Bagaimana Menjadikan Subjek Agama Menarik Untuk Pembelajaran?

Seorang guru agama meminta pandangan saya, bagaimana beliau boleh jadikan kelas yang beliau ajar menarik? Guru berkenaan khuatir murid-muridnya tidak menampakkan minat kepada apa yang beliau ajar.

Saya ucapkan syabas kepada beliau dan guru sepertinya kerana tidak meletakkan kebosanan itu sebagai kesalahan yang dibebankan ke atas murid. Memang benar, murid juga perlu bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka. Tetapi kita sebagai pendidik perlu bertanya, adakah murid-murid itu tahu cara bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka? Adakah mereka tahu kenapa mereka bosan? Malah, adakah kita tahu kenapa mereka bosan?

Apatah lagi, pada meneladani baginda Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam sebagai seorang guru. Baginda bukan hanya mengutamakan APA yang disampaikan, malah kaya dengan pelbagai strategi di dalam BAGAIMANA ajarannya dipelajari oleh para sahabat.

Baginda tidak menyalahkan anak muridnya apabila mereka hilang fokus. Ia kita lihat dengan jelas di dalam hadith yang menceritakan tentang pengalaman Malik bin al-Huwairith r.a. bersama sekumpulan anak muda belajar solat bersama baginda.

Para sahabat juga menyedari strategi baginda mencegah kebosanan.

Mereka meneruskannya di dalam generasi-generasi yang seterusnya.

Justeru, di dalam pedagogi Islam, seorang guru bukan sahaja berkebolehan menjadikan subjek yang beliau ajar itu relevan dan dan praktikal, malah boleh memupuk penakulan, rasa teruja  dan keinginan untuk tahu di kalangan anak murid.

Guru sebagai golongan profesional yang terlatih dan berpengetahuan mengenai pembelajaran, perlu mengambil tanggungjawab untuk mengatur strategi mencegah kebosanan.

Salah satu punca pelajar tidak bermotivasi mempelajari sesuatu ialah apabila mereka tidak dapat melihat kaitan apa yang hendak dipelajari itu dengan sesuatu tujuan yang relevan, atau berasa susah kerana beranggapan bahawa apa yang dipelajari itu mereka langsung tiada pengetahuan mengenainya, atau mereka diletakkan di dalam aktiviti pembelajaran itu sebagai penerima maklumat yang pasif.

KELAS FIQH MUNAKAHAT

Teringat semasa mengajar murid tahun 2 di Khalifah Model School – Secondary sekitar tahun 2015 dahulu, saya mengendalikan sebuah kelas subjek Fiqh al-Munakahat. Ia boleh sahaja menjadi subjek yang membosankan. Atau kalau mahu menjadikannya menarik, silap-silap ustaz buat gurauan ‘lucah’ bab nikah kahwin, memanipulasi keadaan murid kononnya mereka kalau bab kahwin-kahwin ini suka!

Kita tidak mahu yang itu.

Apatah lagi dalam mempelajari agama.

“Apabila ustaz sebut tentang kahwin, apa yang terlintas di fikiran kamu? Jom ke hadapan dan tulis apa sahaja. Freestyle!” saya memulakan kelas.

Mulanya ramai yang teragak-agak.

“Hah… tu senyum-senyum tu, sila ke hadapan” saya memilih salah seorang pelajar yang air mukanya nampak seperti tidak sabar-sabar hendak menulis.

Partisipasi murid-murid di dalam aktiviti sebegini macam biji tasbih, satu terkeluar, habis semua terburai.

Seorang demi seorang murid ke hadapan.

Macam-macam yang mereka tulis. Dari bab mak andam, Dewan Perdana Felda, kenduri, saksi, naib qadhi, anak, seks, halal, segalanya ada. Lebih kurang 30 perkataan memenuhi whiteboard. Kecoh kelas dengan gelak ketawa dan kejutan.

Pada masa itu saya perlu berfikir pantas, apa seterusnya?

Saya ambil pen dua warna, dan kami sama-sama tandakan 30 perkataan itu, maka satu yang ADAT, mana satu yang SYARIAT? Hal ini juga menimbulkan kekecohan kerana banyak juga yang kabur antara adat dan syariat. Misalnya bab kenduri. Kenduri itu syariat. Kenduri di Dewan Perdana Felda itu adat.

Akhirnya, majoriti yang ditanda adalah adat. Hanya sebahagian kecil sahaja bertanda syariat.

“Biasanya orang pening kepala bab adat ke bab syariat?” saya tanya.

Jelas sekali, majoriti sumber kepeningan adalah adat.

“Kamu nak ubah tak adat ni?” saya lontarkan provokasi.

“Nak! Nak!” bersorak-sorak mereka di dalam kelas.

“Aha, kalau kamu nak ubah adat, kamu kena dapatkan lesen dulu. Lesennya ialah kamu kena faham syariat terlebih dahulu. Dan subjek ini, hanya sentuh bab syariat. Sikit sahaja. Berbanding hal ehwal adat yang panjang lebar.” saya rumuskan.

Sesi hari itu berakhir dan berhasil pada memperkenalkan subjek Fiqh al-Munakahat kepada murid.

ULUM AL-QURAN

Baru-baru ini seorang guru al-Quran menghubungi saya melalui media sosial. Beliau meminta tips bagaimana pembelajaran subjek Ulum al-Quran boleh dijadikan menarik.

