya semakin marah.
Pegawai tersebut sudah mempunyai rekod kerja yang buruk. Beliau amat dibenci oleh ramai pelajar. Adakalanya kami kebingungan. Adakah kewujudan Jabatan ini untuk memudahkan urusan pelajar, atau sengaja menyusahkan?
Kesan surat fitnah beliau terhadap emak saya benar-benar menjadikannya terkejut. Mungkin semasa melakukannya, dia tidak berfikir habis.
“Err, saya tidak sangka semuanya jadi seteruk ini. Beginilah Hasrizal, awak buat surat rayuan, saya akan beri sokongan kepada rayuan awak!” katanya, bagai mulut bercakap tanpa bersambung dengan akal.
“Wah sedapnya memberikan cadangan. Apa yang saya nak rayu kalau tuduhan ustaz adalah fitnah? Saya tidak bersalah. Ustaz yang fitnah saya dan menyakitkan emak saya, sekarang ustaz pula nak ajar macam mana saya nak selesaikan benda ni? Ustaz pernah dengar kisah syaitan mengajar Abu Hurairah Ayat Kursi untuk lawan Syaitan?” saya meletup.
“Awak cakap baik-baik sikit!” bentak beliau.
“No! Ustaz yang cakap baik-baik sikit. Saya tahu ustaz di Malaysia hanya cikgu sekolah. Selepas dilantik menjadi pegawai diplomat, kerajaan cakap 1 ustaz cakap 10! Ingat, ustaz ZALIM! Allah mengharamkan ZALIM ke atas Diri-Nya dan kita semua. Jangan aman dari amaran Allah!” saya bangkit dan meninggalkan pejabat beliau.
Tangan menggeletar. Terasa bagai hati dihiris sembilu, menengking seorang lelaki tua berpangkat bapa kepada saya. Tetapi tuanya tidak mengingatkan dia kepada kubur yang panas untuk manusia yang berlaku zalim sesama manusia.
AZAB DUNIA
Kehidupan tanpa biasiswa amat memeritkan. Ketiadaan biasiswa di Jordan bukanlah sesuatu yang mampu dihadapi oleh mana-mana pelajar. Berbeza dengan negara seperti Mesir, Yaman atau Syria, taraf hidup yang tinggi di Jordan amat memerlukan kepada sumber kewangan dan penggantungan biasiswa saya, mirip kepada hukuman mati ke atas saya kerana soal makan minum, tiada lagi rujukan dan jalan keluarnya.
Ia sebuah kecelakaan.
Hukuman ke atas saya, dan ugutan ke atas pelajar lain.
Namun, dalam sakit yang mendalam itu, saya bertuah kerana mendapat sokongan keluarga.
“Tak apalah, Rizal. Ustaz Ishak Baharom yang baik dan lemah lembut itu pun dipecat!” kata abang saya menerusi telefon.
Air mata saya bercucuran. Pelbagai perasaan menyelubungi jiwa dan raga saya. Hilang selera makan, saya dilanda kemurungan.
Kebetulan, Kejadian Mufti Selangor dipecat kerana kes pertandingan ratu cantik pada tahun 1997 itu sangat banyak membantu. Keluarga saya menganggap era ini adalah era orang agama ditindas dan dizalimi. Saya salah seorang daripadanya.
Bonda sekeluarga di Malaysia terus berusaha berbincang dengan pihak penaja. Selama siasatan berlangsung, biasiswa saya terus digantung.
Sudah masuk tujuh bulan saya hidup terumbang-ambing di Jordan. Satu demi satu barang milik saya terpaksa saya jual untuk menampung belanja. Radio, televisyen, meja dan kerusi mengulangkaji pelajaran, almari, rak buku, lampu, walkman, katil dan hampir segalanya.
Ketika masuk musim sejuk 1997, harta yang tinggal bersama saya hanyalah sebuah sleeping bag, sebuah beg pakaian berisi kain baju saya, dan ratusan buku yang disusun di tepi dinding rumah sewa kerana rak buku itu juga terpaksa dijual. Kesejukan musim sejuk amat memilukan. Demi Allah, buku-buku yang mengepung tiduran saya itulah yang banyak membantu saya mengawal diri.
TITIK TERENDAH
Saya sebagai pelajar berbiasiswa, membayar portion yang lebih sedikit untuk sewa rumah. Ketidak mampuan saya untuk membayar sewa apatah lagi belanja dapur, amat membebankan rakan-rakan ketika itu. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpindah dan menumpang tinggal di rumah kawan-kawan dari Turki.
“Kami nak tolong dengan wang, keupayaan kami juga terhad. Tetapi kamu pernah berkata dahulu yang kamu mencari ketenangan dengan memasak. Apa kata, kamu jadi tukang masak di rumah kita!” kata Cenksu kepada saya.
Dia banyak mengajar saya resepi masakan Turki. Kini, kemahiran itu besar gunanya. Saya berpindah ke rumah pelajar-pelajar Turki itu. Perkenalan lebih setahun dengan mereka, membina ukhuwwah yang amat tinggi nilainya dalam hidup ini.
Hasan, Mustafa, Cenksu, Arif, Said… mereka berdiri teguh menguatkan semangat saya.
Saya dan Ustaz Hasan yang banyak menyuntik semangat. Di rumah inilah saya memencilkan diri mencari kekuatan untuk bertahan
“Hasrizal… yakinlah, ini pelajaran dari Allah yang hanya diberikan kepada hamba yang dipilih-Nya” kata Ustaz Hasan sambil memeluk saya.
Bagai anak kecil, saya menangis dalam pelukan sahabat. Terasa sempitnya dunia, hingga tidak mampu untuk keluar rumah, bersemuka dengan sesiapa.
DALAM SEPI
Masa terus berlalu.
Kehidupan semakin perit.
Pagi itu, saya menghantar rakan-rakan ke pintu rumah. Mereka pergi ke kelas. Saya yang sudah menyelesaikan semua coursework, hanya duduk di rumah untuk mengulangkaji dan menghafal al-Quran.
Namun pagi itu perasaan hiba amat memuncak.
Saya duduk di tingkap merenung rumah berkotak-kotak yang bagai lautan menghiasi seluruh pandangan mata saya. Bau pasir yang basah disimbah hujan, amat menyegarkan. Namun dada saya bagai ditekan dengan batu yang tidak kelihatan.
Kitab al-Asas fee al-Tafseer karangan Said Hawwa saya buka. Terpana membaca firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“(Orang-orang Munafiq), merekalah yang mengatakan: “Janganlah kamu beri nafkah kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka dengan tekanan itu mereka berpecah belah dan bercerai berai”. Padahal bagi Allah jualah segala khazanah langit dan bumi, ; akan tetapi orang-orang yang munafiq itu tidak mengerti.” [al-Munafiqun 63: 7]
Kata Sheikh Said Hawwa dalam menafsirkan ayat ini, “strategi melaparkan pejuang-pejuang Islam, adalah pendekatan kaum munafiq zaman berzaman!”
Mata saya berkaca-kaca. Terima kasih Allah, menemukan saya dengan kalam-Mu yang besar ini tepat pada masanya.
TUHAN YANG RAZZAAQ
Saya ternampak seekor burung di hujung dahan.
Di paruhnya ada seekor rama-rama, rezeki untuknya dan mungkin untuk anak-anaknya yang menanti di sarang.
“Allah, selama ini aku menanti rezeki datang kepadaku. Mungkin aku harus menjadi seperti burung itu yang tidak kalah dengan misteri rezeki setiap hari. Sesungguhnya belajar tentang-Mu sebagai Tuhan yang Razzaaq di bilik kuliah, tidak sama dengan merasakan sendiri bahawa Engkau benar-benar Tuhan yang Razzaq!” saya mengesat air mata dengan hujung lengan jubah yang kusam.
Saya kembali ke bilik.
Pintu dikunci.
Saya membuka laci.
Sepi pagi itu pecah oleh jeritan saya, “ALLAAAHHHHH!”
Saya menghumban diri ke katil dan menangis seorang diri.
Saya mahu melepaskan rasa yang terbuku di dada. Wang hanya tinggal 20 Qirsh… tidak sampai seringgit. Untuk meminta dari keluarga, tidak sekali-kali.
Saya yang memilih jalan ini.
Saya harus menguruskannya sendiri.
TERSELIT KEHAIRANAN
Dalam hening pagi, saya membelek foto-foto lama di zaman persekolahan. Foto keluarga. Abah dan emak, abang-abang di kampung halaman. Saya kucup foto kami di lapangan terbang, sejurus sebelum saya memulakan kembara ini.
Kembara yang tidak pernah dibayangkan akan menjadi seperit ini.
Ketika itu, saya berada di titik terendah semangat diri. Semasa menarik keluar salah satu foto di dalam album tersebut, saya tergamam. Di belakang foto itu ada dua keping wang 200 riyal Saudi. Wang baru.