Antara contoh yang saya kongsikan dengan beliau adalah strategi mengajar topik nama-nama surah di dalam al-Quran, sama ada ia adalah tauqifiyyah (ditetapkan oleh wahyu) atau ijtihadiyyah.

Dalam suasana kecenderungan masyarakat yang gemarkan produk berjenama Islam, bagaimana jika kita mulakan projek Zoo al-Quran.

“Sila masukkan haiwan-haiwan ke dalam zoo ini, dengan syarat haiwan itu mestilah haiwan yang disebut namanya di dalam al-Quran!” 

Daripada nama-nama yang telah dipilih itu, kategorikan ia kepada serangga, mamalia, burung, atau sesuatu yang luar biasa. Bincangkan mengenainya. Manakah di antara nama haiwan itu yang terpilih menjadi nama surah, manakah yang sekadar disebut di dalam ayat-ayat tertentu.

Guru perlu bersedia untuk mendengar pelbagai pendapat yang lahir daripada murid-murid. Sambutlah ia dengan rancak dan kembangkan ia dengan pengetahuan guru yang pelbagai.

STRATEGI PEDAGOGI DI BELAKANGNYA

Apa yang saya lakukan di dalam kelas berkenaan ialah “Metacognitive Teaching Strategies” yang membabitkan:

1. Metacognitive Awareness Inventory

2. Pre-assessment of Content

3. Think Alouds for Metacognition

4. Concept Mapping

Saya aktifkan pengetahuan murid yang sebenarnya sudah sedia ada di dalam fikiran mereka, kaitkan ia dengan apa yang mereka bakal belajar, perlihatkan konteks penggunaan pengetahuan itu di luar bilik darjah… dan sebagainya.

Contoh ini menjelaskan intipati teacher training di Finland yang memfokuskan kepada penguasaan guru terhadap sains pembelajaran, dan kemudian memanfaatkan ia untuk mereka bentuk pembelajaran dan intervention murid di dalam bilik darjah.

Sumber: https://ciel.viu.ca/teaching-learning-pedagogy/designing-your-course/how-learning-works/ten-metacognitive-teaching-strategies

HALANGAN

Kita sama-sama sedia maklum bahawa pendekatan seperti yang saya kongsikan ini memerlukan beberapa konteks untuk membolehkannya terjadi. Ia memerlukan kepada saiz kelas yang munasabah dan tidak terbayang boleh dibuat dengan baik di dalam kelas yang muridnya mencecah sehingga 40 orang. Begitu juga keluasan kelas adalah baik dan memungkinkan pergerakan murid secara aktif.

Dalam erti kata yang lain, kita tidak boleh atau belum boleh berbicara tentang student-centered learning, pendidikan alaf ke-21, pedagogi progresif yang seputarnya jika kita tidak komited berusaha ke arah mengecilkan nisbah guru dengan murid.

Jumlah sekolah awam mesti dibanyakkan. Pembinaan sekolah-sekolah ‘elit’ lagi ‘berprestasi tinggi’ yang menelan belanja yang tinggi mesti dihentikan dan keutamaan diberi kepada menambah sekolah yang berkhidmat kepada majoriti murid.

Namun, halangan paling rumit adalah berbalik kepada halangan budaya.

Pertamanya, sejauh manakah hubungan guru dan murid itu baik, sebagai asas kepada mewujudkan persekitaran yang selamat di bilik darjah untuk murid berpendapat, terasa dihargai, dibenarkan salah dan silap? Ini perkara pertama.

Keduanya, khusus di dalam subjek agama, sejauh manakah guru agama boleh menerima idea mengurangkan kawalannya sebagai guru ke atas isi kandungan pelajaran? Yakni, adakah guru mahu menetapkan dari awal apakah yang betul dan apakah yang salah di dalam pelajaran di kelasnya, atau terbuka kepada membuka ruang eksplorasi dan kemudian menyelia proses murid-muridnya membina kefahaman?

Bolehkah seorang guru menerima hakikat bahawa sebelum beliau mengajar, muridnya sudah pun terdedah kepada pelbagai maklumat, betul dan salah, banyak dan sedikit, dan beliau boleh memainkan peranan menghubungkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada itu dengan aktiviti pembelajaran yang beliau rancang? Mungkinkan experiental learning boleh diizinkan di dalam pembelajaran agama?

Cara yang pertama adalah cara essentialist.

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu berbalik kepada pedagogi tersembunyi (silent pedagogy)yang terkandung di sebalik naratif hadith-hadith Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Bagaimana pembelajaran para sahabat dengan baginda berselang seli dengan kesilapan dan pembetulan, soal jawab, memberi peluang sahabat cuba menjawab dan tidak memuktamadkan pegangan sedari awal. Hal ini memerlukan penerokaan dan kajian lanjutan untuk meyakinkan guru agama bahawa ruang bereksplorasi di dalam pembelajaran agama adalah harus. Tidaklah nanti pembelajaran agama bersifat linear dan membosankan hingga hilang motivasi murid untuk peduli kepada apa yang mereka perlu pelajari.

Pendidikan agama adalah pendidikan, bukan indoktrinasi.

Contrary to what is thought by those who fear the danger of indoctrination in RE, there is little real risk. Religions themselves have always presupposed human freedom and are genuinely interested in maximising it to the full. Any RE that attempts to transmit such religious traditions are bound to respect human freedom and to give pupils their full dignity.

Dr. M. C. Felderhof’s article, “Religious Education, Indoctrination and Freedom” (2002)

Menjadi guru, bermaksud kita memberi komitmen menjadi pelajar sepanjang hayat.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share