Apa ini?
Album ini sangat peribadi. Saya simpan pun di dalam laci yang berkunci. Saya tiada tabiat menyorok wang seperti itu. Sehingga kini, saya tidak tahu bagaimana wang berkenaan ada di situ, semua ahli rumah saya juga telah saya tanya untuk kepastian.
Wang itu memberi sedikit nafas untuk saya berfungsi.
PAGI YANG MEMBAWA SINAR
Saya masih termenung di bilik.
Kacang fasulia telah saya rendam di dapur, untuk dimasak makan malam petang nanti.
Memang waktu pagi sebegini, saya sendirian. Mengelamun. Pelajar Malaysia pun sudah agak lama tidak saya ketemu. Saya sendiri juga memilih menjauhkan diri.
Masih ‘terasa’ dengan perbualan saya bersama seorang senior di kaunter bas Hijazi di Stesyen Bas ‘Abdali.
“Pembabitan ana dalam jawatankuasa memorandum tempoh hari adalah hasil keputusan mesyuarat jemaah. Sekarang ini biasiswa ana digantung. Ana nak tahu macam mana pendirian jemaah apabila kejadian seperti ini berlaku” saya mendesak pendirian beliau.
Saya bukan minta duit.
Saya mahu tahu bagaimana jemaah menguruskan krisis, konflik dan kebajikan ahlinya.
“Oh, kejadian ini berlaku atas kapasiti peribadi anta. Mungkin anta yang tak pandai bersiasah. Jadi kami tak boleh buat apa-apa!” katanya dengan wajah yang sungguh tulus memaksudkan perkataan itu.
Saya terasa seperti mahu menumbuk mukanya.
“Tak pandai siasah?”
Mudahnya beliau membasuh tangan, dan menyerahkan masalah saya untuk saya hadapi sendiri.
Tetapi saya kawal kemarahan, dan segera beredar, menjauhkan diri dari segala sumber kemarahan, ketika emosi saya begitu rapuh.
Perbualan hari itu menyebabkan saya jauh hati dengan semua orang. Kawan-kawan yang satu batch kebanyakannya sudah tiada. Sudah tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Mereka tidak mengetahui apa yang berlaku. Dan mungkin tidak akan tahu sampai bila-bila.
Rimas saya dengan kerenah pelajar Malaysia, menyebabkan saya mengasingkan diri. Fed up dengan semua.
Ting tong!
Loceng rumah berbunyi. Ada seseorang di luar. Jarang sekali rumah itu dikunjungi tetamu.
“Assalamualaikum!” terdengar suara yang saya kenal di luar sana.
“Waalaikum al-Salaam. Ustaz Misbah ya?” saya membuka pintu.
Kami berpelukan.
Alhamdulillah, ada juga teman yang masih ingatkan saya.
“Bagi pasport anta kepada ana!” kata Ustaz Misbah.
“Eh, nak buat apa?” saya terkejut. Masih trauma dengan insiden penahanan pasport di pejabat pegawai tersebut lama dulu. Jangan main-main bab minta-minta pasport ini.
“Ana nak bawa anta pergi Haji!” jelas Ustaz Misbah.
“Ana tak ada duit la, Ustaz! Manistathoo’a ilayhi Sabeela tu ana tak cukup syarat!” saya menolak dalam perasaan hati yang berbelah bagi.
“Eh, tak payah. Free of charge. Semua ana tanggung. Sampai di Mekah nanti, kita cuba cari kalau-kalau ada orang nak bagi upah buat Haji!” beritahu Ustaz Misbah.
Saya tidak mampu berkata-kata.
Segera memeluk Ustaz Misbah.
“Inilah yang paling ana perlukan, ustaz. Ana nak ‘jumpa Allah’. Ana dah terlalu lemah sekarang ini!” saya menahan rasa.
Kebelakangan ini, saya begitu mudah menangis. Rasa diri terlalu rapuh.
Fragile!
BERTAMU DI TANAH HARAM
Ini musafir ketiga saya ke Mekah. Sekali untuk Umrah dan kemudiannya ibadah Haji.
Istimewanya, kali ini saya pergi tanpa sesen pun di dalam kocek. Benar-benar pergi bagai orang merangkak menyahut panggilan Nabi Allah Ibrahim.
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ‘ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” [al-Hajj 22: 27]
Di sepanjang perjalanan selama 26 jam itu, saya banyak mendiamkan diri. Merenung jauh-jauh ke padang pasir, melihat luasnya dataran berdebu yang terbentang, agar saya dapat menikmati rasa Besar dan Agungnya Allah.
Kami tidak singgah di Madinah, sebaliknya terus ke Miqat, berniat Ihram dan segera menuju ke al-Masjid al-Haram. Entah mengapa jantung saya berdegup kencang. Rasa tidak sabar untuk keluar daripada bas dan segera menuju ke sisi Kaabah. Kami tiba lewat malam. Selepas meletakkan beg di tempat sementara yang disediakan, saya segera masuk ke al-Masjid al-Haram. Hajat di hati mahu terus bertawaf, tetapi saya tersepuk di tangga menuju ke Telaga Zam Zam.
Menangis.
Ya Allah, malunya aku kepada Engkau. Dengan sekelumit ujian-Mu ini, sudah terasa imanku goyah dan nipis sekulit bawang. Bagaimana Khabbab yang terbakar belakangnya itu? Bagaimana Sumayyah yang mati di hujung pedang? Ya Allah, ampunkan kehinaan diriku, kelemahan diriku. Berikan aku kekuatan. Aku datang mencari-Mu, jangan biarkan aku tenggelam dalam perasaanku…”
Saya memungut segala kekuatan yang ada untuk melangkah. Tawaf disempurnakan dengan tangisan. Tangan kanan memegang mushaf, tangan kiri menekan dada. Dalam sebak dan beratnya perasaan yang membelenggu diri, sedikit demi sedikit saya beroleh ketenangan dan kekuatan.
Selesai bersa’ie dan bertahallul, saya termenung di tangga Masjid.
Beberapa hari berikutnya, saya isikan dengan munajat kepada Allah, mencari kembali diri yang dulu. Banyak bersendirian, termenung, berfikir, berzikir.
Bermuhasabah, dan membanyakkan doa.
KEMENANGAN ARAFAH
“Assalamualaikum emak. Rizal ni. Ada di tepi al-Masjid al-Haram,” saya menelefon emak.
“Waalaikum al-Salaam. Hah, emak baru teringat-ingatkan kamu. Jamnul ada beritahu pesan kamu, kata kamu pergi ke Mekah ya” kata emak saya. Suaranya agak bertenaga. Ceria.
“Ya, emak. Rizal minta maaf tak sempat nak beritahu sendiri. Bertolak mengejut kelmarin. Pagi esok ni Rizal dah nak bertolak ke Arafah. Esok Wuquf di sana. Rizal nak minta ampun. Rizal minta maaf sebab selalu menyusahkan…” saya tidak mampu menghabiskan ayat. Menangis lagi.
Terdengar juga emak teresak-esak jauh di sana.
“Emak nak beritahu kamu sesuatu” kata emak, memutuskan tangisan saya.
“Apa dia, emak?” saya cuba untuk fokus kepada suara emak dalam hiruk pikuk kedai gunting rambut menjerit-jerit memanggil jemaah yang baru selesai bertahallul di bawah sana.
“Pihak penaja berpuas hati dengan bukti-bukti yang kamu beri tempoh hari. Mereka jumpa laporan mesyuarat yang kamu hadir tu. Maknanya kamu bukan balik senyap-senyap, tetapi kamu ada bertemu penaja. Maknanya ia hanya fitnah. Jadi penaja yakin, semua pertuduhan lain juga adalah fitnah!” kata emak.
Ya, semasa saya pulang ke Malaysia beberapa tahun yang lalu, saya telah bertemu dengan pihak penaja untuk berbincang tentang hal ehwal kebajikan pelajar setajaan kami di Jordan. Mujurlah saya teringat akan mesyuarat tersebut. Ia merupakan bahan penting untuk membuktikan yang saya tidak pulang ke Malaysia tanpa pengetahuan penaja, apatah lagi untuk terbabit dalam kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang. Bukti itulah yang saya kemukakan dalam surat rayuan tempoh hari.
“Jadi?” saya tersenyum lebar.
“Kamu menang kes. Penaja akan arahkan bayaran tunggakan dibuat. Tahniah!” beritahu emak.
“Ya Allah!!!! Labbaikallaahumma Labbaik…!” saya menjerit kegirangan.
Musim Haji 1418, saya melangkah ke Arafah benar-benar dengan sebuah kemenangan.
Labbaikallaahumma Labbaik. Labbaikalaa Syareeka Laka Labbaik.
Innal Hamda wan Ni’mata Laka wal Mulk.
Laa Syareeka Lak!
Di musim haji itu, saya tidak berjaya mendapatkan upah haji. Tetapi saya dikejutkan dengan kutipan derma yang dibuat oleh teman-teman saya di UK, dan mereka mengirimkan sejumlah wang buat menampung perbelanjaan saya. Derma tanda persahabatan itu diserahkan kepada saya di bumi Arafah.
“Ya Allah… kau saksikanlah harga ukhuwwah dalam perjuangan ini!” saya mengangkat tangan berdoa tinggi-tinggi di pinggir Masjid Namirah.
Ibadah haji disempurnakan.
Bersama perasaan yang sungguh luar biasa.
SEKEMBALINYA DARI HAJI
“Hah, kamu! Kamu pergi Haji ke?” bentak pegawai tersebut apabila melihat saya datang ke pejabatnya.
Mungkin terkasima melihat kepala saya yang botak.
Sehari selepas tiba kembali ke Amman, saya pergi ke pejabat ‘ustaz’ tersebut.
“Ya!” saya menjawab ringkas.
“Mana kamu dapat duit?” tanya beliau.
Masih garang. Belum sembuh daripada egonya.
“Aih, ustaz ingat, rezeki ustaz yang bagi ke? Saya ada Tuhan, tau!” saya menjawab, juga dengan sindiran.
Mukanya menjadi merah padam.
“Apa kamu nak?” soal beliau lagi.
“Tak ada, saya datang ni sekadar nak beritahu ustaz. Orang-orang yang dizalimi seperti saya ni, apabila berdoa kepada Allah di tepi Kaabah, fikir-fikirkanlah apa yang didoakannya!” saya segera ke pintu, meninggalkan pegawai tersebut yang terpinga-pinga.
Sekadar melepaskan geram.
Hakikatnya, saya tidaklah berdoa apa-apa yang tidak baik selama di Mekah. Walaupun saya dizalimi, doa saya adalah memohon kepada Allah agar melepaskan saya daripada ujian ini. Tidaklah sampai mendoakan kehancuran, laknat atau apa-apa. Malu berbahasa dendam dengan Tuhan, sedangkan kita sendiri dosa bagai lautan.
Saya sengaja ‘mengusik’ pegawai berkenaan.
Mahu mengganggu dan terus mengganggu keselesaannya, selepas tindakan kejamnya memfitnah saya.
Selepas meninggalkan bangunan kedutaan dan Jabatan Pelajar Malaysia, saya segera menuju ke bank untuk mengambil wang saya yang sudah setahun tertangguh.
“Ada ke duit di dalam akaun kamu?” tanya pegawai Bank al-Iskan tersebut, dalam nada bergurau mengusik saya.
Beliau sudah kenal saya. Satu-satunya pelajar Malaysia yang berulang kali ke bank tetapi akaunnya kosong. Entah kenapa, beliau pun tidak tahu.
“Tengok sahajalah. Ada tu!” saya berkata perlahan di kaunter.
Kejutan rupa-rupanya masih belum berakhir.
Biar pun usia perkhidmatan pegawai itu tidak panjang, kesan perbuatannya mengheret saya ke belenggu hidup yang hampir memusnahkan segalanya. Penggantungan biasiswa, hanya sebuah permulaan.
Ia adalah salah satu daripada lembaran hitam, penuh dengan luka lama yang menghiris kembali perasaan saya, tatkala mengenang kembali hari-hari hitam dalam diari kembaraku di Dataran Syam. Selepas masa berlalu, pegawai berkenaan telah saya maafkan, dan saya juga memohon ampun kepada Allah atas darah muda saya ketika itu yang mungkin menyebabkan saya hilang pertimbangan.
“Dan pastinya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan hasil buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar”[Al-Baqarah 2: 155]
Kisah ini kembali menjenguk kenangan hidup saya kerana saya teringat kepada emak. Wanita yang saya tahu tidak memiliki banyak harta untuk anaknya, atau kata-kata hebat untuk menasihatkan saya ini. Tetapi emak kuat berdoa. Dalam diam, doa-doa emak sentiasa berada di belakang perjalanan hidup saya.
Apabila emak telah pergi selama-lamanya, saya kehilangan doa mustajab seorang ibu.
Damailah emak…. moga kelana anakmu ini terus di atas jalan kebenaran, hingga ke hujung perjalanan.
HASRIZAL
Oulu Finland.
[Olahan semula artikel asal yang ditulis pada 21 Mei 2009]
Bila satu jalan sudah ditutup, mesti ada satu jalan lagi akan dibuka. Inilah kehidupan kita yang paksa kita terus maju asalkan tidak senang putus asa.